Dari Meja Penyunting - Edisi 46 | Wasat No. 46 / Disember 2022

wasat

meja-penyunting (1)

Dari Meja Penyunting – Edisi 46

01 December 2022 12:00 am // Written by Pergas

Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klidi sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.

Alhamdulillah, Wasat no. 46 / Disember 2022 kini berada di paparan mata pembaca bersama tiga artikel-artikel yang diharapkan akan memberi manfaat.

Wasat ingin mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Muhammad Haniff Hassan yang telah mengundurkan diri sebagai anggota penyunting dan penyelaras utama bagi Wasat bermula dari 1 Disember 2022. Edisi ini adalah edisi terakhir Ustaz Muhammad Haniff melaksanakan tugas yang disandangnya sejak edisi pertama pada Februari 2015. Ustaz Muhammad Haniff juga bertanggungjawab dalam mengasas Wasat sebagai wadah penerbitan bagi penyebaran idea wasatiyyah di kalangan masyarakat dan menggalakkan budaya kajian dan penulisan di kalangan asatizah. Semoga Allah taala membalas segala sumbangan beliau dengan sebaik-baik balasanNya.

Artikel pertama bagi edisi ini bertajuk Buku Tarbiyat Al-Awlad Fi Al-Islam: Sumber Tarbiyah Untuk Para Pembaca, Pelajar dan Pendakwah, sumbangan Mohammad Hafiz Kusairi. Artikel ini membicarakan tentang kepentingan memahami konteks dan latarbelakang penulis apabila membaca apa jua karya penulisan, walau sehebat mana sekalipun penulis karya itu atau nilai karya berkenaan di mata ramai. Ciri ini adalah sebahagian dari cara pembacaan buku dengan minda yang kritikal. Penulis memberi contoh buku yang bagus untuk dibaca dan sememangnya popular di kalangan ibu bapa dan para pendidik, yang bertajuk Tarbiyat Al-Awlad Fi Al-Islam (Pendidikan Anak-anak Dalam Islam). Penulis memetik bahagian dari buku ini yang jika tidak difahami dengan baik melalui konteks ketika penulis menulis buku ini Muslim di Singapura akan merasa seolah-olah menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan adalah satu langkah yang pasti membahayakan agama anak-anak mereka.

Artikel kedua pula bertajuk Dakwah, Pendapat Umum dan Perubahan Sosial, oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan. Penulis membicarakan tentang kepentingan bagi dakwah untuk mempengaruhi pendapat umum bagi mencapai perubahan dalam masyarakat. Penulis berpendapat aspek ini adalah satu aspek yang kurang diambil peduli oleh organisasi dakwah. Bagi tujuan memenangi pendapat umum, penulis mencadangkan organisasi dakwah memberi perhatian pada tiga institusi penting, iaitu institusi pendidikan, perekonomian dan media massa yang dianggap sebagai wadah penting dalam mencorak tren dan pendapat umum masyarakat moden hari ini.

Artikel ketiga adalah artikel berbahasa Inggeris bertajuk, A Brief Look at Wasatiyyah in Islam, oleh Ustaz Amruu Hussein. Dalam artikel ini, penulis memberi gambaran umum tentang konsep wasatiyyah dalam Islam dengan memberi tumpuan khusus pada wasatiyyah dalam kehidupan beragama.

Selamat membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

related articles