Terdapat pelbagai tafsiran dalam memahami erti kata jihad.
Jihad digunakan secara meluas dan mudah pada masa kini termasuk untuk membenarkan perjuangan bersenjata menentang pihak-pihak yang tidak sealiran dan sefahaman atas nama Al-Quran dan Hadis.
Naratif jihad yang disalah fahami ini juga menjadi sumber kefahaman masyarakat bukan Islam akan erti jihad dalam Islam.
Yang lebih membimbangkan, naratif yang sama juga difahami oleh sebilangan Muslim. Buktinya ialah bertambah bilangan anak-anak muda Muslim yang menyertai perjuangan bersenjata di luar negara yang didakwa oleh pihak tertentu sebagai jihad fi sabilillah yang sebenar.
Persoalannya ialah:
- Apakah maksud jihad yang sebenar?
- Adakah jihad hanya dikaitkan semata-mata dengan perjuangan bersenjata?
- Adakah jihad bersenjata masih lagi perlu pada hari ini, dan wajar dijadikan sebagai satu keperluan dan keutamaan masa kini?
- Jika tidak, apa pula jihad yang sepatutnya menjadi keutamaan kita pada hari ini?
Tulisan ini bertujuan untuk cuba memahami erti jihad menurut pandangan Islam dengan menjelaskan maksud jihad peperangan yang sebenar berdasarkan pendapat para ulama.
Di samping itu, ia juga akan menjelaskan bentuk jihad yang sepatutnya menjadi keutamaan kita pada hari ini.
Bagi menjelaskan perkara ini, saya akan membawa perspektif jihad sebenar yang perlu difahami oleh masyarakat Islam dan berhujah mengapa kebanyakan jihad bersenjata yang didakwa pada hari ini adalah bukan jihad tetapi sebenarnya adalah tindakan pelampauan dan keganasan.
Jihad Yang Disebutkan Dalam Al-Quran
Jihad dalam agama Islam bukanlah bermaksud berjuang dalam peperangan bersenjata semata-mata.
Bahkan lafaz jihad meliputi;
- berjuang sedaya kita dalam segala perkara termasuklah juga dari sudut jiwa dan harta
- bermujahadah menahan godaan hawa nafsu dan syaitan
- segala bentuk perjuangan fi sabilillah lain yang dilakukan kerana untuk mempertahankan agama Islam.[1]
Malah jika dikaji, kata ‘jihad’ terulang dalam Al-Quran sebanyak empat puluh satu kali dengan pelbagai bentuk lafaznya dan kebanyakannya merujuk kepada makna yang lebih luas dan umum dari sekadar maksud peperangan. [2]
Menurut Prof. Muhammad Quraish Shihab, perspektif dan sikap Al-Quran terhadap jihad bersenjata ialah kita diseru agar sedaya mungkin untuk menghindarinya dan tidak dilakukan kecuali setelah seluruh cara damai ditempuh.[3]
Ini berdasarkan firman Allah taala, “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakal lah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Anfal: 61)
Al-Quran juga turut menegaskan bahawa setiap peperangan itu juga harus ditamatkan apabila berakhirnya penganiayaan.[4]
Allah taala berfirman, “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah: 193)
Ertinya, jihad dalam Al-Quran menuntut kita selalu bersungguh-sungguh dan bermujahadah dalam mencapai tujuan tertentu seperti menahan hawa nafsu.
Manakala tuntutan untuk berjihad dalam peperangan hanya diperlukan pada saat-saat tertentu sahaja dan ianya pula perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Membezakan Antara Peperangan dan Pembunuhan
Jihad dalam Islam tidak terhad hanya pada peperangan mempertahankan diri sahaja.
Peperangan dalam sejarah Islam juga berlaku dalam bentuk ofensif.
Ini berlaku ketika zaman Nabi s.a.w., para sahabat dan juga kerajaan-kerajaan Islam selepasnya seperti pada zaman dinasti Umawiyyah, Abbasiyah dan Uthmaniyyah.
Perlu juga difahami bahawa objektif peperangan bersenjata ini pada dasarnya adalah untuk membebaskan umat manusia dari kegelapan dan kekufuran kepada keimanan, dan dari kezaliman pemerintah sebelumnya kepada kesejahteraan dan keadilan Islam.
Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, jihad bersenjata perlu mematuhi syarat-syarat yang tertentu.
Ia tidak boleh diisytiharkan sesuka hati kecuali oleh penguasa yang sah. Jika tidak, ia boleh membawa ke kancah pembunuhan dan bukan jihad peperangan yang menjanjikan ganjaran syahid.[5]
Inilah perkara yang berlaku pada perjuangan jihad beberapa kumpulan hari ini.
Ia sebenarnya bukanlah satu peperangan atau qisas (bunuh balas mengikut undang-undang Islam) tetapi merupakan pembunuhan dan berunsur jenayah, selain ianya bukan merupakan jihad yang sebenar.
Menurut Sheikh Ahmed Al-Tayyib, Sheikh Al-Azhar, terdapat dua perbezaan nyata antara al-qatl (pembunuhan) dan al-qital (peperangan). Pembunuhan bermakna keupayaan membunuh pihak lain dengan senjata. Manakala peperangan ialah antara dua pihak yang saling menyerang.[6]
Adapun yang masuk dalam istilah jihad adalah al-qital sahaja dan tidak al-qatl.
Memahami dan Mematuhi Etika Peperangan
Peperangan dalam Islam juga perlu mematuhi garis pandu dan etika peperangan yang diajarkan agama dan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Ia tidak boleh melampaui batas yang telah ditetapkan agama seperti yang difirmankan oleh Allah taala, “Dan perangilah dijalan Allah orang-orang yang memerangi kalian, dan janganlah kalian melampaui batas; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Al-Baqarah: 190)
Dalam hal ini, kita akan dapati Islam bukan sahaja memberi garis pandu yang jelas dalam peperangan seperti larangan membunuh kanak-kanak atau orang tua yang tidak berdaya, tetapi juga melarang melakukan kerosakan terhadap tanaman dan tumbuh-tumbuhan.[7]
Namun apa yang yang diamalkan oleh beberapa kumpulan hari ini menjadikan nyawa manusia, baik Muslim atau bukan Muslim, begitu murah dan tidak mempunyai makna apa-apa.
Malah, terdapat juga penyiksaan dan pembunuhan terhadap umat Islam sendiri, samada kerana tidak mematuhi ajaran Islam ataupun kerana dakwaan bersekongkol dengan perikatan Barat.
Apa yang berlaku ini sebenarnya lebih hampir pada pembunuhan dari peperangan.
Ia jauh dari mematuhi etika dan adab peperangan yang perlu dipatuhi dan telah digariskan dalam Islam.
Keperluan Berjihad Pada Hari Ini
Apakah masih ada lagi keperluan untuk berjihad pada hari ini?
Jihad memang dibenarkan dalam keadaan seperti di Palestin yang mana tanah umat Islam diceroboh oleh kuasa asing dengan tujuan menjajah atau mengusir warga asal negara tersebut.
Namun perlu diperhatikan bahawa pada masa kini, umat Islam rata-rata bebas mengamalkan ajaran agama dan diberi hak sebagai warga negara, walaupun hidup dan tinggal di negara sekular atau di negara yang majoritinya penduduk bukan Islam.
Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh Al-Jihad, menyampaikan dakwah melalui jihad secara ofensif terhadap golongan bukan Muslim bukanlah cara yang sesuai bagi menyampaikan dakwah pada masa kini.
Ini memandangkan bahawa pada hari ini umat Islam mempunyai pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk menyampaikan dakwah Islam tanpa menggunakan kekerasan atau tindakan ketenteraan.
Beliau turut menggesa supaya umat Islam memanfaatkan sumber manusia dalam menyampaikan dakwah yang juga merupakan satu jihad.
Dengan wujudnya media sosial, dakwah juga sudah menjadi tidak bersempadan dan semakin mudah untuk disebar luaskan.
Menjadi tanggungjawab individu Muslim memanfaatkan kemudahan teknologi hari ini dengan menyebarkan luaskan keindahan Islam dengan gaya bahasa yang mudah difahami masyarakat hari ini dan dalam membantu membasmi salah faham masyarakat terhadap Islam, khususnya erti kata jihad yang sebenar.[8]
Malah apa yang diperlukan pada hari ini ialah untuk kita melahirkan individu-individu Muslim yang hebat bagi meningkatkan kemajuan masyarakat Islam di samping menjadi seorang Mukmin yang bertakwa.
Sebagai contoh, kita perlu melahirkan lebih ramai lagi insan seperti Muhammad Yunus, seorang Muslim warga Bangladesh yang mengasaskan Bank Grameen, yang mana antara objektif utamanya ialah memberi pinjaman modal bagi bakal-bakal usahawan dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah.[9]
Ini juga satu contoh jihad yang hebat bagi menunjukkan kecemerlangan seorang Muslim kepada warga dunia.
Jihad Madani Merupakan Jihad Yang Paling Utama Pada Hari Ini
Inilah yang disebutkan oleh Al-Qaradawi sebagai ‘jihad madani’, iaitu jihad yang bertujuan memenuhi seluruh keperluan masyarakat yang pelbagai, merawat berbagai-bagai permasalahan mereka, menampung segala tuntutan material dan dalaman yang menjadi sebab kemajuan dalam semua sektor sehingga masyarakat dapat mencapai suatu kedudukan yang mulia dan dihormati.[10]
Atas dasar ini, para pejuang pembaharuan dari kalangan ulama sentiasa menyeru umat Islam untuk mengutamakan dan mendahulukan pendidikan dan pembinaan syakhsiah dari jihad bersenjata.[11]
Maka langkah ke hadapan ialah mengutamakan jihad untuk memperbaiki mutu kehidupan masyarakat Islam sendiri yang banyak ketinggalan dalam pelbagai bidang utama dalam kehidupan.
Dunia hari ini di kuasai oleh orang bukan Islam.
Kebanyakan negara-negara Timur Tengah masih bergantung kepada kuasa Barat dalam memajukan ekonomi.
Manakala banyak negara Islam yang miskin dan tidak dapat memberikan pendidikan yang terbaik pada warga mereka.
Malah, negara-negara Islam juga bergantung kepada negara bukan Islam bagi membeli peralatan tentera.
Di negara kita sahaja dan Nusantara ini, banyak lagi usaha yang perlu kita perjuangkan bagi kemajuan ekonomi, pendidikan dan lain-lain bidang yang masyarakat Islam masih ketinggalan.
Pastinya, inilah yang perlu difikirkan dan menjadi jihad yang utama oleh masyarakat Islam hari ini, bukannya sibuk bercakaran sesama sendiri dalam membincangkan isu-isu remeh atau perkara yang khilaf dalam agama atau mempunyai cita-cita berjihad di luar negara, sedangkan jihad yang lebih utama dan wajib untuk kita pada hari ini sebenarnya wujud di hadapan mata kita.
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Rujukan:
[1] Rejab Abu Meleh (2014), Fauwaz Fadzil Noor (terj), Ringkasan Fiqh Jihad Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Kuala Lumpur: Telaga Biru, ms. 2.
[2] Muhammad Quraish Shihab (1996), Wawasan Al-Quran, Jakarta: Penerbit Mizan, ms. 515.
[3] Ibid.
[4] Ibid., ms. 517.
[5] Lihat Al-Mawardi, Al-Ahkam Al-Sultaniyyah, ms. 139. Dinukil dalam Sa’id Ramadhan Al-Buti (1999), Fiqh Al-Sirah Al-Nabawiyyah, Beirut: Dar Al-Salam, ms. 292.
[6] Lihat http://www.waag-azhar.or.id/index.php/2014-04-16-08-29-52/artikel-keislaman/208-konsep-jihad-dalam-islam-bagian-i
[7] Muhammad bin Muhammad Al-Khatib Al-Syarbini (t. t.), MughniAl-Muhtaj Ila Ma`ifat Ma`ani Alfaz Al-Minhaj, j. 4, ms. 223.
[8] Rejab Abu Meleh, Ringkasan Fiqh Jihad Dr Yusuf Al-Qaradhawi, ms. 46.
[9] Lihat biodata, di http://www.muhammadyunus.org/index.php/professor-yunus/cv
[10] Rejab Abu Meleh, Ringkasan Fiqh Jihad Dr Yusuf Al-Qaradhawi, ms. 47.
[11] Yusuf Al-Qaradhawi (2013), Ahmad Nuryadi Asmawi (terj.), Fiqh Keutamaan (Al-Awlawiyyat), Kuala Lumpur: Thinkers Library, ms. 245.