Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.
Alhamdulillah, dengan izin Allah taala, Wasat (no. 37) masih lagi dapat diterbitkan untuk ditatap oleh para pembaca di tahun 2021 yang baru sebulan berlalu. Moga Wasat akan terus dapat memberi manfaat kepada para pembaca yang dikasihi sekalian. Pada edisi kali ini, Wasat menerbitkan tiga artikel.
Artikel pertama bertajuk, COVID-19 Mengajar Erti Wasatiyah, oleh Ustaz Mustazah Bahari. Artikel ini membicarakan tentang bagaimana umat Islam dapat kekal beriltizam dengan wasatiyah walaupun berhadapan dengan situasi sukar pandemik COVID-19. Artikel ini berpesan bahawa wasatiyah adalah tunggak pengamalan Islam yang benar yang perlu dipelihara dalam apa jua keadaan sekalipun dan antara ciri-ciri wasatiyah yang boleh diamalkan dalam situasi pandemik sekarang ini ialah; kesediaan untuk melakukan penyesuaian dengan norma baru baik dalam urusan kehidupan atau agama, bersikap optimis dan jauhi putus asa, memberi kerjasama pada usaha melawan wabak dan menjauhi dari menyebarkan berita-berita angin.
Artikel kedua bertajuk, Pengamalan Wasatiyah Dalam Islam: Antara Islam Progresif dan Islam Liberal, sumbangan Ustaz Muhammad Redha Bin Mohamed Elyas. Artikel ini membicarakan tentang kecenderungan sebahagian umat Islam untuk jatuh dalam fahaman Islam Liberal disebabkan kekeliruan akan erti wasatiyah dan metodologi yang betul dalam menetapkan sikap-sikap yang boleh sesuai dengan makna wasatiyah yang betul. Artikel ini membentangkan makna wasatiyah dalam tradisi Islam dan dasar-dasar untuk memandu fahaman agama yang progresif dan kontekstual kekal dalam parameter wasatiyah yang benar. Ia juga membicarakan asas pemikiran Islam Liberal dan kenapa ia bercanggah dengan konsep dan prinsip wasatiyah.
Artikel ketiga ialah sumbangan Ustazah Nur Mardhiah Binte Muhd Zuhri, bertajuk Wasatiyah Dalam Berdakwah. Artikel ini membicarakan beberapa noktah tentang wasatiyah yang perlu ada pada tiga komponen penting dakwah; a) pendakwah, b) subjek dakwah (individua dan masyarakat), dan c) kandungan dakwah.
Selamat membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu.