Menanggapi Tanda-tanda Kiamat Secara Adil | Wasat No. 38 / April 2021

wasat

menanggapi tanda tanda kiamat secara adil

Menanggapi Tanda-tanda Kiamat Secara Adil

01 April 2021 12:00 am // Written by Mustazah Bin Bahari

Semenjak pandemik COVID-19 melanda dunia pada tahun 2020, terdapat pelbagai teori konspirasi yang dikaitkan dengannya. Antaranya timbul suara-suara dari segelintir para pendakwah, agamawan dan orang awam yang menyatakan bahawa dunia sudah semakin hampir kepada Kiamat. Mereka mendakwa selepas wabak ini melanda, sama ada dapat dipulihkan atau tidak keadaan dunia, tanda-tanda Kiamat yang besar akan muncul.

Keadaan Masjidil Haram yang lengang tanpa solat berjemaah dan ibadah umrah. Apabila solat berjemaah dimulakan kembali, ia dijarakkan pula antara para jemaah. Justeru, mereka percaya bahawa itulah petanda Dajjal sudah bersedia untuk melancarkan misinya untuk menyesatkan manusia dengan mengikuti seruannya.

Mereka juga berpendapat bahawa pandemik COVID-19 yang melanda adalah akibat perbuatan Dajjal yang ingin memporak perandakan keadaan dunia. Vaksin yang dikeluarkan juga mengandungi maksud untuk merosakkan sistem fizikal manusia hingga mudah menurut perintah Dajjal apabila ia muncul kelak.

Makanya, masyarakat Muslim khususnya perlu bersiap sedia untuk menghadapi fitnah Dajjal yang amat dahsyat seperti yang diingatkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.[1] Umat Islam perlu mengukuhkan jati diri dengan tidak terpedaya dengan perancangan-perancangan yang dibuat oleh para pemimpin dunia hari ini.

Iman kepada tanda-tanda Kiamat

Beriman kepada hari Kiamat merupakan rukun iman bagi setiap Muslim. Ia jelas disebutkan di dalam Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. Firman Allah taala,

“Sesungguhnya al-Sa’ah (Kiamat) itu pasti datang, tiada keraguan padanya.” (Ghafir: 59)

“Telah hampir dekat Kiamat dan terbelah bulan.” (Al-Qamar: 1)

Nabi s.a.w bersabda apabila ditanya Jibril di dalam hadis yang masyhur mengenai rukun iman, “(Iman) itu dengan kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikatnya, kitab-kitabnya, para rasulnya, hari akhirat dan qada’ serta qadarnya.”[2]

Begitu juga wajib bagi umat islam beriman kepada tanda-tanda Kiamat kerana ia disebutkan oleh Nabi s.a.w di dalam hadis-hadis yang sahih secara mutawatir.[3]

Justeru, tiada siapa menyangkal akan kebenaran peristiwa-peristiwa yang pasti berlaku sebagai tanda Kiamat sebelum ia berlaku.

Menurut para ulama, tanda-tanda Kiamat terbahagi kepada dua; tanda kecil dan besar. Tanda kecil bermula dengan terutusnya Nabi Muhammad s.a.w seperti di dalam sabdanya, “Jarak aku diutuskan dengan hari Kiamat seperti ini, sambil menunjukkan dua jarinya (jari telunjuk dan tengah).”[4]

Seterusnya tanda-tanda lain seperti orang Arab Badwi yang tidak beralas kaki membina bangunan-bangunan yang tinggi mencecah langit, lahirnya anak-anak yang derhaka kepada ibunya, tersebarnya perbuatan zina dan sebagainya.

 

Tanda-tanda Kiamat yang besar

Menurut para ulama, terdapat banyak hadis-hadis Nabi s.a.w  menyebut tentang tanda-tanda Kiamat yang besar. Di antaranya, hadis riwayat Huzaifah bin Usaid Al-Gifari yang berkata,

“Suatu hari Nabi s.a.w muncul di hadapan kami sedang kami berbincang. Lalu, Nabi s.a.w bertanya mengenai apakah yang kami bincangkan. Kami menjawab, “Kita sedang berbicara mengenai Kiamat. Nabi s.a.w lantas bersabda, “Ianya tidak akan berlaku sehingga kamu lihat sepuluh perkara yang berlaku sebelumnya. Lalu Nabi s.a.w menyebut Al-Dukhan, Al-Dajjal, Al-Dabbah, terbit matahari dari barat, turunnya Isa bin Maryam, Yakjuj dan Makjuj, berlakunya tiga lungsur, di timur, barat dan di Jazirah Arab, dan yang terakhir adalah api muncul dari Yaman mengiring manusia menuju tempat perkumpulan mereka.[5] 

Syeikh Salih Al-Uthaimin berkata, “Tanda-tanda Kiamat yang besar sebahagiannya diketahui menurut susunannya, manakala sebahagian yang lain tidak diketahui. Apa yang jelas menurut susunannya adalah turunnya Isa bin Maryam dan keluarnya Yakjuj dan Makjuj. Manakala Dajjal pula akan muncul dan dibunuh oleh Isa bin Maryam, kemudian akan keluar pula Yakjuj dan Makjuj.”[6]

Menurut Syeikh Salih Al-Maghamisi pula, tanda Kiamat besar bermula dengan munculnya Imam Mahdi, kemudian keluarnya Dajjal, seterusnya turunnya Nabi Isa dari langit yang akan membunuh Dajjal, setelah itu keluarnya Yakjuj dan Makjuj hinggalah akhir sekali keluarnya Al-Dabbah.[7]

Pendirian dan penilaian yang adil terhadap tanda-tanda Kiamat

Sebagai seorang Muslim yang beriman, soal hari Kiamat dan petanda-petandanya tidak boleh dipertikaikan, diragui, dipermainkan atau ditolak. Sesiapa yang mengingkari berlakunya hari Kiamat dan tanda-tanda yang disebutkan, boleh gugur imannya dan terkeluar dari Islam.

Terlalu banyak nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w yang menyebut tentang hari Kiamat dan tanda-tandanya sehingga tidak dapat disangkal lagi kebenarannya.

Namun, sejauh mana umat Islam perlu mendalami dan asyik membicarakan tentang hal itu? Adakah menjadi satu tanggungjawab umat Islam untuk mencari dan membongkar di mana tempat tinggalnya Dajjal sekarang dan siapakah gerangan sebenar Imam Mahdi? Bilakah Nabi Isa a.s akan turun, dari arah mana sebenarnya Yakjuj Makjuj keluar dan sebagainya? 

Umat Islam perlu membezakan antara keimanan terhadap berlakunya Kiamat dan tanda-tandanya dengan waktu terjadinya Kiamat dan munculnya tanda-tanda Kiamat tersebut.

Beriman kepada hari Kiamat serta tanda-tandanya tidak mensyaratkan umat Islam mencari dan berusaha membongkar setiap tanda bilakah ianya akan berlaku. Ini jelas disebutkan di dalam Al-Quran,

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai hari Kiamat, bilakah akan berlaku. Katakanlah sesungguhnya ilmu pengetahuan mengenainya hanya di sisi Tuhanku, tidak dijelaskan waktunya terjadinya kecuali hanya Dia Yang Mengetahuinya..” (Al-A`raf: 187)

Sebelum perihal Dajjal menjadi sensasi dek COVID-19, hal Imam Mahdi terlebih awal muncul dengan banyaknya.

Seawal tahun 116 Hijrah di zaman Khalifah Hisyam bin Abdubl Malik seorang lelaki yang bernama Al-Harith bin Suraij telah mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi. Berikutnya di zaman Khilafah Abbasiyah pula, Abu Ja’far Al-Mansur digelar dan dianggap sebagai Imam Mahdi. Seterusnya di zaman-zaman yang berikutnya terdapat individu-individu yang mendakwa diri mereka Imam Mahdi.[8] Mereka percaya bahawa merekalah yang diutus untuk menyelamatkan umat manusia dari penindasan, kemiskinan, porak peranda keadaan dunia dan segala bentuk kezaliman.

Apabila ditinjau hadis-hadis berkenaan dengan Imam Mahdi, jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w sendiri menyebutkan ciri-cirinya. Sabda Nabi s.a.w,

“Akan keluar nanti akhir zaman umatku Al-Mahdi. Allah menurunkan bersamanya hujan sehingga bumi mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya, dia juga akan memberi harta secara sama rata, binatang ternakan bertambah, umat bertambah mulia, dan dia akan hidup selama tujuh atau lapan tahun.”[9]

Individu-individu yang mendakwa diri sebagai Imam Mahdi selama ini tidak menepati ciri-ciri yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. Ada di antara mereka yang bukan dari keturunan Fatimah dari jalur Hasan bin Ali. Ada pula yang bersifat zalim dan ganas.

Jika benar dakwaan mereka dahulu sebagai Mahdi, di mana Dajjalnya? Di mana pula Nabi Isa sekarang ini?

Jika benar dakwaan Al-Harith bin Suraij pada tahun 116H sebagai Imam Mahdi, sudah tentu pada masa ini telah keluar sang Dajjal, telah turun Nabi Isa untuk membunuh Dajjal. Hakikatnya tidak pernah berlaku semua itu.

Satu perkara penting yang terkait dengan keluarnya Imam Mahdi adalah bumi Bait Al-Maqdis. Menurut pandangan beberapa ulama, Bait Al-Maqdis pada waktu itu telah pun bebas dari sekatan pihak yang menindas dan menjadi hak mutlak untuk umat Islam. Gambaran yang diberi dalam hadis yang menunjukkan Imam Mahdi solat bersama dengan umat Islam di Masjid Al-Aqsa ketika Nabi Isa turun ke bumi.[10]

Keadaan ketika itu begitu aman dan tenang sekali. Seperti yang diketahui hari ini pula, isu kedaulatan bumi Palestin masih belum selesai dan konflik masih berterusan. Untuk mencapai keamanan di sana memerlukan masa dan proses yang panjang.  

Mantan mufti Mesir, Syeikh Ali Jum`ah pernah menyebutkan bahawa Imam Mahdi yang disifatkan sebagai Al-Muntazar (yang dinanti-nanti) bukanlah bermaksud umat Islam perlu ternanti-nanti akan munculnya. Menurut beliau, umat Islam tidak dipertanggungjawabkan untuk mencari dan meneliti siapakah sebenarnya Imam Mahdi dan bilakah waktu kemunculannya. Apabila tiba masanya dia muncul, dia akan diterima baik oleh semua orang di dunia ini,[11] berpandukan sebuah riwayat dari Ali bin Abi Talib pernah berkata,

“Itulah dia (Al-Mahdi) yang akan keluar di akhir zaman ketika ada yang mengucapkan kalimah, “Allah, Allah”, lalu dia dibunuh (kerana itu), lalu Allah menghimpunkan kaum manusia seperti gumpalan awan-awan yang dilembutkan hati-hati mereka (untuk menerima Al-Mahdi) dan mereka tidak melakukan kekerasan sesama mereka..”[12]

Pada riwayat yang lain juga menyebutkan bahawa Imam Mahdi direstui oleh penduduk langit dan bumi.[13]

Syeikh Ali selanjutnya berkata, riwayat ini membuktikan bahawa kemunculan Imam Mahdi nanti akan disambut baik oleh semua orang yang hidup ketika itu baik yang Muslim atau bukan Islam.

Di samping itu, Syeikh Salih Al-Maghamisi juga menekankan bahawa tanda-tanda Kiamat yang disebut di dalam hadis-hadis bukanlah bermaksud sebagai perintah untuk umat Islam terlalu asyik sehingga mencari-cari bila masanya keluar semua tanda-tanda tersebut.[14]

Hakikatnya Imam Mahdi bukanlah dengan dakwaan diri sebagai Imam Mahdi, atau dilantik dari pihak tertentu, atau mengikut kiraan hisab dan zaman yang telah berlalu.

Menurut Al-Marhum Syeikh Ramadan Al-Buti, munculnya Imam Mahdi adalah dengan ketetapan Allah taala yang termasuk di dalam urusan ghaib yang tidak diketahui oleh manusia.[15] 

Syeikh Uthman Al-Khamis, seorang tokoh ilmuan Kuwait mengatakan bahawa tanda-tanda Kiamat yang disebutkan di dalam hadis-hadis Nabi s.a.w tiada kaitannya dengan keadaan yang melanda dunia hari ini. Seharusnya manusia mempersiapkan diri untuk menghadapi Kiamat kecil iaitu kematian dengan melakukan ketaatan dan kebaikan.[16]

Syeikh Abdullah Al-Mutlaq, seorang anggota Majlis Tertinggi Ulama Arab Saudi, apabila ditanya mengenai peperangan-peperangan yang berlaku di negara-negara Islam, adakah ia dari tanda-tanda Kiamat yang besar, menjawab dengan mengatakan bahawa peperangan telah terlalu banyak berlaku dan ia bukan tanda-tanda utama yang terkait dengan Kiamat.

Sejak dari zaman khalifah Islam dahulu telah berlaku peperangan tetapi tidak pula menyebabkan tanda-tanda Kiamat yang disebutkan muncul di hadapan manusia.[17]

Banyak lagi pandangan-pandangan ulama tersohor yang menafikan sebarang kaitan keadaan dunia hari ini dengan tanda-tanda Kiamat besar yang disebut di dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. 

 

Kesimpulan

Peringatan dan bacaan bahan-bahan mengenai perihal Kiamat perlu diteruskan. Ia merupakan ilmu yang memberi panduan dan peringatan untuk manusia mempersiapkan diri bagi menghadapi Akhirat yang kekal abadi.

Kesedaran terhadap pentingnya membuat persiapan bagi kehidupan akhirat akan membawa manusia kepada usaha yang gigih dan berterusan di dunia ini.

Usaha-usaha itu bukan hanya bersifat ibadat khusus sahaja seperti memperbanyakkan zikir, solat sunat, puasa sunat dan sebagainya, tetapi usaha-usaha bagi melangsungkan kehidupan dunia yang elok dan baik juga perlu diteruskan.

Tidak wajar urusan dunia dihentikan hanya kerana tanda-tanda Kiamat telah muncul. Jika benar sekalipun telah muncul Imam Mahdi seperti yang disifatkan oleh Nabi s.a.w, ia tidak bermaksud urusan dunia sudah terhenti. Bahkan, jika dituruti hadis-hadis berkenaan dengan kemunculan Imam Mahdi, keadaan hidup manusia ketika itu menjadi baik dan urusan kehidupan berjalan seperti biasa.

Nabi s.a.w pernah mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Jika berlaku Kiamat dan ditanganmu masih terdapat benih kurma maka campakkanlah ia ke tanah.”[18]

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa selagi ada ruang masa hidup di dunia ini, manusia perlu terus menabur bakti dan berusaha.

Dalam menyampaikan pengkhabaran mengenai hal ehwal Kiamat yang tanda-tandanya perlu disampaikan secara adil dengan tidak menetapkan bila waktunya serta tidak dijadikan sebagai bahan untuk menakut-nakutkan orang ramai supaya meninggalkan urusan dunia dan memberi tumpuan terus kepada urusan akhirat.

Semoga kita terpelihara dari diperdaya dan diasyikkan dengan urusan-urusan yang bukan utama dalam kehidupan beragama sehingga melakukan perkara yang sia-sia.

 


 

Rujukan

[1] Hadis Anas bin Malik, Nabi s.a.w bersabda, “Tiada seorang Nabi pun yang diutuskan melainkan mereka memberi peringatan kepada umat masing-masing terhadap sang pendusta yang buta lagi pendusta, sedangkan Tuhan kamu tidaklah buta..” Sahih Al-Bukhari, hadis no. 6598.

[2] Sahih Muslim, hadis no. 8.

[3] Hadis-hadis mengenai tanda-tanda Kiamat yang kecil dan besar banyak diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadis sehingga mencapai darjat mutawatir secara keseluruhannya.

[4] Sahih Al-Bukhari, hadis no. 6504.

[5] Sahih Muslim, hadis no. 2901.

[6] Majmu` Al-Fatawa, soalan no. 137.

[7] Salih Al-Maghamisi (2011), Al-Mahdi Al-Muntazar. Lihat  https://www.youtube.com/watch?v=90SOoNszLfo (8 March 2021).

[8] `Abd Al-`Alim Al-Bustawi (1999), Al-Mahdi Al-Muntazar Fi Dhaw’ Al-Ahadith Wa Al-Athar Al-Sahihah, Beirut: Dar Ibn Hazm, ms. 89-97.

[9] Al-Hakim (2014), Al-Mustadrak `Ala Al-Sahihain, Cairo: Dar Al-Ta’shil, jld. 8, ms. 372.

[10] Sahih Muslim, hadis no. 247.

[11] `Ali Jum’ah (2018), Hal Al-Mahdi Al-Muntazar Syakhs Haqiqi Sayazhar Yawman? Lihat  https://www.youtube.com/watch?v=ZnuycRoSKYQ (8 March 2021).

[12] Al-Hakim (2014), Al-Mustadrak `Ala Al-Sahihain, jld. 8, ms. 366.

[13] Ibid. ms. 233.

[14] Al-Maghamisi (2011). Lihat:  https://www.youtube.com/watch?v=90SOoNszLfo (8 March 2021)

[15] Sa`id Ramadan Al-Buti (2018), Asyrat Al-Sa`ah Zuhur Al-Dajjal. Lihat https://www.youtube.com/watch?v=IBqf4m6nV18 (8 March 2021).

[16] Uthman Al-Khamis (2020), Hunaka Man Yatadawal Anna Ibtila’ Korona Huwa Min `Alamat Al-Sa`ah Al-Kubra: Hal Haza Al-Kalam Sahih? Lihat https://www.youtube.com/watch?v=hJsAj0sS4DM (10 March 2021).

[17] Abdullah Al-Mutlaq (2017), Hal Nahnu Fi `Alamat Al-Sa`ah Al-Sughra Wa Al-Kubra?, Lihat https://www.youtube.com/watch?v=XO-ZZdAnG8Y (10 March 2021).

[18] Al-Bukhari, Al-Adab Al-Mufrad, hadis no. 479.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles