Dasar-Dasar Islam Dalam Hidup Berbangsa-Bangsa dan Berpuak-Puak | Wasat No. 41 / Oktober 2021

wasat

41-2

Dasar-Dasar Islam Dalam Hidup Berbangsa-Bangsa dan Berpuak-Puak

01 October 2021 12:01 am // Written by Mohamad Hasbi Bin Hassan

Nama Islam bukanlah satu yang asing di dunia sekarang ini. Kemajuan internet hari ini membolehkan pelbagai maklumat mengenai Islam diperolehi.

Islam, salah satu agama utama di dunia kini, dianuti oleh 1.907 bilion manusia yang membentuk 24.9% peratus dari penduduk dunia sekarang ini. Ia merupakan agama yang kedua terbesar selepas agama Kristian.

Penganut agama Islam terdiri dari berbagai-bagai bangsa dan suku puak yang mengamalkan pelbagai  ragam adat dan budaya. Namun perbezaan-perbezaan tersebut bukanlah satu sebab untuk masing-masing bangsa dan suku puak memandang rendah terhadap bangsa dan puak yang lain. Sebaliknya Islam mengajar penganutnya agar saling kenal mengenali dengan harapan lahir perasaan saling sayang menyayangi, ibarat kata peribahasa, “Tidak kenal maka tidak cinta”.

Hal ini terkandung dalam firman Allah taala,

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

Dengan sepotong ayat tersebut, Islam mengajar umatnya dan manusia seluruhnya satu pelajaran yang sangat penting dalam kehidupan. Sebab itu ia bermula dengan seruan, “Wahai manusia…”.

 

Para ulama Islam menyatakan dengan seruan seumpama itu ajarannya tidak terbatas kepada penganut Islam sahaja bahkan untuk manusia sejagat. Melalui ayat tersebut Islam meletakkan tiga dasar universal bagi kehidupan sesama manusia.

Dasar pertama, ialah manusia akan sentiasa pelbagai dan rencam kerana ia diciptakan dengan terdiri dari lelaki dan perempuan yang kemudiannya berkembang biak hingga menjadi berbangsa-bangsa dan berpuak-puak. Keadaan ini pula memerlukan sesuatu agar manusia dapat hidup dengan baik, iaitu yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan. Islam meletakkan dasar kedua yang dapat membawa kebahagiaan.

Dasar kedua, yang berkait rapat dengan perasaan, iaitu perasaan kenal mengenali. Tanpa saling kenal mengenali manusia mudah berprasangka dan saling salah memahami bersebab dari perbezaan agama, bangsa, adat resam dan kebiasaan. Maka itu dasar kedua ini merupakan satu dasar yang sangat penting dalam mengurus kehidupan manusia yang berbeza agama, bangsa dan adat resam seperti di Singapura ini.

Dasar ketiga, yang lebih penting dan penyempurna dua dasar yang disebut di atas, iaitu takwa. Walaupun dasar ketiga ini sangat berkaitan dengan Islam, namun seorang Muslim pun mungkin sukar untuk memiliki dasar ketiga ini tapi ia bukan suatu yang mustahil atau tidak boleh dicapai kerana ia memerlukan latihan spiritual yang tinggi. Takwa adalah sifat yang hanya boleh dicapai oleh seseorang yang mempunyai keyakinan yang tinggi dengan Allah taala. Maka itu manusia yang hidup dengan dasar ini menjadi manusia yang paling mulia di sisi Allah taala. Kemuliaan seperti ini menjadikan seorang manusia itu sentiasa mendapat pertolongan dari Tuhan yang diyakini dalam apa jua masalah kehidupan yang dihadapi.

 

Hal Ini dinyatakan dalam banyak ayat-ayat Al-Quran yang antaranya adalah firman Allah taala;

”Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (Al-Talaq: 2-3)

“Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.” (Al-Talaq: 4)

Sesiapa yang benar-benar memahami dasar ketiga ini pasti merasakan keperluannya dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi dalam suasana hidup berbilang agama, bangsa dan adat resam yang berbagai-bagai dan berbeza.

Kepelbagaian sering menimbulkan masalah sejak dari dahulu hingga sekarang. Sebagai contoh peristiwa “holocaust” yang dilakukan oleh Adolf Hitler terhadap bangsa Yahudi di Jerman. Adolf Hitler menjadi salah seorang yang percaya dan yakin bahwa bangsa Jerman yang berasal dari ras Arya adalah kaum pilihan dan terunggul dari kalangan manusia. Selain itu, Hitler juga menaruh kebencian pada orang Yahudi sebagai musuh dan perosak kemurnian ras Arya. Untuk itu, pemusnahan bangsa Yahudi dilakukan oleh Nazi hingga mengorbankan jutaan orang Yahudi di Jerman dan di daerah-daerah yang dikuasai oleh Jerman. Bahkan ia juga dilakukan terhadap bangsa-bangsa lain termasuk bangsa Soviet, Poland dan beberapa lagi kumpulan yang lain.

 

Kesimpulan

Suasana seperti ini yang perlu dielakkan dalam kehidupan pelbagai kaum dan bangsa. Perasaan perkauman yang melampau sering menimbulkan masalah dan menjadi sebab pergeseran. Ibarat kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Kalau suami isteri boleh berbalah dan berselisih sedang mereka hanya berdua sahaja  betapa pula  kaum yang ramai. Maka itu dasar-dasar yang kukuh dan betul sangat diperlukan bagi mengatur kehidupan kaum yang pelbagai ragam.

 

Maka itu Islam meletakkan dasar-dasar tadi. Dasar pertama manusia pastinya akan berkembang dari lelaki dan perempuan. Ini adalah dasar alami dan semulajadi yang tidak boleh tidak, pasti akan berlaku. Dasar kedua manusia perlu hidup dengan saling kenal mengenali untuk saling sayang menyayangi, tolong menolong antara satu dengan yang lain. Ia merupakan dasar yang perlu diusahakan dengan sesungguh-sungguhnya oleh manusia melalui pendidikan dan mengamalkannya. Dasar ketiga, iaitu sifat takwa yang memberi manusia bantuan spiritual dalam mengatasi apa jua masalah yang dihadapi. Manusia yang bertakwa tidak akan melakukan sesuatu melainkan yang baik sebagaimana firman Allah taala dalam Al-Quran;

“Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh tuhan yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan” orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik.” (Al-Nahl: 30)

Maksud yang sama juga disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a.,

“Wahai manusia sesungguhnya tuhan kamu adalah satu. Tiada kelebihan bagi seorang Arab atas seorang yang bukan Arab dan tidak juga bagi seorang yang bukan Arab atas seorang Arab dan tidak juga bagi seorang yang berkulit merah atas seorang yang berkulit hitam dan tidak juga bagi seeorang yang berkulit hitam atas seorang yang berkulit merah melainkan dengan sifat takwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa”. (Riwayat Abu Nu’aim dan Al-Baihaqi).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles