Memberi Hak Penjagaan Anak (Hadhanah) Kepada Non-Muslim: Adakah Sikap Yang Wasatiy? | Pergas Blog

wasat

wasatiyah-with-regards-to-correcting-the-government

Memberi Hak Penjagaan Anak (Hadhanah) Kepada Non-Muslim: Adakah Sikap Yang Wasatiy?

01 December 2015 2:48 pm // Written by Mustazah Bin Bahari

Tiada perbezaan antara para ulama, ilmuan dan para sarjana mengenai prinsip bagi hak penjagaan anak – ia diberikan kepada sesiapa yang paling layak menjaga kesejahteraan dan keselamatan anak tersebut. Penjaga itu perlu memastikan agar pembangunan dan kelangsungan hidup anak itu diuruskan dengan cara yang terbaik.

Tidak dinafikan bahawa soal agama atau kepercayaan yang ingin dicernakan dalam diri anak tersebut merupakan satu elemen yang penting bagi pembentukan peribadi anak agar menjadi insan yang baik dan betul.

Persoalan yang timbul ialah adakah didikan dan penjagaan anak yang diserahkan kepada ibu bapa Muslim semestinya dapat memastikan pembangunan anak itu terjamin baik? Apakah prinsip wasatiyah yang memandu dalam masalah ini?

Undang-undang Singapura mengenai penjagaan anak

Bagi menentukan siapa yang lebih berhak mendapat hak penjagaan anak, kebajikan anak tersebut adalah pertimbangan utama pihak mahkamah. Erti kebajikan bagi anak tidak diukur dengan nilai wang sahaja. Ia termasuk kebajikan moral dan agamanya, pembangunan fizikalnya, perasaannya, kegembiraan, keselesaan dan keselamatannya.

Faktor-faktor yang selalu diambil kira oleh mahkamah dalam membuat keputusan ialah seperti berikut:

  1. Kelangsungan penjagaan yang betul diberi kepada anak
  2. Keselamatan anak
  3. Keinginan anak tersebut untuk tinggal bersama siapa yang diingini
  4. Kehendak ibu dan ayahnya
  5. Usia anak tersebut
  6. Agama dan bangsa anak
  7. Agama dan bangsa ibu dan ayahnya
  8. Kedudukan kewangan dan material ibu dan ayah
  9. Anak itu tidak dipisahkan dari adik beradiknya.[1]

Undang-undang Islam mengenai hadhanah

Hadhanah dari sudut syara` ialah penjagaan anak yang tidak atau belum mampu berdikari sendiri dengan baik agar segala yang terbaik bagi keperluannya tidak terjejas.

Ada mendefinisikan hadhanah sebagai memberi penyelenggaran yang terbaik bagi yang lemah dan berusaha untuk memberi yang terbaik baginya.

Tanggungjawab memberi jagaan yang baik kepada anak didasarkan pada firman Allah taala, “Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.” (Ali Imran: 37)

Dari hadis pula ialah sabda Nabi s.a.w, “Cukuplah bagi seorang manusia itu berdosa apabila dia mengabaikan sesiapa yang di bawah tanggungannya.” (Riwayat Al-Nasa’i dan Abu Daud)

Syeikh Abdullah bin Bayyah berkata, “Keperluan optima bagi penjagaan anak adalah memeliharanya dari segala yang boleh membahayakannya, memberi bimbingan yang baik untuknya, memastikan pembesarannya terjaga dari sudut makanan, minuman, membersihkan dirinya dengan mandian, wangi-wangian, mengatur dengan baik masa tidur dan jaganya.”[2]

Imam Al-Kasani berkata, “Hadhanah adalah hak kedua-dua pihak, ibu dan ayah. Ada waktu untuk ibu dan ada waktunya untuk ayah. Keutamaan yang diberi kepada ibu kerana sifat ibu yang lebih lembut, kasih dan tenang dalam mendidik anak. Bagi ayah pula ialah dari segi keperluan pembesaran anak secara menyeluruh.”[3]

Hadhanah adalah satu amanah yang wajib dilaksanakan oleh ibu dan ayah. Jika berlaku perceraian, hak penjagaan diberikan kepada ibu sebagai keutamaan sekiranya lebih memerlukan si ibu dari si ayah kerana penyusuan misalnya dan perkara-perkara lain yang mana ibu dinilai lebih sesuai menjaga anak yang kecil berbanding ayah.

Sebuah hadis ada melaporkan kisah seorang wanita datang menemui Nabi s.a.w dan mengadu kepadanya dengan berkata, “Anakku ini telah menjadikan perutku sebagai tempat tinggalnya, bilikku sebagai tempatnya untuk hidup, susuku sebagai minumannya, tetapi ayahnya mendakwa akan mengambilnya dariku. Nabi s.a.w lalu bersabda kepadanya, “Kamu lebih layak untuknya selagi kamu tidak bernikah.” (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Di dalam memastikan kepentingan anak menjadi keutamaan, terdapat juga pandangan ulama silam seperti Hasan Al-Basri dan Ibn Hazm yang mengatakan bahawa syarat tidak bernikah lagi bagi ibu yang berhak menjaga bukanlah satu syarat yang wajib berdasarkan kes pernikahan Um Salamah yang mana dia tetap terus menjaga anak yang berada di bawah tanggungannya setelah pernikahan dengan Nabi s.a.w.[4]

Seterusnya ulama silam seperti Abu Hanifah meluaskan perbahasan ini dengan mengatakan bahawa jika ibu tersebut bernikah dengan keluarga terdekat, maka tidak gugur haknya untuk terus menjaga anak tersebut kerana hubungan kekeluargaan dapat memastikan anak itu dijaga dengan baik. Namun, imam Al-Syafi’i pula berpendapat bahawa hak penjagaan tetap terbatal bagi ibu apabila dia bernikah lagi.

Ulama juga berbeza pendapat mengenai had usia anak yang layak diberi penjagaan kepada ibunya.[5] Mazhab Hanafi meletakkan had usia bagi anak lelaki yang layak dijaga oleh ibunya sehingga usianya menjangkau 9 tahun dan anak perempuan sehingga usia 11 tahun. Dasar yang digunapakai ialah keadaan anak tersebut sudah boleh menguruskan makan minum dan urusan peribadinya sendiri, yang mana pada 9 hingga 11 tahun, anak lelaki dan perempuan biasanya sudah mampu melakukannya.

Mazhab Maliki memberi had untuk anak lelaki sehingga sampai usia baligh dan anak perempuan sehingga dia bernikah. Mazhab Syafi’i pula meletakkan had usia mumayyiz yang dianggarkan sekitar umur 7 hingga 8 tahun bagi anak lelaki dan perempuan. Manakala, mazhab Hanbali meletakkan had usia sehingga 7 tahun.

Imam Al-Syawkani di dalam kitab Nail Al-Authar menukilkan kisah daripada imam Ibn Taimiyah yang diceritakan oleh gurunya bahawa seorang ibu dan ayah kepada seorang anak kecil mengadu kepada hakim tentang hak penjagaan anak mereka. Hakim tersebut lalu memberi anak itu pilihan untuk bersama ibu atau ayahnya. Anak tersebut memilih ayahnya. Lalu si ibu menyuruh hakim bertanya kepada anaknya sebab dia memilih untuk tinggal bersama ayahnya. Lalu si anak menjawab bahawa ibunya selalu menghantarnya ke sekolah untuk belajar menulis dan fikih. Guru-guru itu selalu memukulnya sedangkan ayahnya selalu membiarkannya bermain dengan kawan-kawannya. Dengan jawapan itu, hakim lantas memberikan hak penjagaan kepada ibu.[6]

Imam Al-Syawkani juga menegaskan bahawa cara memberi pilihan kepada anak untuk memilih atau mengundi siapa yang lebih layak menjaga anak itu bukanlah cara yang terbaik untuk anak. Sebaliknya, ia perlu dilihat kepada siapa yang jelas lebih baik dalam menjaga anak tersebut. Jika jelas terbukti bahawa ayah atau ibu yang paling layak menjaga kebaikan pembesaran anak, anak itu diserahkan kepadanya. Ini juga pendapat yang dipegang oleh imam Ibn Al-Qayyim.[7]

Menurut Aayesha Rafiq, seorang Penolong Profesor di Fatima Jinnah Women University Pakistan, walaupun negara-negara Islam hari ini mempunyai pegangan mazhab tersendiri, para hakim mereka tetap mengendalikan kes-kes penjagaan anak secara menurut keperluan utama bagi kebaikan anak-anak tersebut walaupun ia tidak selaras dengan mazhab rasmi yang ada.[8]

Hukum Hadhanah kepada ibu/bapa bukan Muslim

Di dalam isu hadhanah kepada ibu/bapa bukan Muslim, ulama silam telah berbeza pendapat mengenainya sejak dahulu.

Mazhab Syafi’i[9] dan Hanbali[10] berpendapat bahawa ibu yang menjaga anak perlu beragama Islam. Mereka berhujah dengan firman Allah taala, “Allah tidak akan sekali kali memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang beriman.” (Al-Nisa’: 141) dan sebuah hadis yang berkisar tentang seorang anak kecil yang telah diberi pilihan untuk bersama ibu atau ayahnya. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Al-Nasai dan Abu Daud, daripada Rafi’ bin Sinan, “Bahawa dia telah menganut Islam, namun isterinya enggan (menganut Islam). Lalu dibawa kepada Nabi s.a.w anak kecil mereka yang belum baligh. Nabi s.a.w meletakkan si bapa di sebelah baginda dan si ibu pula di sebelah yang lain. Nabi s.a.w memberikan pilihan kepada anak itu. Anak itu cenderung kepada ibunya. Lalu Nabi s.a.w pun berdoa, “Ya Allah berikannya petunjuk.” Anak itu kemudian memilih bapanya.”

Hadis ini menunjukkan bahawa doa Nabi s.a.w untuk anak itu menandakan bahawa ia sesuatu yang penting untuk anak itu. Jika perkara keislaman tidak penting bagi anak tersebut, nescaya beliau akan biarkan sahaja. Dari sudut pengaruh keadaan, anak yang tinggal bersama ibu yang bukan Muslim akan mudah terpengaruh dengan gaya hidup dan agama ibunya.

Manakala mazhab Hanafi[11] dan Maliki[12] pula tidak mensyaratkan agama Islam bagi ibu/bapa. Hujjah mereka sama seperti hadis Rafi’ bin Sinan. Mereka berpandangan bahawa hadis tersebut menunjukkan bahawa jika agama menjadi syarat utama, nescaya Nabi s.a.w tidak akan memberi pilihan kepada anak itu. Selain itu, perbuatan Nabi s.a.w membenarkan anak itu membuat pilihan antara ibu yang bukan Muslim dan ayah yang Muslim menjadi dalil keharusan penjagaan anak kepada ibu/bapa yang bukan Muslim kerana jika perkara itu dilarang agama, tidak mungkin Nabi s.a.w membenarkan si anak membuat pilihan. Beliau s.a.w pasti akan memutuskan sahaja penjagaan anak kepada si ayah yang Muslim. Kededua mazhab ini juga berhujah dengan hadis yang umum, “Sesiapa yang memisahkan anak dan ibunya nescaya Allah akan memisahkan dia dan orang-orang yang dikasihinya pada hari kiamat.” (Riwayat Al-Hakim)

Walau bagaimana pun, kededua mazhab ini mengecualikan ibu yang murtad dan fasik (rosak akhlak) kerana kedua-dua sifat ini tidak mampu memberi penjagaan kepada anak dengan baik. Menurut mazhab Hanafi, seorang yang murtad akan ditahan dan dipukul sebagai denda terhadapnya dan keadaan seperti itu tidak akan memberi ruang untuk dia menjaga anaknya dengan baik. Manakala, ibu yang fasik tidak akan mampu mendidik dan mengasuh anaknya dengan baik.

Imam Abu Bakar Ahmad Al-Jassas, seorang alim dari mazhab Hanafi berkata, “Ibu yang bukan Islam lebih berhak ke atas anaknya, lelaki atau perempuan sehinggalah mereka berakal. Apabila sampai usia berakal, maka gugur hak penjagaan kerana dia boleh membiasakan anak-anak itu anasir kekufuran.”[13]

Fatwa Negeri Perlis

Pada 22-23 April 2015, Mufti Negeri Perlis, Dr. Muhammad Asri Zainal Abidin, mengeluarkan fatwa yang membabitkan kes hak penjagaan anak yang lahir kepada ibu atau bapa yang bukan Muslim, kemudian salah seorang mereka menganut Islam.

Isi kandungan fatwa ini ada menyebut:

  • Hak hadhanah tidak dinilai berdasarkan agama ibu atau bapa, sebaliknya diserahkan kepada sesiapa yang lebih baik dalam menjaga kepentingan dan kebajikan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya.
  • Ibu/bapa yang Muslim bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepada anak tersebut.
  • Hak hadhanah diserahkan kepada ibu, jika anak masih dalam tempoh susuan badan ibu.
  • Jika tidak, hak hadhanah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang lebih baik dalam menguruskan pembesaran anak tersebut. Ini termasuk anak yang tidak lagi menyusu badan tetapi belum sampai umur mumayyiz.
  • Apabila anak sudah mumayyiz, dia berhak membuat pilihan, melainkan jika dapat dibuktikan pemilihannya itu akan membawa mudarat kepada kehidupannya.[14]

Sebagaimana asas yang dinyatakan oleh para ulama silam, fatwa ini memberi keutamaan pada kesejahteraan hidup anak yang lebih luas dan tidak menjadikan agama sebagai syarat utama, sesuai dengan mazhab Hanafi dan Hanbali yang telah disebutkan. Ia juga sesuai diamalkan di negara-negara yang penduduk Islam adalah minoriti yang juga berhadapan undang-undang sivil. Maslahat agama si anak dilihat boleh dicapai, walaupun anak itu masih di bawah jagaan orang bukan Islam, jika ibu/bapa Muslim memainkan peranan yang aktif dalam memastikan pendidikan agamanya.

Kes-kes hadhanah kepada bukan Muslim di Singapura

Hakikatnya pemberian hak penjagaan anak kepada bukan Muslim di Singapura bukan baru. Ia telah berlaku lama sebelum fatwa yang dikeluarkanoleh Mufti Perlis.

Terdapat 2 kes yang diputuskan oleh Lembaga Rayuan MUIS yang membabitkan pemberian hak penjagaan anak kepada bukan Muslim.

Kes pertama ialah Zakaria bin Abu Kassim vs Natasha Chooi Abdullah (alias Chooi Lye Chan).

Perayu, Zakaria tidak bersetuju dengan keputusan Presiden Mahkamah Syariah mengenai hak penjagaan anaknya yang diberikan kepada bekas isterinya yang bukan lagi seorang Muslim.

Rayuannya itu berlandaskan kekhuatirannya tentang pembangunan anaknya yang boleh terpengaruh oleh ibu dan keluarganya yang bukan Muslim. Namun, bekas isterinya puan Natasha mengatakan bahawa beliau tidak ada halangan untuk anaknya mempelajari Islam dan mengikuti kelas-kelas agama jika perayu membuat perancangan yang baik untuk anaknya itu.

Apabila diselidiki, Lembaga Rayuan dapati bukti yang menunjukkan bahawa hak penjagaan anak yang diserahkan kepada bekas isteri adalah berlandaskan persetujuan bersama. Oleh itu, Lembaga Rayuan menolak rayuan yang dibuat oleh Zakaria dan mengekalkan keputusan Mahkamah Syariah.

Kes kedua ialah Heng Hock Lim, Lena (alias Lena bte Abdullah) vs Mohd Zaini bin Salleh.

Kes ini melibatkan 3 orang anak; 2 perempuan dan 1 lelaki. Mahkamah Syariah memberi hak penjagaan anak lelaki kepada suami dan kedua anak perempuan kepada isteri. Presiden Mahkamah Syariah telah menemuduga anak-anak tersebut dan mendapati dengan jelas keinginan anak lelaki yang berusia 10 tahun untuk bersama ayahnya dan anak perempuan yang berusia 7 tahun ingin bersama ibunya. Anak perempuan yang ketiga pula diserahkan kepada ibunya kerana masih kecil dan di bawah umur.

Seperti kes pertama di atas, rayuan dibuat kerana kekhuatiran terhadap anak-anaknya yang akan membesar tanpa didikan Islam yang sempurna. Lembaga Rayuan menolak rayuan suami sambil menegaskan bahawa tiada bukti yang kuat untuk menentukan bahawa anak-anak tidak akan menjadi Muslim yang baik kerana dibesarkan oleh ibu atau ayah atau penjaga yang bukan Muslim.

Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa membesarkan anak-anak dalam suasana keislaman adalah yang terbaik. Keutamaan yang paling tinggi adalah kemaslahatan dan kesejahteraan anak-anak untuk membesar menjadi manusia yang baik.

Islam mempunyai sistem pendidikan yang baik dan tersusun, namun sejauh mana orang Islam dapat memahami dan melaksanakannya dengan betul menurut tuntutan yang sebenar? Itulah yang sering dipersoalkan.

Sebagai contoh, jika seorang ayah Muslim yang tidak mempunyai pekerjaan tetap serta mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat, dibandingkan dengan seorang ibu bukan Muslim tetapi mempunyai displin hidup yang sihat dan dapat memberikan kesan positif kepada pembesaran anak, pastinya jelas dan adil bagi anak itu bernaung di bawah jagaan ibunya.

Fatwa yang dikeluarkan oleh Negeri Perlis bukanlah satu pendapat baru dan asing dalam tradisi hukum Islam mengenai penjagaan anak bagi bukan Muslim. Pendekatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis ini membangkitkan semula usaha tajdid di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan umat Islam sejagat.

Walaupun isu hadhanah ini bukanlah isu yang baru sahaja dibahaskan, tetapi ia memberi isyarat pentingnya menilai semula fatwa-fatwa yang sedia dan melakukan tinjauan semula agar bersesuaian dengan keadaan hidup yang berubah-ubah.

Usaha meninjau semula perlaksanaan hukum Islam atau fatwa bukanlah sesuatu yang mesti dianggap liberal dan mencabar hukum asal. Sebaliknya, ia adalah sesuatu yang lama dilakukan oleh golongan salaf.

Ulama terdahulu seperti mazhab Hanafi dan Maliki telah mengeluarkan pandangan mengenai keharusan hak penjagaan anak kepada ibu/bapa bukan Muslim. Terdapat juga pandangan atau fatwa yang dikeluarkan oleh ulama kontemporari masa kini mengenainya.

Seorang tokoh ulama di Saudi, Syeikh Dr. Abdul Aziz Al-Fawzan yang mengetuai pembahasan fatwa mengenai hak jagaan anak bagi ibu yang bukan Muslim menghuraikan pandangan ulama silam mengenai isu ini dan berpendapat bahawa ibu yang bukan Muslim layak untuk mendapat hak penjagaan anaknya. Bagi menjawab persoalan mengenai kemungkinan anak itu akan mengikuti agama ibunya, beliau menegaskan keperluan bagi si ayah untuk masuk campur urusan pembesaran anak dengan memberi didikan agama yang mantap.[15]

Dr. Arif Al-Syeikh, seorang tokoh ulama di Emiriah Arab Bersatu berpegang pada pendapat yang sama.[16]

Undang-undang keluarga di Sudan menetapkan bahawa ibu yang bukan Muslim layak diberi hak penjagaan anak dengan syarat anak itu tidak melebihi umur lima tahun dan jika dikhuatiri dengan pasti anak itu telah cenderung kepada agama ibunya.[17] Negara Emiriah Arab Bersatu memberi kuasa kepada hakim untuk melihat kemaslahatan bagi penjagaan anak oleh ibu yang bukan Islam.[18] Qatar[19] dan Kuwait[20] juga berpendapat bahawa penjagaan anak kecil tidak mensyaratkan ibu yang menjaga adalah seorang Muslim.

Jika diteliti semua pandangan yang diutarakan mengenai hak penjagaan anak, jelas menunjukkan bahawa para ulama memberi keputusan dengan memberi penekanan kepada aspek kepentingan pembesaran anak.

Jika perkara agama menjadi keutamaan dan kemestian dalam mendapatkan hak penjagaan, mengapa pula terdapat perbezaan pendapat mengenai jangkamasa yang layak diberi kepada ibu untuk menjaga anaknya sehingga dia bernikah? Imam Al-Syafi`i yang berpendapat mengenai gugur hak penjagaan bagi ibu apabila dia bernikah berhujah dengan alasan bahawa si ibu akan sibuk menguruskan rumahtangganya yang baharu, lantas dia tidak mampu untuk memberi tumpuan kepada penjagaan anaknya. Ini jelas menunjukkan bahawa fokus utama dalam isu hadhanah adalah kepentingan pembesaran anak tersebut.

Ini jelas menunjukkan bahawa fokus utama dalam isu hadhanah adalah kepentingan pembesaran anak tersebut. Kewajipan terhadap mengamalkan agama pula, jika dirujuk kepada pesanan Nabi s.a.w bermula seawal anak berusia tujuh tahun.[21]  Dasar agama juga jelas tidak ada paksaan.[22] Peringkat usia yang lebih awal adalah untuk memberi ruang yang cukup baik untuk anak membesar dalam suasana yang sihat dan sejahtera. Dengan akal, emosi dan jasmani yang sihat dan suntikan nilai-nilai akhlak yang betul, anak itu akan dapat menilai serta menerima Islam dengan hati yang terbuka.

Rujukan:

[1] “Custody” (2006), Law Gazzette, April, available at http://www.lawgazette.com.sg/2006-4/April06-insidebar.htm (11 Novermber 2015).

[2] `Abdullah bin Bayyah, “Al-Hadhanah Fi Al-Shar`”, binbayyah.net, lihat di http://www.binbayyah.net/portal/research/146 (11 November 2015).

[3] Abu Bakr bin Mas`ud  Al-Kasani (1986), Badai` Al-Sanai`  Fi Tartib Al-Sharai`, Beirut: Dal Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jild. 4, ms. 42.

[4] Al-Shawkaniy (1998), Nayl Al-Awtar, Riyadh: Dar Al-Muayyid, jld. 6, ms. 881; Ibn Qudamah (2004), Al-Mughniy, Riyadh: Bait Al-Afkar, ms. 2009.

[5] `Abd Al-Rahman Al-Jaziriy(2003), Kitab Al-Fiqh `Ala Al-Mazahib Al-Arba`ah, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Arabiyah, jld. 4, ms. 523.

[6] Al-Syawkani (1998), jld. 6, hlm 881.

[7] Ibid.

[8] Aayesha Rafiq (2004), “Child Custody in Classical Islamic Law and Laws of Contemporary Muslim World (An Analysis)”, International Journal for Humanities and Social Science, 4:5, ms. 273.

[9] Al-Nawawi (2002), Raudat Al-Talibin, Beirut: Dar Ibn Hazm, ms. 1578.

[10] Al-Maqdasi (2003), Al-`Uddah Sharh Al-`Umdah, Cairo: Dar Al-Hadith, ms. 478.

[11] Al-Kasaniy (1986), jld. 4, ms. 42.

[12] Al-Khurshiy (1317H), Al-Khurshiy `Ala Mukhtasar Sidi Khalil Wa Bi Hamishih Hashiyat Al-`Adawi, Cairo: Al-Tab`ah Al-Amiriyah, jld. 4, ms. 212.

[13] Al-Kasaniy (1986), jld. 4, ms. 42.

[14] “Hak Penjagaan Anak Bagi Ibu Bapa Berlainan Agama” (2015), Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, 18/2015, 22-23 April, lihat di https://www.facebook.com/DrMAZA/photos/a.407105017989.205042.279290772989/10153564279252990/ (11 November 2015).

[15] `Abd Al-Ahad Ahmadiy (2014), “Mada Haq Al-Um Ghayr Muslimah Fi Hadhanat Waladiha Min Zawjiha Al-Muslim”, The Message of Islam, 27 May, lihat di http://fiqh.islammessage.com/NewsDetails.aspx?id=8295 (11 November 2015).

[16] `Arif Al-Shaykh (2013), “Hal Li Al-Um Ghayr Al-Muslimah Hadhanah?”, Al-Khalij, 22 March, lihat di http://www.alkhaleej.ae/supplements/page/bae35a5a-496b-40f6-ad98-398ddbd72d1c (11 November 2015).

[17] Abu Bakr Sulayman Al-Shaykh (2007), “Ghayr Al-Muslim Fi Qanun Al-Ahwal Al-Shakhsiyah Al-Sudaniy Li Al-Muslimin”, Mawqi’ Al-Sudan Al-Islamiy, 12 May, lihat di http://www.sudansite.net/index.php?option=com_content&view=article&id=520:q–i–1991&catid=19&Itemid=28 (11 November 2015).

[18] Qanun Al-Ahwal Al-Shakhsiyah , no. 28/2005, maddah 145, ms. 61, lihat di  http://sljournal.uaeu.ac.ae/issues/25/docs/9.swf  (11 November 2015).

[19] Qanun no. 2/2006, lihat di http://www.almeezan.qa/LawArticles.aspx?LawTreeSectionID=8812&lawId=2558&language=ar (11 November 2015).

[20] Qanun Al-Ahwal Al-Shaksiyah Al-Kuwaitiy, maddah 189-99, lihat di  http://www.genderclearinghouse.org/upload/Assets/Documents/pdf/kanoun-ahwel-koueit.pdf (11 November 2015).

[21] Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Arahkan anak-anak kamu untuk solat pada usia tujuh tahun..” (Riwayat Abu Dawud, Ahmad dan Al-Hakim)

[22] Lihat Al-Baqarah: 256.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles