Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.
Alhamdulillah, Wasat no. 43 / Mac 2022 masih dapat diterbitkan untuk terus berkongsi dengan pembaca artikel-artikel bermanfaat.
Semoga Allah taala memberkati usaha kecil ini dan menjadikannya sebagai amal soleh di sisiNya dan para pembaca pula dikurniakan taufiq untuk beroleh manfaat pula dari usaha kecil ini.
Seperti yang dimaklumkan pada edisi yang lalu bahawa, bermula tahun 2022 ini, Wasat akan diterbitkan setiap tiga bulan sekali, bukan dua bulan sekali seperti sebelum ini, dan edisi kali ini adalah edisi pertama bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Untuk edisi ini, Wasat masih mampu menerbitkan tiga artikel untuk bacaan pembaca. Alhamdulillah.
Artikel pertama ialah sumbangan Ustaz Mustazah Bin Bahari yang bertajuk Fikih Nasihat Yang Saksama dan Wasatiy. Artikel ini menjelaskan hukum hakam berkaitan memberi nasihat yang dianjurkan oleh agama. Penulis menekankan bukan hanya aspek kewajipan memberi nasihat apabila melihat sesuatu yang tidak elok berlaku dalam masyarakat tetapi juga kepentingan untuk melakukannya dengan cara yang betul. Untuk itu, penulis mengemukakan enam adab yang perlu dijaga bagi sesiapa yang berniat untuk memberi nasihat kepada pihak lain. Perincian enam adab ini boleh dibaca dalam artikel yang diterbitkan.
Artikel kedua pula bertajuk “Cubaan!”: Kepentingan Berpaksikan Realiti Di Dalam Memberikan Bimbingan Agama tulisan Ustaz Mohammad Hafiz Bin Kusairi, seorang guru di salah sebuah maktab rendah di Singapura dan pemegang sijil Skim Pengiktirafan Asatizah. Berdasarkan senario dalam filem Pendekar Bujang Lapok arahan P. Ramlee, penulis membicarakan soal kepentingan asatizah memberi bimbingan agama dengan mengambil kira realiti berbeza individu atau masyarakat yang memerlukan bimbingan. Jika tidak ia akan menjadikan individu atau masyarakat bersikap menjadi seperti Bujang Lapok yang hanya tahu mengambil sikap “cubaan” sahaja terhadap segala perkara yang dihadapinya, walaupun masalah yang dihadapi seperti penculikan anak gadis Pendekar Mustar, memerlukan tindakan berbeza.
Artikel ketiga adalah artikel berbahasa Inggeris bertajuk A Wasatiyyah Look at Fear and Hope, oleh Ustaz Muhammad Shazani Bin Shamsudin. Penulis menghuraikan konsep Khawf dan Raja’ yang wujud dalam tradisi ilmu tasawuf, bagaimana ia relevan dalam kehidupan moden masa kini dan sikap yang saksama terhadapnya oleh Muslim.
Selamat membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu.