Hukum Muslim Dalam Unit Anjing Polis Dalam Konteks Singapura | Wasat No. 40 / Ogos 2021

wasat

40-1

Hukum Muslim Dalam Unit Anjing Polis Dalam Konteks Singapura

01 August 2021 12:01 am // Written by Muhammad Haniff Hassan, Dr.

Nota: Artikel ini adalah terjemahan bahasa Melayu bagi artikel bertajuk Muslims Serving In A Police Dog Unit, terbitan Wasat (no. 34 / Ogos 2020).

Seorang lelaki Melayu yang bertugas dalam unit anjing polis pernah mengemukakan dilemanya di Internet kerana berhadapan dengan sikap negatif sebahagian ahli keluarga terhadap kerjayanya. Mereka menganggap pekerjaannya itu haram dan gaji yang diterimanya bukan pendapatan yang halal. Dilemanya itu kemudian mengundang kontroversi di kalangan warga Internet pula.

Antara komen yang dikirim menimbulkan keprihatinan kerana ia menunjukkan salah faham tentang hukum agama mengenai isu ini. Jika tidak dibetulkan, ia akan kekal menjadi pegangan dan tersebar. Ia juga bakal menatijahkan tingkah laku yang tidak elok di kalangan Muslim lalu menyebabkan tanggapan negatif di kalangan bukan Muslim.

Antara salah faham ialah tanggapan berkhidmat dalam unit anjing pasukan polis adalah haram bagi Muslim kerana anjing adalah najis. Muslim hendaklah menjauhinya kerana ia boleh menjejas kesucian diri dan ibadah. Anjing juga dilihat sebagai binatang yang menjauhkan malaikat rahmat. Justeru, seorang Muslim tidak seharusnya memelihara atau bergaul rapat dengan anjing.

Tingkah laku yang tidak elok pula ialah cemuhan dan tuduhan terhadap individu berkenaan kerana sengaja melakukan pekerjaan yang berdosa, menggadai prinsip agama, memalukan masyarakat Muslim, lalu menafikan kesolehannya.

Artikel ini hanya bertujuan untuk membetulkan salah faham tentang hukum agama berkaitan isu ini, bukan untuk menormalisasikan anjing di kalangan orang Melayu yang segi budayanya amat sensitif dalam berhubungan dengan anjing. Ia juga bukan fatwa yang menjustifikasikan pengerahan anggota perkhidmatan negara Muslim ke unit-unit anjing pasukan keselamatan negara.

Penulis akui pentingnya menjaga sensitiviti dan budaya masyarakat Muslim setempat. Namun, melestarikan dan menghormat budaya yang ada tidak seharusnya membenarkan tanggapan yang salah berkaitan hukum agama dan natijah darinya pula, membenarkan tingkah laku mencemuh dan membuat tuduhan yang salah pula terhadap maruah individu.

 

Hukum berkhidmat

Harus bagi Muslim untuk menjadi anggota pasukan unit anjing di mana-mana pasukan keselamatan negara.

Ulama sepakat bahawa memelihara anjing untuk tujuan keselamatan seperti menjaga rumah, ternakan dan ladang dari penjenayah dan binatang buas. Antara dalil penting bagi hukum ini ialah Al-Maidah: 4 yang membenarkan penggunaan anjing untuk memburu.

Ayat ini diturunkan pada masyarakat Arab yang mana memburu bukan lagi sumber utama makanan dan penakatan mereka. Kaum Arab yang menjadi sasaran dakwah masa itu sudah bukan lagi masyarakat pemburu-pengumpul. Mereka adalah masyarakat pertanian dan perdagangan. Memburu hanya sebagai rekreasi dan sumber makanan tambahan sahaja.

Jika penggunaan anjing untuk aktiviti bukan asasi untuk hidup seperti memburu diharuskan, ulama berpendapat penggunaannya untuk tujuan keselamatan lebih dibenarkan.

Begitulah juga, jika penggunaan anjing untuk tujuan keselamatan individu diharuskan, penggunaan untuk keselamatan awam, juga diharuskan. Tambahan pula, keberkesanan dan peranan anjing dalam penjagaan keselamatan awam adalah sesuatu yang diakui oleh pakar dan adalah norma semasa.

Hujah ini dapat disokong dengan amalan semasa pasukan keselamatan negara-negara Muslim yang mempunyai unit-unit anjing yang dikendalikan oleh anggota beragama Islam tanpa bantahan oleh ulama dari negara berkenaan.

Dalam hal ini, soal malaikat rahmat menjauhi Muslim yang sentiasa bersama anjing tidak timbul kerana dalam isu yang dibincangkan ia berlaku atas tujuan yang diakui syarak.

 

Najis anjing

Pertama sekali, status anjing sebagai najis bukan isu prinsip dalam agama. Ia adalah soal cabang dan bukan hukum yang disepakati oleh ulama.

Mazhab Syafi’ii, yang dominan di rantau ini, dan mazhab Hanbali berpendapat seluruh tubuh badan anjing adalah najis.

Mazhab Hanafi pula berpendapat hanya mulut, air liur dan tahi anjing sahaja yang najis.

Ulama ketiga-tiga mazhab ini pula tidak menghukumkan memegang anjing sebagai haram. Tiada beza antara anjing dengan najis-najis lain seperti tahi, kencing dan bangkai, di sisi mereka. Kesemuanya adalah najis yang perlu disucikan dari badan dan pakaian tetapi tidak haram apabila menyentuh atau terkenanya.

Sebahagian ulama mazhab Maliki pula berpendapat tubuh anjing tidak najis. Mereka berpendapat perintah menyucikan jilatan anjing dengan tujuh cucian yang mana satu darinya menggunakan air bercampur tanah (sertu) bukan kerana najis, tetapi bersifat “ta`abbudi” (taat atas dasar ibadah semata-mata).

 

Menyucikan najis

Ulama mazhab Syafi’ii, Hanafi dan Hanbali sepakat bahawa najis anjing disucikan melalui proses sertu.

Mazhab Hanbali berbeza sedikit. Ulamanya membenarkan penggunaan sabun sebagai alternatif moden bagi air bercampur tanah. Seseorang itu boleh membasuh najis anjing dengan menggunakan sabun yang kemudiannya diikuti dengan enam siraman air biasa atau meletakkan tangannya di aliran air dari pili pada kadar enam siraman biasa.

Ulama mazhab Maliki yang mengatakan tubuh anjing tidak najis berpendapat bahawa proses sertu yang dinyatakan hanya sunat sahaja.

Dalam hal ini, pilihan bagi mensucikan diri dan pakaian yang terkena anjing setiap kali ingin melakukan solat yang wajib apabila bertugas ialah;

• melakukan sertu yang asli berdasarkan mazhab Syafi’ii dan Hanafi. Ia boleh dipermudahkan dengan penggunaan sabun khas pengganti air tanah yang dijual di pasaran.

• melakukan sertu dengan menggunakan sabun biasa sebagai ganti air bercampur tanah berdasarkan mazhab Hanbali.

• tidak perlu melakukan penyucian apa-apa kerana beramal dengan pendapat mazhab Maliki kecuali jika terkena kencing atau tahi anjing yang perlu disucikan dengan cucian biasa sahaja.

Jika dianalisa dari sudut kesulitan, pilihan pertama adalah yang paling sulit. Pilihan kedua ringan sedikit tetapi tetap kurang praktikal kerana ia memerlukan seseorang itu menukar pakaian seragamnya setiap kali ingin melakukan solat dan ini mungkin susah dilakukan sekiranya dia bertugas di lapangan.

Yang paling mudah dan praktikal, pastinya, ialah beramal dengan mazhab Maliki. Kerana ini, ramai ulama kontemporari condong mencadangkan beramal dengannya bagi kes seperti ini kerana ia sejajar dengan sifat Islam yang mudah dan praktikal.

 

Beramal dengan mazhab lain

Adalah hak individu untuk beramal dengan mazhab Syafi’ii dalam situasi yang dibincangkan kerana apa yang dianggap susah secara umum, mungkin tidak susah bagi dia atau dia bersedia untuk hadapi kesulitan itu.

Namun individu ini juga perlu hormat hak individu lain untuk memilih kemudahan dengan beramal dengan pendapat dari mazhab lain.

Seringkali anjuran berpegang dengan pendapat mazhab selain Syafi’ii dalam isu-isu tertentu dipandang serong kerana dianggap sebagai usaha mengubah tradisi masyarakat setempat dan menggantikannnya dengan mazhab lain atau menggalakkan aliran tidak bermazhab atau Kaum Muda.

Ini tanggapan yang salah kerana beramal dengan pendapat mazhab lain dalam situasi khusus adalah amalan hukum yang sudah berlaku di kalangan masyarakat Muslim Singapura sejak sekian lama. Contohnya ialah amalan membayar zakat fitrah menggunakan wang, menggunakan  hisab bagi menentukan Ramadan dan Syawal serta anjuran beramal dengan mazhab Hanafi yang tidak membatalkan wuduk apabila berlaku sentuhan lelaki dan perempuan bukan mahram ketika melakukan haji oleh agensi yang dikendalikan oleh  jemaah Singapura. Kesemua ini telah diamalkan sekian lama dan tidak mengubah pegangan mazhab Syafi’ii di kalangan masyarakat.

Menganjurkan Muslim yang perlu berkhidmat dalam pasukan polis, baik atas pilihan peribadi atau pengerahan pihak berkuasa, untuk beramal dengan mazhab Maliki bagi tujuan khusus ini tidak ada beza dengan contoh-contoh yang dinyatakan.

 

Kesimpulan

Menjalani perkhidmatan negara di unit anjing pasukan keselamatan negara bukan suatu yang haram. Individu yang melakukannya tidak seharusnya dicela dan dicemuh di khalayak ramai.

Sememangnya kita perlu menghormati sensitiviti masyarakat. Namun mempertahankan budaya setempat tidak boleh menjadi justifikasi untuk membuat hukum secara salah, sehingga seseorang itu dikatakan pendosa atau mengabaikan ibadahnya tanpa bukti kukuh.

Akhirnya, apa yang dibincangkan di atas juga relavan bagi Muslim yang ingin berkerjaya sebagai doktor haiwan kerana, dalam konteks Singapura, ia tidak dapat terelak dari merawat anjing – sesuatu yang dihargai oleh Islam juga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles