Islam dan Fahaman Pluralisme: Ke Arah Sikap Yang Lebih Seimbang Dalam Islam | Wasat No. 29/Oktober 2019

wasat

1-header

Islam dan Fahaman Pluralisme: Ke Arah Sikap Yang Lebih Seimbang Dalam Islam

01 October 2019 12:00 am // Written by Mohammad Jakfar bin Embek

Pengenalan –  faham takrif yang berbeza

Dari sudut definisi istilah kemajmukan atau pluralisme (katanama) itu sendiri tidak seragam. Ada yang menanggap pluralism dari sudut ontologi, epistemologi dan aksiologi, iaitu nilai dan pengamalannya. Perbezaan bergantung pada siapa yang menggunakan, konteks apa dia bercakap dan matlamat orang yang bercakap.[i] Sering kali juga perbezaan yang ada diwarnai oleh polemik pro dan kontra di kalangan cendekiawan.

Terdapat cendekiawan di Malaysia seperti Syed Muhamad Naquib Al-Attas dan anak didiknya, Dr. Farid Shahran, Dr. Anis Malik Thoha,[ii] Muamaar Khalif A. Harris[iii] dan ramai alumni ISTAC serta di Indonesia seperti Adian Husaini dan pimpinan Majlis Ulama Indonesia berpendapat fahaman pluralisme menjurus kepada fahaman yang meletakkan semua agama sama.

Kekeliruan timbul jika kita fahami, (daripada istilah bahasa Arabnya) ta`addudiyyah al-adyan (kepelbagaian agama) sebagai wahdah al-adyan (kesatuan agama). Sedangkan antara kedua istilah tersebut mempunyai maksud dan pelaksanaan yang jauh berbeza. Jika dilihat pada sudut sejarah dan etimologis wacana dan istilah, pluralisme bermula di Barat oleh gereja ketika bagi mencari jalan penyatuan oleh kelompok ekunemikal dan aliran Liberal-Protestanisme pada awal abad 18. Dasar mereka ketika itu adalah; humanism-sekular, teologi global, sinkretisme dan kebenaran abadi (sophia perennial).

Namun penggunaannya sudut ilmu sosiologi dan sains politik berlainan pula. Ramai lagi cendekiawan yang tidak bersetuju pandangan kelompok ISTAC di atas yang terikat dengan satu faham maksud. Baru-baru ini Sdr Chandra Muzaffar, ilmuwan dan advokator suara keadilan sosial dan hak asasi manusia, menyanggah pegawai Kementerian Dalam Negeri, Alwi Ibrahim dan pegawai tinggi Melayu kementerian tersebut yang mengharamkan buku suntingan beliau Breaking the Silence yang dikatakan membawa kepada idea liberalisme dan pluralisme yang menggugat “kepentingan awam”.

Jika diteliti sudut perbincangan dalam buku tersebut,[iv] ia sebenarnya membicarakan kebimbangan 25 tokoh ilmuwan Melayu/Muslim yang digelar G25 terhadap ceramah-ceramah yang berbau kebencian perkauman oleh beberapa kelompok ultra Melayu dan kumpulan yang curiga terhadap kaum Cina dan golongan bukan Muslim disebabkan politik ketuanan Melayu dan dengan nama Islam yang kian membawa kepada fahaman sempit dan ekslusif di kalangan rakyat Malaysia. Kumpulan ini juga menyuarakan agar undang-undang syariah dan undang sivil di Malaysia sekarang ini dapat dinilai semula, selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Chandra, sebagai seorang saintis sosial politik dan bekas Pengerusi Just, sejak dari dahulu agak konsisten dalam memberi makna pluralisme dari perspektif sains sosial dan bukan sudut epistemologi yang digunakan oleh kelompok cendekiawan ISTAC. Pada Chandra, terdapat banyak salah faham yang menyamakan pluralisme sebagai menjurus pada kesatuan agama. Beliau berpandangan bahawa pluralisme adalah realiti kewujudan dalam memperaku adanya kepelbagaian samada ia sudut politik, pandangan hidup, budaya, agama dan juga kerencaman etnik dan suku bangsa makhluk ciptaan  Allah. Dasar beliau adalah pada ayat 49:13 dan 5:48 dalam Al-Quran yang memperakui kepelbagaian bangsa dan agama. Beliau menolak kebimbangan akan terjadi kesatuan agama sebagaimana di atas.

Pandangan tersebut juga dipegang oleh seorang cendekiawan Islam seperti almarhum Ustaz Fathi Osman[v] daripada Mesir dan meninggal dunia di Amerika Syarikat. Sikap menanggapi pluralisme dari sudut institusi lebih pada toleransi moral atau hidup bersama secara pasif. Toleransi bagi beliau melibatkan ketanggungjawaban perasaan dan tingkah laku individu dan kumpulan untuk wujud secara bersama dan menerima orang lain walau ketika berlaku konflik. Ia memerlukan institusi dan undang-undang bagi memelihara dan mengukuh asas-asas persaudaraan kalangan semua manusia (Muslim dan bukan Muslim) samada peringkat individu maupun kumpulan. Sama ada perbezaan dan kelainan itu daripada lahir atau diperolehi melalui undang-undang imigrasi. Pluralisme memerlukan pendekatan serius untuk dapat memahami pihak lain lantas berusaha bekerjasama secara konstruktif bagi kemanfaatan semua.

Seorang profesor dalam kajian Muslim minoriti lain di United Kingdom (UK), Dr. Ataullah Siddique dari Markfield Institute of Higher Education (MIHE) juga menyatakan bahawa pluralisme adalah “state of being” atau realiti kewujudan, iaitu makhluk ciptaan Tuhan adalah rencam dan berbeza-beza. Bagi beliau, mencebur dalam polemik pengistilahan, tetapi tidak menangani isu sebenar perpaduan dan wujud hormat-menghormati antara satu sama lain adalah satu kesilapan besar dalam konteks membangun hubungan atara kaum dan masalah Islamofobia di negara minoriti Muslim seperti di UK. Maka baginya, konsep dakwah dalam masyarakat plural di Eropah membawa maksud menyantuni, dan bukan menjurus pada perubahan akidah seseorang dahulu. Seseorang yang tidak dimenangi hati dan akalnya tidak mudah akan menerima kebenaran Islam. Oleh itu, dakwah hendaklah inklusif dalam pendekatan dan menjangkau semua, tapi eksklusif pada sudut akidah dengan tidak mensyirik Tuhan dengan apa juga bentuk. Dr Ataullah bimbang jika polemik akademik diperbesarkan, tetapi permasalah sebenar dalam hubungan Muslim dan  non-Muslim di dunia masa kini tidak ditanggap secara bijaksana.

Pandangan Dr. Ataullah Siddique ini boleh dikatakan selari dengan salah satu kaedah dakwah oleh Sheikh Jumu’ah Amin Abdul Aziz[vi], Al-Ta`rif Qabl Al-Taklif (Memahamkan dahulu sebelum memberi kewajipan).

Fitnah ilmu golongan pluralis Melayu

Namun tidak dinafikan ada segelintir cendekiawan Melayu yang gemar mempromosi fahaman pluralisme dari perspektif Barat. Rujukan kepada tokoh-tokoh barat amat dominan dalam rencana-rencana mereka. Ada yang memuji perspektif pluralisme ala kepelbagaian dalam kesatuan (bhinneka tunggal ika), sebagaimana doktrin Pancasila Indonesia. Saya perhatikan ada yang semudah mengeluarkan kata-kata seperti; “saya akan merasa sedih jika saya sebagai orang Islam akan masuk syurga, tetapi sahabat-sahabat saya dari agama Kristian dan Buddha masuk neraka”. Setentunya kata-kata itu adalah satu kata-kata kurang cermat, apologetik dan boleh menyalahi nas qath`ii dalam Al-Quran.

Golongan pluralis yang seperti ini menyamai kelompok liberal-humanis-sekular yang berpendapat kebenaran tidak pernah ekslusif dan dimliki oleh mana-mana tradisi atau budaya. Ia juga tidak boleh terikat dengan nilai dan penguasaan Tuhan. Maka pencarian kebenaran mereka bersifat amat subjektif dan berubah. Mencari kebenaran bagi mereka seperti mencari maksud keseragaman dalam dialog ekunemikal antara pelbagai gereja yang terpisah-pisah. Usaha mencari erti persamaan ekunemisme antara pelbagai gereja amat panjang, dari zaman empayar Rom, tapi masih belum capai huraian dan tidak juga menjurus kepada kesatuan.

Antara inklusif dan esklusif

Golongan ini, baik Muslim dan bukan Muslim, juga mengemukakan satu gambaran pada pandangan umum bahawa semakin lebih beragama menjadikan individu kurang berkemanusiaan, kurang toleran dan nilai inklusif seseorang dengan agama lain boleh dipertikaikan kerana lebih menjaga sempadan keyakinan masing-masing.

Secara teologi dan sejarah, dakwaan ini tidak benar. Namun ia boleh dibenarkan hari ini oleh sikap Muslim sendiri yang memilih untuk memahami dan mengamalkan Islam dalam bentuk yang eksklusif dalam hubungan dengan bukan Muslim.

Lebih ironi, apabila isu inklusif dan ekslusif dalam masyarakat Islam ini membabitkan konflik sesama umat Islam disebabkan perbezaan aliran yang dipacu oleh ego dan ketaksuban.

Sememangnya, pertembungan aliran dalaman masyarakat Islam sudah wujud sejak dari zaman Khulafa Rashidin lagi seperti pertembungan antara aliran Ahli Sunnah dan Syiah, antara aliran Ahl Al-Ra’yi dan Ahl Madinah dan antara aliran Muktazilah dan Ahli Sunnah.

Dalam hal ini, sesetengah dari kalangan umat Islam lebih cenderung untuk menyatakan rasa hormat, berlembut, toleran dan teruja dalam hubungan antara agama, tapi tidak dapat bertolak ansur dalam perbezaan dalam kalangan  umat Islam hingga ada yang mudah melabel pihak yang berbeza dengan label kufur, sesat, liberal dan lain-lain.

Kembali pada keseimbangan

Perlu difahami bahawa seeorang itu mungkin ahli agama, tetapi kadangkala pemikirannya terkesan dengan emosi rasa ego yang terlalu tinggi, hingga sukar menerima perbezaan dan adab dalam melihat perspektif berbeza. Secara ilmiyah, setiap perkara perlu diadili secara fakta dan bukan mengikut emosi hati. Bijak secara ilmiyah, tidak sama dengan bijak secara adab dalam amalan sosial.

Yang saksama (wasatiyah) ialah;

Inilah faktor-faktor yang memelihara dari sikap pelampauan, ketaksuban dan kesempitan dada serta minda yang dimanifestasikan dalam tingkah laku dan idea-idea yang meletakkan diri atau aliran anutannya lebih tulen, lebih benar atau lebih Ahli Sunnah dari yang lain. Kesemua ini bertentangan dengan adab wasatiyah dalam Islam.

Ini adalah faktor-faktor yang membentuk sikap ekslusif yang antagonistik terhadap agama atau fahaman yang berbeza.

Eksklusifisme yang diakui

Ekslusif dalam Islam adalah ekslusif sudut Tauhid yang esa dan keyakinan bahawa agama Islam itu benar dan agama lain itu salah kerana kededuanya ada sandaran dalam Al-Quran.

“Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang diberi kitab Allah kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) antara mereka. Barangsiapa kafir (engkar) terhadap ayat-ayat Allah maka sesunguhnya Allah sangat cepat hisabnya.” (Ali Imran: 19)

“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (ِAli Imran: 85)

Ayat di atas adalah ekslusif bagi orang yang beriman dengan Islam. Maka menyatakan bahawa saya beragama Islam, tetapi saya juga akur yang agama lain juga adalah benar, adalah fahaman tertolak dari sudut Tauhid. Ia adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi dan tidak perlu pula bersikap apologetik untuk memenangi hati golongan bukan Islam.

Namun ekslusif yang menjurus pada hubungan sosial dan sesama manusia (ukhuwah insaniyah), Islam menolaknya atas dalil dari Al-Quran di mana kita tidak boleh mencerca, merendah-rendah, mengejek, mencela agama dan anutan penganut bukan seperti firman Allah taala,

“Dan janganlah kamu men cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Al-An`am: 108)

Jika diteliti ayat di atas itu adalah prinsip inklusif yang dibenarkan dalam Islam. Walaupun kita katakan bahawa agama selain Islam itu tidak benar sudut wahyu, namun dalam interaksi sosial yang wasatiyah mereka tetap dirangkum sebagai manusia yang berhak dihormati pilihan mereka dan tidak boleh meminggirkan atau didiskriminasi hanya disebabkan pilihan itu. Keyakinan terhadap Islam sebagai agama yang benar dikongsi untuk dianuti dengan mereka melalui jalan dakwah, bukan layanan bersifat diskriminatif.

Penutup

Apabila membicarakan soal inklusif terhadap bukan Muslim, seharusnya sikap itu lebih utama diamalkan dalam konteks perbezaan dalaman sesama umat Islam.

Setiap istilah perlu ada keseimbangan dalam penggunaannya sejajar dengan dalil Al-Quran dan Sunnah. Ia bukan satu proses yang mudah hingga menjadi alat mencemuh atau menghukum orang yang kita berbeza pandangan dengan sewenangnya.

Persoalan kebenaran dalam tradisi Islam boleh menjadi persepsi individu, seperti kata seorang cendekiawan dan ulama Islam masa kini. Prof Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi dari Universiti Malaya (dalam Ceramah MUIS), “…. walaupun secara dasarnya kita katakan bahawa kebenaran itu satu, namun pengertian atau penafsiran terhadap takrif kebenaran ini juga kadangkala boleh mempunyai kepelbagaian perspektif dan dimensi yang berbeza.”

Akhirnya, jika pun perbezaan tidak terelak, mengamalkan adab berbeza pendapat dalam Islam adalah sama penting. Berbeza itu harus, tetapi mengamalkan adab dalam berbeza itu wajib hukumnya. Mengutamakan yang harus daripada yang wajib adalah pilihan yang tidak logik dan tidak seimbang.


Rujukan

[i] Lihat Internet Encylopedia of Philosophy, https://www.iep.utm.edu/rel-plur/

[ii] Anis Malik Thoha (2005), Tren Pluralisme Agama, Tinjauan Kritis, Jakarta: Gema Insani.

[iii] Khalif Muammar (2006), Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan.

[iv] G25 Malaysia (2016), Breaking the Silence, Voices of Moderation, Islam in a Constitutional Democracy, Singapore: Marshall Cavandish International.

[v] Mohamed Fathi Osman (1996), The Children of Adam: An Islamic Perspective on Pluralism, Centre for Muslim-Christian Understanding, Georgetown University.

[vi] Jumu’ah Amin Abdul Aziz (2005), Fiqh Dakwah, Solo: Intermedia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles