Mengekang Berita Palsu Dari Sudut Ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil | Wasat No. 34 / Ogos 2020

wasat

34-2

Mengekang Berita Palsu Dari Sudut Ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil

01 August 2020 12:02 am // Written by Mustazah Bin Bahari

Penyebaran maklumat dewasa ini tidak seperti dahulu lagi. Kemudahan dari teknologi moden hari ini memberi ruang yang luas untuk manusia menyampaikan dan berkongsi maklumat dengan orang lain, di dalam dan di luar negaranya. Siapa pun boleh lakukan, baik yang muda mahupun yang tua, yang berpelajaran tinggi atau tidak. Dengan kemudahan ini, banyak maklumat telah disebarkan ke seluruh dunia sehingga sukar untuk dipastikan antara yang benar dan palsu.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Global Social Media Research Summary 2020, hampir 60% penduduk dunia telah melungsuri Internet dan menggunakan khidmat dalam talian. Youtube dan Facebook merupakan media sosial yang paling banyak dilayari.[1]

Disebabkan pentingnya maklumat itu disebarkan dengan benar dan tepat, pemerintah Singapura telah menguatkuasakan undang-undang yang dinamakan POFMA (Protection from Online Falsehoods and Manipulation Act). Ia bertujuan untuk menghalang mana-mana pihak, samada individu atau organisasi, dari menyebarkan maklumat palsu secara talian. Sesiapa yang didapati melakukannya boleh didakwa dan, jika didapati bersalah, boleh dihukum.[2]

Dalam tradisi ilmu Islam, ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil (ilmu menilai integriti perawi hadis) adalah ilmu alat yang digunakan untuk memastikan kesahihan sesuatu maklumat yang disampaikan oleh seseorang individu mengenai hadis atau sunnah Nabi s.a.w. Ia mencakupi segala aspek latarbelakang seseorang perawi dari sudut peribadinya, tanggapan orang ramai terhadapnya, tempat tinggalnya, pembelajarannya dan banyak lagi.

Rencana ini tidak bermaksud untuk menghuraikan segala aspek aplikasinya, tapi akan menyentuh aspek berkaitan kaedah umum yang diambil oleh para ahli ilmu ini untuk memastikan sesuatu maklumat yang diterima adalah benar dan boleh digunakan.

 

Fungsi ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil dan kepentingannya

Ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil di peringkat awal Islam dikenali sebagai ilmu Al-Rijal, iaitu ilmu  membahaskan tentang latarbelakang orang yang meriwayatkan hadis atau sunnah Nabi s.a.w. Setelah mengetahui nama dan latarbelakang seorang perawi hadis Nabi s.a.w, proses saringan dilakukan sama ada diterima atau ditolak periwayatan mereka.

Al-Jarh membawa maksud kritikan ke atas perawi yang boleh menyebabkan periwayatannya ditolak. Al-Ta`dil pula adalah penilaian positif terhadap seorang perawi bagi membolehkan periwayatannya diterima.

Persoalannya, apakah keperluannya dalam urusan agama? Bukankah ia bakal menjadi bahan bicara mengenai hal orang lain dan termasuk dalam hukum mengumpat?

Hakikatnya, ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil bukan bertujuan untuk mengumpat atau mengaibkan seseorang. Tujuannya adalah untuk memastikan berita yang disampaikan itu asli dan benar.

Abu Bakar bin Khallad pernah berkata kepada Yahya bin Sa’id, “Apakah kamu tidak takut jika orang-orang yang kamu singkirkan dari menerima riwayat hadis kelak akan menjadi pendakwa kamu di hadapan Allah?” Jawab Yahya, “Aku lebih takut Rasulullah s.a.w yang akan mendakwa aku di sana kelak dari mereka yang mendakwa aku, dengan pertanyaan Baginda, “Mengapa kamu tidak mencegah kepalsuan dari hadisku?”[3] 

Aktiviti mengesan sesuatu berita itu benar lagi asli telah dilakukan oleh para sahabat Nabi s.a.w. Abu Bakar Al-Siddiq r.a. telah didatangi oleh seorang nenek bertanya mengenai haknya dari harta warisan. Abu Bakar tidak melayan permintaannya sehingga beliau dapat pengesahan dari sahabat lain mengenai hukum tersebut.[4]

Apabila diberitahu oleh Abu Musa Al-Asy`ari r.a. tentang perintah Nabi s.a.w kepada tetamu untuk pulang sahaja tuan rumah yang tidak menjawab salam sehingga tiga kali,[5] Umar r.a tidak menerima hukum itu sehingga beliau meminta sahabat lain untuk mengesahkannya.[6]

Hal ini menjadi lebih genting apabila berlakunya perbalahan sesama umat Islam ketika peristiwa pembunuhan Uthman bin Affan r.a. dan di zaman Ali bin Abi Talib r.a. apabila banyak hadis-hadis palsu disebarkan dengan tujuan menyokong kepentingan puak-puak yang berbalah tentang jawatan khalifah.

Diriwayatkan bahawa Basyir bin Ka’ab Al-`Adawi telah mendatangi Ibn Abbas r.a. lalu mulakan bicara mengenai hadis-hadis Nabi s.a.w. Ibn Abbas kelihatan tidak mendengar dan memandang kepadanya langsung. Lalu Basyir berkata, “Wahai Ibn Abbas, mengapakah aku melihat kamu tidak mendengar kepada hadis-hadis yang aku sampaikan? Ibn Abbas berkata, “Dahulu apabila kami mendengar seseorang membicarakan tentang hadis Nabi s.a.w, mata kami akan mengekorinya dan telinga kami benar-benar dilebarkan untuk mendengarnya. Tetapi apabila manusia telah banyak dan mudah berkata dusta dan menyampaikan apa sahaja yang didengar, kami tidak lagi menerima melainkan dari orang yang kami kenal.”[7]

Segala yang dilakukan oleh genarasi awal Islam berpandukan kepada firman Allah taala, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujurat: 6)

Menerusi hadis pula, Nabi s.a.w pernah ditanya oleh Fatimah binti Qais mengenai lamaran yang diterima dari Muawiyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm. Nabi s.a.w bersabda, “Adapun Abu Jahm adalah seorang yang kaki pukul. Manakala Mu’awiyah pula adalah seorang yang tidak mempunyai harta. Bernikahlah dengan Usamah.”[8]

 

Aplikasi ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil hari ini  

Seperti yang dijelaskan, tidak semua aspek jurusan ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil boleh diaplikasi dalam suasana kehidupan hari ini. Para ulama hadis telah melakukan perincian yang mendalam lagi luas untuk menilai segala aspek sifat perawi yang boleh diterima atau ditolak periwayatan mereka. Namun, ada beberapa sudut yang boleh diambil kira untuk dijadikan sandaran bagi mengekang berita palsu.

Di antara aspek yang sesuai diambil kira adalah penilaian aspek `adalah (benar dan jujur) dan dhabit (kejituan) terhadap individu atau organisasi yang menyampaikan berita atau maklumat.

 `Adalah (adil/jujur) bagi seorang perawi di sisi ahli hadis adalah orang yang dikenali ramai sebagai seorang yang berintegriti dalam urusan hidupnya secara umum, jujur dalam bicaranya, tidak pernah berdusta serta disenangi tingkah lakunya.

Dhabit (jitu) di dalam penyampaian khabar pula difahami dengan kesungguhan mereka dalam memastikan apa yang disampaikan, adalah asli dan tidak menyimpang dari kebenaran, samada menerusi hafalan atau catitan.

Menurut ahli hadis, kedua dua ciri ini diakui sah jika ia datang dari seorang Muslim yang mukallaf.

Walaupun di sisi para ulama hadis syarat penerimaan sesuatu riwayat perlu datang dari seorang Muslim, ini tidaklah bermaksud penyampaian khabar dari bukan Muslim ditolak sama sekali. Para ulama secara umumnya, baik dalam bidang hadis mahupun yang lain meletakkan syarat Islam sebagai syarat penerimaan riwayat, hanya dalam perkara yang berkaitan dengan urusan syariat Islam, bukan semua khabar.

Jika dirujuk kepada sirah Nabi s.a.w, telah berlaku penyampaian dan penerimaan khabar antara umat Islam dan bukan Islam. Urusan-urusan politik dan masalah sosial secara umumnya dibicarakan oleh masyarakat umum di Madinah dan Mekah. Dalam memeterai perjanjian perdamaian antara umat Islam dan bukan Islam, kumpulan masing masing membawa khabar dari pihak mereka untuk dijadikan sandaran perjanjian.

Di dalam perjanjian Hudaibiyah misalnya, Nabi s.a.w menerima baik wakil dari pihak Quraish yang bernama Suhail bin `Amr kerana beliau adalah seorang yang mudah dan jujur dalam perbincangan. Sedangkan sebelum itu, Nabi s.a.w menunjukkan rasa tidak senang dengan seorang wakil mereka yang bernama Mikraz kerana dia adalah seorang yang buruk perangainya dan tidak disenangi ketika mengadakan perbincangan.[9]

Justeru, hari ini sesuatu berita yang layak diterima dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk seperti di Singapura, perlu datang dari individu atau organisasi yang lama terkenal dengan sifat jujur dan amanah secara konsisten dalam menyampaikan maklumat, walaupun mereka bukanlah orang Islam.

Hal ehwal yang berkaitan dengan isu kemasyarakatan, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya tidak memerlukan syarat penerimaan maklumat itu datang dari hanya seorang Muslim.

Pemikiran yang menganggap sesuatu khabar itu pasti benar apabila dibawa oleh Muslim sahaja adalah meleset dan tidak bernas.

Perlu difahami dengan betul bahawa perbincangan para ulama mengenai penerimaan khabar hanya apabila datang dari seorang Muslim adalah urusan-urusan agama dan ibadat sahaja. Itupun adalah pendapat golongan ulama terdahulu.

Hari ini, terdapat banyak usaha telah dilakukan oleh bukan Muslim di dalam menyebarkan maklumat berunsur agama kepada Muslim dan diterima baik oleh umat Islam sendiri. Misalnya dalam bidang ilmu hadis sendiri, usaha dan karya seorang orientalis yang bernama Arend Jan Wensinck telah mengumpulkan bahan-bahan yang dijadikan rujukan hadis dalam buku yang berjudul Al-Mu`jam Al-Mufahharas Li Alfaz Al-Hadith Al-Nabawi.[10]

Sebelum ada enjin carian Google, buku ini menjadi rujukan utama untuk mencari hadis-hadis yang ada dalam kitab-kitab hadis utama. Para ulama dan para penuntut ilmu Islam umumnya menggunakan dan mengambil manfaat dari kitab itu sebagai bahan rujukan mereka. Tiada siapa mengingkari kelebihan dan manfaat kitab itu.

Selain itu, di dalam ilmu tafsir terdapat kitab tafsir unggul, Al-Kassyaf, yang diterima baik oleh ulama tafsir kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kitab in dikarang oleh Al-Zamakhsyari yang berfahaman Muktazilah. Ia merupakan rujukan utama dalam tafsir dari sudut nilai bahasa Al-Quran. Para ulama menghargai karya ini kerana isi dan huraian yang diberi dari sudut kajian bahasa menepati maksud ayat yang diturunkan. 

Justeru, aplikasi ilmu Al-Jarh Wa al-Ta`dil yang terkait dengan sifat `adalah dan dhabit pada seorang individu masih lagi sesuai digunakan bagi menerima dan menyampaikan khabar, samada dia seorang Muslim ataupun tidak, selagi mana individu yang menyampaikan maklumat itu dikenali sebagai orang jujur dan bahan yang disampaikan pula adalah benar. Jika ciri utama penerimaan sesuatu khabar dinilai dari sudut akidah dan kepercayaan, sudah pasti kedua-dua kitab yang disebutkan tidak boleh diterima sama sekali.

 

Kesimpulan

Tiada siapa boleh menahan hak orang lain untuk menyampaikan berita atau maklumat yang diperolehi. Adakala maklumat itu sememangnya secara dasarnya adalah benar. Ada ketika ia boleh jadi benar dengan proses amali, percubaan dan ujian sendiri seperti petua-petua orang lama. Ada pula yang perlu pada ketelitian mendalam untuk memastikan maklumat yang diberi adalah benar dan boleh diterima pakai.

Dalam perkara yang berkaitan dengan isu-isu genting di dalam kehidupan seharian manusia, sesuatu maklumat perlu dipastikan benar dan tulen menurut sumbernya yang tidak diragui. Sebagai misal, keadaan wabak Covid-19 yang berlaku di serata dunia yang melibatkan kemudaratan hidup kepada hampir seluruh hidup manusia di dunia ini amat memerlukan maklumat yang tepat supaya wabak ini dapat dikendalikan dengan baik dan berkesan.

Cara mudah untuk memastikan sesuatu berita itu benar dan asli adalah merujuk kepada individu atau pihak yang dikenali ramai sebagai sumber yang sentiasa menyampaikan maklumat yang betul secara konsisten.

Merujuk kepada syarat penerimaan khabar dari seorang individu, dia hendaklah seorang yang dikenali sebagai seorang yang adil dan jujur. Dalam ruang alam maya yang terdapat ratusan, ribuan malah jutaan pengikut dan “kawan” yang ada di antara mereka tidak pernah dikenali pun, langkah-langkah wajar dalam menerima dan menyampaikan sesuatu khabar perlu diambil.

Dalam suasana wabak Covid-19, banyak perkongsian telah dilakukan oleh warga Internet di seluruh dunia mengenai penawar, vaksin, perubahan polisi dan sebagainya. Namun banyak yang didapati tidak benar.[11]

Bagi maklumat terkini yang berkaitan dengan perkembangan Covid-19 di Singapura, masyarakat perlu merujuk kepada sumber rasmi Kementerian Kesihatan Singapura (MOH). Selain itu, karyawan kesihatan dan ahli sains yang berwibawa dan terkenal dengan sifat adil dalam menyampaikan maklumat mengenai wabak Covid-19 boleh juga dijadikan sandaran berita yang sahih.

Segala isu atau hukum agama yang terkait dengan Covid-19 bagi masyarakat Islam pula, keutamaan ialah merujuk kepada panduan keagamaan dari Pejabat Mufti di MUIS dan diikuti pula dengan sumber dari para ulama di seluruh dunia dan institusi fatwa yang sudah diakui kewibawaannya di kalangan umat Islam. Dalam hal ini, rata-rata, terdapat kesepakatan besar di kalangan ulama dan institusi fatwa merata dunia tentang pesoalan penutupan ditutup, menghadkan jemaah pada bilangan tertentu, menjarakkan saf 1 meter ketika bersolat jemaah dan lain lagi.

Selain itu, lelaman media arus perdana yang sering membawa berita yang tepat juga boleh menjadi rujukan. Tidak dinafikan bahawa kesilapan boleh berlaku dari orang atau sumber yang selama ini dipercayai ketika menyampaikan khabar, namun ia tidak melibatkan ‘kerosakan’ yang besar berbanding sumber yang memang asalnya diragui.

Walaupun ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil lebih dikenali dalam ilmu hadis, tetapi kaedah dan metodologinya amat sesuai diadaptasi oleh pihak penguasa dan masyarakat hari ini. Dengan pengambilan maklumat dari sumber yang betul, impak terhadap kehidupan masyarakat akan lebih baik dan selamat. Ia juga dapat menghalang dari fitnah-fitnah dusta yang boleh menyebabkan keresahan dalam jiwa manusia. 

Ilmu ini juga menunjukkan betapa Islam kaya dengan ilmu-ilmu yang terkedepan dan menitik beratkan kepentingan menegak kebenaran dalam segala aspek kehidupan manusia. 

Menurut Shaykh Muntasir Zaman, seorang Orientalis bernama Aloys Sprenger sendiri mengakui bahawa tiada umat dan tidak pernah ada usaha yang dilakukan sebelum ini sepertimana yang dilakukan oleh umat Islam di dalam mengumpulkan latarbelakang setiap orang yang menyampaikan risalah Islam.[12]

 


 

[1] Lihat Global social media research summary 2020, di https://www.smartinsights.com/social-media-marketing/social-media-strategy/new-global-social-media-research/  (25 June 2020)

[2] Lihat Singapore Fake News Laws: Guide to POFMA (Protection from Online Falsehoods and Manipulation Act), di https://singaporelegaladvice.com/law-articles/singapore-fake-news-protection-online-falsehoods-manipulation/ (4 July 2020)

[3] Ibn Salah (1986.), `Ulum Al-Hadith, Dimasyq: Dar Al-Fikr, ms. 389.

[4] Al-Syaukani (1427H), Nayl Al-Autar, Riyad: Dar Ibn Al-Jauzi, hadis no. 2549, jld 11, ms. 328

[5] Adab ketika memberi salam kepada tuan rumah adalah memberi salam sehingga 3 kali. Jika tuan rumah tidak menjawab salam, hendaklah orang yang memberi salam itu beredar dan tidak terus menunggu di depan pintu rumah. Ia termasuk di dalam adab meminta izin.

[6] Sahih Muslim. Kitab Al-Adab, bab Al-Isti’zan, hadis no. 2153.

[7] Muslim bin Hajjaj (2014), Muqaddimah Imam Muslim, Cairo: Dar Al-Ta’sil, jld. 1, ms. 313.

[8] Sunan Abi Daud. Kitab al-Talaq, hadis no. 2284.

[9] Ibn Kathir (2004), Al-Bidayah Wa Al-Nihayah, Riyadh: Bait Al-Afkar Al-Dauliyah, hlm. 599.

[10] Boleh didapati di https://waqfeya.com/book.php?bid=1236

[11] Greg Nyilasy (2020), “Fake news in the age of Covid-19”, Pursuit, 10 April, di  https://pursuit.unimelb.edu.au/articles/fake-news-in-the-age-of-covid-19  (8 July 2020)

[12] Muntasir Zaman (2016), “The Science of al-Jarh wa al-Ta‘dīl: Separating Wheat from Chaff”, Darul Tahqiq, 3 November, di https://www.darultahqiq.com/science-al-jarh-wa-al-tadil-separating-wheat-chaff/ (25 June 2020)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles