Fikih Nasihat Yang Saksama dan Wasatiy | Wasat No. 43 / Mac 2022

wasat

43-1

Fikih Nasihat Yang Saksama dan Wasatiy

01 March 2022 12:01 am // Written by Mustazah Bin Bahari

Islam sebagai agama yang sentiasa menggalakkan sikap wasatiy dalam apa jua jurusan hidup telah menyediakan banyak ruang untuk manusia mendapatkan kebaikan. Dalam usaha memastikan manusia terpandu ke jalan kehidupan yang cemerlang, terdapat banyak wadah yang boleh diguna dan diamalkan. Antara wadah yang dapat memberi manusia semangat untuk terus melakukan yang terbaik dalam kehidupannya adalah menerusi nasihat sesama mereka.

Pengertian nasihat

Menurut bahasa, nasihat adalah membersihkan atau memperhalusi. Asal kata dari nasaha membawa erti menyucikan, membersihkan dan memperbaiki sesuatu perbuatan. Misalnya, jika seorang tukang jahit telah melakukan nasihat pada tugasnya, ia bermaksud dia telah melakukan kerja yang teliti dan kemas sehingga nampak sempurna hasil kerja jahitannya. Jika dikaitkan dengan amal ibadah, nasihat bermaksud mengikhlaskan amalan dari segala perkara yang boleh merosakkannya.[i]

Segi istilah pula, Imam Al-Khattabi menjelaskan bahawa nasihat adalah satu kalimat yang disampaikan kepada seseorang untuk tujuan yang baik.[ii]

Namun terdapat juga nasihat yang disampaikan bagi tujuan kebatilan dan kesesatan. Hal ini disebutkan di dalam Al-Quran mengenai kisah Iblis yang menghasut Adam dan Hawa untuk memakan buah dari pohon yang terlarang, “Dan dia (iblis) bersumpah dengan keduanya (dengan berkata), “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” (Al-A`raf, 21)

Iblis dengan tujuan menipu mendakwa pandangannya adalah satu nasihat.

 Hukum memberi nasihat

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum memberi nasihat. Sebahagian mereka seperti Imam Ibn Hazm berpendapat bahawa memberi nasihat hukumnya wajib. Ada juga yang berpendapat ia sekadar fardu kifayah seperti pendapat Imam Ibn Battal.

Pandangan lain pula ialah hukumnya dilihat dari sudut keperluannya. Jika ia menjadi tanggungjawab utama bagi seseorang untuk menyampaikan nasihat, seperti ibu bapa kepada anak-anak, guru kepada anak murid, ia menjadi wajib ke atas mereka melakukannya. Namun, jika ia sekadar untuk menambah baik keadaan yang sedia ada seperti memberi nasihat supaya memperbanyakkan doa dan sedekah kepada masyarakat secara amnya, ia adalah sunat dan digalakkan. 

Syarat dan rukun nasihat

Menurut para ulama, rukun nasihat ada tiga; 1) Orang yang menasihati, 2) Orang yang dinasihati dan 3) Bahan nasihat yang disampaikan.

Secara logiknya, ia jelas kerana tidak mungkin seorang yang menasihati tetapi tidak tahu atau tidak didapati siapa yang ditujukan nasihat itu. Begitu juga perlu kepada bahan nasihat untuk disampaikan kepada orang yang dinasihati. Juga, tidak boleh seseorang memberi nasihat atau teguran tanpa mengetahui tahu apa yang ingin disampaikan.

Manakala syarat nasihat pula adalah diberikan kepada orang yang berakal dan sesuai untuk menerima nasihat tersebut. Ia juga perlu disesuaikan dengan tahap usia dan kedudukan seseorang. Nasihat untuk orang dewasa tidak sama untuk kanak-kanak atau golongan muda. Begitu juga nasihat untuk pemimpin dan golongan ilmuan tidak sama dengan nasihat untuk orang awam.

Kedudukan nasihat dalam Islam

Jika dirujuk kepada Al-Quran dan hadis Nabi s.a.w, terdapat beberapa contoh yang memberi pelajaran tentang nasihat. Misalnya nasihat Nabi Nuh, Nabi Hud dan Nabi Syu’aib a.s. kepada kaum masing-masing.

Secara amnya, nasihat termasuk di dalam firman Allah taala mengenai tugas menyampaikan yang makruf dan mencegah yang mungkar seperti di dalam ayat 110 dari surah Ali Imran dan ayat 71 dari surah Al-Taubah.

Di dalam hadis pula terdapat beberapa nas yang merujuk kepada kepentingan memberi nasihat. Misalnya, hadis-hadis berikut:

“Agama itu nasihat.” Kami (para sahabat) bertanya, untuk siapa?” Nabi s.a.w menjawab, “Untuk Allah, untuk KitabNya, untuk RasulNya, untuk para pemimpin kaum muslimin dan orang awam umumnya.” (Riwayat Muslim)

“Hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain ada enam; Jika kamu bertemu dengannya hendaklah kamu memberi salam kepadanya, jika dia mengundang kamu hendaklah kamu menyahutnya, jika dia meminta kamu nasihat, maka nasihatilah dia, jika dia bersin doakanlah dia, jika dia sakit jenguklah dia dan jika dia mati usunglah dia (ke perkuburannya).” (Riwayat Muslim)

“Sesungguhnya Allah reda bagi kamu tiga perkara; Dia reda untuk kamu mengabdikan diri kepadaNya dan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun, dan reda agar kamu semua berpegang kepada taliNya dan jangan berpecah belah, dan reda agar kamu saling nasihat menasihati kepada sesiapa yang Dia wakilkan untuk menjaga urusan kamu.” (Riwayat Muslim)

Adab-adab memberi dan menerima nasihat

Memandangkan nasihat bersifat makruf, aturcara penyampaiannya juga perlu menurut sifat-sifat yang makruf dan baik. Ia perlu dilakukan bagi tujuan dan matlamat yang baik.

Dalam menjelaskan kepentingan memberi nasihat, para ulama dan pendakwah berkongsi beberapa adab dan petua untuk memastikan keberkesanan nasihat yang disampaikan.

Pertama, nasihat yang diberi bertujuan untuk mendapat kebaikan dan rahmat dari Allah taala, bukan bertujuan untuk melahirkan rasa marah atau benci kepada orang yang dinasihati atau bertujuan untuk menunjukkan kepada khalayak ramai akan kehebatannya dan ketinggian ilmu serta kedudukannya sehingga orang ramai memujinya dan memberi sanjungan yang tinggi kepadanya.

Imam Ibn Hibban Al-Busti pernah berkata, “Kebanyakan orang yang tidak menerima kata nasihat disebabkan sifat angkuh orang yang menyampaikan nasihat.”[iii]

Walaupun nasihat kerana Allah taala bagi tujuan mendapat rahmatNya, ia juga perlu dilihat dari sudut kesesuaian orang yang menerima nasihat tersebut. Tidak cukup hanya dengan niat yang murni tetapi caranya tidak menepati kebenaran dan kebaikan. Misalnya orang yang ingin mengajak temannya yang sekian lama tidak beramal, untuk kembali ke pangkal jalan dengan ajakan melibatkan diri dengan perjuangan jihad. Sedangkan yang patut diutamakan adalah memahami dan melaksanakan rukun Islam seperti solat, puasa, dan sebagainya dahulu.

Begitu juga, terdapat penasihat agama yang mengajak kepada semangat perjuangan kumpulannya sambil menafikan kebenaran yang ada pada kumpulan muslimin yang lain. Itu semua adalah contoh nasihat yang tidak membawa kebaikan walaupun pada asalnya ia berniat untuk mendapat rahmat Allah taala seperti yang disebutkan oleh Ibn Mas’ud r.a, “Berapa ramai orang yang inginkan kebaikan tetapi mereka tidak mendapatkannya.” (Riwayat Al-Darimi)

Kedua, mulakan dengan nasihat secara peribadi atau di sebalik tabir. Pendekatan ini penting kerana ia menunjukkan tanda hormat kepada penerima nasihat sebagai seorang manusia yang ada maruah diri. Ia juga dapat memberi ruang kepada pemberi nasihat dan penerima nasihat untuk saling memberi pandangan dan teguran yang sesuai.

Elok juga lakukan sedikit kajian untuk mengetahui latarbelakang sesuatu perkara itu berlaku kerana mungkin si pemberi nasihat tidak mengetahui secara lanjut kedudukan atau sebab-sebab penerima nasihat bertindak melakukan sesuatu sehingga perlu dinasihati. Hal ini kerana telah banyak kali berlaku penyebaran berita palsu atau desas desus yang belum jelas duduk perkara yang sebenarnya. Juga kerana keadaan dunia dewasa ini yang terlalu banyak menyebut dan mengaitkan individu tertentu dengan tohmahan yang tidak berasas menerusi media sosial. Apabila berhadapan sendiri dengan orangnya, banyak maklumat yang tidak jelas dapat dihuraikan dengan baik dan sangkaan yang tersilap dapat diperbetulkan.

Imam Ibn Rajab berkata, “Para salaf dahulu apabila mereka ingin memberi nasihat kepada seseorang, mereka akan menyampaikannya secara rahsia. Sehingga ada di antara mereka mengatakan bahawa sesiapa yang memberi nasihat antara dia dan temannya itu secara peribadi, itulah nasihat yang sebenar. Barangsiapa yang menasihatinya di khalayak ramai, itu adalah mengeji dan mencela.”[iv]

Al-Fudhail bin ‘Iyadh pula berkata, “Seorang mukmin apabila menasihati, dia lakukan secara senyap, manakala orang yang jahat pula akan menjatuhkan maruah dan mengaibkan orang lain.”[v]

Ketiga, berbicara dengan lemah lembut dan berhikmah. Tiada sesiapa yang suka menerima teguran atau nasihat secara keras.

Hal ini jelas ditunjukkan di dalam Al-Quran sebagai panduan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun apabila menyampaikan nasihat kepada Firaun, “Katakanlah (Wahai! Musa dan harun) kepadanya (Firaun) dengan kata yang lembut.” (Taha, 44).

Di dalam ayat lain, Allah berfirman kepada Nabi s.a.w, “Dengan sebab rahmat dari Allah kamu berlemah lembut terhadap mereka. Jika kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentu mereka akan menjauhi darimu.” (Ali Imran, 159)

Nabi s.a.w juga pernah mengingatkan para sahabatnya agar sentiasa memberi kegembiraan dan jangan membuat orang lari dari kebaikan dengan sabdanya yang bermaksud, “Mudahkan dan jangan menyukarkan, berilah khabar gembira dan janganlah buat orang lari (dari kebaikan).” (Riwayat Al-Bukhari)

Keempat, tidak memaksa orang yang dinasihati untuk menerima nasihat yang diberi kerana para penasihat dianggap sebagai pendakwah, bukan sebagai seorang hakim atau penguasa yang berhak untuk ‘memaksa’ orang untuk melakukan sesuatu yang bersifat maslahat umum atau darurat.

Tiada sesiapa berhak memaksa orang lain untuk menurutinya dalam urusan agama dan ibadah, apatah lagi memberi ancaman kebinasaan kepada mereka yang tidak mahu ikut serta seperti yang banyak berlaku di dalam masyarakat Islam hari ini yang memaksa orang lain menerima cara amalannya atau mazhabnya. Orang lain tidak menerima nasihat dan caranya, terus diberi ancaman sesat, terkeluar dari agama, masuk neraka , pengikut Dajjal dan sebagainya. Sedangkan nasihat hanyalah memberi pandangan yang sesuai untuk dipertimbangkan, bukan wajib untuk diikuti dan dilaksanakan. Tanggungjawab pemberi nasihat hanyalah menyampaikan, manakala tanggungjawab penerima nasihat adalah untuk membuat pertimbangan atas dasar kemampuan diri dan takwa kepada Allah.

Kelima, pilih masa yang sesuai untuk menyampaikan nasihat.

Secara lumrah, manusia lebih mudah mendengar nasihat apabila berada di dalam keadaan yang selesa dan tenang. Oleh itu, pendakwah atau penasihat hendaklah bijak di dalam memilih masa yang sesuai seperti bukan di waktu sibuk, kecemasan, bingung dan sebagainya. Elakkan juga dari memberi nasihat yang tidak membantu, malah sia-sia seperti memberi nasihat tentang kematian dan alam Akhirat di dalam majlis walimatul urus.

Keenam, berbicara menurut kedudukan orang yang dinasihati.

Kandungan nasihat perlu disesuaikan menurut kedudukan orang yang ingin dinasihati. Jika menasihati kanak-kanak, bicaralah menurut tahap usia dan kefahaman mereka. Apabila menasihati orang dewasa atau yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan dihormati seperti ibu dan ayah atau pemimpin masyakarat, hendaklah disesuaikan bahasa dan gaya bicaranya.

Tidak ada satu kaedah khusus yang tetap dalam menyampaikan pesan dan nasihat. Ia berbalik kepada hikmah kebijaksanaan pemberi nasihat itu.

Bagi mereka yang tidak berkeyakinan atau keberanian untuk terus memberi nasihat, elok bertanya kepada ahli-ahlinya yang berpengalaman. Minta nasihat dari guru-guru yang berpengalaman dan buat persiapan yang rapi sebelum memberi nasihat.

Perkara ini penting kerana ia memberi cerminan kepada pemberi nasihat itu sendiri akan sikapnya. Tidak gopoh di dalam menegur atau memberi nasihat merupakan sifat yang terpuji juga, berpandukan hadis Nabi s.a.w mengenai Ashaj bin Al-Qays, “Sesungguhnya dalam diri kamu ada dua ciri yang dicintai Allah, iaitu kelembutan hati dan tenang (tidak terburu-buru).” (Riwayat Muslim)

Kesimpulan

Nasihat banyak memberi manfaat kepada manusia sekiranya ia dilakukan dengan cara yang betul. Walaupun terdapat semangat yang tinggi untuk menasihati orang lain tentang agama dan kebaikan, seorang pemberi nasihat perlu mempersiapkan diri dengan ilmu yang betul dalam memberi nasihat, tidak cukup sekadar dengan semangat ingin perbetulkan keadaan, atau perasaan takut diazab jika tidak menyampaikan nasihat sehingga bersegera memberi nasihat tanpa ilmu dan hikmah.

Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila nasihat yang bertujuan untuk mencapai kebaikan, namun sebaliknya menatijahkan lebih banyak keburukan dan kerosakan. Oleh itu, para penasihat perlu sertakan niat yang baik dengan cara betul ketika menyampaikan nasihatnya.

Bagi pihak yang dinasihati pula, perlu untuk menilai apa yang telah disampaikan kepadanya. Jika sesuai untuk dia melakukan tindakan susulan menurut kemampuan dirinya, lakukanlah apa yang perlu. Jika sebaliknya pula, iaitu nasihat itu berunsur maksiat, mungkar atau batil, hendaklah dia hindari dan abaikan walaupun yang memberi nasihat itu merupakan seorang terkenal atau berpengaruh kerana kebenaran tidak berpandukan kemasyhuran individu atau kumpulan tertentu.

 


Rujukan

[i] Al-Jurjani (2011), Mu’jam Al-Ta`rifat, Cairo: Dar Al-Fadilah, ms. 203.

[ii] Al-Khattabi (1934), Ma`alim Al-Sunan, Halab: Al-Matba`ah Al-`Ilmiyah, jld. 4, ms. 125.

[iii] Ibn Hibban Al-Busti (t.t.), Raudat Al-`Uqala Wa Nuzhat Al-Fudala’, T. Tpt: Maktabah Al-Sunnah Al-Muhammadiyah, ms. 196.

[iv] Ibn Rajab (2015), Jami` Ulum Wa Al-Hikam, Beirut: Dar Al-Basya’ir, jld. 1, ms. 257.

[v] Ibid., ms. 258.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles