Pelantikan Wanita Sebagai Presiden Mahkamah Syariah: Satu Analisa Wasatiy | Pergas Blog

wasat

pelantikan-wanita-sebagai-presiden-mahkamah-syariah

Pelantikan Wanita Sebagai Presiden Mahkamah Syariah: Satu Analisa Wasatiy

01 August 2017 5:12 pm // Written by Mustazah Bin Bahari

Dalam sistem mahkamah sivil di Singapura, terdapat ramai hakim wanita Islam yang telah diberi kepercayaan untuk mendengar pelbagai kes, termasuk kes-kes jenayah.

Dalam sistem mahkamah syariah Singapura pula, pelantikan seorang hakim wanita hanya berlaku baru-baru ini sahaja. Dr. Yaacob Ibrahim selaku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam Singapura mengisytiharkan pelantikan Ustazah Raihana Khalid sebagai Presiden (hakim) di mahkamah syariah dalam ucapannya di parlimen yang bersidang pada bulan Mac 2017.[1]

Ditinjau dari segi undang-undang, pelantikan ini memang tiada masalah apa-apa kerana AMLA tidak menetapkan bahawa Presiden di mahkamah syariah mestilah dari kalangan lelaki sahaja.

Namun jika ditinjau dari segi fiqh, ia adalah satu isu yang amat kontroversi atas dua sebab berikut:

  • Majoriti ulama fiqh berpendapat wanita dilarang menjawat jawatan qadha’ (kehakiman)
  • Mazhab Syafi`ii yang diakui dalam AMLA sebagai mazhab rasmi dalam pembuatan fatwa dan sekali gus penetapan hukum-hukum di Singapura dan juga mazhab pegangan majoriti masyarakat Muslim di sini termasuk dalam majoriti yang melarang wanita menjadi hakim.

Maka apa yang berlaku sebenarnya menimbulkan jurang antara amalan dan hukum di sisi mazhab rasmi di sini dan mazhab dominan masyarakat setempat termasuk di kalangan agamawannya dan tiada penjelasan dari pihak yang berwenang bagi menutup atau merapatkan jurang ini hatta kepada kalangan agamawan yang pastinya merupakan stakeholder penting dalam isu-isu atau hukum-hukum agama setempat.

Perlu dinyatakan, pelantikan ini boleh dianggap satu perkembangan positif. Umumnya pula, masyarakat menyambut baik perkembangan ini. Hal ini berbeza dengan sesetengah negara Islam yang mana pelantikan wanita sebagai hakim di mahkamah syariah boleh menimbulkan polemik yang besar dan mungkin sahaja kritikan dan tentangan yang kuat.

Namun sikap senyap dan ketiadaan penjelasan bagi soalan-soalan, apakah hujah agama yang membenarkan pelantikan ini di sisi agama? apakah pula alasan untuk membolehkan beralih dari pendapat majoriti ulama yang melarang dan, lebih utama lagi, dari pegangan mazhab setempat?, tidak menyumbang pada usaha peningkatan kefahaman agama setempat di kalangan masyarakat umum. Ia juga tidak menyumbang pada usaha membangun wacana agama dalam isu-isu semasa di kalangan agamawan tempatan.

Amat dikesali jika sikap senyap dan ketiadaan penjelasan ini merupakan langkah mudah bagi mengelakkan kontroversi semata-mata.

Artikel ini ditulis sebagai satu langkah pro-aktif bagi menyumbang secara ringkas bagi mengisi jurang yang dinyatakan di atas yang diharapkan pula akan menyumbang pada perbincangan sihat di kalangan agamawan khususnya mengenai isu ini yang merupakan salah satu dari isu-isu kontemporari yang perlu dihadapi. Perbincangan ini tidak bertujuan untuk merubah amalan yang telah dilaksanakan ini. Namun diharapkan ia menyumbang pada pembangunan wacana agama yang sihat dan membangun.

Artikel ini akan menjelaskan pendapat majoriti ulama yang melarang pelantikan wanita sebagai hakim dan golongan minoriti yang mengharuskannya. Setelah itu, ia merumuskan pendirian wasatiy dalam isu ini.

Sikap umum Islam

Islam adalah agama yang universal dan berhak diamalkan oleh setiap individu. Ia juga agama yang memberi hak yang saksama kepada setiap umatnya tanpa mengira jantina. Setiap usaha yang dilakukan oleh lelaki mahupun wanita, mendapat ganjaran yang sewajarnya.

Hal ini jelas disebut di dalam Al-Quran, “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Al-Nahl: 97)

Pada umumnya, tiada amalan atau tugas tertentu yang tidak dimampui oleh kaum wanita seperti yang mampu dilakukan oleh kaum lelaki. Hanya adat kebiasaan sesuatu kaum yang memberikan batasan tugas atau tanggungjawab tertentu kepada kaum lelaki dan wanita. Contohnya isu pekerjaan, masih lagi ada golongan tertentu yang masih menganggap wanita tidak dibenarkan bekerja. Sedangkan tiada dalil dari syarak yang melarang wanita dari bekerja. Lebih dari itu, masih terdapat kepercayaan bahawa wanita tidak seharusnya pergi ke sekolah kerana tempat wanita hanya di dalam rumah sahaja.

Perubahan zaman mengajak manusia untuk menilai semula bidang tugas yang boleh dijayakan oleh semua pihak yang berkelayakan. Islam telah lama memberikan ruang itu tanpa membezakan antara lelaki atau wanita. Sejarah membuktikan bagaimana isterinya Nabi s.a.w yang pertama, Khadijah binte Khuwailid merupakan seorang pedagang yang berjaya. Tidak pernah ada larangan dari Nabi s.a.w kepada wanita untuk meneruskan aktiviti perniagaan atau apa sahaja tugas yang boleh dilakukan dengan baik.

Di antara banyak perkara yang ditimbulkan mengenai bidang tugas yang dianggap kurang sesuai bagi wanita ialah tugas sebagai seorang hakim di mahkamah. Antara dakwaan yang selalu dilontarkan ialah keahilan mereka dalam mengendalikan kes-kes mahkamah yang mencabar yang tidak sesuai dengan naluri mereka sebagai wanita. Emosi yang tidak menentu dan sukar dikawal selalu dikaitkan dengan sebab mereka dianggap tidak sesuai menjadi hakim di mahkamah.

Pandangan ulama terhadap wanita sebagai hakim/qadhi

Masalah pelantikan jawatan hakim di mahkamah dari kalangan kaum lelaki sahaja merupakan masalah khilafiyah.[2] Pendapat yang mensyaratkan lelaki sebagai hakim di mahkamah adalah pendapat fuqaha dari mazhab Syafi’ii, Hanbali dan Maliki. Mereka berhujah dengan beberapa dalil Al-Quran dan hadis, antaranya:

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) ke atas sebahagian yang lain (wanita).” (Al-Nisa’: 34)

“Dan kaum lelaki itu mempunyai satu tingkat kelebihan berbanding kaum wanita.” (Al-Baqarah: 228).

Hadis Abu Bakrah mengenai sabda Nabi s.a.w, “Tidak sesekali akan berjaya sesuatu kaum yang melantik pemimpin mereka daripada kalangan wanita.””(Riwayat Al-Bukhari, Al-Tirmizi, Al-Nasa’i dan Ahmad)

Para ulama yang menyokong pandangan ini berhujah bahawa lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal berbanding dengan wanita. Justeru, bagi mereka, pelantikan wanita sebagai hakim akan membawa kepada kerosakan.

Manakala mazhab Hanafi pula mengharuskan pelantikan wanita sebagai hakim kecuali dalam kes-kes hudud dan qisas. Mereka menolak dalil-dalil yang dikemukakan oleh majoriti fuqaha. Mengenai ayat yang menyatakan bahawa kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita sebenarnya bermaksud dalam urusan hal ehwal rumahtangga secara khusus, bukan dalam perkara-perkara lain.

Hadis yang digunakan sebagai hujah untuk menafikan jawatan hakim mahkamah kepada wanita boleh ditolak dengan beberapa hujah lain, seperti;

  • Ia hanya melibatkan larangan melantik wanita sebagai khalifah tidak kepada jawatan-jawatan lain.
  • Hadis Abu Bakrah adalah hadis Ahad yang bersifat zanni dan merujuk khusus kepada jawapan oleh Nabi Muhammad s.a.w terhadap pelantikan Raja Parsi yang melantik anak perempuannya sebagai pengganti.

Selain hujah yang diketengahkan tadi, terdapat juga riwayat mengenai perbuatan Nabi s.a.w  melantik seorang wanita bernama Samra binti Nuhaik Al-Asadiah sebagai muhtasibah (pegawai pemeriksa dan penguatkuasa peraturan dan hukum) di Mekah. Umar bin Al-Khattab juga pernah melantik Al-Syifa’ binti Abi Sulaiman sebagai muhtasibah di pasar Madinah. Jika diteliti tugas muhtasibah merupakankan salah satu cabang kehakiman, iaitu melaksanakan hukuman dan denda kepada sesiapa yang melanggar undang dan peraturan.

Antara ulama yang berpegang dengan pendapat yang sama dengan pendapat mazhab Hanafi ialah Imam Al-Tabari, Hasan Al-Basri, Ibn Hazm dan Ibn Al-Qayyim.

Imam Al-Tabari yang berpendapat tugas untuk melaksanakan hukum demi keadilan boleh dilaksana oleh lelaki atau wanita. Beliau juga menolak hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah sebagai larangan ke atas wanita menjadi hakim kerana larangan dalam hadis itu hanyalah untuk jawatan khalifah.[3]

Imam Al-Tabari dan Hasan Al-Basri juga berhujah, jika wanita layak untuk menjadi mufti, sepatutnya mereka juga layak dilantik menjadi hakim di mahkamah kerana kededuanya mempunyai tugas yang hampir sama, iaitu menentukan hukum bagi masalah yang ditangani mereka.

Di kalangan ulama kontemporari juga ada yang menyokong pendapat ini seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Rashid Al-Ganushi dan Dr. Zaki Badawi.

Di Malaysia, Prof. Madya Dr. Siti Zalikhah Md. Nor dari Jabatan Syariah UKM, mengatakan bahawa terdapat banyak rasional dalam memberi ruang kepada pelantikan wanita sebagai hakim, antaranya:

  1. Kes-kes yang dibawa ke Mahkamah Syariah hanya dalam isu-isu harta dan kesalahan ta’zir;
  2. Hakim sekarang tidak memerlukan ijtihad yang berat seperti dahulu;
  3. Majoriti klien Mahkamah Syariah terdiri daripada wanita;
  4. Kehadiran wanita di mahkamah tidak merendahkan kaum lelaki; dan
  5. Sudah lama wujud kaum wanita yang dilantik sebagai peguam.[4]

Negara-negara jiran yang mempunyai mahkamah syariah seperti Indonesia dan Brunei telah pun melaksanakan perlantikan ini. Ia juga telah dilaksanakan di negara-negara Islam lain seperti Mesir, Maghribi, Sudan dan Pakistan.[5]

Pandangan wasatiy

Walaupun kaum lelaki yang selalu memikul tanggungjawab untuk keluar bekerja dan mempelopori bidang-bidang tugas yang dianggap berat, ia tidak menghalang kaum wanita untuk bersama mengendalikan tugas-tugas tersebut.

Apabila terdapat keperluan untuk mengambil atau melantik dari kalangan kaum wanita untuk memikul tugas yang didominasi oleh kaum lelaki, ia bukan satu kesalahan selagi mana tugas itu bersesuaian dengan peribadi wanita tersebut dan keahliannya dalam mengendalikan tugas-tugas yang diberi.

Stereotaip yang selalu dilontarkan kepada golongan wanita perlu dihentikan. Pelantikan wanita sebagai hakim di mahkamah syariah di negara-negara lain, boleh dijadikan sebagai kayu ukur terhadap keberkesanan dan kejayaan mereka mengendalikan kes-kes mahkamah.

Pastinya, sistem kehakiman telah sedia ada. Setiap pengamal undang-undang bagi sesebuah negara sudah pasti perlu menuruti sistem itu. Maka, tiada masalah bagi sesiapa yang berkeahlian di dalam bidang kehakiman untuk mengendalikan kes menurut sistem yang ditetapkan, baik dia seorang lelaki mahupun wanita. Perkara utama dalam mengendalikan kes di mahkamah adalah keputusan yang nampak jelas keadilannya, sesuai dengan tempat dan keadaan semasa.

Singapura yang mempunyai sejumlah hakim wanita di mahkamah sivil yang berjaya, seharusnya mempunyai bilangan hakim wanita yang pastinya berkeahlian untuk sama-sama membantu segera menyelesaikan kes-kes yang masih tertunggak di mahkamah syariah.

Malah, usaha mencari muka-muka baru harus dikembangkan ke kalangan wanita, jika terdapat kesukaran bagi mendapatkan muka baharu dari kalangan kaum lelaki.

Kesimpulan

Pandangan yang menyatakan terdapat ijmak ulama mengenai wanita tidak boleh dilantik sebagai hakim adalah kurang tepat. Ini kerana pandangan minoriti seperti mazhab Hanafi, pandangan Al-Tabari, Ibn Hazm dan Ibn Qayyim serta ulama kontemporari seperti Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi dan Rashid Al-Ghanushi tidak boleh ditolak begitu sahaja. Bahkan Mufti Mesir, Syeikh Dr. Ahmad Syauqi ‘Allam menjelaskan bahawa tiada masalah untuk melantik wanita yang berkeahlian menyandang tugas selaku hakim mahkamah syariah, malah lebih dari itu, menjadi pemimpin bagi bidang-bidang tugas yang khusus dalam urusan negara pun diharuskan.[6]

Dalam hal ini, pelantikan wanita sebagai hakim di mahkamah syariah di Singapura boleh dinilai sebagai tidak bertentangan dengan hukum syarak. Lebih-lebih lagi, jika dilihat bahawa bidang kuasa yang diberikan kepada mahkamah syariah Singapura adalah terhad. Ia tidak mengendalikan kes-kes yang melibatkan hukum-hukum hudud dan qisas. Dr. Hani Abdullah Al-Jubair, seorang hakim di mahkamah umum di Mekah mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang dalil syar`ii untuk menghalang wanita diberi tugas sebagai hakim di mahkamah. Walau pun ia mungkin tidak diperlukan, jika dilihat pada faktor-faktor lain seperti maslahat dan keadaan semasa.[7] Menurut beliau lagi, undang-undang kerajaan Saudi tidak menyebut secara tersurat larangan bagi wanita memikul tugas sebagai hakim atau qadhi.[8]

Mengambil pendekatan golongan minoriti bukanlah suatu yang asing dan pelik dalam fiqh. Tambahan pula, sudah pun ada  beberapa amalan yang diambil daripada mazhab Hanafi seperti pembayaran zakat fitrah dengan menggunakan perantara selain duit bagi menggantikan beras setelah mengambil kira faktor maslahah dan peredaran zaman, walaupun pandangan mazhab Syafi`ii merupakan pandangan dominan di Singapura.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan:

[1] Ucapan Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Hal Ehwal Masyarakat Islam di sidang parlimen pada Mac 2017, di https://www.mccy.gov.sg/en/news/speeches/2017/Mar/a-resilient-and-confident-community.aspx (7 July 2017).

[2] Ruhiyah Mustafa Ahmad (t. t), Tauliyat Al-Mar’ah Al-Qadha’: Ru’yah Fiqhiyah Mu’asirah, ms. 10, di  http://elibrary.mediu.edu.my/books/MAL04945.pdf (6 July 2017).

[3] Nahidah Al-Shamrukh (2014), Hukm Tawalli Al-Mar’ah Li Mansab Al-Qada’ Fi Al-Fiqh Al-Islami, 18 November 2014, di http://fiqh.islammessage.com/NewsDetails.aspx?id=9301 (12 july 2017).

[4] Lihat Siti Zalikhah binti Mohd Noor (2004), “Hakim Wanita: Satu Paradoks”, Jurnal Hukum, 23 (2).

[5] Berita Harian (2014), Mahkamah Syariah Pakistan lantik hakim wanita, 1 Januari, di http://www.beritaharian.sg/dunia/mahkamah-syariah-pakistan-lantik-hakim-wanita (7 july 2017).

[6] Dar Al-Ifta’ Al-Masriyyah (2013), Ma Hukm Tawalli Al-Mar’ati Al-Qadha’ Wa Al-Manasib Al-`Ulya Bi Al-Dawlah, 25 September, di https://www.youtube.com/watch?v=9iUHGF7TXHE (6 Julai 2017).

[7] Hani Al-Jubair (2014), ‘Amal Al-Mar’ah Fi Al-Muhamat Wa Al-Qadha’, 13 Januari, di http://www.islamtoday.net/bohooth/artshow-86-146078.htm (6 Julai 2017).

[8] Ibid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles