Hubungan antara masyarakat Islam dan Kristian bukan satu fenomena baru dalam tradisi agama Islam. Rasulullah s.a.w. pernah berinteraksi dengan orang-orang Kristian sebelum dan selepas turunnya wahyu.
Ketika wahyu pertama turun, Rasulullah s.a.w. dibawa oleh isterinya Khadijah untuk ditemukan dengan kerabatnya bernama Waraqah, seorang rahib Kristian untuk meminta nasihat kerana nabi Muhammad s.a.w. tidak pasti samada peristiwa ajaibnya itu adalah satu rasukan atau perkara yang benar. Waraqah lalu memberitahu bahawa apa yang dialami oleh beliau adalah sama dengan apa yang dialami oleh nabi Musa a.s. Waraqah memberi keyakinan pada nabi Muhammad s.a.w. dan berharap dapat menyaksikan kesempurnaan wahyu yang diturunkan dan bersama memperjuangkannya.
Sememangnya ada persamaan antara agama Islam dan Kristian. Kedua agama tersebut merupakan cabang daripada agama Ibrahimiah atau agama samawi. Bahkan kaum Kristian diakui oleh Islam sebagai kumpulan utama dari golongan Ahl Al-Kitab, nama yang diberi oleh Al-Quran untuk mereka yang memegang kuat pada agama diajar oleh para nabi yang membawa kitab-kitab suci sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w.
Penganut Islam juga pernah berinteraksi dengan kaum Kristian apabila mereka berhijrah ke Habsyah yang diperintah oleh Najasyi itu. Bahkan Ja’far bin Abi Talib pernah membacakan ayat-ayat pertama dari surah Maryam di hadapan Najasyi dan dia berpendapat bahawa kedua agama yang berbeza ini datang dari sumber yang satu.
Meskipun adanya perbezaan dalam isu akidah dan kadang pula dalam masalah politik, Rasulullah s.a.w. tetap menghormati masyarakat bukan Muslim.
Rasulullah berserta dengan sahabat-sahabatnya tidak membenarkan perbezaan ini menjadi sebab untuk tidak berinteraksi dengan baik. Jarak dari perbezaan ini bukanlah sebab untuk memutuskan hubungan baik secara umum, apatah lagi untuk memulakan pertempuran sesuai dengan firman Allah taala, “Wahai ummat manusia. Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Al-Hujurat:13)
Prinsip asas dalam hubungan dengan masyarakat bukan Muslim
Terdapat segolongan dari masyarakat Islam mempunyai pandangan yang negatif mengenai hubungan dengan masyarakat bukan Muslim, iaitu ia berasaskan sikap permusuhan kecuali kalau terbukti sebaliknya. Hal ini kerana mereka berpegang pada sebilangan ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan isu-isu berkaitan dengan peperangan atau konflik antara Muslim dan bukan Muslim, seperti firman Allah taala, “..Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan demikian)..” (Al-Baqarah: 217).
Sebab yang utama dari kekeliruan ini adalah pemikiran yang menyamakan semua masyarakat bukan Islam sebagai satu golongan yang sentiasa ingin memusuhi agama Islam dan pemeluknya.
Yang tepat ialah ini adalah satu pandangan yang tidak lengkap kerana sikap dalam isu ini memerlukan penilaian seluruh ayat-ayat Al-Qur’an dengan tema yang sama, seperti;
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Mumtahanah: 8-9)
Yang benar ialah Al-Quran mengiktiraf kewujudan masyarakat bukan Islam yang tidak memusuhi Islam dan pemeluknya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab Muslim untuk bertindak dengan adil dan berbuat baik dengan mereka, walau berbeza agama. Sikap ini harus berterusan selagi mana mereka tidak bersikap buruk untuk bermusuh dengan Muslim.
Al-Mut`im bin `Adi dan beberapa tokoh kaum Quraish yang bukan Muslim mengambil tindakan untuk menghentikan boikot terhadap masyarakat Islam di Mekah pada ketika itu. Al-Mut`im juga yang meletakkan Rasulullah s.a.w. di bawah perlindungannya di Mekah apabila diminta oleh Rasulullah s.a.w. setelah beliau disingkirkan oleh penduduk Mekah dan diusir dari Taif.
Rasulullah s.a.w .juga menjaga hubungan baik dengan Najasyi, raja Habsyah yang beragama Kristian.
Segala peristiwa-peristiwa ini adalah bukti sejarah yang menyangkalkan sikap menyamakan semua penganut Kristian ke dalam satu kategori – golongan yang memusuhi Islam.
Atas dasar ini, asas yang lebih tepat dalam hubungan antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim adalah hidup bersama dengan aman atas persamaan pada nilai kemanusiaan yang menyatukan manusia sejagat walau berbeza dalam agama, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w, “Kamu semua adalah dari Adam dan Adam adalah dari tanah liat.” (Al-Tirmizi)
Tambahan dari nilai kemanusiaan ini, Islam mengajar Muslim untuk membina hubungan atas nilai keadilan dan kebaikan, sebagaimana firman Allah taala di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan,” (Al-Nahl: 90)
Bahkan, Islam mengakui hubungan yang unik bersama Ahl Al-Kitab, kalau dibandingkan dengan agama-agama lain.
Antara keistimewaannya adalah perintah Allah taala untuk menjawab mereka dengan sebaik mungkin di dalam Al-Quran, “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka..” (Al-Ankabut: 46)
Cuba renungkan keindahan ayat Al-Quran ini yang membicarakan cara untuk berdialog dengan Ahl Al-Kitab. Ia mengajar Muslim untuk memulakan hubungan dan interaksi dengan mencari apa yang boleh disepakati dan tidak meletakkan tumpuan pada titik perbezaan, selagi mana mereka tidak menzalimi.
Islam mengajar Muslim untuk menghidupkan suasana yang positif sebagaimana yang dapat dilihat dari surat yang diutus Rasulullah s.a.w pada Kaisar Rom yang diakhiri dengan firman Allah taala, “..Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah..” (Ali Imran: 64)
Contoh hubungan baik antara masyarakat Muslim dan Kristian
Ketika masyarakat Muslim menghadapi tentangan yang kuat dari penduduk Mekah, Rasulullah s.a.w. menggalakkan sebilangan dari sahabat-sahabatnya untuk berhijrah ke Habsyah, sebuah negara yang diperintah seorang raja beragama Kristian tapi adil. Atas layanan baik yang diberi kepada sahabat-sahabatnya, Rasulullah s.a.w. menjaga hubungan yang baik bersama raja Kristian ini, Najasyi, dengan menerima hadiah, saling bertukar surat dan menyambut kemenangan satu sama lain.
Selepas Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, sekitar 40 sahabat di Habsyah berhijrah ke Madinah, sementara 50 ke 60 sahabat lain memilih untuk kekal di sana. Ini menunjukkan bahawa mereka yang menetap di Habsyah pada ketika itu dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana walaupun majoriti dari penduduknya adalah Kristian.
Kini, dunia semakin saling terhubung (interconnected) dengan kemajuan teknologi hingga membolehkan pertukaran budaya dari seluruh dunia dan membuka pintu pula untuk penyebaran ideologi bahaya yang condong untuk menyulut permusuhan antara Muslim dan Kristian.
Justeru itu Universiti Al-Azhar meningkatkan usaha untuk berkerja sama dengan institusi-institusi agama lain, antaranya ialah Vatikan, markaz bagi Kristian aliran Katolik, bagi menghadapi ideologi bahaya ini, menganjurkan pegangan yang teguh pada nilai-nilai kemanusiaan dan mengukuhkan keyakinan manusia kepada agama di masa kini.
Pada bulan Oktober yang lalu, Sheikh Al-Azhar Ahmad El-Tayyeb dan Paus Francis dari Vatikan menyatakan kebimbangan mereka terhadap sebilangan isu-isu agama dan bersetuju untuk berkerja-sama dalam meningkatkan usaha-usaha kedamaian berserta meluaskan lagi laluan untuk berdialog, satu contoh hubungan yang baik antara masyarakat Islam dan Kristian.
Interaksi sosial
Dalam aspek yang lebih berunsur sosial, hidup bersama masyarakat Kristian juga bermakna hidup bersama orang-orang yang mempunyai kepercayaan dan perayaan mereka tersendiri dan ini tidak bermakna menerima dan bersama dalam amalan agama mereka.
Yang dimaksudkan di sini adalah mengamalkan interaksi yang baik bersama masyarakat Kristian tanpa melanggar had agama sendiri. Contohnya, menuturkan kata-kata yang tidak bercanggah dengan asas akidah agama Islam, tanpa mengamalkan kepercayaan agama Kristian seperti memberi ucapan yang baik pada jiran tetangga dan kadang pula pada waktu perayaan mereka.
Tiada percanggahan di sisi agama dalam menjaga hubungan baik bersama orang bukan Islam, baik dari memberi ucapan mahupun bertukar hadiah. Memberi ucapan pada perayaan mereka bukanlah sebahagian dari ibadah, tetapi ianya merupakan budi bahasa yang baik dalam kehidupan bersama
Hal ini telah dibahaskan di dalam Siri Irsyad Kontemporari terbitan Pejabat Mufti Singapura, yang menyatakan harus bagi seseorang itu untuk bertukar salam, ucapan dan hadiah kepada orang-orang yang berlainan agama, yang juga dipegang oleh Shaykh Abdallah bin Bayyah dan Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Ertinya, mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada rakan Bergama Kristian dengan niat untuk menjaga hubungan baik adalah satu perkara yang dibenarkan dalam Islam sebagai satu langkah untuk menyebarkan kebaikan dan membangunkan suasana kehidupan sosial yang baik. Ia juga boleh dianggap sebagai dakwah melalui akhlak yang baik, walaupun jelas bagi umat Islam bahawa nabi Isa bin Maryam a.s, adalah seorang nabi dan rasul yang dilahirkan tanpa bapa melalui ibunya Maryam, seorang dara dan bertakwa yang menumpukan sepenuh masanya untuk beribadah kepada Allah taala, bukan sebahagian dari Tuhan sebagaimana yang diyakini di sisi agama Kristian dan dari sambutan hari Krismas.
Allah taala berfirman, “Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah ia” (Ali Imran: 59)
Rasulullah s.a.w bersabda, “Aku adalah orang yang paling dekat dan paling mencintai Isa bin Maryam di dunia mahupun di Akhirat. Para nabi itu adalah saudara seayah walau ibu mereka berlainan, dan agama mereka adalah satu.” (Riwayat Al- Bukhari)
Artikel ini adalah terjemahan dari artikel asal berbahasa Inggeris yang bertajuk, What Does Islam Really Say About Muslim-Christian Relations, terbitan Asatizah Youth Network, pada 24 Disember 2018, di https://learnislam.sg/articles/what-does-islam-really-say-about-muslim-christian-relations.html (11 Januari 2019).
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.