Terdapat dua jenis ulama dalam tradisi Islam; 1) ulama pewaris Nabi s.a.w.[i], dan 2) ulama su’ (jahat).
Ulama su’ bermaksud mereka yang sekadar ada ilmu tetapi tidak mendapat petunjuk yang baik dari ilmu yang dikurniakan kepada mereka. Ertinya, tradisi Islam akui bahawa dalam lingkungan mereka yang bergelar ahli ilmu atau ulama, terdapat mereka yang sebenarnya tidak menepati maksud ulama yang sebenar.
Dari kalangan mereka ini, terbit pula istilah, Ulama Sultan. Mereka yang dimaksudkan sebagai golongan ulama yang ada hubungan rapat dengan Sultan, pemerintah, penguasa dan kerajaan. Golongan ulama ini sering dianggap keji dan tidak beretika. Mereka dikatakan menjual agama dengan habuan yang mereka terima dari pihak penguasa.
Artikel ini akan membahaskan tentang siapakah mereka yang dianggap sebagai ulama sultan? Adakah benar mereka semua keji dan kotor serta tidak beretika? Adakah ulama-ulama Islam yang tersohor dalam lipatan sejarah Islam semuanya berlepas tangan dari pihak penguasa?
Kedudukan ulama menurut Islam
Para ulama mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah taala, sebagaimana dinyatakan di dalam Al-Quran;
“Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Ali Imran: 18)
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Mujadilah: 11)
“Sungguh yang benar-benar takut kepada Allah adalah di kalangan hamba-hamba-Nya yang bergelar ulama.” (Al-Fatir: 28)
Begitu juga terdapat banyak hadis-hadis Nabi s.a.w. mengenai kelebihan orang yang berilmu. Antaranya, ialah;
Dari Kathir bin Qais, dia berkata: Saya duduk di sebelah Abu Darda’ di Masjid Damsyik. Maka datanglah seorang lelaki kepadanya, lalu berkata: Wahai Abu Darda’! Aku datang kepadamu dari kota Madinah, kota Rasulullah s.a.w., untuk keperluan hadis yang sampai kepadaku. Bahawasanya engkau meriwayatkannya dari Nabi s.a.w. Abu Darda’ berkata: Apakah kamu datang berniat dagang? Dia menjawab: Tidak. Abu Darda’ berkata: Apakah kamu datang berniat lainnya itu? Dia menjawab: Tidak. Abu Darda’ berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersada, “Barangsiapa yang melalui jalan seraya mencari ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat meletakkan sayap-sayapnya kerana senang kepada orang yang mencari ilmu. Sesungguhnya orang yang mencari ilmu akan dimintakan ampunan oleh orang ada di langit dan bumi sehingga ikan-ikan yang ada di air. Sesungguhnya keutamaan seorang alim dibanding seorang `abid (tekun ibadah) adalah seperti kelebihan bulan terhadap segala bintang. Sesungguhnya seorang ulama/alim adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para nabi itu tidak mewariskan dinar dan dirham. Hanyasanya mereka itu mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya maka dia mengambil suatu bahagian yang sempurna.”[ii]
“Kelebihan seorang yang berilmu ke atas orang yang kuat beribadat (tetapi kurang ilmunya) adalah seperti diriku ke atas orang yang paling rendah kedudukannya di sisi kamu.”[iii]
“Ilmu ini akan diwarisi pada setiap peringkat (generasi manusia) oleh mereka yang adil, di mana mereka akan menolak penyelewangan golongan yang melampau, pencerobohan golongan yang batil dan pentakwilan golongan yang jahil.”[iv]
Ancaman terhadap salah guna ilmu
Ilmu berperanan memberi petunjuk dan cahaya ke jalan yang benar. Ia sepatutnya membawa manusia ke arah yang lebih baik dalam hidupnya. Dengan ilmu, manusia tahu apa yang benar dan apa yang salah dan batil.
Sungguhpun demikian, terdapat juga manusia yang diberi ilmu tetapi memilih jalan kesesatan dan menyeleweng dari kebenaran. Hal ini disebutkan juga di dalam Al-Quran, “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (Al-Baqarah: 159)
Imam Al-Qurtubi mengulas ayat ini sambil menukil dari Mujahid Ikrimah, “Binatang serangga dan ternak mengalami kebuluran dan kemarau bersebabkan dosa-dosa para ulama su’ yang menyembunyikan ilmu yang benar lalu mereka semua melaknati ke atas para ulama itu.”[v]
Nabi s.a.w. pula bersabda, “Sesiapa yang menyembunyikan sesuatu ilmu yang Allah beri kemanfaatannya untuk manusia dari urusan agama, maka Allah akan memberinya azab kendali dari api pada hari kiamat.”[vi]
Siapakah Ulama Sultan?
Habib Ali Al-Jufri menjelaskan bahawa istilah yang disebut sebagai Ulama Sultan itu merujuk kepada mereka yang merendahkan ilmu mereka demi untuk memberi khidmat kepada pihak istana demi untuk mendapatkan kemanfaatan yang banyak dan kerana rasa takut kepada kemudaratan yang boleh berlaku (jika tidak berkhidmat untuk sultan).[vii]
Menurut Dr. Tariq Suwaidan pula, ulama sultan adalah mereka yang menggunakan nas-nas agama untuk kepentingan diri dan mereka menyerupai paderi-paderi di gereja di zaman dahulu yang bertindak melonggarkan ikatan manusia dari pegangan agama.[viii]
Persoalannya, adakah setiap ulama yang mempunyai hubungan baik dengan pihak penguasa dan pemerintah semuanya dianggap menjual agama?
Dari sudut sejarah Islam, terdapat banyak riwayat yang membuktikan bahawa para ulama hidup bersama penguasa yang baik dan juga yang zalim. Para penguasa dahulu memerlukan nasihat yang berguna dari para ulama demi kepentingan dirinya dan juga rakyatnya.
Menurut fakta sejarah, ramai juga ulama-ulama yang ada hubungan dan bekerjasama baik dengan pihak penguasa, antaranya ialah Imam Malik, Al-Iz bin Abd Al-Salam, Abu Hanifah, Abu Muslim Al-Khulani, Syu`aib bin Harb, Salih Al-Murri dan ramai lagi.
Namun, mereka semua adalah ulama yang menegur dan memberi nasihat ke arah membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka tidak terpedaya dengan habuan istana untuk menyampaikan yang hak.
Walaupun demikian, terdapat juga golongan ulama yang sering berlegar-legar di hadapan pintu istana untuk mengumpul sebanyak mungkin harta keduniaan dan habuannya atau bertujuan untuk mengelak dari kemurkaan dan penyiksaan dari sultan. Misalnya pengasas kepada mazhab Ahmadiyah, Mirza Ghulam Ahmad yang secara jelas menyatakan bahawa masyarakat Islam perlu menurut segala perintah kerajaan British yang menjajah bumi India ketika dahulu.[ix]
Banyak contoh yang boleh disebutkan nama-nama mereka tetapi memadai dengan kritikan keras Hasan Al-Basri terhadap golongan pembaca Al-Quran dan ilmuan yang sering kelihatan berada di pintu-pintu istana untuk mendapatkan upah dari bacaan dan kata-kata nasihat yang diberi kepada pihak istana,
“Kamu semua telah mengotori dahi-dahi kamu dan melebarkan kasut-kasut kamu (tiada pendirian tetap) apabila kamu datang dengan ilmu yang kamu bawa ke hadapan pintu-pintu mereka sehingga mereka tak pedulikan kamu pun. Alangkah baik jika kamu duduk sahaja di rumah dan biarkan mereka menghantar wakil untuk bertanyakan kamu tentang keperluan mereka. Itu lebih mulia pandangan mereka terhadap kamu. Berpecahlah (bersurai), jika tidak, Allah yang akan menghancurkan kamu dari celah-celah rusuk kamu!”[x]
Adakah salah menjadi Ulama Sultan?
Dari sudut hukum, tiada nas yang jelas mengatakan ia haram walaupun terdapat beberapa riwayat yang memberi ancaman kepada sikap sering berlegar-legar di pintu pihak penguasa.
Misalnya hadis-hadis berikut:
“Akan datang selepas (kewafatanku) pemimpin-pemimpin, barangsiapa yang masuk (untuk berurusan) dengan mereka lalu percaya dengan penipuan mereka dan membantu mereka dengan kezaliman yang mereka lakukan, maka dia bukan dari aku dan aku juga bukan darinya…”[xi]
“Umat ini kekal di bawah naungan rahmat dan pemeliharaan Allah selama mana ulama mereka tidak berselerakan di hadapan pemimpin-pemimpin mereka..”[xii]
Hadis di atas memberi pentujuk tentang perangai buruk golongan ilmuan yang sering bersama pemimpin yang zalim dan menyokong kezaliman mereka. Ia bukan bersifat umum untuk melarang semua golongan ilmuan daripada mendekati para pemimpin.
Justeru, tidak salah bagi golongan ulama untuk bekerjasama dengan pihak penguasa, tapi hendaklah mereka mempunyai pendirian yang tegas lagi bernas. Tegas dalam menyampaikan perkara yang hak secara bernas dan penuh hikmah.
Menjadi satu kesalahan yang besar apabila setiap kehendak pemerintah itu diangguk sahaja tanpa memberi pandangan yang berbeza untuk kebaikan bersama. Lebih merbahaya lagi jika ia melibatkan diri dengan urusan yang bersifat menindas dan menzalimi rakyat jelata seperti menyiksa dan membunuh.
Golongan ulama perlu memberi respon yang benar dan wajar kepada pemerintah. Jika berlaku perbezaan pandangan dengan pihak pemerintah, sewajarnya disampaikan dengan sikap yang berhemah lagi berhikmah. Kritikan, jika ada, hendaklah berpandukan adab dan moral yang tinggi, bukan dengan cara menghina dan menjatuhkan, malah jauh sekali untuk memaki hamun pandangan atau perancangan yang dibuat oleh pemerintah.
Pemerintah juga perlu bersikap terbuka dan faham kedudukan dan peranan golongan ulama dalam memberi pandangan. Jika ada kritikan, ia tidak seharusnya ditanggapi sebagai sikap tegar dan melawan polisi pemerintah. Boleh jadi, ia adalah luahan apa yang dirasa wajar dan perlu.
Jika tiada golongan ulama yang bersama para penguasa untuk mentadbir urusan masyarakat, siapa lagi yang boleh diharapkan?
Mereka yang mengutuk pendekatan ini perlu beri jalan alternatif yang sesuai, bukan sekadar menghentam tanpa memberi solusi yang diperlukan bagi meneruskan kelangsungan hidup masyarakat yang terpandu.
Sikap yang betul
Walau tidak dinafikan terdapat ancaman-ancaman terhadap golongan ilmuan serta kes-kes yang melibatkan golongan ilmuan yang menyeleweng dan menyesatkan, tetapi sikap yang betul perlu ditonjolkan dalam menilai seseorang yang bergelar alim atau mereka yang bergelar ulama.
Dalam lipatan sejarah Islam pun terdapat para ulama yang tersohor yang bekerja rapat dengan kerajaan ketika itu.
Awal dari itu, Nabi Yusuf telah bekerja di bawah kerajaan yang bukan Islam. Tidak ada keraguan yang timbul mengenai kejujuran dan kebijaksaan Nabi Yusuf dalam mentadbirkan khazanah bumi Mesir ketika itu. Ada pihak boleh sahaja menyanggah dengan mengatakan bahawa Nabi Yusuf mendapat wahyu dalam urusan pentadbirannya, maka Baginda terselamat dari anasir-anasir kezaliman dan pengkhianatan. Jika begitu, kita juga katakan bahawa Al-Quran sebagai wahyu Allah untuk manusia ikuti panduannya telah menjelaskan dengan terperinci tentang tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan oleh semua yang diberi kepimpinan, baik kepimpinan negara atau dalam urusan ilmu pengetahuan. Para ulama juga berpandukan wahyu Al-Quran dalam menguruskan hukum-hakam dan mereka sedar mengenai apa itu maslahah ‘ammah dengan maslahah khassah.
Berpandukan kisah-kisah lampau yang berlaku di antara pihak penguasa dan golongan ulama, tindakan mereka menjurus kepada apa yang lebih memberi kesan yang baik untuk semua pihak. Jika berhadapan dengan situasi yang tegang dan sukar, mereka mengukur dengan kaedah bertindak untuk mengelak dari kerosakan yang paling minima (akhaf al-dhararain).
Jika dia tersalah dalam memberi pandangan sekalipun atau silap dalam mengeluarkan kenyataan atau fatwa tentang sesuatu isu yang terkait dengan polisi kerajaan, maka dia tetap tidak berdosa berpandukan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Jika seorang hakim berijtihad, lalu dia betul dalam ijtihadnya, maka baginya dua pahala. Jika dia berijtihad lalu salah dalam ijtihadnya, baginya satu pahala.”[xiii]
Situasi hari ini, golongan yang sering dikaitkan dengan Ulama Sultan adalah mereka yang memegang jawatan seperti Mufti, Hakim dan Kadi. Mereka bertugas di bawah kementerian dan mendapat gaji untuk jawatan itu. Ada suara yang mengatakan mereka yang memegang jawatan di bawah penyeliaan pemerintah sudah ‘dibeli’ dan suara mereka untuk memperjuangkan agama dan kebenaran telah disekat. Mereka perlu akur dengan apa yang diinginkan oleh pihak pemerintah.
Namun, tidak semudah itu untuk melemparkan tuduhan sedemkian kerana urusan untuk mentadbir negara dan rakyat bukanlah urusan yang mudah. Banyak perkara perlu diambil pertimbangan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat secara umum. Apa sahaja keputusan yang dibuat setelah diambil kira nasihat-nasihat dari ketua-ketua agama, perlu menghasilkan kebaikan untuk semua pihak.
Tidak ada di dalam dunia ini, walaupun di negara Islam sekalipun, yang menunjukkan setiap rakyat berpuas hati dengan fatwa yang dikeluarkan oleh ‘pejabat mufti’. Pasti ada sahaja golongan yang berpendapat sebaliknya dari pandangan yang dikeluarkan oleh pihak berwenang bagi urusan umat Islam.
Apa yang wajar dilakukan oleh masyarakat adalah melihat dari sudut yang meluas, dengan menilai sudut-sudut kebaikan dan mudarat secara saksama, bukan hanya sudut-sudut negatif semata-mata.
Hendaklah memikirkan sedalam-dalamnya secara adil sudut mana yang ada kebenarannya dan sudut mana yang nyata salahnya. Jika benar ada salahnya secara pasti, maka layaklah sang alim tersebut dinasihati agar bertakwa kepada Allah. Misalnya jika dia menghalalkan perkara yang pasti haram, maka itu jelas salah dan perlu ditegur. Tetapi jika isu yang dibangkitkan mempunyai banyak dimensi yang perlu dikendalikan dengan cermat dan teliti, masyarakat perlu beri ruang untuk pandangan, walaupun mereka tidak mempersetujuinya, kerana kemungkinan ada sudut hikmah yang dilihat oleh seorang alim ketika dia berurusan dengan pihak pemerintah.
Dalam hal ini, sikap agree to disagree dan saling hormat menghormati dalam perkara-perkara yang diperselisihkan selagi mana ia tidak menjurus kepada isu-isu tegar yang terkait dengan hukum haram dalam Islam diperlukan. Selagi ada pandangan yang berbeza yang harus diraikan dalam Islam, perlulah dihormati bersama dan elakkan dari mengecam tanpa ilmu yang benar.
Hakikatnya, hubungan pihak penguasa dan golongan ulama dan cendekiawan Islam tidak boleh dipisahkan kerana dua golongan ini adalah pemimpin kepada kemaslahatan hidup manusia di dunia dan juga di akhirat nanti. Ini adalah usaha yang perlu disokong, manakala jika ada penyelewengan dalam urusan agama dan negara sehingga kezaliman berleluasa, maka tindakan yang wajar perlu dilakukan tetapi dalam keadaan penuh hikmah dan bijaksana.
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Rujukan:
[i] Jami` Al-Turmuzi. Bab Ma Ja’ `An Fadhl Al-Fiqh `Ala Al-Ibadah. Hadis no. 2730.
[ii] Sunan Ibn Majah. Bab Fi Fada’il Ashab Rasulillah s.a.w. Hadis no. 223.
[iii] Jami` Al-Turmuzi. Bab Ma Ja’ `An Fadhl al-Fiqh `Ala Al-Ibadah. Hadis no. 2733
[iv] Sunan Al-Kubra. Kitab Al-Syahadat. Hadis no. 20310
[v] Lihat Tafsir Al-Qurtubi di: https://www.altafsir.com/Tafasir.asp?tMadhNo=0&tTafsirNo=5&tSoraNo=2&tAyahNo=159&tDisplay=yes&Page=2&Size=1&LanguageId=1 (24 December 2018).
[vi] Sunan Ibn Majah. Bab Fi Fada’il Ashab Rasulillah s.a.w. Hadis no. 267.
[vii] Ali Zain Al-`Abidin Al-Jufri. `Ulama Al-Sultan Wa `Ulama Al-Sya`b. Lihat: https://www.alhabibali.com/writing/%D8%B9%D9%84%D9%85%D8%A7%D8%A1-%D8%A7%D9%84%D8%B3%D9%84%D8%B7%D8%A7%D9%86-%D9%88%D8%B9%D9%84%D9%85%D8%A7%D8%A1-%D8%A7%D9%84%D8%B4%D8%B9%D8%A8/ (20 December 2019).
[viii] Tariq Al-Suwaidan. Ulama Al-Sultan Wa Tarikhuhum. Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=T1GijI98Azg (24 December 2018).
[ix] Azharudin Mohamed Dali. Gerakan Ahmadiah (Qadiani) Di Malaysia: Satu Sorotan Sejarah. Lihat: https://r.search.yahoo.com/_ylt=AwrPhOqpkyBcKXkA40Yj4gt.;_ylu=X3oDMTEyNGpuYmMxBGNvbG8Dc2czBHBvcwM1BHZ0aWQDUzAzMjZfMQRzZWMDc3I-/RV=2/RE=1545667626/RO=10/RU=https%3a%2f%2fejournal.um.edu.my%2findex.php%2fJAT%2farticle%2fdownload%2f8536%2f6104%2f/RK=2/RS=BeO_mDHGfAQGG6JxK7CSFXDLibs- (24 December 2018).
[x] Ibn Al-Jauzi (2012). Sifat Al-Safwah. Beirut: Dar Al-Kitab Al-`Arabi, ms. 625.
[xi] Sahih Ibn Hibban. Kitab Al-Bir Wa Al-Ihsan. Hadis no. 282.
[xii] Ibn Abi Al-Dunya. Kitab Asbab Al-`Uqubat Wa Anwa`iha. Hadis no. 4.
[xiii] Sahih Muslim. Kitab Al-Aqdhiyah. Hadis no. 1716.