Hari ini, Muslim disibukkan oleh isu pelampauan dalam bentuk pengganasan dan ideologi yang mendasarinya.
Ramai yang terlepas pandang satu lagi bentuk pelampauan yang menyelinap di dalam pemikiran Muslim di peringkat global dan turut memberi kesan kepada fahaman dan amalan nilai agama mereka.
Adalah penting untuk membincangkan kededua fenomena ini secara bersama kerana ia akan memberi gambaran yang holistik bagi mencari jalan menangani ideologi radikal pada zaman ini.
Dua trend pemikiran pelampauan yang sedang berkembang di kalangan Muslim ialah;
a) golongan zahiri (literalist) yang membawa interpretasi Islam secara literal dengan tujuan melakukan permurnian terhadap kefahaman dan amalan agama umat Islam kerana dipesong oleh fahaman-fahaman moden yang menyesatkan. Golongan ini memahami sumber-sumber utama Islam seperti Al-Quran and Al-Sunnah secara zahir tanpa melihat kepada konteks kegunaan sumber-sumber tersebut. Mereka juga mengenepikan sejarah keilmuwan Islam dan para cendikiawannya. Mereka ini boleh dipanggil sebagai golongan zahiri puritan (puritanical literalist). Bagi golongan ini, seseorang itu hanya perlu merujuk terus kepada Al-Quran and Al-Sunnah tanpa perlu melihat kepada pembahasan-pembahasan ilimiah yang sedia ada untuk memahami nas-nas agama. Dengan pendekatan sebegini, golongan ini telah menolak kekayaan warisan keilmuwan Islam yang telah dibina lebih seribu tahun yang lalu.
b) golongan liberal modenis (liberal modernist) yang menyeru kepada reformasi dalam fahaman dan amalan Islam sesuai dengan fahaman liberalisme moden tapi menyamarkannya di sebalik istilah-istilah Islam. Dengan menggunakan slogan progresif dan mengikut arus perkembangan sains dan teknologi, golongan ini sebenarnya telah menyerahkan fahaman keagamaan dan kerohanian Islam kepada sekularisme.
Zahiri puritan dan liberal modernis
Secara umum, kededua golongan ini telah mendapat sokongan dari masyarakat awam hingga golongan cendikiawan dan pemimpin-pemimpin politik. Siapakah mereka ini? Contohnya, golongan zahiri puritan adalah kumpulan yang terlibat di dalam pengganasan seperti IS dan Al-Qaeda. Manakala liberal modenis pula berpandangan bahawa kemodenan adalah elemen yang integral di dalam pandangan alam (worldview) dan pengamalan Islam mereka. Golongan ini menggunakan prinsip-prinsip dalam pemikiral liberal dalam membuat tafsiran Islam and pengamalan Islam.
Kumpulan zahiri puritan mendapat perhatian para intelektual dan ahli politik disebabkan kesan negatifnya yang sangat ketara seperti keganasan yang mengakibatkan kematian dan kerosakkan harta-benda awam. Namun pada hakikatnya, pemikiran pelampauan dari golongan liberal modenis juga membawa kehancuran kepada nilai-nilai agama dan kerohanian masyarakat Islam. Cuma manifestasinya tidak dalam bentuk yang ganas dan maka kesan negatifnya tidak begitu ketara ancamannya.
Kejahilan dan kesombongan asas ideologi pelampauan
Soalan yang perlu ditanya pada saat ini ialah, apakah faktor yang membawa kepada bertambahnya bilangan orang-orang Islam yang mengikuti dan menyokong kededua ideologi ini?
Jika dianalisa corak pemikiran dan ideologi-ideologi yang wujud di dalam sejarah Islam dari zaman awal Islam hingga kurun ke sembilan belas, jawapan bagi soalan di atas ini boleh dirumuskan dengan kejahilan yang disertakan dengan kesombongan.
Kejahilan ini timbul dari sikap tidak peduli terhadap kekayaan tradisi keilmuwan Islam yang berkembang sepanjang sejarah tamadun Islam menerusi pembelajaran dan pengajaran dari para ulama dan cendikiawan Islam yang tulen.
Kejahilan ini merebak ekoran desakan untuk mencari huraian segera terhadap pelbagai isu baru dan asing yang melanda umat Islam di era moden.
Natijahnya, mereka tidak mampu menggunakan kekayaan yang sedia ada di dalam tradisi keilmuwan dan kerohanian Islam bagi menyelesaikan masalah-masalah semasa yang dihadapi oleh masyarakat Islam dan manusia umumnya.
Keengganan mereka untuk mengakui kejahilan ini dapat dikesan dari sikap mereka yang bersifat ego sentrik, baik dari kalangan aktivis, pemimpin dan juga ahli politik yang mengembangkan ideologi-ideologi tersebut. Kejahilan ini merangkumi semua aspek ilmu Islam dan semakin berleluasa.
Beberapa contoh manifestasi pelampauan
Dari sudut fiqh, golongan zahiri puritan sebagai contoh, menghalalkan pengeboman diri-sendiri (suicide bombing) dan mereka membenarkan pembakaran orang-orang bukan Islam dan orang-orang Islam yang telah murtad. Mereka sering menggunakan pandangan fiqh klasik yang hanya mewakili kelompok minoriti. Manakala, golongan liberal modenis pula melaungkan gagasan untuk menghapuskan hukum fiqh dengan dakwaan mereka bahawa hukum yang ada sekarang sudah tidak relevan sebab ia diasaskan di masa yang sangat berbeza dengan masa sekarang.
Satu lagi contoh, golongan zahiri puritan menafikan hak-hak wanita yang telah ditetapkan dari awal permulaan Islam. Manakala, golongan liberal modenis pula menolak hadis-hadis sahih dan sunnah Rasulullah dengan alasan bahawa Nabi Muhammad adalah seorang lelaki yang menggubal undang-undang hanya dari sudut perspektif lelaki. Oleh itu, interpretasi dan undang-undang Islam tidak sesuai dan secocok dengan perkembangan masyarakat masa kini.
Di dalam ilmu tafsir pula, golongan zahiri puritan menafsirkan kalimat jihad sebagai qital (peperangan). Mereka mengecilkan skop jihad hanya kepada jihad ketenteraan. Golongan liberal modenis pula mengambil jalan yang menyenangkan hati orang-orang Barat dengan mengatakan bahawa jihad di dalam Islam hanyalah berbentuk kerohanian tanpa ada jihad ketenteraan. Golongan ini mengenepikan kesemua perkembangan dan wacana ilmiah mengenai jihad yang termaktub sepanjang sejarah tamadun Islam.
Kejahilan yang ditunjukkan oleh “cendikiawan” kedua-dua golongan ini dalam memberikan penjelasan mengenai isu jihad mencerminkan ketandusan hubungan mereka dengan pemikiran-pemikiran yang ada di dalam tradisi ilmuwan Islam.
Dua muka dari siling yang sama
Kefahaman kededua ideologi ini seolah-oleh bersifat saling bertentangan kerana golongan zahiri puritan menunjukkan sikap yang keras terhadap kemodenan kerana tidak memahami asas-asas kemodenan dan condong pula pada tafsiran Islam yang sempit. Ini boleh dan telah pun melahirkan pengikut-pengikut yang mempunyai pemahaman Islam yang sangat tegar dan membahayakan. Golongan liberal modenis pula cuba menyesuaikan kemodenan dan ketamadunan Barat di dalam ajaran Islam dan cuba memaparkan diri mereka sebagai golongan yang berfikiran terbuka dan progresif.
Hakikatnya, kededua golongan ini berada dalam rumpun yang sama, iaitu rumpun yang menolak dan merosakkan khazanah tradisi keilmuwan Islam. Mereka mengenepikan tradisi keilmuwan Islam yang mengandungi pembahasan-pembahasan yang rumit. Mereka sebenarnya bersatu di dalam meminggirkan tradisi keilmuwan Islam, walau pun mereka berfungsi sebagai tindak balas yang bertentangan dengan pemikiran sekular moden.
Mereka juga bersatu dalam usaha menafsir semula Al-Quran dan hadis-hadis Nabi tanpa memberi perhatian kepada kehidupan dan kegiatan masyarakat Islam masa lalu dalam semua bidang kehidupan dan pemikiran. Masyarakat Islam pada masa lalu dan tradisi keilmuwannya sebenarnya merupakan ulasan sejarah dan kesinambungan di dalam penafsiran Al-Quran dan Al-Sunnah.
Dalam usaha menyebarkan fahaman Islam yang benar hari ini, keperluan untuk menafikan pengaruh kededua golongan ini sama penting.
Pertama, ini akan memastikan Islam sebagaimana yang difahami dan di arus utama umatnya adalah Islam yang berprinsip atas nilai-nilai kecemerlangan, kesederhanaan, keseimbangan dan keadilan.
Kedua, suara Islam yang bersatu dan jelas diperlukan untuk mengurangkan sokongan yang diperolehi oleh golongan zahiri puritan yang ketat dan liberal modenis yang mencuaikan.
Kecuaian dalam melaksanakan usaha kembar ini dalam ukuran yang sama pasti akan membawa kesan negatif, bukan hanya untuk masyarakat Islam tetapi untuk kemanusiaan secara keseluruhan.
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.