Kesederhanaan Dalam Menghadapi Wabak Covid-19 | Wasat No. 33 / Jun 2020

wasat

2

Kesederhanaan Dalam Menghadapi Wabak Covid-19

01 June 2020 12:02 am // Written by Ahmad Saiful Rijal Bin Hassan

Mutakhir ini, dunia telah dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 yang telah meragut lebih dari 283  ribu nyawa dan sekitar 4.1 juta pesakit yang dijangkiti virus tersebut menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).[i] Manakala di Singapura pula, 21 mangsa telah terkorban dan hampir 24 ribu pesakit dijangkiti sejauh ini.[ii]

Hal ini telah menjejas kehidupan seharian masyarakat dunia. Ada yang terjejas ekoran perintah berkurung dan ada juga yang telah hilang mata pencarian. Bagi umat Islam pula, masjid-masjid merata dunia telah ditutup sebagai langkah pencegahan termasuk Singapura. Namum apakah sikap umat Islam yang dianjurkan Islam dalam menghadapi ujian sebegini?

 

Penutupan masjid-masjid di Singapura

Ekoran dari beberapa anggota jemaah tabligh yang diuji positif menghidap Covid-19, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengisytiharkan penutupan semua masjid-masjid di Singapura buat sementara bagi membendung penularan virus tersebut. Penutupan ini kemudian dilanjutkan sehingga wabak Covid-19 bertambah baik dan selamat bagi masjid-masjid untuk dibuka pintu semula.

Ramai yang menyambut baik akan keputusan yang diambil oleh MUIS, tetapi ada beberapa pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati. Ada pula yang melontarkan tohmahan dan cacian terhadap MUIS bahkan Mufti sendiri atas keputusan tersebut. Rasa tidak puas hati ini mungkin lahir dari mereka yang merasakan masjid di Singapura tidak perlu ditutup kerana ia adalah tempat yang aman dan mana mungkin masjid itu sebagai rumah Allah boleh ditutup.

Perlu difahami di sini keutamaan utama syariat Islam adalah untuk melindungi jiwa dari semua bahaya dan kerosakan. Penutupan masjid saat ini tidak melanggar dasar syariat Islam. Berpaksikan kaedah fikih, Dar’ Al-Mafasid Muqaddam `Ala Jalb Al-Masalih (menghindari kerosakan didahulukan dari meraih manfaat). Kaedah ini ditujukan pada berbagai-bagai hal yang besar kemungkinan akan menimbulkan bahaya yang boleh membawa kepada kesulitan dan kesempitan pada diri seseorang dan masyarakat luas.

Selanjutnya, Pejabat Mufti juga telah mengambil panduan dengan golongan yang pakar dalam masalah ini termasuk Kementerian Kesihatan. Golongan pakar yang dimaksudkan selari dengan konsep Ahl Al-Zikr (mereka yang mempunyai ilmu dalam bidang tertentu) dalam firman Allah taala, “…maka bertanyalah kamu kepada Ahl Al-Zikr (berilmu) jika kamu tidak mengetahui.” (Al-Nahl: 43 dan Al-Anbiya’: 7)

Keputusan yang diambil oleh Pejabat Mufti bukanlah satu perkara yang ditolak oleh ulama dunia. Dewan Ulama Al-Azhar Mesir telah mengeluarkan fatwa yang sama. Termasuk juga negara-negara Islam yang lain seperti Malaysia, Kuwait dan Arab Saudi. Keputusan yang diambil adalah sukar, tapi diperlukan.

Para ulama sedunia kini tampak sebulat suara mengambil jalan tengah dan sesuai bagi keadaan yang rumit ini. Sesuai dengan pepatah Arab Al-Wiqayah Khair Min Al-`Ilaj (pencegahan itu lebih baik daripada rawatan).

 

Perbetulkan sikap dan ambil langkah pencegahan

Dalam masa yang getir ini, umat Islam tidak seharusnya berbalah. Sebaliknya, hendaklah bersikap tenang dan tidak gopoh dalam menghukum tanpa dasar ilmu.

Penutupan sementara masjid-masjid bukanlah alasan bagi tidak melaksanakan tanggungjawab ibadah atau bersikap lewa dalam mentaati perintah Allah.

Ungkapan “Kami tidak takut virus. Kami takut Allah.” adalah benar tapi digunakan untuk tujuan yang tidak benar kerana takut kepada Allah itu seharusnya membuat kita taat akan perintahNya termasuk ajaran RasulNya.

Nabi Muhammad s.a.w menyuruh kita untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengelak daripada penularan wabak dalam hadis,

“Tidak ada penyakit menular (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu, dan tidak ada bala (bencana) pada bulan Safar (seperti yang dipercayai). Larilah dari penyakit kusta sebagaimana engkau lari dari singa.” (Riwayat Al-Bukhari)

Andai kata wabak ini adalah satu musibah yang melanda manusia di muka bumi, umat Islam sepatutnya mencari jalan keluar bagi menangani wabak ini kerana orang tidak harus menjadi golongan yang suka mengeluh, menuding jari dan berserah tanpa berusaha mencari penyelesaian.

Sikap yang dinyatakan di atas juga tidak wajar kerana Islam tidak mengajak kepada kebinasaan dan kerosakan apatah lagi yang melibatkan ancaman nyawa.

Allah berfirman,

 “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” (Al-Baqarah: 195)

Maka mengambil langkah berwaspada dan hati-hati dalam keadaan darurat seperti ini amat dituntut oleh Islam. Malah umat Islam diperintah berusaha dengan sebaiknya untuk memperbaiki keadaan, bukan mengeruhkan keadaan kemudian bertawakal kepada Allah.

Tawakal bukanlah bermaksud hanya menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha dengan sungguh-sungguh kemudian baru berserah kepada Allah sejajar dengan hadis Nabi,

“Daripada Anas bin Malik berkata: Telah berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah! Adakah aku ikatnya (unta) kemudian bertawakkal atau aku lepaskannya kemudian bertawakkal? Baginda menjawab: “Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal.” (Riwayat Al-Tirmidhi)

Umat Islam tidak harus membebankan diri sendiri dengan tidak mengambil langkah pencegahan. Menyempitkan apa yang telah diringankan dalam agama bukan daripada syariat Islam adalah satu bentuk pelampauan kerana Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan atau memberatkan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,

“Sesungguhnya agama ini mudah, dan tidaklah seseorang berlebih-lebihan dalam urusan agama melainkan agama akan mengalahkannya, maka tepatkanlah, dekatkanlah, dan bergembiralah, minta bantuanlah dengan (melaksanakan ketaatan) di waktu pagi, petang, dan sebahagian malam hari” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Terus bersabar dan berdoa

Syarak menuntut seorang Mukmin bersikap sabar dalam keadaan kesusahan dan terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah sebagaimana firman Allah taala,  “…jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (Al Imran: 186)

Antara amalan untuk meningkatkan ketakwaan adalah berdoa dan bermunajat kepada Allah taala agar dihindari dari wabak Covid-19 dan supaya keadaan kembali pulih seperti biasa.

Antara doa-doa yang diamalkan oleh Nabi s.a.w adalah;

Pertama:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

 “Dengan nama Allah yang tidak memudaratkan bersama namaNya oleh sesuatu di bumi dan di langit sedangkan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.(Riwayat Abu Daud)

Kedua:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَالْبَرَصِ، وَسَيِّئِ الْأَسْقَامِ

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada penyakit gila, kusta, sopak dan sebarang jenis penyakit yang menggerunkan.” (Riwayat Al-Nasa’ii)

Ketiga:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

“Aku berlindung dengan kalimat-kalimah Allah yang Maha Sempurna dari sebarang kejahatan yang diciptakan.” (Riwayat Muslim)

Penutup

Banyak yang dapat dipelajari dari episod ini jika dilihat dengan kacamata yang positif. Salah satunya adalah usaha dalam melawan wabak Covid-19 boleh dilihat sebagai satu ibadah jihad dalam agama kerana maksud dari jihad itu luas.

Syaikh Al-Azhar Ahmad Tayyeb memberi definisi jihad sebagai usaha keras dalam mentaati Allah taala dengan melaksanakan perintahNya di samping menjauhi laranganNya.

Ini boleh meliputi usaha dalam mengekang wabak Covid-19. Masyarakat harus mengamalkan tabiat murni seperti menjaga kebersihan diri dan menyemai sifat ihsan dan bersingsing lengan baju untuk memberikan sokongan kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan.

Marilah kita renungkan firman Allah dalam Surah Al-Asr yang mana kita dianjurkan untuk mengerjakan amal saleh dan saling menasihati sesama dalam kebenaran dan juga dalam menepati kesabaran:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Al-`Asr: 1-3)


 

Rujukan

[i] World Health Organization (2020), Coronavirus disease (COVID-19) pandemic, 13 May, available at https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019 (14 Mei 2020)

[ii] Ministry of Health Singapore (2020), Updates on Covid-19 (Coronavirus Disease 2019) Local Situation, 13 May, available at https://www.moh.gov.sg/covid-19 (14 Mei 2020).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles