Saya pernah terbaca sebuah ungkapan di media sosial yang dalam usahanya untuk menghimbau orang ramai untuk menghadiri sebuah majlis keagamaan telah menyarankan pengambilan cuti sakit (MC) jika terikat dengan urusan kerja. Terdapat juga kenalan yang mengadu kepada saya tentang sebuah majlis yang berlangsung hingga agak lewat malam dan pengacaranya memberikan anjuran yang sama: ambil MC esok! Seorang penceramah pula ketika majlisnya berlangsung hingga lewat malam menepis kegusaran sebahagian ibu bapa yang hadir bersama anak-anak mereka tentang peperiksaan yang bakal dihadapi anak mereka keesokan harinya dengan menyuruh mereka untuk ‘melupakan tentang peperiksaan’ dan fokus kepada intipati majlis yang sedang dipimpinnya.
Saya menyimpulkan bahawa masih terdapat permasalahan di kalangan sebahagian daripada masyarakat kita di dalam perkara berikut:
1. Menitikberatkan nilai masa
2. Memenuhi komitmen terhadap urusan perjanjian, terutama dalam berurusan dengan masyarakat bukan Muslim
3. Menempatkan nilai dunia pada tempatnya
Saya berharap artikel yang ringkas ini dapat meneguhkan pendirian kita untuk menjadi seorang Muslim yang mengambil berat tentang urusan masa, berpegang teguh pada janji dan menjadikan dunia sebagai batu loncatan kita ke Akhirat. Saya akan mengambil beberapa contoh daripada sirah Rasulullah s.a.w agar kita dapat melihat sendiri bagaimana Baginda menguruskan masa, perjanjian dan dunia yang kita warisi ini.
Menitikberatkan nilai masa
Tidak dapat dinafikan bahawa masa merupakan suatu yang diiktiraf kepentingannya namun tidak diberikan kepentingan yang sepatutnya di dalam perlaksanaan harian kita. Di dalam membicarakan perihal masa, kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa kepentingannya sudah sedia termaktub di dalam surah Al-`Asr. Bahkan, ciri orang yang dikasihi Allah taala itu sendiri dikaitkan dengan faktor masa sebagaimana yang disebutkan oleh Rasululah s.a.w di dalam hadis yang berikut;
Saidina Abdullah Ibn Mas’ud r.a. berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, amalan apakah yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab, “Solat pada waktunya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Di dalam Perang Badar faktor masa memainkan peranan penting di dalam memberi kelebihan bagi tentera Rasululluh s.a.w. Ketibaan Rasulullah s.a.w di Badar pada malam 17 Ramadan telah memberi tentera beliau waktu yang cukup untuk merancang strategi yang terbaik, menguasai sumber air dan berehat, berbanding tentera Quraisy yang hanya tiba pada keesokan hari. Hakikat ini, digabungkan dengan faktor keimanan yang luar biasa, pergantungan yang utuh tentera Muslimin dengan Allah, keberanian mereka dan bantuan para malaikat telah menyebabkan kekalahan bagi tentera Musyrikin.
Sebahagian kita mungkin berpendapat bahawa lokasi Badar lebih dekat dengan kota Madinah berbanding dengan kota Mekah. Namun, kelebihan jarak itu sangat bergantung kepada kesungguhan kita untuk mencapainya kerana ramai yang masih tiba lewat di tempat kerja atau sekolah walau pun tinggal di lokasi yang berdekatan.
Sikap yang sama juga ditunjukkan oleh para sahabat r.a.. Saidina Khalid bin Walid ketika memimpin tentera Islam, amat menitikberatkan kepentingan masa di dalam menentang tentera Rom dan Parsi, walau pun tentera Islam datang dari daerah yang lebih jauh dari pihak musuh.
Dalam konteks Perang Badar yang dibicarakan, sejarah merakam bahawa tentera Quraisy dari Mekah tiba lewat kerana kerana malam-malam sebelumnya mereka menghabiskan dengan pesta arak dan tarian. Hal ini menjadi satu contoh yan biasa berlaku di kalangan kita bahawa kegagalan untuk menepati waktu seringkali disebabkan kegagalan untuk mengenalpasti dan memberikan keutamaan terhadap perkara yang lebih penting.
Kepentingan menepati janji di dalam berurusan sesama manusia
Kita semua maklum akan sebuah hadis yang masyhur tentang tanda-tanda orang munafik yang sangat kuat terkait dengan perkara menepati janji iaitu, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (Riwayat Al-Bukhari)
Namun, mungkin ada sebahagian kita yang mungkin merasakan bahawa perikatan janji ini hanya terkait dengan hubungan sesama Muslim sahaja dan merasakan tidak penting untuk menepati perjanjian dengan yang bukan Muslim. Sekali lagi Rasulullah s.a.w. menunjukkan betapa tinggi nilainya sebuah perjanjian yang dimeterai walaupun dengan musuh sekalipun.
Kita semua maklum bahawa Perang Uhud berkesudahan dengan kekalahan tentera Muslimin. Ketua Musyrikin, iaitu Abu Sufian Bin Harb menganggap bahawa kemenangan tentera Musyrikin di dalam Perang Uhud sebagai penebus bagi kekalahan mereka di dalam Perang Badar. Maka beliau mencabar Rasulullah s.a.w untuk bertemu di Uhud pada tahun berikutnya untuk pertempuran penentuan. Cabaran ini disahut oleh Baginda. Perhatikan suasana ketika cabaran tersebut dibuat: ia dibuat di tengah-tengah kancah peperangan di dalam suasana yang diselubungi emosi: tentera Musyrikin yang dilambung perasaan angkuh dan puas, sedangkan tentera Muslimin yang hiba melihat keadaan Rasulullah s.a.w dan 70 sahabat yang syahid. Bahkan tiada kepastian samada cabaran Abu Sufian itu suatu janji yang benar atau sekadar hanya unjuk rasa bongkak. Selama setahun, tiada apapun susulan dari pihak Musyrikin kepada cabaran yang dibuat. Namun Baginda tetap memberikan perhatian kepada janji yang dibuatnya ketika itu. Maka pada bulan Syaaban tahun berikutnya, Baginda bergerak ke Uhud dan berkhemah di sana selama 8 hari bagi membuktikan kesungguhannya mengotakan janjinya, sedangkan musim kemarau sedang melanda ketika itu.
Tentera Musyrikin tidak kunjung tiba dan akhirnya tentera Muslimin pulang ke Madinah sebagai suatu kuasa yang disegani: kerana bersedia untuk penuhi cabaran yang dilontarkan kepada mereka.
Seringkali kita berjanji, namun janji kita tidak ditepati kerana janji tersebut dipudarkan oleh faktor masa dan ketentuannya: ada masa kita didatangi suasana merudum yang membuat kita merasakan janji tersebut tidak penting untuk ditunaikan, ada masa kita mendapat kenikmatan mencurah sehingga kita lupa pula pada janji kita. Namun dalam insiden yang dinyatakan tadi, kita melihat Baginda yang berurusan dengan manusia yang bertanggungjawab ke atas kematian 70 orang sahabatnya dan penyiksaan jasad pakciknya, Saidina Hamzah, tidak membiarkan sentimen dan suasana menghakis kepentingan berpegang pada janji.
Pendakwah tersohor, Al-Habib Bin Abdul Rahman Al-Jifri menulis di dalam bukunya, Humanity Before Religiosity,
“Antara perkara teruk yang sedang kita saksikan ialah pembohongan, sama ada secara terbuka atau secara berbelit-belit (roundabout), yang telah seluruhnya mempengaruhi kelakuan kita, bahkan pemahaman kita tentang konsep-konsep tertentu. Namun, yang lebih teruk dari itu ialah kita berterusan membenarkannya (berbohong), mengindahkannya, meremehkannya, meng’Islamkannya’…Apabila jiwa kau membenarkan pembohongan atas dasar yang kau sedang membantu agama Allah, ia akan menyebabkan orang meragukan kebenaran agama ini walaupun engkau tidak berniat untuk menimbulkan keraguan tersebut. Pembohongan tidak boleh menyokong kebenaran.”
Menempatkan nilai dunia pada tempatnya
Terdapat banyak hadis yang menyentuh tentang nilai dunia dan kepentingan berwaspada di dalam meniti kehidupan di dunia ini. Antara hadis yang menyentuh perkara ini ialah, “Seandainya dunia ini senilai harganya dengan sayap nyamuk di sisi Allah, pasti Allah tidak akan memberi minum barang seteguk sekalipun kepada orang kafir” (Riwayat Al-Turmuzi)
Hadis ini sering dijadikan dalil untuk menunjukkan tentang keadaan dunia yang hina dan betapa ia bukanlah tempat yang sesuai untuk orang beriman. Sememangnya sebagai orang Islam, kita memaklumi akan keadaan dunia yang penuh dengan kerosakan dan betapa Akhirat yang indah merupakan matlamat tertinggi kita. Namun, kegagalan untuk menterjemahkan secara amali pemahaman ini dengan tepat berpotensi menghasilkan umat yang berputus asa dan lemah menghadapi dunia atau pun menganggap remeh segala tanggungjawab mereka di dunia. Di sinilah kita perlu untuk melihat bagaimana Rasulullah s.a.w menanggapi dunia dan meletakkannya sebagai wadah untuk mencapai kebahagiaan di Akhirat.
Baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jalla kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan, dilakukannya dengan tekun.” (Riwayat Al-Tabarani)
Meneliti sejarah Rasulullah s.a.w akan menemukan seorang Rasul yang meletakkan dunia sangat bersesuaian dengan tempatnya. Ia tidak dikejari sebagaimana yang dapat dilihat dalam kehidupan Baginda yang sangat sederhana. Namun fungsinya sebagai jambatan ke syurga yang indah tidak pula diabaikan.
Sememangnya setiap keputusan Rasulullah dipayungi petunjuk Allah, namun setiap petunjuk untuk Baginda adalah bahan didikan yang sangat berkesan buat diri kita; manusia biasa. Bermula dari peristiwa hijrah dan bagaimana telitinya Baginda di dalam menentukan sang penunjuk jalan dan laluan yang patut diambil, hinggalah kepada bagaimana Baginda menyusun infrastruktur kota Madinah dari segi reka bentuk dan falsafahnya, hinggalah kepada strategi perangnya: ada masanya bertahan di medan seperti di Badar, ada masanya bertahan di kota Madinah seperti dalam Perang Khandaq, ada masanya agresif seperti di dalam Perang Hunain, hinggalah kepada hikmah dan berpandangan jauh di dalam mengemudi sebuah rundingan berat sebelah dengan musuh-musuhnya di Hudaibiyah.
Perhatikanlah isi kandungan surat Baginda kepada raja-raja dan pembesar-pembesar dunia: bermula dari susunan kata, pengisiannya yang menampakkan kepekaan tentang latar belakang dan konteks penerima surat dan cap mohor yang menampakkan penerimaan terhadap norma antarabangsa: Adakah tanggapan dan sikap kita terhadap dunia selama ini mengambil pedoman daripada insan yang mengambil pedoman langsung dari Tuhannya? Atau kita lebih selesa melihat dunia sebagai tempat yang terlalu keji sehinggakan kita sendiri merasakan jijik untuk berfungsi dengan penuh amanah di dalamnya. Jika demikian, bagaimanakah kita akan menyerasikan pemahaman kita tentang dunia ini dengan tujuan Allah menghadirkan kita di bumi?
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”.” (Al-Baqarah: 30)
Di dalam nasihatnya kepada masyarakat Islam yang hidup di dalam kawasan metropolis, Shaykh Hamzah Yusuf menulis di dalam bukunya yang bertajuk Agenda to Change Our Condition,
“Sebagai Muslim, penglibatan kita di dalam kehidupan kota-kota tempat tinggal kita sepatutnya juga meninggalkan kesan yang berpanjangan dan positif ke atasnya (kota-kota). Semestinya, kita mempunyai banyak yang boleh disumbangkan dalam aspek ini. Allah tidak meletakkan kita dengan bilangan yang signifikan di dalam dan sekitar kota-kota Amerika. Sekaranglah masanya untuk memulakan penglibatan yang membina di dalam kehidupan kota-kota ini.”
Bahkan, seandainya kita boleh lebih menghargai dan menerapkan cara Rasulullah menanggapi dunia, kita akan mendapati bahawa ia juga akan mempengaruhi cara kita menghargai waktu dan janji. Kita akan melihat dunia sebagai suatu peluang dan potensi, bukan sesuatu realiti yang terputus daripada kebahagiaan Akhirat. Kita melihat pekerjaan kita sebagai suatu ruang untuk bertekun dan bersabar dan urusan kita dengan teman kerja sebagai peluang berdakwah. Maka seandainya kita terhalang daripada menghadiri suatu majlis keagamaan kerana ada tanggungjawab yang memerlukan kehadiran kita di tempat kerja, ambillah perspektif bahawa pahala kita buat masa itu akan terhasil di pejabat dan bukan di masjid.
Sememangnya, pembahagian masa yang paling optima ialah bilamana urusan kerja mahupun sekolah kita tidak menghalangi peluang kita untuk menghadiri majlis-majlis yang meningkatkan penghargaan kita tentang agama. Begitulah sebaliknya.
Seringkali hakikat ini tidak dapat dicapai disebabkan kegagalan kita menghargai nilai waktu ataupun tidak melihat bahawa ruangan lain juga mempunyai sumbangan buat saham Akhirat kita. Sebagai contoh, tentu sekali ceramah kita mempunyai faedah yang besar buat yang mendengarkannya. Namun jika kita menyedari bahawa seorang anak di bangku sekolah dan orang tuanya juga mampu beroleh faedah dengan rehat agar dapat berfungsi dengan sebaiknya untuk pekerjaan dan peperiksaan keesokan harinya, kita akan mengakhiri ceramah kita pada waktu yang munasabah untuk mereka berehat agar semua ruang potensi: pada ceramah, rehat dan pekerjaan dapat dipenuhi. Bahkan isi ceramah kita akan rajin menggalakkan sifat positif dan bertenaga di dalam bercucuk tanam di dalam ladang dunia agar mendapat manfaatnya di Akhirat.
Semoga tahun baru ini menjadikan kita insan yang melihat potensi masa; bukan sahaja buat diri kita tetapi juga untuk orang di sekeliling kita. Penghargaan ini akan menjadikan kita lebih amanah dalam menunaikan setiap tuntutan kita kerana setiap ruang waktu ada amanahnya yang wajib kita sempurnakan. Dan ini semua tidak akan tercapai melainkan kita menyedari bahawa dunia ini adalah suatu ruang potensi yang jika dimanfaatkan akan membawa kita kepada suatu realiti yang lebih kekal dan indah bernama syurga.
Al-Habib Bin Abdul Rahman Al-Jifri berkata, “Kebijaksanaan dan pengertian yang mendalam yang dimiliki seorang hamba bermakna bahawa pengetahuannya tentang hukum alam dibatasi oleh nilai moralnya. Keseimbangan (yang diperlukan untuk melestarikan kehidupan yang bermanfaat –pent.) tidak digugat, dan hamba tersebut tidak akan melampaui batas ataupun tergelincir.”
Allah taala pula berfirman:
“Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di Akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di Akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.” (Al-Baqarah: 200-201)