Menyewakan Dinding Yang Telah Diwakafkan Untuk Masjid Bagi Pengiklanan Komersial | Wasat No. 34 / Ogos 2020

wasat

34-1

Menyewakan Dinding Yang Telah Diwakafkan Untuk Masjid Bagi Pengiklanan Komersial

01 August 2020 12:01 am // Written by Ustaz Dr. Muhammad Adib Termizi

Peningkatan kos telah menyebabkan perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan masjid semakin bertambah.

Masjid-masjid tidak lagi boleh bersandar kepada kutipan tabung dan infaq masyarakat untuk terus bertahan terutama apabila ia berada di negara yang mana Muslim adalah minoriti.

Pihak pengurusan masjid harus berusaha keras mencari pendapatan untuk menampung kos pengurusan masjid.

Dalam artikel ini, penulis cuba untuk mengupas permasalahan menyewakan ruangan dinding masjid untuk pengiklanan komersial demi membantu meningkatkan pendapatan masjid tersebut. Pandangan ulama empat mazhab akan diketengahkan di samping mengambil kira maqasid syariah dalam pembangunan masjid bagi membantu mencapai satu keputusan dalam masalah ini.

 

Pengertian masjid

Dari sudut bahasa, perkataan masjid diambil daripada perkataan “sujud”, yang bermaksud meletakkan dahi di atas bumi. Kata ini juga digunakan untuk tempat sujud sama ada tempat itu hanyalah bumi semata-mata atau bangunan yang digunakan untuk bersujud di dalamnya.

Masjid juga merujuk kepada anggota-anggota sujud iaitu, dahi, hidung, kedua telapak tangan, kedua lutut dan jari-jari kaki. Menurut Al-Zajjaj, masjid adalah setiap tempat yang di gunakan untuk beribadah.[1]

Sebagai Istilah syarak, Imam Al-Qurthubi mendefinisikan masjid sebagai, “sebuah kawasan yang ditentukan sebagai tempat sembahyang dengan perkataan, dan kawasan itu telah dikeluarkan dari hak milik sesiapa sehingga ia menjadi kepunyaan kaum muslimin keseluruhannya”[2].

Dr. Ibrahim Al-Khudairi pula mendefinisikan masjid sebagai, “bangunan yang telah diwakafkan dan dikhususkan untuk sembahyang berjemaah lima waktu dan lainnya.”[3]

Dari kedua-dua pengertian di atas dapat difahami bahawa Imam Al-Qurthubi tidak memestikan masjid dalam bentuk bangunan. Sebuah kawasan yang ditentukan juga boleh menjadi masjid di sisi beliau.

Dr Ibrahim pula mensyaratkan masjid mesti dalam bentuk bangunan, kerana pada zaman sekarang sebuah kawasan itu tidak dapat dimanfaatkan sebagai tempat beribadat kecuali ia mampu melindungi manusia dari panas dan sejuk. Namun kedua-dua definisi ini mensyaratkan masjid mesti tidak dimiliki oleh sesiapa walaupun kerajaan yang memerintah. Dalam erti kata lain ianya mestilah diwakafkan. Hal ini kerana firman Allah taala, “Dan sesungguhnya masjid itu hanyalah untuk Allah.” (Al-Jin: 18)

Ayat ini juga menunjukkan bahawa tujuan dari pembinaan masjid adalah agar ia menjadi tempat yang kondusif bagi seseorang hamba merapatkan dirinya dengan Allah taala serta sebagai tempat perkumpulan Muslim untuk mengingati Allah taala dan mempelajari ilmu agama.[4]

Menyewakan dinding masjid bagi pengkiklanan komersial

Masalah ini mengandungi dua perbahasan utama. Pertama, ialah soal menyewakan harta wakaf umum. Kedua pula ialah soal menjadikan masjid sebagai tempat iklan perniagaan atau perkhidmatan berbayar.

Menyewakan harta wakaf umum

Terkadang sesebuah perkara diwakafkan itu bertujuan agar dimanfaatkan zatnya atau diperolehi manfaat dari hasilnya yang digelar dengan wakaf istighlal.

Masjid adalah dari harta wakaf umum yang bertujuan untuk diambil manfaat dari zatnya. Para fuqaha telah memberikan tiga senario bagi masalah menyewa masjid.

Senario pertama, ialah seseorang menyempitkan masjid sebahagiannya atau keseluruhannya dengan barang-barang yang dibawa olehnya sehingga masjid itu tidak dapat menjalankan peranannya sebagai rumah ibadah, seperti seseorang meletakkan barangnya di hadapan pintu masjid sehingga ia tidak dapat dimasuki atau menutup satu ruangan masjid tanpa keizinan pengurusnya untuk kegunaan diri sendiri.

Pada keadaan seperti ini beliau dikehendaki membayar sewa mengikut kadar bahagian masjid yang tidak dapat digunakan oleh orang awam.[5] Termasuk dalam situasi pertama ini apabila sebuah majlis akad nikah yang dijalankan di dalamnya sehingga menghalang orang awam menggunakannya untuk beribadah.

Senario kedua, ialah apabila tujuan masjid tersebut dibina ialah untuk mengambil bayaran dari orang yang hendak beribadat di dalamnya.

Para fuqaha telah memakruhkan dan sebahagian pula menyatakan larangan membina masjid dengan tujuan mengaut keuntungan dari orang ramai dengan mengenakan bayaran sewa, apabila mereka hendak menggunakan masjid itu untuk bersembahyang, beriktikaf dan ibadah-ibadah yang lain.[6]

Larangan ini diserupakan dengan larangan menjadikan masjid sebagai barang jualan. Menjual masjid merangkumi menjual zatnya, manakala menjual manfaatnya bermaksud menyewakannya. Tambahan dari itu, menjadikan zat masjid sebagai alat perniagaan, menyalahi tujuan pembinaan masjid dan menyalahi suruhan memuliakan dan menganggungkan rumah Allah taala.

Senario ketiga, ialah menyewakan sebahagian daripada masjid yang tidak digunakan oleh kaum muslimin untuk kepentingan dan kemaslahatan masjid itu sendiri, seperti masjid itu mempunyai tiga tingkat dan tingkat ketiga tidak digunakan pada hari-hari biasa lalu hendak disewakan bagi mencari dana penyelenggaraan dan pengurusan masjid.

Para fuqaha mempunyai dua pendapat dalam masalah ini:

Pendapat pertama ialah tidak boleh menyewakan mana-mana bahagian dari masjid walaupun kawasan yang tidak digunakan.

Pendapat ini berdalil dengan:

1. Firman Allah taala, “Sesungguhnya orang-orang kafir dan menghalangi manusia dari jalan Allah dan masjidil Haram yang telah Kami jadikan untuk semua manusia baik yang bermukim di situ atau di padang pasir . . .” (Al-Haj: 35)

Ayat ini menunjukkan bahawa tidak ada sesiapa yang boleh mempunyai hak yang esklusif dalam masjid kerana Allah taala telah menjadikan semua Muslim mempunyai hak yang sama rata di dalamnya. Menyewa mana-mana bahagian masjid melanggar ketentuan ini.[7]

2. Memenuhi kehendak pewakaf adalah wajib. Oleh itu, apa yang telah ditetapkan oleh pewakaf adalah sama seperti apa yang dinaskan oleh syarak. Apabila seseorang telah mewakafkan bahagian tertentu itu sebagai masjid, tidak ada sesiapa mempunyai hak untuk mengubah apa yang dikehendaki oleh pewakaf itu.[8]

3. Masjid mempunyai kehormatan dan kesucian dan menjadikan mana-mana bahagian masjid untuk disewa adalah bertentangan dengan suruhan menghormatinya. Tambahan lagi telah terdapat larangan dari Nabi s.a.w untuk berjual beli di dalamnya, apalagi menjadikan zat masjid itu sebagai perkara yang dijual beli.[9]

Pendapat kedua ialah harus menyewakan harta wakaf termasuk masjid selagi mana ia tidak merubah tujuan asal dari pembinaan masjid iaitu mengingati Allah taala dan mengganggu mereka yang hendak beribadah. Mereka berhujah:

1. Harus mengubah syarat pewakaf kepada yang lebih bermanfaat bagi masyarakat Muslim. Dengan ini, memanfaatkan bahagian atau kawasan masjid yang tidak digunakan dengan menyewakannya kemudian hasil sewaan itu dijadikan dana untuk mengurus masjid adalah harus kerana ia lebih mendatangkan maslahat untuk masjid daripada meninggalkan kawasan atau bahagian itu begitu sahaja.[10]

2. Para fuqaha telah menyatakan keharusan merobohkan masjid bagi membina masjid yang lebih baik, mengecilkan masjid besar bagi tujuaan perluasan jalan umum, menjual masjid yang tidak digunakan lagi atau yang dikhuatirkan akan roboh begitu juga menjual sebahagian masjid untuk memperbaiki bahagiannya yang lain.[11] Jika menjual dan menghancurkan zat masjid itu diperbolehkan kerana kemaslahatan, menjual manfaatnya melalui penyewaan sambil memelihara zatnya adalah lebih patut diperbolehkan, terutama apabila hasil sewaan itu dipergunakan bagi kemaslahatan masjid.

Penulis cenderung untuk memilih pendapat kedua kerana ia lebih menjaga kemaslahatan masyarakat Muslim dan masjid itu sendiri, terutama ketika terdapat bahagian masjid yang tidak digunakan sama sekali. Lebih baik menggunakannya dalam sesuatu yang bermanfaat bagi masjid dari membiarkannya terbengkalai. Menyewakannya dibolehkan selagi mana ia tidak melumpuhkan fungsi utama masjid atau mengganggu jemaah dari mengingati Allah taala, seperti menyewakan aras yang tidak digunakan pada hari-hari biasa untuk pembelajaran dan sebagainya.

Pendapat pertama lebih sesuai jika penyewaan tersebut menyebabkan terhalangnya aktivit-aktiviti beribadah dan merubah masjid menjadi seakan-akan tempat yang lain.

Meletakkan Iklan komersial dalam masjid

Iklan perniagaan adalah pendahuluan dari perniagaan dan sesebuah jual beli. Rasulallah s.a.w dengan jelas melarang jual beli di dalam masjid. Amru bin Syuaib meriwayatkan dari bapanya dari datuknya bahawa, “Nabi s.a.w melarang duduk berhalaqah (berlingkaran) sebelum sembahyang Jumaat dan berjual beli di dalam masjid.”[12]

Apabila syarak telah melarang, pendahuluannya juga akan turut dilarang sebagaimana yang dapat difahami dari firman Allah taala, “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya ia adalah satu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Al-Isra’: 32)

Dalam ayat ini Allah taala melarang menghampiri permulaan zina dan perkara yang boleh membawa kepadanya seperti memandang yang haram, berkhalwat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan sebagainya.

 Nabi s.a.w juga bersabda, “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara yang syubhat (kesamaran) kebanyakkan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa menjauhkan dirinya perkara syubhat, maka dia telah menjaga agamanya dan maruah dirinya, dan barangsiapa jatuh dalam perkara syubhat ia akan terjatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya”.[13]

Hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa mendekati pekara yang haram, dikhuatiri dia akan melakukan perkara tersebut suatu masa nanti. Oleh itu, perkara-perkara yang boleh menarik kepada larangan Allah taala hendaklah dijauhkan.

Namun para fuqaha berselisih pendapat siapakah yang termasuk di dalam larangan berjual beli di di dalam masjid:

Pendapat pertama berkata larangan ini ditujukan kepada semua orang yang memasuki masjid tanpa mengira dia sedang beriktikaf atau tidak atau hanya melintasi masjid.[14]

Hadis yang melarang berjual beli di dalam masjid dikuatkan lagi dengan sebuah hadis dari Nabi s.a.w yang mana beliau mengajar umatnya agar mendoakan kerugian ke atas jual beli yang berlaku di dalam masjid, “Jika kamu melihat sesiapa yang berjual beli di dalam masjid maka katakanlah: Semoga Allah tidak menjadikan keuntungan di dalam perniagaan kamu.”[15]

Pendapat kedua pula berkata pengharaman berjual beli dalam masjid melibatkan mereka yang tidak beriktikaf di dalamnya. Sedangkan orang yang sedang beriktikaf di haruskan berjual dan membeli barang keperluannya sahaja seperti makanan dan minuman tetapi tidak boleh berlebih-lebihan. Hukum ini berdasarkan keringanan (rukhsah) yang diberikan kepada orang yang beriktikaf untuk memenuhi hajatnya.[16]  

Ketiga ialah pendapat bahawa berjual beli di masjid adalah harus selagi mana barang jualan itu tidak ada dalam masjid.

Pendapat ini berhujah dengan mengatakan bahawa perbincangan mengenai jual beli adalah termasuk percakapan yang harus dan ia dibolehkan di dalam masjid.[17] Imam Al-Nawawi berkata, “Diharuskan untuk berbual dengan perbualan yang harus di masjid begitu juga perbualan mengenai urusan dunia dan selainnya dari percakapan yang diharuskan”[18].

Hanya perniagaan dalam masjid itu menjadi haram apabila barang jualan itu dibawa ke dalam masjid sehingga ia kelihatan seperti kedai dan menarik perhatian manusia yang sedang beribadat di dalamnya. Ketika itu, jual beli tersebut telah bercanggah dengan tujuaan pembinaan masjid iaitu mengingati Allah taala dan beribadat kepadaNya.

Dalam hal ini pendapat pilihan, di sisi penulis, ialah larangan berjual beli di dalam masjid bersifat mutlak. Ia tidak membezakan sesebuah keadaan dari keadaan yang lain. Larangan ini bertujuaan agar ketenangan suasana masjid sentiasa terjaga dari pekara-pekara yang dapat menghilangkan tumpuan di dalam beribadah. Oleh itu pendapat yang tidak membolehkan berjual beli di dalam masjid pada setiap keadaan adalah lebih tepat kerana ia lebih memelihara tujuaan pembinaan masjid seperti yang terkandung dlam firman Allah taala, “Dan sesungguhnya masjid itu hanyalah untuk Allah.” (Al-Jin: 18)

Pemilihan pendapat yang melarang berjual beli di dalam masjid membawa kepada larangan meletakkan iklan komersial pada dinding-dinding ruangan iktikaf. Ini kerana iklan adalah pendahuluan kepada jual beli, maka ia mengikuti hukum jual beli tersebut sepertimana yang tersebut dalam kaedah fikih, “Al-Tabi’ Tabi’ (yang mengikuti mengikut hukum yang diikut)”.

Para ulama telah berselisih pendapat berkenaan sifat larangan ini di antara makruh dan haram. Jumhur ulama berpandangan bahawa larangan berjualan di dalam masjid bersifat makruh sementara yang lain mengatakan ia bersifat haram.[19] Bagi penulis, larangan itu pada asalnya menunjukkan haram kecuali ada dalil yang menunjukkan ianya bersifat makruh. Dalam hal ini, tiada dalil yang menunjukkan ianya bersifat makruh. Oleh itu, larangan di sini menunjukkan haram terutama apabila iklan itu mengalihkan tumpuan orang ramai dari tujuan asal dibinanya sebuah masjid.

 

Menyewa dinding luar masjid bagi pengiklanan komersial

Dinding masjid sama ada dinding dalamannya atau luarannya mempunyai kehormatan yang sama.[20] Sebagaimana tidak diperbolehkan buang air kecil atau menconteng dinding dalamannya, begitu juga dengan dinding luarannya. Oleh yang demikian menggantungkan iklan perniagaan pada dinding luar masjid adalah tidak diperbolehkan. Dimaksudkan dengan dinding masjid adalah dinding atau tembok kawasan iktikaf, sama ada yang menghadap kawasan iktikaf atau yang menghadap keluarnya. Walaupun menggantungkan iklan di dinding luar masjid tidak mengganggu orang yang berada di dalamnya, tapi ia mencacatkan dan mengurangkan kehormatan masjid itu sebagai tempat mengingati Allah taala dan sebagai bangunan yang dikhususkan untukNya.

Iklan komersial sebagai penaja dalam iklan aktiviti-aktiviti masjid

Bagi iklan komersial yang terkandung dalam iklan aktiviti-aktiviti masjid sebagai penaja, penulis berpendapat ia diharuskan kerana tujuan utama dari iklan itu adalah menyebarkan dan memaklumkan aktiviti masjid kepada jamaah.

Pada kebiasaannya nama penaja aktiviti tersebut diletakkan hanya untuk memaklumkan aktiviti tersebut disokong olehnya dan tidak terdapat unsur mengiklankan iaitu kegiatan bersifat mempromosi barang atau perkhidmatan yang disediakan oleh sesebuah syarikat bagi tujuan menjualnya kepada orang ramai. Walaupun jika terdapat unsur demikian, ia hanyalah sedikit dan bukan tujuan utama dari pengiklanan tersebut.

Keharusan ini berdasarkan kaedah, “Yuhtafar Fi Al-Shay’ Dimnan, Ma La Yughtafar Fi Al-Shay’ Qasdan”, iaitu sesuatu perkara itu dimaafkan jika ia menjadi ikutan tetapi tidak dimaafkan jika ia menjadi tujuan.

Dalam hal ini iklan komersial yang terdapat di dalam iklan aktiviti sebagai penaja hanyalah bersifat mengikut dari tujuan asal iklan tersebut yang bertujuan menyebarkan aktiviti masjid. Oleh itu, ia dimaafkan.

 

Meletakkan iklan di luar kawasan iktikaf

Dimaksudkan dengan persekitaran masjid adalah, bangunan yang bersambungan dengan masjid yang tidak dikhaskan untuk menunaikan sembahyang berjamaah seperti dewan seminar, bilik darjah, pejabat pentadbiran, pagar luar dan sebagainya, tidak dikira sebahagian dari masjid. Dengan itu bangunan atau bahagian ini tidak memiliki kehormatan masjid. Oleh itu, menyewakan dindingnya atau bahagian dari papan notis yang berada padanya bagi tujuan meletakkan iklan perniagaan berupa poster atau kain rentang diharuskan dengan beberapa syarat:

1. Hendaklah hasil dari sewaan itu digunakan untuk maslahat dan keperluan masjid. Bukan untuk kegunaan perseorangan seperti imam, ahli lembaga pentadbir masjid dan seumpamanya.

2. Tidaklah diletakkan iklan perniagaan itu secara berlebihan sehingga menjadikan pemandangan masjid kurang elok seakan ia adalah pusat perniagaan. Begitu juga saiz poster atau kain rentang itu tidak terlalu besar.

3. Tidak diiklankan pekara yang dilarang oleh syarak, samada pada produknya seperti bahan yang tidak halal atau bagaimana iklan itu dipersembahkan seakan ia memaparkan gambar seorang wanita yang tidak bertudung atau seumpamanya.

 

Penutup

Masjid itu dibina dengan tujuaan mengingati Allah taala. Walaupun meletakkan iklan di ruang iktikaf itu lebih menarik perhatian bersebab lokasinya yang menjadi tumpuan setiap jemaah yang memasuki masjid, namun perkara itu adalah dilarang sama sekali.

Perkara demikian dapat mencemarkan kehormatan masjid di samping mengganggu tumpuan mereka yang beribadah. Terlebih-lebih lagi apabila terdapat sebuah larangan daripada Nabi s.a.w tentang dalam berjual beli di masjid. Manakala menyewakan ruang untuk meletakkan iklan di selain dinding masjid adalah diharuskan dengan syarat hasilnya digunakan untuk maslahat masjid dan ia tidak melanggar larangan syarak serta tidak mencacatkan kecantikan masjid itu sendiri.


[1] Al-Zubaidi (1994), Taj Al-`Arus, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 8, ms. 173-4; Ibn Manzur (1999), Lisan Al-`Arab, Beirut: Dar Ihya’ Al-Turath Al-`Arabiy, jld. 6, ms. 175-6.

[2] Al-Qurthubi (2006), Tafsir Al-Qurthubi, Al-Mansurah: Maktabat Al-Iman, jld. 1, ms. 420.

[3] Al-Khudairi (2001), Ahkam Al-Masjid Fi Al-Syariah Al-Islamiyyah, Riyadh: Dar Al-Fadhilah, jld. 1, ms. 11.

[4] Al-Samarqandi (1993), Tafsir Al-Samarqandi, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 3, ms. 41; A-Haddad (t.t.), Al-Jauharah Al-Naiyyirah, Pakistan: Maktabah Haqqaniyah, jld. 2, ms. 37.

[5] Al-Zarkasyi (1999), `Ilam Al-Sajid Bi Ahkam Al-Masajid, Kaherah: Wizarat Al-Awqaf Al-Misriyah, ms. 300.

[6] Ibn `Abidin (2003), Rad Al-Mukhtar, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 5, ms. 354.

[7]  Ilyas (t.t.), Qurat `Ain Al-`Abid Bi Hukm Farsy Al-Sajajid Fi Al-Masjid, Madinah: T. Pnbt, ms. 24-5.

[8] Al-Balkhi (1986), Al-Fatawa Al-Hindiyyah, Beirut Dar Ihya’ Al-Turath Al-`Arabiy, jld. :2, ms. 437; Ibn Muflih (1997), Al-Mubdi’, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 5, ms. 169.

[9] Al-Nawawi (2000), Raudhat Al-Thalibin, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 4, ms. 407; Ibn Nujaim (1997), Al-Bahr Al-Raiq, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 5, ms. 272.

[10] Al-Mushili (t.t.), Al-Ikhtiyar Li Ta`lil Al-Mukhtar, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 3, ms. 52; Al-Mardawi (1997), Al-Inshaf, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 7, ms. 45.

[11] Ibn `Abidin (2003), jld. 6, ms. 549; Al-Nawawi (t.t.), Al-Majmu`, Beirut: Dar Al-Fikr, jld. 15, ms. 361; Al-Mardawi (1997), jld. 1, ms. 238.

[12] Riwayat Al-Nasa’ii. Sunan Al-Nasa`ii, Bab Al-Nahy `An Al-Bai` Wa Al-Syira Fi Al-Masjid, no. 713.

[13] Riwayat Muslim. Sahih Muslim, Bab Al-Akhz Bi Al-Halal Wa Tark Al –Syubuhat, no. 1599.

[14] Al-Mawardi (1994), Al-Hawi, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 3, ms. 493; Al-Ruyani (2002), Bahr Al-Mazhab, Beirut: Dar Ihya’ Al-Turath Al-`Arabiy, jld. 4, ms. 366.

[15] Riwayat Al-Termizi. Sunan Al-Termizi, Bab Al-Nahy `An Al-Ba` Wa Al-Syira’ Fi Al-Masjid, no. 1336.

[16] Al-Qarafi (1994), Al-Zakhirah, Dar: Al-Ghurb Al-Islami, jld. 2, ms. 539; Al-Juwaini (2007), Nihayah Al-Mathlab, Jeddah: Dar Al-Minhaj, jld. 4, ms. 100; Ibn Qudhamah (2004), Al-Mughni, Kaherah: Dar Al-Hadis, jld. 4, ms. 284.

[17] Al-`Aini (1980), Al-Binayah, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 3, ms. 753; Al-Zaila`ii (2000), Tabyin Al-Haqaiq, Beirut: Dar Al-Kutub Al-`Ilmiyah, jld. 2, ms. 229; Al-Muzani (1983), Mukhtasar Al-Muzani, Beirut: Dar Al-Fikr, jld. 8, ms. 157.

[18] Al-Nawawi (t.t), jld. 2, ms. 176.

[19] Al-Syaukani (2005), Nail Al-Awthar, Kaherah: Maktabat Al-Shafa’, jld. 2, ms. 62.

[20] Al-Nawawi (t.t.), jld. 2, ms. 178.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles