“Membazir masa lebih berat daripada kematian kerana ia memisahkan kamu daripada Allah dan hari akhirat, sedangkan kematian hanya memisahkan kamu daripada kehidupan dan ahlinya.” Ibn Qayyim
Kehidupan manusia di dunia ini berbeza-beza dari segi umur, harta, kesihatan dan sebagainya, namun masa yang dianugerahkan kepada setiap manusia tidak sekali berbeza iaitu 24 jam sehari. Seringkali terdengar keluhan mengenai kekurangan atau ketiadaan masa terutama di negara yang pesat membangun yang bergaya hidup pantas dan “berkejaran”. Hal ini diburukkan lagi dengan kesukaran untuk mengimbangi masa antara pekerjaan dan kekeluargaan; antara bermuamalat sesama manusia dan beribadah kepada Allah; antara kehidupan dunia dan kehidupan Akhirat, yang memberi kesan terhadap kehidupan seseorang.
Oleh itu, keupayaan untuk mengurus masa bagi mencapai keseimbangan dalam memenuhi pelbagai keperluan hidup adalah penting.
Persoalannya, bagaimanakah cara memanfaatkan setiap detik masa yang berlalu bagi mengimbangi aspek-aspek tersebut?
Di dalam buku Al-Waqtu Fi Hayat Al-Muslim (Waktu Dalam Kehidupan Muslim), Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi memberikan tiga ciri masa iaitu, 1) ia berlalu dengan pantas, 2) masa yang berlalu tidak dapat kembali dan diganti, dan 3) ia milik manusia paling berharga.
Kerana tiga ciri ini, kegagalan manusia dalam mengimbangi dan mengurus masa bagi perkara-perkara yang bermanfaat akan menyebabkannya jatuh dalam golongan orang-orang yang rugi sebagaimana firman Allah taala,
“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” (Al-Asr: 1-3)
Ustaz Syed Abdillah Ahmad Al-Jufri ketika memberi penjelasan terhadap surah ini di dalam tafsirnya Pelita Al-Quran menulis,
“Surah yang mengandungi pengertian yang kuat ini diturunkan hanya dengan tiga ayat sahaja. Ini jelas menunjukkan mukjizat Al-Quranul-karim dalam susunan ayatnya supaya mudah diingat oleh setiap Muslim dan Muslimah. Orang-orang Islam di masa lampau menyedari betapa pentingnya surah ini.”
Namun seringkali, surah yang ringkas dan mudah diingat ini diabaikan manusia dalam menikmati masa dalam hidup sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, “Dua nikmat yang kebanyakan manusia lalai untuk memanfaatkannya dengan sebaik mungkin adalah kesihatan dan waktu lapang.” (Riwayat Al-Bukhari)
Prof. Zaini Ujang di dalam bukunya Pengurusan Masa: Konsep dan Penghayatan menjelaskan bahawa kelemahan dalam memanfaatkan masa dapat menimbulkan pelbagai kesan:
Terhadap Individu
Mereka yang tidak pandai mengurus dan memanfaatkan masa akan sentiasa dikenali sebagai pekerja atau individu yang tidak berkesan dan produktif.
Terhadap Keluarga
Pengabaian masa menyebabkan mereka terlepas peluang untuk memajukan keluarga dari segi ekonomi, emosi dan kerohanian.
Terhadap Organisasi
Anggota organisasi yang tidak pandai mengurus dan memanfaatkan masa akan menjejaskan imej dan prestasi organisasi.
Terhadap Negara
Rakyat yang tidak pandai mengurus dan memanfaatkan masa akan memundurkan negara kerana tidak menggunakan tenaga kerja dan sumber secara optimum dan berkesan.
Dalam Islam, kesan dari pengabaian masa bukan hanya terhadap kehidupan di dunia, tapi juga di Akhirat. Di Akhirat nanti, ia bakal dipertanggungjawabkan dan disoal. Rasulullah s.a.w bersabda,
“Pada hari kiamat, kaki seseorang hamba itu tidak bergerak sehingga dia ditanya tentang empat perkara: mengenai umurnya bagaimana dia habiskan, masa mudanya bagaimana dia lalui, hartanya dari mana dia dapatkan dan ke mana dia belanjakan, dan tentang ilmunya bagaimana dia amalkan.” (Riwayat Al-Turmuzi)
Masa dan keseimbangan hidup
Keperluan mencari rezeki tidak seharusnya menjadikan seorang Muslim itu lemah dalam beribadah kepada Allah taala. Seorang yang kuat beribadah kepada Allah taala pula tidak seharusnya menjadi seorang Muslim yang tidak produktif dalam pekerjaan. Ini dapat dilihat bagaimana Rasulullah s.a.w dan para sahabat menguruskan masanya dengan baik dan mengimbangi antara kehidupan dunia dan Akhirat; mereka menjadi pemimpin, panglima, peniaga tetapi ketaatan mereka terhadap Allah taala tidak diabaikan dan mereka sibuk dengan urusan masyarakat tetapi tidak mengabaikan urusan kekeluargaan. Pelajaran boleh diambil dari kisah antara Salman r.a. dan Abu Darda’ yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari.
Dari Abu Juhaifah Wahb bin Abdillah r.a. berkata: Nabi s.a.w pernah mempersaudarakan antara Salman dan Abu Darda’. Tatkala Salman menziarahi rumah Abu Darda’, ia melihat Ummu Darda’ (isteri Abu Darda’) dalam keadaan mengenakan pakaian yang serba kusut. Salman pun bertanya padanya, “Mengapa keadaan kamu seperti itu?” Wanita itu menjawab, “Saudaramu Abu Darda’ sudah tidak mempunyai hajat lagi pada keduniaan.” Kemudian Abu Darda’ datang dan ia membuatkan makanan untuk Salman. Setelah selesai Abu Darda’ berkata kepada Salman, “Makanlah, kerana saya sedang berpuasa.” Salman menjawab, “Saya tidak akan makan sebelum engkau pun makan.” Maka Abu Darda’ pun makan. Pada malam harinya, Abu Darda’ bangun untuk mengerjakan solat malam. Salman pun berkata padanya, “Tidurlah.” Abu Darda’ pun tidur kembali. Ketika Abu Darda’ bangun hendak mengerjakan solat malam, Salman berkata lagi padanya, “Tidurlah!” Hingga pada akhir malam, Salman berkata, “Bangunlah.” Lalu mereka solat bersama-sama. Setelah itu, Salman berkata kepadanya, “Sesungguhnya bagi Tuhanmu ada hak, bagi dirimu ada hak, dan bagi keluargamu juga ada hak. Maka penuhilah masing-masing hak tersebut.” Kemudian Abu Darda’ mendatangi Nabi s.a.w lalu menceritakan apa yang berlaku. Beliau s.a.w lantas bersabda, “Salman itu benar.”
Islam tidak hanya menyuruh menumpukan sepenuh masa pada kehidupan Akhirat yang kekal dan mengabaikan kehidupan dunia yang fana atau sebaliknya menumpukan kehidupan dunia dan mengabaikan kehidupan Akhirat. Yang diperintahkan adalah kedua-duanya dalam bentuk yang seimbang. Oleh itu, keupayaan mengatur masa amatlah perlu supaya meraih kejayaan kedua-duanya sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah taala,
“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas: 77)
Umur dan produktiviti
Umur adalah satu misteri kehidupan kerana tiada siapa yang tahu berapa lamakah umur seseorang di dunia. Namun ini tidak seharusnya menjadikan manusia mengambil ringan akan perjalanan usianya.
Hal ini diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya, “Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara, masa mudamu sebelum datang masa tuamu; masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu; masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu; masa luangmu sebelum datang masa sibukmu; masa hidupmu sebelum datang masa matimu.” (Riwayat Al-Hakim)
Dalam hal ini, Muslim harus mengambil pelajaran dari sejarah ulama silam yang mana manusia masih dapat meraih manfaat dari mereka walau pun jasadnya telah lama tiada dan tempoh usia mereka hidup tidaklah lama. Malah manfaat yang telah mereka usahakan itu membuatkan mereka seakan masih wujud dan hidup bersama kita hingga hari ini. Sebagai contoh Imam Al-Syafi`ii hidup selama 54 tahun, Imam Al-Nawawi hidup hanya 45 tahun dan Imam Al-Ghazali pula hidup hanya selama 55 tahun. Tetapi khazanah ilmu mereka yang dicurahkan kepada umat masih lagi dapat dimanfaatkan melalui kitab-kitab karangan mereka.
Sebuah buku yang baik untuk dibaca dan memberi motivasi ialah kitab Qimat Al-Zaman `Ind Al-Ulama’ oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Buku ini menceritakan bagaimana para ulama dahulu memanfaatkan setiap detik masa mereka dan menghasilkan karya kitab yang tidak terbilang banyaknya untuk manfaat umat.
Antara contoh-contoh yang disebut ialah kisah Khatib Al-Baghdadi yang berjalan sambil menelaah buku, Al-Hafiz Al-Munziri yang sibuk dengan ilmu walaupun sedang makan, Ibn Jarir menulis sebanyak 40 helai setiap hari dan Imam Al-Nawawi membaca 12 mata pelajaran berserta penelitian dan hujah setiap hari.
Hal ini pasti tidak tercapai tanpa pengurusan masa yang baik yang natijahnya ialah mereka seakan masih hidup sehingga kini dengan meninggalkan karya penulisan dan ilmu yang hebat. Ibnu Atha`illah di dalam Hikam menyebut,
“Adakala seseorang itu diberikan umur yang panjang, tetapi sedikit sahaja hasil manfaatnya. Adakala seseorang itu diberikan umur yang pendek, tetapi banyak sekali hasil manfaatnya.”
Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi di dalam bukunya Fiqh Al-Awlawiyyat pula menulis, “…ada orang yang meninggal dunia sebelum dia mati. Umurnya telah habis padahal dia masih hidup. Tetapi ada orang yang dianggap masih hidup setelah dia meninggal dunia. Ini disebabkan dia meninggalkan amal-amal soleh, ilmu yang bermanfaat, keturunan yang baik, murid-murid yang dianggap dapat memanjangkan umurnya.”
Kepentingan keutamaan
Sering kali kehidupan akan berlaku pertembungan antara perkara-perkara yang perlu dilaksanakan disebabkan masa yang amat terhad.
Pada ketika ini menyusun keutamaan amatlah mustahak kerana kesalahanan mengatur keutamaan akan membuatkan perkara yang perlu diselesaikan tidak tercapai. Malah, ia akan menambah kekusutan dan masalah. Kepentingan memerhatikan keutamaan telah dihuraikan secara baik oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi di dalam bukunya Fiqh Al-Awlawiyyat.
Apabila gagal, kenal pasti keutamaan. Pengabaian boleh berlaku seperti pengabaian keluarga kerana terlalu memberatkan semua perkara berkaitan pekerjaan. Pilihan bijak juga perlu dibuat berdasarkan keutamaan antara pendidikan dan pekerjaan bagi menjamin masa depan yang baik bagi golongan remaja. Bagi golongan yang berumur pula, perlu mengimbangi manakah yang lebih utama antara kesihatan dan pekerjaan bagi mengelak kesukaran hidup di hari muka.
Tidak dinafikan bahawa hidup di negara yang pesat membangun memerlukan masyarakat yang produktif dan bekerja keras agar tidak tenggelam di dalam arus kemodenan, namun ketidakseimbangan terhadap penumpuan masa dan memerhatikan keutamaan akan memberikan kesan yang tidak diingini.
Masa dan teknologi
Kehidupan manusia hari ini tidak dapat lari dari teknologi. Teknologi telah banyak mambantu urusan manusia dari segi memudahkan; mempercepatkan; memperbanyakkan; menjimatkan dan sebagainya. Malah jika sesuatu teknologi itu gagal berfungsi, ia akan memberi kesukaran dan kegenjotan dalam kehidupan. Kebergantungan manusia terhadap teknologi amat ketara sehinggakan menimbulkan tanda tanya: adakah manusia memerlukan teknologi untuk hidup atau teknologi memerlukan manusia untuk hidup?
Hal ini dapat dilihat pada hakikat bahawa masa boleh disingkatkan dan urusan boleh dipercepatkan dengan bantuan teknologi. Manusia boleh mendapat dan menyampaikan maklumat dengan pantas melalui internet. Masa perjalanan ke sesuatu tempat pula dapat disingkatkan dengan pangangkutan canggih yang pelbagai. Penghasilan produk juga dapat dipermudahkan dengan bantuan mesin-mesin yang cekap dan pantas yang jauh mengatasi upaya manusia.
Namun, mengapakah kehidupan moden yang dikerumuni oleh kemudahan teknologi membuatkan seseorang itu semakin kurang masa malah tiada masa? Tidakkah sepatutnya manusia hari ini mempunyai lebih banyak masa kerana teknologi telah banyak membantu dalam kehidupan seharian manusia. Di sinilah sekali lagi menunjukkan kepentingan pengurusan masa kerana tanpanya, teknnologi yang canggih yang membantu mengurangkan pekerjaan dan melapangkan masa manusia tetap tidak akan dapat membantu keseimbangan dalam mencapai keperluan hidup di dunia dan Akhirat. Bahkan jika Allah taala menambah lagi masa dalam kehidupan manusia ini, seperti sehari ditambah lebih dari 24, jam, seminggu lebih dari 7 hari dan setahun lebih dari 12 bulan, sekali pun, ia tidak akan bermanfaat bagi manusia jika segala tambahan itu terabai disebabkan gagal mengurus masa yang diberi.
Shaykh Hamza Yusuf, pengasas Kolej Zaytuna di Amerika Syarikat, berkata,
“Pembohongan besar oleh seseorang itu ialah bila dia berkata, “Saya tidak mempunyai masa”. Yang betul ialah, “Saya tidak menggunakan masa saya dengan bijaksana agar mempunyai masa yang mencukupi”.”