Masjid merupakan sebuah institusi mulia di sisi masyarakat Islam. Statusnya sebagai “Rumah Allah” mendorong Muslim berlumba-lumba untuk membina atau menyumbang kepada pembinaannya. Nabi s.a.w juga menjadi pendorong dan penggalak utama dalam membina masjid apabila beliau membina masjid terlebih dahulu sebelum membina rumahnya ketika tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah.
Walau demikian umat Islam harus memerhatikan undang-undang setempat dalam pembinaan masjid kerana menselarikan hukum Islam dengan undang-undang setempat amat perlu demi menjaga maslahat kehidupan harmoni bagi semua. Sudah tentu keselarian yang hendak dicapai itu adalah pada pekara yang dapat diterima oleh syarak, bukan sesuatu yang terlarang secara qat`ii.
Hal ini dapat dilihat apabila para sahabat yang berhijrah ke Habsyah di bawah pimpinan Saidina Ja`far bin Abi Thalib tidak meminta Najasi menyediakan tanah bagi mereka mendirikan masjid, walaupun mereka menetap di sana pada tempoh yang lama, iaitu dari pertengahan zaman Mekah hingga akhir tahun ke tujuh hijrah.
Masjid yang pertama didirikan di benua Afrika hanya berdiri pada pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab ketika umat Islam menawan Mesir dan dikenali masjid itu dengan Jami` `Amr ibn Al-`As.
Atas dasar ini umat Islam di Singapura harus mengambil jalan tengah dalam menyikapiperundangan tanah yang ditetapkan oleh pemerintah Singapura atau SLA (Singapore Land Authority). Di antara perundangan tanah yang ditetapkan adalah setiap masjid yang baru dibina di bawah dana pembangunan masjid tertakluk pada had masa yang tertentu.
Perundangan ini menimbulkan percanggahan dengan pendirian umum para fuqaha’ bahawa masjid itu perlu berdiri di atas tanah wakaf dan sesuatu yang diwakafkan tidak boleh terhad dengan waktu. Bertolak dari percanggahan ini, artikel ini ditulis bagi menjelaskan pandangan para ulama terhadap masjid yang terhad dengan tempoh tertentu apakah sah dianggap sebagai sebuah masjid dan hukum yang sesuai yang perlu digunapakai dalam konteks Singapura.
Definisi masjid
Di sisi bahasa Arab, perkataan “masjid” berasal dari perkataan “sujud” iaitu meletakkan dahi seseorang di atas tanah. Perkataan ini digunakan bagi menunjukkan penghormatan seperti kisah sujud malaikat kepada nabi Adam a.s. dan keluarga nabi Yusuf a.s. kepada beliau. Ia juga digunakan juga dalam bentuk penyembahan dan peribadatan. “Masjid” juga membawa erti tempat sujud sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Zajjaj, “Setiap tempat yang digunakan untuk beribadat adalah masjid”. “Masjid” juga diertikan secara majaz (kiasan) bagi anggota-anggota sujud yang tujuh.
Dalam istilah syariah, “masjid” ialah tanah yang dikhususkan untuk sembahyang dan telah dikeluarkan dari hak milik pemilik tanah tersebut untuk dijadikannya bagi umat Islam secara umum. Dr. Ibrahim Salih pula mendefinisikan masjid sebagai bangunan yang dikhususkan untuk sembahyang lima waktu dan lainnya.
Dari kedua-dua definisi di atas dapat lihat bahawa kedua-duanya bersepakat bahawa masjid itu hendaklah dikhususkan untuk sembahyang dan ianya tidak menjadi milik sesiapa kerana telah diwakafkan. Adapun perselisihan antara keduanya pula adalah pada tempat yang boleh dianggap sebagai masjid. Dr. Salih menegaskan tempat yang boleh dianggap sebagai masjid hanyalah apabila ia dapat melindungi para jemaah dari hujan dan panas iaitu dengan dibinanya bangunan. Manakala bagi Imam Al-Qurtubi lapangan tanah itu sudah cukup untuk dijadikan masjid walau tanpa ada binaan asalkan ia dibatasi.
Bagi menghimpunkan kedua definasi ini, penulis mengertikan masjid adalah sebuah ruangan yang disiapkan secara rasmi sebagai dewan sembahyang mengikut adat setempat.
Syarat pembinaan masjid
Daripada definisi masjid yang disebutkan di atas, para ulama bersetuju bahawa masjid itu hendaklah sebuah bangunan yang dikhususkan untuk mendirikan sembahyang dan ia telah dikeluarkan dari pemilikan seseorang dengan menjadikannya milik mutlak Allah taala. Dalam kata lain, ia hendaklah diwakafkan. Mereka berpegang dengan firman Allah taala, “Dan Sesungguhnya masjid itu hanyalah untuk Allah.” (Al-Jin: 18)
Jenis-jenis rumah ibadat kaum Muslimin
Para ulama telah membahagikan rumah ibadat kaum muslimin kepada dua jenis; a) masjid, dan b) musolla, atau dikenali juga dengan surau adalah rumah yang dijadikan tempat untuk sembahyang lima waktu tetapi tidak diwakafkan sebagai masjid. Dalam kata lain pemilik tanah atau bangunan masih mengekalkan hak miliknya di atas pekara tersebut. Kedua-dua lafaz ini ada digunakan Allah taala di dalam Al-Quran.
Masjid dikategorikan kepada 4 jenis:
1. Masjid Jami`, masjid di mana sembahyang Jumaat, hari raya dan terdapat jemaah lima waktu didirikan di dalamnya.
2. Masjid Jamaah, masjid yang mempunyai imam dan muazzin yang dilantik secara rasmi oleh penguasa Islam di sesebuah daerah atau negeri dalam konteks Singapura ialah MUIS.
3. Masjid Mahmul (yang dibawa), masjid mudah alih kerana ia boleh dialihkan. Caranya ialah dengan memasang pasak pada sejadah atau tikar ke bumi dengan menggunakan paku dan seumpamanya sehingga ia tidak bergerak lalu diwakafkan sejadah itu sebagai masjid. Sejadah yang telah dijadikan masjid mahmul sah digunakan untuk iktikaf dan solat tahiyatul masjid. Orang junub pula dilarang untuk duduk di atasnya. Pekara ini dinyatakan di dalam kitab fikah mazhab Al-Syafi`ii seperti Tuhfat Al-Muhtaj bagi Ibn Hajar, Mughni Al-Muhtaj oleh Al-Syarbini dan dalam kitab fikah solat oleh Sheikh Omar Al-Khatib.
4. Masjid Buyut (rumah), ruang di dalam rumah yang dikhususkan untuk sembahyang dan ibadat. Terdapat beberapa hadis yang menggalakkan orang Islam mengadakan sebuah ruang khusus dalam rumah mereka untuk tujuaan ibadat. Saidatina Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi menyuruh mengadakan masjid di dalam rumah dan menyuruh untuk mewangikannya dan membersihkannya (Riwayat Ibn Majah). Imam Al-Bukhari meletakkan satu tajuk khusus untuk bab ini dalam kitab Sahih beliau.
Jumhur ulama berpendapat Masjid Buyut adalah bukan masjid yang boleh dilaksanakan iktikaf atau solat tahiyatul masjid di dalamnya kerana ianya tidak diwakafkan kecuali bagi mazhab Imam Abu Hanifah yang menganggapnya sah sebagai masjid hanya untuk kaum wanita sahaja.
Musholla pula terbahagi kepada beberapa jenis mengikut kitab fikih klasik:
1. Musolla `Eid (hari raya), tanah lapang yang di gunakan untuk solat hari raya puasa atau korban.
2. Musolla Jenazah, tempat yang dikhususkan untuk solat jenazah. Nabi menjadikan bahagian timur masjid sebagai tempat yang dikhususkan untuk solat jenazah.
3. Musolla Hay, bangunan kecil yang dibangunkan di sesebuah kampung untuk mendirikan syi`ar solat jemaah. Termasuk di dalamnya ialah surau yang berada di bangunan-bangunan seperti sekolah, pasar raya dan sebagainya.
Di antara perbezaan ketara antara masjid dan musolla ialah pada status wakafnya. Jika ia di wakafkan maka ia adalah masjid dan jika tidak, ia adalah musolla.
Walaupun begitu terdapat sebahagian fuqaha Hanafi dan Hanbali yang berpendapat bahawa musolla `Eid sama hukumnya dengan masjid. Sebahagian kecil ulama Hanafi juga berpendapat bahawa musolla jenazah juga sama dengan status masjid. Begitu juga pendirian Imam Al-Darimi terhadap musolla Hay.
Perselisihan kecil ini di anggap sebagai gambaran permulaan bahawa tidak semua fuqaha mensyaratkan bahawa masjid mestilah diwakafkan selama-lamanya sebagai masjid.
Jenis-jenis masjid di Singapura
Status masjid-masjid di Singapura dapat dibahagikan kepada empat kategori:
1. Masjid Wakaf, masjid yang di dirikan atas sebidang tanah yang telahpun diwakafkan oleh pemiliknya bagi tujuaan pembinaan masjid. Rata-rata masjid yang berstatus wakaf di Singapura adalah yang dibina sebelum kemerdekaan republik ini seperti Masjid Al Abdul Razak dan seumpamanya.
2. Masjid T.O.L (Temporary Occupied License), masjid yang diberikan kebenaran atau keizinan sementara untuk mendiami sebidang tanah dengan bayaran tertentu. Jangka masa kebenaran ini antara setahun sehingga 3 tahun. Pihak masjid perlu membaharukan keizinan atau lesen tersebut dengan membayar yurannya setiap kali tempoh yang diberikan hampir tamat.
3. Masjid M.B.M.F (Mosque building and Mendaki fund), masjid yang didirikan dengan menggunakan dana yang dikumpulkan oleh tabung pembangunan masjid yang lebih dikenali dengan MBMF. Tanah masjid ini dijual oleh pemerintah dengan harga nominal sebagai bantuan kepada masyarakat Islam, dengan had tempoh selama 99 tahun.
4. Masjid Lease, masjid yang dibina di atas tanah berstatus lease.
5. Masjid yang tidak termasuk di dalam mana-mana kategori di atas. Hanya terdapat dua buah masjid di dalam bahagian ini; a) Masjid Temenggong di daerah Telok Belangah yang berdiri di atas tanah kerajaan Johor, dan b) Masjid Pulau Bukom yang berada di atas tanah milik syarikit minyak, SHELL.
Wakaf yang dibataskan dengan waktu
Dalam tajuk ini penulis akan membincangkan keharusan menghadkan sesuatu yang diwakafkan dengan tempoh.
Untuk itu penulis telah membahagikannya kepada dua bahagian; a) Perbahasan mengenai syarat wakaf – “tidak boleh ianya terbatas dengan tempoh”, dan b) Membataskan wakaf dengan waktu yang pada kebiasaannya barang yang diwakafkan itu akan luput atau musnah.
Syarat wakaf – “tidak boleh ianya terbatas dengan tempoh”
Para sarjana telah berselisih mengenai keperluan pada syarat ini di dalam wakaf:
Pendapat pertama, pegangan kebanyakan fuqaha, mensyaratkan wakaf tidak boleh terbatas dengan waktu tertentu kerana wakaf dari sudut bahasa membawa makna berhenti, iaitu yang diwakafkan itu diberhentikan hak pemindahan miliknya. Ini bermakna benda yang diwakafkan haruslah kekal selama-lama dan tidak boleh bertempoh untuk dipindah milik lagi setelah itu.
`Illah atau sebab pensyaratan ini adalah kerana wakaf itu seperti sedekah yang tidak boleh dibatasi dengan waktu. Begitu juga kerana hak memindah milik sesuatu yang telah diwakafkan itu gugur dengan sebab pewakaf telah memberhentikan pemilikan wakaf tersebut kepada Allah taala atau sesiapa yang diwakafkan perkara tersebut, maka selayaknya barang wakaf itu tidak boleh bersangkutan dengan waktu.
Pendapat kedua, pegangan sebahagian fuqaha terutama dari mazhab Maliki, mengharuskan wakaf itu dibatasi dengan waktu tertentu. Bahkan penulis mendapati mereka mengharuskan masjid itu dibina di atas tanah yang di sewa. Ini disebabkan fatwa mereka yang hanya wajib diwakafkan hanyalah bangunan masjid itu sahaja dan bukan tanahnya.
Berdasarkan kedua pendapat di atas, penulis mendapati bahawa pendapat pertama yang melarang wakaf dibatasi dengan waktu adalah lebih bertepatan dengan tujuan wakaf itu sendiri sama ada dari tujuan Akhirat, sebagai pahala yang berterusan untuk pewakif dan keperluan duniawi dalam menjaga kepentingan agama kerana dengan berkekalannya masjid akan memperkukuhkan penyebaran dakwah Islamiyah disamping syiar Allah tetap terlaksana di kawasan tersebut.
Walaupun demikian pendapat kedua lebih memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura dan sesuai dengan konteks atau undang-undang negara ini. Tidak dapat dinafikan di mana masyarakat Islam berada mereka memerlukan kepada satu bangunan yang sah digelar sebagai masjid bagi menjalankan ibadat dan menyebarkan syiar Islam. Berpegang pada pendapat pertama akan menjadikan kebanyakan masjid di Singapura terbatal status masjidnya dan ini mempunyai kesan negatif bagi kehidupan beragama seperti kehilangan ruang yang besar bagi umat Islam Singapura menunaikan iktikaf dan solat Tahiyat Masjid, sedangkan ia dapat dielakkan melalui pengaplikasian pendapat kedua dalam kehidupan masyarakat Islam Singapura.
Membataskan wakaf dengan waktu bagi barang yang akan luput atau musnah
Sebahagian fuqaha Al-Syafi`ii menyatakan bahawa wakaf bertempoh adalah sah, jika perkara yang diwakafkan itu pada kebiasaannya akan hancur sebelum tibanya tempoh tersebut. Contohnya ialah mewakafkan buku bagi tempoh seratus tahun. Waktu yang ditetapkan itu hanyalah majazi (kiasan) kerana wakaf itu hanya berkuasa selama buku atau benda yang diwakafkan itu wujud dan ia, pada kebiasannnya pula, akan hancur sebelum tempoh itu luput.
Jika kita melihat realiti ekonomi Singapura yang sentiasa berubah dari masa ke semasa seperti yang ditegaskan oleh Encik Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura pada perhimpunan hari kebangsaan 2013 dan 2014, bahawa Singapura harus berubah dengan cepat untuk kemajuanya agar ia terus kekal dan terselamat. Contoh perubahan tersebut ialah pelabuhan Singapura yang di bina pada 1972 akan di pindahkan keseluruhannya menjelang 10 tahun dari sekarang, lapangan terbang yang dibuka pada awal 80an sedang menjalani proses perubahan dan naik taraf pada keseluruhan terminalnya, lebuhraya yang di buka 30 tahun lepas akan dimusnahkan dan dibina lebuh raya yang baru, kawasan perindustrian mega di Jurong akan dialihkan sebelum ia mencecah lima puluh tahun dan kawasan perumahan juga tidak terkecuali dari proses ini.
Proses perubahan ini sudah semestinya menjejaskan pengimarahan masjid bahkan boleh menjadikan masjid terpinggir. Antara contoh yang boleh di lihat ialah Masjid Penempatan Melayu Sembawang yang dibina pada tahun 60an. Dahulunya, ia dikelilingi oleh lima buah kampung Melayu dengan kadar penduduk Islam mencecah lebih dari seribu orang tetapi pada hari ini ia telah terpinggir dari perumahan, Masjid Al-Amin di Telok Blangah yang dahulunya sangat makmur kerana ramainya orang Islam yang mendiami sekeliling kawasan masjid, tetapi pada hari ini kebanyakan penduduk kawasan itu adalah bukan Muslim, dan Masjid kampung Delta dan Al-Firdaus.
Mengambil kira keperluan masjid untuk kekal relevan dalam menjalankan misinya, tapak masjid memainkan peranan besar. Oleh yang demikian terdapat fuqaha yang membolehkan penjualan masjid yang telah dipinggirkan untuk memberi laluan kepada pembangunan masjid di tempat yang lebih sesuai. Mereka juga mengharuskan menjual masjid kecil yang tidak mampu menanggung jumlah jemaah bagi membina masjid yang lebih besar di tapak yang lebih bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
Oleh yang demikian, mantan Mufti Singapura, Sheikh Syed Isa Semait, enggan mengiktiraf batasan waktu selama 40 tahun yang disarankan pihak pemerintah pada mulanya bagi masjid-masjid baru. Bahkan beliau meminta agar tempoh pajakan tanah masjid dianjakkan hingga ke 99 tahun kerana pada kebiasaan adat Singapura, sesebuah masjid akan terpinggir sebelum tibanya tempoh 99 tahun itu, bersebab dengan perubahan persekitaran. Oleh itu, tempoh itu hanyalah sebuah tempoh majazi, yang tidak akan dapat dicapai oleh masjid di Singapura. Maka pada hakikat sebenarnya, masjid yang dibina diwakafkan hanya selama ia bermanfaat.
Penutup
Berdasarkan perbincangan di atas penulis mendapati bahawa status masjid yang dihadkan dengan waktu tertentu di Singapura adalah sah sebagai masjid berdasarkan tiga pekara:
1. Tempoh yang dihadkan hanyalah sebuah tempoh majazi yang tidak mungkin dicapai oleh masjid di Singapura kerana masjid berkenaan telah terpinggir sebelum tibanya tempoh tersebut sehingga perlu mencari tapak baru yang lebih sesuai dan ini sesuai dengan pendirian para fuqaha yang berpendapat wakaf yang dihadkan dengan sebuah tempoh yang pada kebiasaannya, perkara yang di wakafkan itu akan hancur atau hilang manfaatnya sebelum tiba tempoh tersebut adalah sah. Dalam situasi sebenar, terdapat banyak contoh yang bahawa sebahagian masjid di Singapura terpinggir akibat proses perubahan dan kesan dari kemajuan yang berlaku di Singapura walau usianya belum menjangkau lima puluh tahun.
2. Sebahagian fuqaha membolehkan pembinaan masjid di atas tanah sewa, kerana yang wajib diwakafkan adalah bangunannya sahaja. Walaupun hujah pendapat ini dinilai lemah jika dibandingkan dengan pendapat satu lagi, ia memberi maslahat besar kepada masyarakat Islam Singapura dengan memenuhi tuntutan keperluan keagamaan mereka. Manakala pendapat yang kuat mengatakan tidak sah masjid didirikan di atas tanah yang bersifat sementara akan menjejaskan amalan agama dan akan memberi kesan buruk dalam jangka panjang kepada masyarakat Islam Singapura. Pendirian ini sesuai dengan kaedah fikih yang berbunyi, “menolak kerosakan itu didahulukan”.
3. Perisytiharan wakaf masjid oleh Mufti Singapura pada umumnya akan berlaku setelah masjid itu siap keseluruhannya. Perisytiharan wakaf bagi dewan solat utama mencakupi karpetnya yang melekat pada tanah. Ini secara tidak langsung menjadikan hamparan itu sebagai masjid mahmul yang dinyatakan dalam mazhab Al-Syafi`ii. Walaupun bangunan masjid itu bertempoh, tetapi wakaf hamparannya tidak, maka ia boleh menjadi jalan alternatif juga bagi penyelesaian masalah ini.
Artikel ini berasal dari kertas kerja yang dibentangkan penulis dalam seminar fikh masa kini anjuran Usuli Faqih Research Centre di Universiti Sains Islam Malaysia dan pernah diterbitkan di Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia, vol. 5, 2015
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.