Hukum Bukan Muslim Memasuki Tanah Haram | Wasat No. 32 / April 2020

wasat

32-2-header

Hukum Bukan Muslim Memasuki Tanah Haram

01 April 2020 12:02 am // Written by Mustazah Bin Bahari

Artikel ini akan membahas tentang hukum memasuki Tanah Haram Mekah dan Madinah bagi orang bukan Muslim.

Isu ini timbul apabila kerajaan Arab Saudi mengeluarkan visa pelancong kepada negara-negara yang terpilih,[1] ramai orang termasuk yang bukan Muslim, mengambil kesempatan untuk melawat dan meninjau keunikan negara di bawah pemerintahan keluarga Al-Saud itu.

Visa tersebut bersifat izin bagi lawatan berganda (multiple entry) dan sah digunakan selama setahun. Pemegang visa dibenarkan untuk menetap selama sembilan puluh hari pada setiap kemasukan. Mereka juga dibenarkan untuk pergi ke mana sahaja dalam negara tersebut. Hal yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara Arab Saudi. Apatah lagi untuk membayangkan kemasukan orang bukan Muslim ke kawasan Tanah Haram seperti Madinah dan Mekah. Jika dahulu sesiapa yang bukan Muslim dilarang sama sekali untuk memasuki Tanah Haram, tiada sekatan yang dilakukan dengan visa pelancong yang dikeluarkan pada hari ini. Mereka bebas berwisata di kawasan Tanah Haram Madinah.[2] Namun mereka dilarang masuk ke dalam masjid.[3] Hal ini telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan umat Islam dan mengundang kritikan terhadap polisi terbaru kerajaan Arab Saudi.[4]

 

Hukum bukan Muslim masuk Tanah Haram Mekah

Para ulama bersepakat bahawa bukan Muslim tidak dibenarkan bermukim secara tetap di Tanah Haram Mekah dan Madinah.

Mereka berhujah dengan dalil dari Al-Quran, “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini..” (Al-Taubah: 28)

Terdapat juga hadis-hadis yang menggambarkan larangan itu, seperti sabda Nabi s.a.w;

“Keluarkan orang musyrikin dari Jazirah Arab.”[5]

“Pasti aku akan mengeluarkan golongan Yahudi dan Nasrani dari Jazirah Arab sehingga tiada seorang pun tinggal melainkan Muslim sahaja.”[6]

Namun, para ulama berselisih pendapat mengenai hukum bukan Muslim memasuki Tanah Haram sebagai pelawat, tetamu dan pekerja, bukan sebagai penduduk tetap.

Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Al-Syafi`ii[7] dan Hanbali[8] melarang bukan Muslim masuk ke dalam kawasan Tanah Haram Mekah.  Mazhab Maliki membenarkan mereka masuk di kawasan Tanah Haram dengan izin penguasa atau masuk secara aman, tapi mengharamkan masuk ke Masjid Al-Haram.[9] Dalil mereka sama, iaitu ayat yang disebutkan di atas.

Imam Ibn Qudamah berkata, “Adapun Al-Haram, mereka (bukan Muslim) tidak dibenarkan masuk sama sekali. Ia juga pendapat Al-Syafi`ii. Jika ada bukan Muslim yang ingin memasukinya, dia perlu dihalang. Jika dia membawa barang dagang untuk berniaga, orang yang ingin membeli perlu keluar dari Tanah Haram dan jangan biarkan dia masuk ke dalamnya. Jika dia seorang utusan yang dihantar untuk menyampaikan perutusan kepada imam Al-Haram, imam tersebut hendaklah keluar dari Tanah Haram untuk bertemu dengannya. Jika dia memasuki Tanah Haram dengan sengaja walaupun tahu akan hukumnya, dia perlu dita`zir. Jika dia masuk tanpa sengaja dan tidak mengetahui hukumnya, dia diberi peringatan yang keras dan dihalang terus. Jika dia sakit atau mati di dalam kawasan Tanah Haram, dia mesti dikeluarkan dan tidak boleh dikebumikan di sana kerana Tanah Haram lebih mulia (dari manusia). Jika dia telah dikebumikan hendaklah kuburnya digali dan dikeluarkan mayatnya melainkan jika mayatnya sudah reput dan terputus. Jika imam Al-Haram membuat perjanjian damai untuk membenarkan mereka memasuki Tanah Haram, perjanjian itu terbatal.”[10]

Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa hanya bukan Muslim dari kalangan ahli zimmah sahaja dibenarkan memasuki Tanah Haram Mekah.[11] Sebahagian dari pengikut mazhab Hanafi pula mengatakan semua bukan Muslim dibenarkan masuk jika ada perjanjian damai.[12]

Mazhab Hanafi menyandarkan pendapat mereka kepada sebuah hadis yang bermaksud, “Orang-orang musyrik dilarang mendekati Masjid Al-Haram setelah tahun ini melainkan dia seorang hamba lelaki atau perempuan yang mempunyai keperluan untuk memasukinya.”[13]

Mereka juga berpendapat bahawa larangan yang disebutkan di dalam ayat itu adalah larangan untuk melakukan haji atau orang-orang musyrik yang tertentu sahaja.[14]

Imam Ibn Al-Qayyim di dalam kitabnya Ahkam Ahl Al-Zimmah memberi ulasan berikut,

“Adapun menurut Abu Hanifah r.h, mereka (bukan Muslim) boleh memasuki seluruh kawasan Haram. Bahkan, mereka boleh juga memasuki ke dalam Kaabah, tetapi mereka tidak boleh menetap terus di sana. Namun, mereka boleh memasuki Hijaz dan menetap di sana menurut kadar keperluan mereka sahaja. Abu Hanifah r.h seakan melakukan qiyas bagi hukum memasuki Mekah sama seperti hukum memasuki kota Madinah. Qiyas seperti itu tidak betul kerana bagi Tanah Haram Mekah ada hukum hakamnya yang tersendiri, berbeza dengan hukum di kota Madinah.”[15]

 

Hukum bukan Muslim masuk Tanah Haram Madinah

Hukum memasuki Tanah Haram Madinah pula berlainan. Majoriti ulama mengharuskan bukan Muslim untuk memasukinya atas tujuan ziarah atau penetapan sementara sahaja. Mereka yang membawa barang dagangan untuk dijual juga dibenarkan masuk.

Di antara dalil yang jelas adalah peristiwa di zaman Nabi s.a.w ketika Baginda hidup bersama-sama golongan Yahudi di Madinah dan ramai di kalangan orang Arab Badwi yang belum memeluk Islam masuk ke kota Madinah untuk bertemu dengan Nabi s.a.w dan mereka menetap beberapa hari di sana. Tiada dalil yang menunjukkan Nabi s.a.w melarang atau menghalau mereka keluar dari kota Madinah.

Ibn Qudamah berkata, “Dan harus bagi mereka memasuki Hijaz bagi tujuan berniaga kerana golongan Nasrani dahulu pernah melakukan urusan perniagaan hingga memasuki kota Madinah di zaman Umar r.a…”[16] 

Para ulama kontemporari secara majoriti juga bersetuju dengan hukum memberi izin orang bukan Muslim untuk memasuki Tanah Haram Madinah.[17]

Ramai ulama Saudi juga mengharuskan orang bukan Muslim untuk memasuki Tanah Haram Madinah. Mereka adalah Syeikh Salih Al-Maghamisi,[18] Syeikh Uthman Al-Khamis,[19] Syeikh Abdullah Al-Mutlaq[20] dan lain-lain lagi.

Hanya yang menjadi keperihatinan yang mendalam bagi para ulama adalah urusan memberi izin mereka memasuki Masjid Nabawi. Isu ini terkait dengan hukum memberi izin kepada orang bukan Muslim untuk memasuki masjid-masjid di serata dunia.  Ada pendapat yang melarang sama sekali orang bukan Muslim untuk memasuki masjid, sementara pendapat yang lain pula mengharuskannya dengan tujuan dakwah kepada Islam.

 

Rumusan

Terdapat perbezaan hukum larangan ke atas bukan Muslim untuk memasuki Tanah Haram Mekah dan Madinah. Begitu juga hukum memasuki Masjid Nabawi dan Masjid Al-Haram. Dalam menghuraikan masalah untuk mendapatkan hukum yang tepat, perlulah dilihat isunya yang khusus. 

Walaupun dari segi hukum tidak melarang bukan Muslim memasuki kawasan Tanah Haram Madinah, pihak penguasa perlu menetapkan batasan-batasan yang sesuai bagi mereka agar kesucian kawasan haram terjaga dengan baik. Mungkin boleh difikirkan cara mengenali mereka sebagai bukan Muslim dengan meletakkan tanda pengenalan pada pas pelawat, atau apa sahaja cara yang dirasa sesuai oleh pihak penguasa.

Pendekatan ini penting bagi menjaga perasaan umat Islam yang masih tidak selesa dengan kehadiran bukan Muslim ketika berada di kawasan Haram atau masjid. Misalnya soal menutup aurat dan adab-adab yang asasi ketika berada di dalam tempat suci.

Walaupun ada ruang ‘dakwah’ bagi bukan Muslim mengenali Islam dengan cara membenarkan mereka masuk dan melihat sendiri secara langsung amalan serta ibadah yang dilakukan oleh umat Islam, ia tidak menafikan keperluan untuk mereka sedar akan kewajipan beradab di tempat suci umat Islam.

Tidak dinafikan banyak sudut perlu diperhatikan bagi mengurus fenomena baru ini. Namun, jika kita bersedia menerima ‘tetamu’ yang ramai, pastinya kita juga perlu buat persiapan yang besar dan rapi. Jika tidak mampu, lakukan sahaja cara yang sesuai menurut kemampuan sedia ada.

Setakat ini tidak diketahui ada bukan Muslim yang memasuki kawasan Tanah Haram Mekah. Apa yang dikongsi menerusi media sosial adalah kawasan Tanah Haram Madinah. Jika ditinjau dari sudut hukum fikih, kesucian Tanah Haram Mekah lebih ketat dipelihara berbanding Madinah. Dalam keadaan dunia hari ini yang menitik beratkan soal keselamatan, dan memberi penghormatan yang selayaknya kepada rumah peribadatan, diharapkan agar perundangan fikih dan sistem asal yang melarang bukan Muslim memasuki Tanah Haram Mekah dikekalkan.

Walaupun ramai di antara para ulama yang berpendapat tiada masalah bagi orang bukan Muslim memasuki Tanah Haram Madinah, ia bukan satu perkara yang diambil ringan dan mudah oleh mereka.

Mereka yang membenarkannya tetap meletakkan syarat-syarat tertentu seperti tidak dibenarkan menetap terus di sana dan perlu menjaga tata tertib lain yang asasi ketika berada di sana.

Umat Islam yang berada di dalam kawasan Tanah Haram juga perlu bertindak dengan cara yang baik jika mereka menghadapi sendiri pengalaman berhadapan dengan orang bukan Muslim di Tanah Haram khususnya di Madinah.

Jauhi sikap kasar dan tidak beradab dengan mereka atau memberi komen yang tidak wajar terhadap mereka dan pihak kerajaan.

Umat Islam umumnya perlu sedar bahawa isu ini telah dipertikaikan oleh para ulama Islam sejak dahulu lagi. Ia bukanlah satu hukum yang disepakati. Cara yang betul dalam menghadapi perkara ini ialah merujuk kepada pihak berkuasa Arab Saudi. Janganlah pula dicemuh dan dicela hukum atau pendekatan yang dilihat sesuai untuk dilaksanakan di sana mengikut keperluan dan kemaslahatan yang ada.

Dalam kepesatan teknologi media massa hari ini, tiada sebarang kesulitan bagi sesiapa sahaja untuk mengetahui secara terperinci mengenai amalan dan ibadat umat Islam di Tanah Haram dan Masjid Al-Haram. Tiada keperluan mendesak untuk bukan Muslim memasuki Tanah Haram bagi mengenali Islam lebih dekat. Mereka boleh memahami Islam dengan mempelajarinya dari sumber yang dipercayai dan jika ada keinginan melihat sendiri orang Islam bersolat, mereka boleh saksikannya di masjid-masjid serata dunia kerana hukum memasuki Tanah Haram lebih ketat berbanding hukum memasuki masjid biasa.   

Jka terdapat keperluan mendesak untuk bukan Muslim memasuki Tanah Haram dengan tujuan kerja atau tugas khas yang tidak boleh dilakukan oleh Muslim sendiri, ia tidak menjadi masalah jika ada kebenaran pihak penguasa dengan melihat kepada maslahatnya yang lebih besar berpandukan pendapat Imam Abu Hanifah.

Soalan yang sering ditanya kepada para ulama dan ahli fatwa Arab Saudi adalah hukum membawa pembantu rumah yang bukan Muslim memasuki Tanah Haram atas urusan pekerjaan semata-mata. Ada di antara ulama Arab Saudi membenarkannya atas dasar urusan pekerjaan dan bukan urusan lain.[21]

 


Rujukan:

[1] Lihat: https://visa.visitsaudi.com/

[2] Lihat: Medina as non-Muslim https://www.youtube.com/watch?v=9np1b4C3XnE

[3] Ibid.

[4] Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=eLQzW4-3CqA

[5] Sahih Al-Bukhari. Hadis no. 4431.

[6] Sahih Muslim. Hadis no. 1767.

[7] Al-Syarbini (2000), Mughni Al-Muhtaj, Beirut: Dar Kutub Al-Ilmiah jld. 6, ms. 66.

[8] Ibn Muflih (1998), Al-Mubdi’ Fi Syarh Al-Muqni`, Beirut: Dar Al-Kutub Al-Ilmiah, jld. 3, ms. 380.

[9] Muhammad Al-Khurasyi (1317H), Al-Khurasyi `Ala Mukhtasar Sidi Khalil, Cairo: Matba`ah Al-Kubra Al-Amiriyah, jld. 3, ms. 144.

[10] Ibn Qudamah (1997), Al-Mughni, Riyad: Dar `Alam Al-Kutub, jld. 13, ms. 245.

[11] Muhammad Amin bin Umar Abidin (2003), Rad Al-Muhtar `Ala Al-Dur Al-Mukhtar, Riyad: Dar `Alam Al-Kutub, jld. 6, ms. 336-7.

[12] Ali bin Zakaria Al-Manbaji (1994), Al-Lubab Fi Al-Jam` Baina Al-Sunnah Wa Al-Kitab. Pakistan: Al-Maktabah Al-Haqqaniah, jld. 2, ms. 778.

[13] Hadis Jabir bin Abdillah disertakan oleh Imam Al-Qurtubi ketika mentafsirkan Al-Taubah: 28. Lihat: https://quran.ksu.edu.sa/tafseer/qortobi/sura9-aya28.html 

[14] Al-Jassas (1992), Ahkam Al-Quran, Beirut: Dar Ihya’ Al-Turath Al-Arabi, jld. 4, ms. 279.

[15] Ibn Al-Qayyim (1997), Ahkam Ahl Al-Zimmah, Dammam: Ramadi Al-Nasyr, ms. 398.

[16] Ibn Qudamah (1997), jld. 13, ms. 286.

[17] Sa`ad Al-Din Al-Hilali (t.t), Hal Yajuz Li Ghair Al-Muslim Dukhul Makkah Wa Al-Madinah. Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=QFO2lodq7ow (28 Februari 2020)

[18] Al-Riyadh (2016), Al-Maghamizi Yujiz Dukhul Ghair Al-Muslimin Al-Madinah Al-Munawwarah. Lihat: http://www.alriyadh.com/1504134  (27 Februari 2020).

[19] Uthman Al-Khamis (t.t), Hal Yajuz Dukhul Al-Khadam Ghair Al-Muslimin Al-Madinah Al-Munawwarah. Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=TLL87YY9FII (28 Februari 2020).

[20] Abdullah Al-Mutlaq (t.t), Imra’ah Turid Al-Zihab Ila Al-Madinah Wa Ma`aha Khadimah Ghair Muslimah: Hal Tajuz An Tadkhul Al-Madinah. Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=e1aW5aZxwDo (28 Februari 2020).

[21] Sa`ah Fatwa (t.t.), Hukm Dukhul Ghair Al-Muslimin Makkah. Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=Dcaik3TZq7k  (2 Mac 2020).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles