Jangan Marah: Menyelami Pesanan Nabi saw Dengan Pendekatan Kesihatan Mental | Wasat No. 30/Disember 2019

wasat

1-header

Jangan Marah: Menyelami Pesanan Nabi saw Dengan Pendekatan Kesihatan Mental

01 December 2019 12:01 am // Written by Muhammad Abu Sufian Bin Hanafi

Jangan Marah, Jangan Marah, Jangan Marah

Pakcik Din baru pulang dari Solat Jumaat. Seperti biasa pada setiap pagi Jumaat, Pakcik Din (bukan nama sebenar) telah bergegas ke masjid untuk menunaikan tuntutan ibadah mingguannya selepas pulang dari kerja syif malam. Selepas pulang dari masjid, dia berharap dapat merehatkan badan dan melelapkan mata seketika di rumah. Dalam masa beberapa jam, Pakcik Din, yang sudah menjangkau usia 60 tahun, akan menuju kembali ke tempat kerjanya untuk memulakan syif malam lagi. 

Setibanya di pintu rumah, Pakcik Din tiba-tiba perasan bahawa dia telah ketinggalan kunci rumahnya. Sangkaannnya, isterinya, Makcik Timah, berada di rumah. Malangnya, sewaktu Pakcik Din berada di masjid, Makcik Timah telah keluar berjalan-jalan dengan anak mereka tanpa memberitahunya. Pakcik Din terperanjat apabila mendapati tiada seorang pun yang berada di rumah untuk membuka pintu. Oleh kerana terkunci di luar rumah, harapannya untuk terus berehat tidak kesampaian.

Pakcik Din mengamuk dan menelefon Makcik Timah. Dalam kemarahannya, Pakcik Din melontarkan kata-kata kesat dan hina terhadap isterinya. Beberapa minggu kemudian, pasangan ini berhadapan dengan penulis dalam sesi kaunseling, kerana Makcik Timah ingin bercerai. Makcik Timah sudah tidak dapat tahan lagi dengan tingkah laku Pakcik Din. 

Seperti dijangkakan, terdapat banyak perkara lain yang mereka kurang senangi dalam sikap pasangan mereka selama rumahtangga yang sudah mencecah hampir 40 tahun. Walaupun selama ini mereka cuba pertahankan hubungan mereka, rumahtangga ini sememangnya telah lama ‘retak’. Kini ‘retak’ telah menjadi ‘belah’ ekoran insiden yang berlaku pada hari Jumaat yang bersejarah tadi.

“Kan dia baru pulang dari Solat Jumaat? Kalau pun saya salah, macam mana boleh hina saya sebegitu?”, tanya Makcik Timah kecewa, sambil bertekad untuk terus dengan perceraian. 

Pakcik Din hanya tinggal berlinangan air mata kekesalan, sambil memikirkan di mana beliau akan menetap di usia senja sebegini selepas perceraian. Segala pohonan maafnya dikira terlambat oleh Makcik Timah.

Kejadian sebegini seringkali berlaku dalam hubungan kekeluargaan. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Lebih teruk, ada yang sampai “terlajak tangan dan kaki”.

Telah seringkali kita mendengar dari kuliah, ceramah dan khutbah oleh para asatizah, peringatan mengenai hadis  yang masyhur dari Nabi saw. yang  menasihati seorang sahabat dengan ungkapan “Jangan marah” sebanyak tiga kali berturut-turut.  Apakah sebenarnya yang tersirat di sebalik nasihat tersebut?  Sudahkah kita cukup menyelami fenomena ‘kemarahan’ ini supaya dapat betul-betul menghayati nasihat Baginda saw? 

Mengenali kemarahan

Marah adalah sesuatu emosi yang norma sebagai reaksi atau cetusan terhadap sesuatu kejadian, atau pencetus (trigger), yang lain. Marah dapat dikenalpasti sebagai suatu gejala di mana terdapat perbezaan pendapat yang disusuli dengan fisiologi yang tertekan atau tegang seperti degupan jantung yang kencang, muka yang kemerahan, wajah yang kerut dan yang berkaitan dengannya.  

Gejala tersebut juga boleh menimbulkan kelakuan yang ganas, atau intonasi dan ucapan yang kasar atau agresif. Adapun, yang dapat dilihat adalah ekspresi kemarahan seperti keganasan ucapan atau tingkah laku, dan bukan “perasaan” marah itu sendiri.

Suatu contoh serupa yang agak menarik digambarkan dalam peristiwa antara Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. apabila Allah swt menceritakan, “Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita… Dan ia meletakkan Lauh-lauh itu serta memegang kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya…” (Al-A`raf: 150)

Setiap manusia, samada seorang nabi atau insan biasa, pasti menzahirkan perasaan marah dengan cara yang berbeza.  Adakalanya, luahan kemarahan itu dapat disembunyikan atau ditahan, walaupun perasaan marah itu tetap dirasakan. 

Setiap insan juga mempunyai ‘tahap kemarahan’ yang berbeza dan respons yang berbeza terhadap pencetus atau ‘trigger’ yang berbeza. 

Sesuatu yang mencetuskan kemarahan dalam seseorang, mungkin saja tidak mencetuskan sebarang respons dalam diri seseorang yang lain. Oleh itu, bolehkah dan bagaimanakah seseorang itu sebenarnya “tidak marah”? Apakah terdapat suatu “pil ajaib” yang dapat mengubat segala kemarahan untuk sekelian umat manusia?

Kemarahan dari perspektif kesihatan mental

Istilah “mengawal kemarahan” (anger management) biasa digunakan untuk menggambarkan cara-cara bagi mengatasi masalah kemarahan. 

Di dalam bidang kesihatan mental dan kedoktoran, masalah mengawal kemarahan sebenarnya bukanlah sesuatu penyakit rasmi yang dapat diisytiharkan oleh doktor.  

Kemarahan dengan sendirinya merupakan sesuatu “gejala”, “tanda” atau “simptom” bagi kemaslahatan mental yang lebih luas. Contohnya, demam juga merupakan sebuah “simptom” bagi pelbagai penyakit lain seperti meningitis, campak ataupun barah. Demam dengan sendirinya bukanlah merupakan sesuatu penyakit.

Begitu juga kemarahan, apabila ia muncul secara menyeluruh dengan gejala yang lain, ia dapat memberikan gambaran tentang gangguan mental seperti kemurungan (depression), kesedihan (grief), gangguan bipolar, kebimbangan (anxiety disorder), gangguan personaliti, gangguan psikotik, kesan ketagihan dan lain-lain lagi.  Namun, penilaian yang jelas dan teliti perlu dilakukan oleh seorang doktor yang pakar dalam bidang psikiatri sebelum ia dapat diisytiharkan sebagai salah satu gangguan mental yang nyata. 

Sekiranya penilaian doktor tidak dapat memastikan gangguan mental yang nyata, gejala atau “symptom” itu tinggal hanya sekadar “symptom” dan bukan, atau belum  menjadi sesuatu penyakit.

Namun, meskipun kemarahan itu “symptom” sahaja, ia tetap boleh menjejas keselesaan dan mutu kehidupan seseorang. 

Sebagai contoh lagi, seseorang yang rasa demam pasti berasa sakit, walaupun tidak dapat dikenalpasti apa penyakitnya.  Demam itu tetap perlu ditangani, dengan menurunkan suhu badan, supaya ia tidak melarat dan menyebabkan masalah kesihatan yang lain. 

Bagi gejala kemarahan pula, jika ia tidak ditangani, ia bukan sahaja berpotensi menyebabkan masalah kesihatan mental, tetapi boleh menimbulkan masalah sosial, seperti yang dapat dilihat dalam kisah Pakcik Din tadi.

Di samping perbincangan tentang kesihatan mental, kita juga perlu peka bahawa ramai di kalangan masyarakat sebenarnya tiada masalah kesihatan dan tidak mempunyai tanda-tanda mengalami gangguan mental. Pada masa yang sama pula, ada di kalangan masyarakat yang memang mempunyai tanda-tanda gangguan mental tetapi mungkin tidak mendapat peluang untuk dinilai oleh doktor pakar. 

Walau apa pun, memahami fenomena kemarahan sebagai sebuah simptom dari sudut kesihatan mental sangat berguna kerana ia dapat membantu kita untuk memahami bagaimana cara menangani dan mengelakkan simptom ini daripada ‘menular’. Ia juga dapat membantu kita mencungkil ilmu dan kaedah moden dari kaunseling, psikologi dan psikiatri untuk meluaskan lagi pendekatan supaya mempraktikkan nasihat Baginda Nabi saw.

Punca-punca kemarahan

Marah tidak mungkin berlaku tanpa sesuatu pencetus. Bak pepatah Melayu, kalau tiada angin, pokok tidak akan bergoyang. 

Marah biasanya tercetus lantaran konflik yang tidak dapat ditangani dengan baik. Contohnya, seseorang ustaz atau ustazah mungkin marah dengan anak muridnya kerana konflik mengenai tingkah laku seorang murid. Seseorang jemaah masjid mungkin marah kerana konflik mengenai cara pengurusan masjid. Pakcik Din marah dengan Makcik Timah kerana konflik dalam dirinya apabila terkunci di luar rumah. Seorang raja sanggup membunuh pemaisurinya dalam kemarahan kerana konflik mengenai cara memasak asam pedas tanpa belacan. Semua contoh di atas menggambarkan keadaan konflik, salah faham atau hilangnya muafakat mengenai sesuatu perkara, yang kemudiannya bertukar menjadi ‘kemarahan’.

Setiap isu konflik berlaku akibat kepercayaan kita yang berbeza mengenai kehidupan, dan kepercayaan kita tentang bagaimana ia sepatutnya diuruskan. Apabila terdapat perbezaan pendapat untuk menguruskan kehidupan atau dalam membuat keputusan di atas muka bumi ini – dalam apa isu sekali pun – maka akan terjadilah konflik.  

Konflik amat mudah bertukar menjadi “kemarahan”, lebih-lebih lagi apabila terdapat ancaman (threat) terhadap kesejahteraan atau keselamatan seseorang. Contohnya, seseorang yang pada dasarnya kelihatan marah tentang pemakanan, mungkin sebenarnya khuatir tentang kelaparan. Tidak dapat dinafikan bahawa seseorang yang kebuluran boleh sampai kepada sakit dan maut. 

Maka tidak hairanlah apabila perasaan takut kepada kebuluran boleh membuat seseorang itu rasa marah, kerana secara tidak langsung, ia membawa erti suatu ancaman terhadap nyawanya. Bagi orang yang sebegini, segala hal-ehwal yang berkaitan dengan pemakanan dan kelaparan mampu menjadi perkara yang amat sensitif baginya. 

Begitu juga apabila seseorang itu tidak mendapat rehat atau tidur yang secukupnya – ini dapat menimbulkan rasa sakit (sakit kepala, sakit mata, sakit badan dan sebagainya) dan itu akan menjejas kesihatan dan kesejahteraannya. 

Sekali lagi, apabila kesihatan dan nyawa rasa terancam, seseorang itu akan lebih mudah rasa bimbang dan akan “melawan” keadaan agar dapat memelihara kesihatannya, justeru nyawanya. Ini yang dinamakan sebagai fenomena “lawan”, “lari” atau “membeku” (fight, flight, freeze).  Ekoran dari “melawan” ini, maka seseorang itu akan adakalanya menunjukkan tindakan atau ucapan yang dikenalipasti sebagai “kemarahan”.

Selain itu, suatu lagi ancaman yang dapat mencetuskan kemarahan adalah apabila terdapat ancaman terhadap maruah atau harga diri seseorang – tidak kira samada ianya merupakan ancaman yang benar atau setakat andaian semata-mata. 

Tiada gunanya seseorang itu mempunyai segala kekayaan di dunia ini, tetapi merasakan dirinya tiada harga diri. Gejala ini terbukti dengan sebahagian berita-berita mengenai tokoh-tokoh selebriti dan hartawan, dari Barat mahupun Asia Timur, yang sanggup menamatkan kehidupan mereka tatkala rasa kehilangan harga diri (flight). Bagi sebahagian manusia yang lain, respons mereka pula mungkin ‘melawan’ dengan kemarahan (fight) jika maruah dan harga diri mereka rasa terancam.     

Di sini, anjuran agama sangat jelas dengan contoh larangan supaya tidak menjatuhkan martabat orang lain,  “…dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk..” (Al-Hujurat: 11)     

Dengan nas di atas, Allah swt sebenarnya telah menekankan peri pentingnya untuk memelihara harga diri sesama manusia.    

Adakalanya pula, kemarahan boleh timbul dalam seseorang tanpa sesuatu pencetus yang jelas. Ini mungkin berlaku kerana “perasaan terancam” telah tercetus akibat imbasan pengalaman lama, terutama sekali pengalaman-pengalaman sewaktu kanak-kanak semasa dalam penjagaan keluarga. Di sini perlu kita fahamkan bahawa bagi lazimnya, kefahaman mengenai ancaman-ancaman hidup boleh terbentuk dari sejak waktu kecil lagi (early childhood experiences). 

Pengalaman-pengalaman trauma seperti perasaan ditolak atau kurang dihargai oleh orang yang tersayang, dikutuk berlebih-lebihan, didera, dipersalahkan dan seterusnya, dapat membentuk kefahaman dan kepercayaan seseorang insan mengenai kehidupan dunia dan hubungan sesama manusia.

Kepercayaan seperti ini mampu mempengaruhi dan membentuk personaliti seseorang seperti sikap pesimistik, sikap rendah diri, sikap suka melaga-lagakan permusuhan antara manusia dan gangguan-gangguan personaliti yang lain. 

Oleh itu, sebahagian pihak sangat mudah untuk merasa sensitif, terancam dan “marah” kerana terdapat luka-luka nurani (attachment injury) dan “butang panas” yang belum pernah dirawati.  Konteks seperti ini sangat penting untuk kita fahamkan kerana mempraktikkan nasihat “jangan marah” tidak semudah itu. Sebagai contoh terakhir, adakalanya kemarahan itu berpunca bukan dari perasaan terancam, tetapi daripada perasaan tidak berdaya. Ini dapat dilihat dalam kes-kes yang mana seseorang dikelilingi pelbagai masalah, dan rasa buntu untuk mula mencari jalan penyelesaian. Kemarahan akan timbul apabila seseorang itu merasakan bahawa segala-galanya memerlukan usaha, sedangkan dia pula tidak mempunyai kemahiran untuk mengatasi masalahnya, atau merasakan dirinya diabaikan orang lain tanpa diberikan bantuan. 

Kemungkinan juga semua contoh yang diberikan di atas disatukan – rasa kehilangan harga diri, rasa nyawa mungkin kehilangan tanpa bantuan orang, rasa luka dari pengalaman silam, dan rasa tiada kemahiran untuk mengatasi masalah. Pada saat itulah, seseorang akan sangat mudah untuk mengamuk dan memberontak, dan lebih payah untuk emosinya untuk dikawal (emotional dysregulation).   

Maka, kita dapat melihat bahawa sesuatu kelakuan yang pada dasarnya kelihatan seolah-olah kemarahan, sebenarnya boleh membawa seribu erti. Kemarahan mungkin suatu cara untuk memelihara nyawa atau maruah, atau ia mungkin sesuatu jeritan meminta pertolongan.

Meredakan kemarahan

Secara lazim, ajaran Nabi saw untuk mengatasi kemarahan yang biasa disampaikan termasuklah kaedah seperti duduk sekiranya sedang berdiri, mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat. Kaedah-kaedah seperti ini juga dipraktikkan oleh psikologi moden. Istilah “timeout” sebenarnya sangat mirip pesanan Nabi saw. Tambahan pula, anjuran mengambil wuduk kerana marah itu seperti api yang perlu dipadamkan, juga sangat mirip dengan gerakan “mindfulness” yang menggalakkan seseorang untuk melakukan aktiviti-akitiviti harian secara khusyuk. Bayangkan apabila seseorang dapat menghayati wuduknya dengan niat untuk memadamkan api kemarahan, ini sesuatu yang dianggap “maju” dari kaca mata Barat, walhal ia merupakan sunnah yang telah lama diajarkan Nabi saw.

Secara umum pula, panduan Al-Quran menganjurkan supaya kita “ingat kepada Allah swt”, kerana itu yang akan membawa kepada ketenangan jiwa, “Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ (ingat kepada Allah) itu, tenang tenteramlah hati manusia” (Al-Ra`d: 28)  

Malahan, jika ayat di atas digabungkan dengan ilmu yang khusus untuk mengawal punca-punca kemarahan, nescaya ia berpotensi memberikan kesan yang lebih jitu, “…oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan (Ahl Al-Zikr i.e. ingat kepada Allah) jika kamu tidak mengetahui.” (Al-Nahl: 43)

Maka, berdasarkan punca-punca kemarahan yang telah dibentangkan di atas, berikut merupakan rumusan beberapa pendekatan untuk menguasai kemarahan:

• Menghuraikan konflik dengan menggunakan teknik-teknik yang bijaksana

• Muhasabah sejarah peribadi dan melihat akar kemarahan sendiri

• Memahami keadaan dan situasi yang dapat mencetuskan kemarahan, dan mengelakkannya

• Mempelajari cara-cara menguasai tubuh badan sebelum emosi “meletup”

• Meningkatkan kemahiran untuk menyelesaikan masalah praktikal seharian

• Melatih diri untuk melihat pencetus kemarahan dari sudut positif.

Kesimpulan

Rencana ini telah cuba melihat kaedah-kaedah untuk mengawal kemarahan seperti yang dianjurkan oleh Nabi saw.  Selain daripada kaedah yang reaktif, penulis telah mencuba untuk mengupas luahan kemarahan dan melihat punca-punca yang menyebabkan emosi kemarahan. Tujuannya semoga dengan pendekatan tersebut, gejala kemarahan dapat dielakkan selain mengawalnya apabila ia sudah mula meledak. Mudah-mudahan, dengan cara pencegahan, nasihat Rasulullah saw. supaya,“Jangan marah” dapat diamalkan secara proaktif, dan bukan dengan cara pasif atau reaktif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles