Dari Meja Penyunting - Edisi 5 | Pergas Blog

wasat

meja-penyunting

Dari Meja Penyunting – Edisi 5

01 October 2015 1:33 am // Written by

Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.

Alhamdulillah, Wasat bertemu sekali lagi dengan pembaca di edisi ke 5.

Pada kesempatan ini, Wasat mengucapkan kepada semua pembaca yang menunaikan ibadah haji, “Hajjan mabruran wasa`yan mashkuran wa zanban maghfuran (semoga mendapat haji yang mabrur, sai`i yang disyukuri dan dosa yang yang diampunkan oleh Tuhan).”

Wasat juga ingin mengucapkan kepada semua pembaca Kullu `Am Wa Antum Bi Khayr sempena tahun baru hijrah 1437 yang akan menjelang tidak lama lagi.

Dalam edisi ini, Wasat mengemukakan tiga artikel.

Artikel pertama bertajuk Keseimbangan Dalam Berhadapan Dengan Khilaf oleh Ustaz Izal Mustafa bin Kamar.

Artikel ini menyentuh soal sikap yang seimbang dalam berhadapan dengan isu-isu khilafiyah.

Ia menghuraikan apakah perkara-perkara yang jatuh dalam isu khilafiyah dan bagaimana sikap yang sederhana dalam menangani isu-isu ini sebagai asatizah dan orang awam.

Antara yang menarik ialah artikel ini mengingatkan asatizah bahawa ada isu-isu khilafiyah yang tidak seharusnya disampaikan kepada orang awam kerana tahap keilmuwan mereka yang terbatas.

Selain itu, ia mengingatkan tentang hadis yang menganjurkan Muslim berhenti dari berdiskusi jika ia menjurus kepada perbalahan, walau pun jika berkaitan dengan Al-Quran itu sendiri.

Artikel kedua pula bertajuk Wasatiyah Dalam Memartabatkan Akal Dalam Kehidupan Muslim adalah sumbangan Ustaz Dr. Firdaus Yahya Al-Hafiz.

Artikel ini mengajak umat Islam agar tidak membuang akal dalam mengamalkan agama ini atas dasar beriman semata-mata.

Ia memberitahu bahawa Islam memuliakan akal dan berfikir secara rasional dan kritikal bukanlah sesuatu yang ditolak oleh agama.

Namun, ia juga menjelaskan keadaan di mana akal tidak boleh mengatasi hukum agama.

Pada dasarnya artikel ini mengajak pada keseimbangan agar umat Islam tidak emosi dan tidak pula mendewakan akal seolah-olah ia dapat memahami segala rahsia dan hikmah sesuatu perkara di alam ini dan hukum-hukum Tuhan.

Artikel ketiga bertajuk Wasatiyah dan Jihad Menerusi Bakti Pada Alam oleh Ustaz Mustazah Bahari dan Ustaz Muhammad Haniff Hassan.

Artikel ini mengajak pembaca berfikir mengenai satu masalah besar dunia hari ini, iaitu masalah alam sekitar.

Berpremis pada keyakinan bahawa Islam amat mengambil berat akan pemeliharaan alam sekitar dari segala bentuk kerosakan, ia berhujah bahawa skala masalah alam sekitar hari ini melayakkan usaha menanganinya dinamakan jihad, sesuai dengan maksud jihad yang luas.

Sebagai satu jihad, penglibatan Muslim dalam isu alam sekitar juga berperanan untuk menarik aktivisme anak-anak muda Muslim ke sumbangan yang positif dan mengelakkan mereka dari terjatuh dalam pengaruh anasir-anasir jihad yang ekstrem.

Dengan mengakui pemeliharaan alam sekitar sebagai jihad, anak-anak muda Muslim yang cenderung pada bidang ini akan merasa penglibatan mereka dalam bidang ini lebih bermakna dan yang belum menceburkan diri dapat ditarik ke arah ini.

Dalam hal ini, artikel ini berpendapat satu deklarasi oleh para pemikir Muslim dan ulama mengenai pemeliharaan alam sekitar pada bulan Ogos yang lalu perlu ditonjolkan bagi tujuan yang dinyatakan di atas.

Usaha seperti ini perlu ditonjolkan untuk mengimbangi berita-berita media arus utama hari ini yang condong untuk melaporkan isu-isu pengganasan dan perang sahaja berkaitan umat Islam dan golongan mudanya, seolah-olah umat Islam tiada melakukan inisiati yang positif untuk semua pihak dan anak-anak muda Muslim adalah golongan yang sentiasa bermasalah dengan pelampauan sahaja.

Akhir kata, Wasat berharap agar ia sekali lagi akan menyumbang pada penambahan ilmu dan komitmen pada wasatiyah di kalangan para pembaca melalui edisi ini.

Selamat membaca.

Wassalam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles