Menghadapi Kebencian Dengan Cinta | Wasat No. 39 / Jun 2021

wasat

39-2

Menghadapi Kebencian Dengan Cinta

01 June 2021 12:02 am // Written by Zahratur Rofiqah Mochamad Sandisi

“Jika tidak dapat mencintai orang tersebut, mulalah dengan cintamu kepada Rasulullah s.a.w.” Penulis artikel.

Umat Islam hari ini ibarat sedang melalui fasa awal dakwah Rasulullah s.a.w di Mekah; Rasulullah s.a.w dihina, dicaci, diberi nama yang buruk dan umat Islam terkesan dengan pandangan sinis dan negatif masyarakat dunia terhadap mereka.

Timbul dalam benak hati seorang Muslim, bagaimanakah reaksi yang sepatutnya kita berikan?

Tidak dapat dinafikan, perasaan marah dan kecewa bermain di ruang hati namun marilah sama-sama kita mencontohi Baginda s.a.w dalam menangani situasi seperti ini.

 

Mendoakan petunjuk

Nabi s.a.w mendoakan orang-orang yang membenci atau mempunyai salah tanggapan mengenai Islam. Beliau s.a.w pernah mendoakan musuh Islam supaya mereka diberi hidayah dan meminta keampunan Allah untuk mereka. Dalam Perang Uhud, dua gigi Baginda s.a.w patah dan bibir bawah serta dahinya pula terluka hingga berdarah. Baginda s.a.w mengusapnya dengan kain agar tidak terjatuh ke tanah, lalu bersabda,

“Seandainya ada sedikit saja darinya (darah) yang jatuh ke tanah nescaya azab akan turun kepada mereka.”

Situasi ini dirasa sangat berat bagi para sahabat hingga mereka menyuruh Rasulullah s.a.w untuk melaknat mereka. Namun Baginda s.a.w bersabda, “Sesungguhnya aku tidak diutus sebagai pelaknat, tetapi aku diutus sebagai rahmat.” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain, Baginda SAW berdoa, “Ya Allah, ampuni kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Melalui contoh-contoh ini, kita dapat melihat Rasulullah s.a.w tetap menunjukkan akhlak yang mulia dan bersangka baik walaupun dirinya disakiti.

Mendoakan bukan bererti menyerah tanpa usaha, tapi ia adalah senjata ampuh yang telah membuka serta membawa banyak hati yang diselaputi kebencian kepada Islam kepada cahaya hidayah Islam. Selain itu, doa juga merupakan usaha yang diiringi dengan pengharapan dan cinta kerana matlamat kita bukan untuk melayan rasa marah dalam diri, tapi untuk menghayati Islam dalam sebaik-baik bentuk yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w; agar emosi kita terpandu dalam kebaikan ketika bertindak.

 

Membalas kejahatan dengan kebaikan

Nabi s.a.w membalas dengan kebaikan. Rasulullah s.a.w bukan sahaja contoh terbaik buat seluruh umat manusia bahkan beliau s.a.w mengajar kita bahawa agama Islam meletakkan piawai dan kedudukan tinggi pada berakhlak mulia. Seorang Muslim bukan sahaja dituntut untuk meneladani akhlak terbaik buat dirinya tetapi juga untuk orang-orang di sekelilingnya baik yang Muslim atau yang bukan Muslim.

Rasulullah s.a.w selalu menghidupkan ajaran Islam sehingga akhlaknya mencerminkan Al-Quran. Baginda s.a.w meneladani apa yang telah difirmankan Allah taala,

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.” (Fussilat: 34)

Ayat Al-Quran di atas jelas mengajarkan kepada kita untuk membezakan kebaikan dan keburukan serta membalas kejahatan dengan cara yang lebih baik supaya memperoleh kebaikan darinya, yang antaranya ialah orang yang memusuhi kita akan berlembut hati dengan kita. Sepertimana yang dapat kita lihat dari doa Rasulullah s.a.w untuk mengampunkan orang yang menyakiti Baginda kerana ‘mereka tidak mengetahui’.

Respon baik dan akhlak yang mulia dapat memberi gambaran Islam yang sebenar kepada mereka yang tidak tahu mengenai Islam dan juga membersihkan imej Islam yang telah dikotori oleh sebahagian saluran media.

Apabila melihat keindahan dan kemurniaan Islam, barulah yang memusuhi atau yang membenci akan terbuka hatinya untuk memahami Islam dan mengasihi umat Islam serta berlaku baik kepada mereka, di sinilah kita dapat lihat “orang yang mempunyai permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang setia”.

Perkara ini dapat dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. yang menceritakan,

“Tidak pernah aku melihat Rasulullah s.a.w meminta pertolongan untuk menuntut bela daripada kezaliman yang dilakukan kepadanya (kerana Baginda kebiasaannya akan memaafkan sahaja) melainkan apabila dilanggar sesuatu daripada larangan-larangan Allah, maka ketika itu Bagindalah orang yang paling marah daripada semua orang. Tidak diberi pilihan kepada Baginda antara dua perkara melainkan Baginda akan memilih apa yang paling mudah daripada kedua duanya selagi tidak membawa kepada dosa.”

Manifestasi ayat Al-Quran dan hadis yang disebutkan di atas dapat dilihat ketika pembukaan Mekah di mana Rasulullah s.a.w dan para Muslimin berjaya menakluki Mekah tanpa menghalau penduduknya. Bahkan Rasulullah s.a.w memaafkan orang-orang yang pernah menzaliminya sedangkan pada waktu itu beliau mempunyai kuasa untuk menghukum mereka. Sungguh luhur hati Rasulullah s.a.w dan begitu tinggi akhlak yang Baginda s.a.w miliki.

Kita sebagai umat Baginda s.a.w patut dan harus mengikut jejak langkahnya sebagai bukti kesetiaan dan cinta kita terhadap beliau. Pasti dalam perkara ini, kita akan dapat menemukan maslahat yang besar buat semua.

Sebagaimana akhlak Baginda s.a.w membawa kepada terbukanya pintu hati orang-orang yang menentang Islam, kita juga harapkan perkara yang sama pada masa ini.

 

Memikirkan maslahat yang lebih besar

Ini dapat dilihat ketika Rasulullah s.a.w berdakwah di Taif dan menerima layanan yang amat buruk dari penduduknya. Rasulullah s.a.w bersama Zaid Bin Harithah pergi ke Taif untuk mengajak penduduk-penduduknya memeluk agama Islam. Namun kedatangan mereka mengundang kebencian dan kemarahan mereka. Rasulullah s.a.w luka parah kerana dilempari batu dan terus menerus diherdik sehinggakan beliau s.a.w dan Zaid terpaksa berpatah balik ke Mekah.

Dalam perjalanan pulang, malaikat Jibril turun dan berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Allah mengetahui apa yang terjadi padamu dan orang-orang ini (penduduk Taif). Allah telah memerintahkan malaikat-malaikat di gunung-gunung untuk mentaati perintahmu.” Para malaikat penjaga gunung menyahut, “Wahai Muhammad! Sungguh Allah telah mendengar perkataan penduduk Taif kepadamu. Aku adalah malaikat penjaga gunung dan Tuhan-mu telah mengutusku kepadamu. Angkat tanganmu ke langit, ya Rasulullah! Jika engkau suka, aku boleh membalikkan dan menjatuhkan Gunung Akhsyabin ini ke atas mereka!” Setelah mendengar tawaran malaikat tersebut, Rasulullah s.a.w dengan lemah-lembut berkata, “Walaupun penduduk Taif menolakku, aku berharap dengan kehendak Allah keturunan mereka kelak akan menyembah Allah dan beribadah kepada-Nya.” Baginda s.a.w kemudian berdoa, “Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” (Riwayat Al-Bukhari)

Sudah tentu pada saat itu, Rasulullah s.a.w merasa sedih dan terluka kerana usahanya untuk mengajak manusia kepada kebenaran dibalas dengan cacian dan lemparan batu. Biarpun begitu, Baginda s.a.w tidak membenarkan emosi menguasai dirinya dan tidak ingin membalas keburukan mereka. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mengharapkan maslahat dan kebaikan yang lebih besar dari perisitiwa ini. Rasulullah s.a.w melihat jauh ke masa hadapan dan tidak bertindak mengikut perasaannya ketika itu, Baginda s.a.w menunjukkan walau apapun yang  terjadi, kita haruslah menganalisa kesan-kesan perbuatan kita untuk ketika itu dan masa hadapan.

Mungkin dalam menangani kebencian dengan akhlak yang baik dan budi pekerti yang luhur, kita akan dilihat sebagai tidak bertindak proaktif dan tidak menunjukkan kesungguhan kita dalam membela agama Islam. Namun, ingatlah peristiwa di Taif ini atau peristiwa ketika pembukaan Mekah; Rasulullah s.a.w boleh membela agama Islam dengan tidak memaafkan orang-orang yang memusuhinya dan membalas segala penderaan serta penghinaan yang dilakukan dengan yang setimpal, tetapi Baginda s.a.w diutuskan untuk menyempurnakan akhlak dan menunjukkan kita jalan yang terbaik  untuk setiap lapisan zaman. Dengan itu, kita sebagai umat Baginda s.a.w sewajarnya mengikuti keluhuran ini.

Menyandarkan semua kepada Allah taala

Akhlak mulia dan kekuatan Rasulullah s.a.w bersumber dari petunjuk Allah taala dan tawakal beliau s.a.w kepadaNya. Kekuatan dan keluhuran yang luar biasa ini tidak dapat dihasilkan oleh manusia biasa. Allah Yang Maha Kuat dan Yang Maha Pengasih sahaja yang dapat meletakkan kekuatan dan keluhuran yang tiada tandingnya dalam diri manusia. Sandaran jitu Rasulullah s.a.w kepada Allah dapat dilihat dari doa Baginda s.a.w ketika di Taif:

“Ya Allah! Kepada-Mu aku mengadukan kelemahanku, kekurangan daya upayaku di hadapan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang, Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Tuhan pelindungku. Kepada siapa hendak Engkau serahkan nasibku? Kepada orang jauhkah yang berwajah muram kepadaku? Atau kepada musuh yang akan menguasai diriku? Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli. Sebab, sungguh luas kenikmatan yang Engkau limpahkan kepadaku. Aku berlindung kepada cahaya Wajah-Mu yang menyinari kegelapan, dan karena itu yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat, (aku berlindung) dari kemurkaan-Mu. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau reda kepadaku. Dan, tiada daya dan upaya melainkan dengan kehendak-Mu.” (Riwayat Al-Tabarani)

Rasulullah s.a.w melalui segala onak dan duri bukan untuk sesiapa melainkan untuk mendapat reda Allah taala. Dapat kita pelajari di sini bahawa jika tujuan dan matlamat kita adalah reda Allah taala, segala perkara yang mengundang dan membantu kita untuk menuju kepadanya akan kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh walaupun ianya dipenuhi dengan dugaan dan kesakitan. Menyandarkan dan menyerahkan segala urusan kita kepada Allah taala telah terbukti dengan segala yang terjadi dalam sirah dan sejarah bahawa ia akan membawa kita kepada kebaikan, kemenangan dan jalan keluar. Allah akan selalu menjaga mereka yang menjaga agamanya dan Allah tidak pernah dan tidak akan menzalimi hamba-hambaNya.

Jika kita bandingkan apa yang dihadapi Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam menegakkan agama Islam dengan apa yang kita hadapi sekarang, penderitaan yang mereka hadapi lebih besar dan lebih dahsyat dari yang kita hadapi.

Jika kita inginkan kejayaan seperti  yang mereka perolehi, kita mengikut jejak langkah mereka. Jangan biarkan cacian dan kelakuan buruk orang lain terhadap agama kita menghakis jati diri kita sebagai umat yang berakhlak mulia dan selalu menegakkan kebenaran. Buktikan cinta kita terhadap Rasulullah s.a.w dengan meneladani  perlakuannya  yang mengasihi setiap nyawa di muka bumi ini.

Seperti yang dikatakan dalam sebuah athar, “Hukuman yang setimpal bagi orang yang bersalah kepada Allah kerana menyakitimu ialah dengan cara kamu berbuat taat kepada Allah dalam menghadapinya.” (Lihat Ibn Kathir (1999), Tafsir Al-Quran Al-Azim, jld. 7, Riyad: Dar Thayyibah. ms. 181).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles