wasat

Dari Meja Penyunting – Edisi 42
01 December 2021 12:00 am // Written by Pergas
Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.
Alhamdulillah, Wasat no. 42 / Disember 2021 dapat diterbitkan untuk terus berkongsi dengan pembaca artikel-artikel bermanfaat. Semoga pembaca terus dikurniakan istiqamah untuk menggali ilmu dari artikel-artikel yang diterbitkan dan menyebarkannya pula kepada masyarakat.
Tahun baru 2022 bakal menjelang tidak lama lagi. Apabila menjelang tahun 2022, Wasat yang mula diterbitkan pada Februari 2015 akan memasuki usia tujuh tahun. Bersempena dengan itu, pihak penyunting ingin mengumumkan kepada para pembaca perubahan yang akan dibuat pada Wasat pada tahun hadapan, iaitu ia akan diterbitkan setiap tiga bulan sekali, dan bukan lagi dua bulan sekali seperti sekarang. Maka Wasat edisi akan datang akan bertemu pembaca pada bulan Mac 2022. Hal ini bertujuan untuk memberi jentera penerbitan Wasat lebih ruang dan masa bagi mengumpulkan artikel-artikel sesuai dengan perkembangan operasi Pergas yang pesat kebelakangan ini, khususnya dalam bidang kajian dan penerbitan. Jika berpeluang, Wasat juga merancang untuk menerbitkan edisi yang berdasarkan tema-tema tertentu agar sesuatu isu dapat dikupas dengan lebih luas. Semoga perubahan ini dapat difahami oleh para pembaca sekalian yang diharapkan dapat terus memberi sokongan kepada Wasat.
Bagi edisi ini, Wasat menerbitkan dua artikel. Artikel pertama bertajuk Tokoh Wasatiyah Tempatan – Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri & Pandangannya Tentang Pendidikan Madrasah Di Singapura, sumbangan bersama Siti Rafidhah Mahmood Angullia dan Ustaz Dr. Mohamed Qusairi Bin Thaha. Artikel ini dibahagikan kepada dua bahagian bagi memudahkan bacaan dalam talian disebabkan kupasannya yang panjang dan kededuanya diterbitkan dalam Wasat edisi ini. Artikel ini membicarakan tentang pemikiran Almarhum Ustaz Syed Abdillah Al-Jufri tentang kepentingan pendidikan madrasah di Singapura. Almarhum dipilih kerana beliau adalah tokoh agama tempatan yang penting dan besar sumbangannya kepada wacana wasatiyah di Singapura. Pemikiran beliau tentang pendidikan madrasah dianalisa semasa polemik tentang Pendidikan Wajib yang berlaku pada tahun 1999 dan 2000 dahulu. Dalam artikel ini, almarhum membentangkan pendapatnya tentang kepentingan pelestarian institusi madrasah sepenuh masa bagi menjamin kepentingan agama di Singapura. Semoga artikel ini memberi inspirasi kepada pembaca untuk mewarisi jejak perjuangan almarhum di bumi ini.
Artikel kedua adalah sumbangan Ustaz Ahmad Helmi Bin Muji yang bertajuk Ihsan – Of Purpose and State of Being. Artikel ini membicarakan tentang konsep ihsan yang disebut dalan hadis Jibril yang terkenal bersama-sama dengan konsep iman dan “islam” (berserah diri atau tunduk dan patuh) dalam Islam. Penulis berhujah akan peranan ihsan dan kepentingannya bagi manusia dalam hadapi cabaran kehidupan moden yang datang bersamanya pengaruh kuat fahaman kebendaan dan sekularisme ke atas kerohanian seorang Muslim.
Selamat membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu