Perbincangan mengenai hukum aurat wanita di dalam Islam bukanlah satu perkara yang baru. Isu ini telah dihuraikan dengan secara terperinci sejak berkurun-kurun lamanya di dalam kitab-kitab tafsir, kitab-kitab syarah hadis dan juga kitab-kitab fiqh dari pelbagai mazhab oleh para ulama dari pelbagai bangsa.
Artikel ini bukan bertujuan untuk mengulangi perbahasan panjang yang telah berlaku sepanjang sejarah. Artikel ini hanya ingin memberikan tumpuan kepada dua penafsiran baru mengenai hukum aurat wanita yang disuarakan oleh sebahagian individu Muslim masa kini.
Dua pandangan baru
Sejak dua kurun kebelakangan ini, timbul penafsiran-penafsiran baru yang diutarakan oleh sebahagian Muslim berkaitan dengan hukum aurat wanita. Penafsiran-penafsiran baru ini boleh dikumpulkan di bawah salah satu daripada dua kategori ini.
Pandangan pertama menafikan kewujudan dalil di dalam Al-Quran yang memerintahkan wanita Muslimah agar menutup kepala dan rambut mereka apabila di hadapan lelaki yang bukan mahram.[1]
Manakala pandangan yang kedua pula meyakini kewujudan dalil dalam Al-Quran mengenai perintah menutup kepala bagi wanita Muslimah tetapi mereka berpendapat kewajipan tersebut bersifat kebudayaan dan adalah relevan bagi masyarakat Arab di zaman Rasulullah s.a.w.[2] Menurut pandangan ini, wanita Muslimah di zaman ini tidak wajib menutup kepala mereka jika mereka tinggal di sebuah masyarakat yang mana majoriti penduduknya tidak mengenakan pakaian sedemikian rupa.
Hujah-hujah yang dikemukakan
Kedua-dua pandangan di atas ini berdiri di atas beberapa hujah tertentu. Sebahagian hujah-hujah tersebut berkait rapat dengan penafsiran nas-nas syarak manakala sebahagian yang lain tidak mempunyai kaitan langsung dengannya.
Berikut adalah hujah-hujah utama yang dikemukakan:
- Al-Quran tidak menentukan bahawa kepala dan rambut wanita adalah aurat.[3]
- Terdapat riwayat yang menyebutkan bahawa anak keturunan Rasulullah s.a.w. tidak menutup kepalanya ketika berada di khalayak ramai.[4]
- Mesej utama daripada surah Al-Nur ayat 31 adalah untuk menutup dada dan bukan kepala.[5]
- Pandangan yang mengatakan bahawa keseluruhan tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan bersandarkan kepada sepotong hadis yang lemah yang diriwayatkan oleh Asma’ binti Abu Bakr.[6]
- Adat kebiasaan sesuatu kaum tidak boleh dipaksakan ke atas kaum lain atas nama agama.[7]
- Dalam isu menutup aurat, yang lebih penting adalah maqasid atau tujuan di sebalik hukum tersebut iaitu memakai pakaian yang terhormat. Adapun perbahasan mengenai anggota yang wajib ditutup adalah kurang penting.[8]
- Seorang alim dalam bidang syariah yang terkenal, Syeikh Abdullah bin Bayyah berpandangan bahawa wanita boleh mendedahkan auratnya dalam situasi darurat.[9]
Analisa terhadap hujah-hujah yang dikemukakan
Berikut adalah analisa penulis terhadap hujah-hujah yang dikemukakan di atas. Ingin ditegaskan di sini bahawa tujuan utama penulis adalah menganalisa hujah-hujah yang diutarakan dan bukan merendahkan mana-mana individu Muslim yang berpegang dengan hujah-hujah tersebut.
1. Al-Quran menentukan bahawa kepala dan rambut wanita adalah aurat.
Pada pandangan penulis, hujah yang mengatakan bahawa tiada ayat di dalam Al-Quran yang menyatakan bahawa kepala dan rambut wanita adalah sebahagian dari aurat wanita di hadapan orang yang bukan mahram adalah satu hujah yang kurang tepat.
Allah telah berfirman, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan dadanya dengan khumur [penekanan oleh penulis]…” (Al-Nur: 31)
Antara salah satu sebab mengapa sebahagian golongan tergelincir dalam memahami ayat ini adalah kerana perkataan khimar atau khumur di dalam ayat di atas ini memiliki lebih daripada satu makna dalam bahasa Arab. Salah satu makna perkataan khimar adalah penutup manakala makna yang kedua adalah penutup kepala. Dalam situasi sebegini, pengertian yang manakah yang sewajarnya dipegang oleh seorang Muslim? Adakah beliau bebas memilih salah satu daripada dua makna di atas mengikut citarasanya?
Tidak dapat dinafikan bahawa penguasaan bahasa Arab yang baik adalah penting dalam menafsirkan Al-Quran, tetapi, berpegang dengan bahasa Arab semata-mata dalam menafsirkan Al-Quran dan mengabaikan kaedah-kaedah tafsir yang lain boleh mengakibatkan seseorang tergelincir dan melakukan kesilapan dalam penafsiran.
Untuk menentukan makna khimar dalam ayat di atas, perlulah merujuk kepada hadis-hadis yang relevan dengan ayat ini.
Imam Al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan dari ‘Aisyah r.a. yang berkata, “Semoga Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin generasi awal, ketika turun ayat, “Dan hendaklah mereka menutupkan khimar ke dada mereka,” mereka merobek kain-kain dan menutup kepala mereka.”[10]
Ketika mensyarahkan hadis ini, Al-Hafizh Ibn Hajar Al-Asqalani rahimahullah berkata bahawa khimar itu digunakan di atas kepala.[11]
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa para sahabat dari kalangan wanita Muhajirin memahami perkataan khimar di dalam ayat di atas sebagai penutup kepala. Ini menunjukkan bahawa kepala dan juga rambut itu wajib ditutup.
2. Perbuatan anak keturunan Rasulullah s.a.w. tidak boleh dijadikan hujah dalam menentukan hukum halal atau haram.
Pada pemerhatian penulis, menggunakan perbuatan sebahagian anak keturunan Rasulullah s.a.w. sebagai hujah mengenai isu aurat wanita adalah tidak kukuh. Hujah sebegini pernah dianalisa oleh salah seorang ulama Syria yang terkenal iaitu Dr. Sa`id Ramadan Al-Buti rahimahullah di dalam kitabnya yang berjudul, Kepada Setiap Remaja Wanita Yang Beriman Kepada Allah.
Menurut beliau, kalau sekiranya perbuatan seorang individu boleh dianggap sebagai hujah, mengapa tidak dikatakan perbuatan meminum arak adalah dibenarkan kerana pernah diriwayatkan dalam kes yang terpencil sahabat pernah melakukannya pada zaman Rasulullah s.a.w.? Mengapa tidak dikatakan perbuatan melakukan zina adalah dibenarkan kerana pernah diriwayatkan dalam sebahagian kes yang terpencil sahabat pernah melakukannya pada zaman Rasulullah s.a.w.?[12]
Perbuatan seorang individu, sama ada beliau merupakan keturunan Nabi s.a.w. ataupun bukan, sama ada beliau merupakan isteri atau anak kepada golongan ulama ataupun bukan, bukan dalil atau hujah untuk menentukan hukum halal atau haram.
3. Selain daripada menutup dada, mesej utama daripada surah Al-Nur, ayat 31 adalah untuk menutup kepala juga.
Pada pemerhatian penulis, hujah yang mengatakan bahawa mesej utama dari ayat 31 surah Al-Nur adalah perintah untuk menutup dada dan bukan kepala adalah sebuah hujah yang lemah.
Sungguhpun berlaku perselisihan di kalangan para ulama mujtahid berkurun-kurun lamanya sama ada muka, telapak tangan, dan telapak kaki termasuk dalam aurat wanita ataupun tidak, namun mereka sepakat mengatakan bahawa kepala termasuk dalam aurat wanita di depan lelaki yang bukan mahram.
Sehinggakan golongan ulama dari mazhab Al-Zahiri, yang memiliki kecenderungan untuk memahami nas-nas syarak secara literal seperti Imam Ibn Hazm rahimahullah, turut berpandangan bahawa kepala termasuk dalam aurat wanita.
Beliau tidak memahami ayat 31 dari surah Al-Nur sebagai perintah untuk menutup dada sahaja. Imam Ibn Hazm rahimahullah lebih cenderung kepada pandangan majoriti para ulama yang mengatakan bahawa aurat wanita adalah kesemua tubuh badannya kecuali muka dan telapak tangan.[13]
Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini hukum menutup kepala adalah wajib menurut para ulama mujtahid berkurun-kurun lamanya sejak zaman para sahabat.
Pada kesempatan ini, penulis ingin menukil kata-kata seorang tokoh ulama yang tersohor dari Indonesia yang turut berpandangan bahawa kepala wanita juga termasuk dalam aurat wanita yang tidak seharusnya dizahirkan di hadapan golongan lelaki yang bukan mahram.
Ketika menafsirkan ayat 31 dari surah Al-Nur, Prof. Hamka berkata:
“Peringatan kepada perempuan, selain menjaga penglihatan mata dan memelihara kemaluan, ditambah lagi, yaitu janganlah dipertontonkan perhiasan mereka kecuali yang nyata saja. Cincin di jari, muka dan tangan, itulah perhiasan yang nyata. Artinya yang sederhana dan tidak menyolok dan menganjurkan. Kemudian diterangkan pula, bahawa hendaklah selendang (kerudung) yang telah memang tersedia ada di kepala itu ditutupkan kepada dada.”[14]
4. Hadis Asma’ binti Abi Bakr tiada kaitan dengan perbahasan mengenai hukum menutup kepala bagi wanita Muslimah.
Memang benar terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama mengenai status hadis Asma’ binti Abi Bakr yang mengatakan bahawa keseluruhan tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan telapak tangan. Sebahagian di kalangan ulama hadis menerima hadis ini manakala sebahagian yang lain berpandangan bahawa hadis ini adalah lemah.
Namun, perlu ditekankan di sini bahawa golongan para ulama mujtahid yang menolak hadis ini tidak mengatakan bahawa menutup kepala tidak wajib. Sebahagian daripada mereka, apabila mereka menolak hadis ini, mereka berpendapat bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat termasuk muka dan tapak tangan.
Bagi golongan yang berpandangan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan, mereka bukan hanya berhujah dengan hadis Asma’ tetapi mereka turut berhujah dengan pandangan para sahabat Nabi s.a.w.
Di dalam menafsirkan Al-Quran, penafsiran para sahabat tidak sepatutnya diketepikan begitu sahaja. Generasi sahabat memiliki beberapa kelebihan yang tidak dimiliki oleh generasi yang datang terkemudian. Mereka mengetahui mengapa sebahagian ayat diturunkan dan dalam keadaan apa ayat tersebut diturunkan. Mereka melihat kejadian-kejadian dan mendengar perkara-perkara di zaman Rasulullah s.a.w. yang tidak dilihat dan didengari oleh generasi yang terkemudian. Maka, kesepakatan mereka menunjukkan bahawa perkara tersebut mempunyai asas di dalam Sunnah meskipun mereka tidak menyatakan dengan cara yang jelas.[15]
5. Bukan semua aspek perbahasan mengenai hukum aurat wanita dikaitkan dengan adat kebiasaan.
Ketika membahaskan mengenai hubungan antara maqasid dan wasilah, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menegaskan perbezaan antara bentuk pakaian yang digunakan untuk menutup aurat dan hukum menutup aurat itu sendiri. Menurut beliau, bentuk pakaian yang digunakan untuk menutup aurat boleh berbeza mengikut adat kebiasaan sebuah negara manakala hukum menutup aurat yang wajib ditutup tidak tertakluk kepada adat kebiasaan.[16]
Hukum menutup aurat terutama menutup kepala wanita tidak berubah dari satu negara ke negara yang lain. Yang boleh berubah adalah pakaian yang digunakan untuk menutup aurat tersebut.
6. Sebagaimana maqasid atau tujuan di sebalik sesuatu hukum itu adalah penting, hukum yang membawa kepada maqasid tersebut juga adalah penting.
Penulis bersetuju bahawa maqasid di sebalik sesuatu hukum adalah penting. Namun, hukum yang membawa kepada maqasid juga adalah penting.
Sebagaimana pendekatan memberikan tumpuan kepada hukum yang terkandung di dalam nas syarak sehingga mengabaikan maqasidnya merupakan pendekatan yang kurang wajar digunakan, pendekatan yang memberikan tumpuan kepada maqasid sahaja sehingga mengabaikan hukum yang terkandung di dalam nas syarak juga merupakan pendekatan yang sepatutnya dielakkan. Hukum yang terkandung di dalam nas syarak tidak sepatutnya dipisahkan daripada maqasidnya.
Berkaitan dengan isu ini, pakar Maqasid Al-Shariah zaman ini yang juga merupakan ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Dr. Ahmad Raysuni berkata:
“Tidak dianggap sebagai berpegang kepada maqasid sesiapa yang tidak berpegang kepada nas. Sesiapa yang tidak berpegang kepada nas, maka tiada kaitan antaranya dengan maqasid. Bahkan saya katakan: Sesiapa yang berbicara mengenai maqasid tanpa berpegang kepada nas, sesungguhnya dia sedang berbicara mengenai maqasid dirinya sendiri, mengenai apa yang dia suka dan mengenai apa yang dia inginkan.”[17]
7. Fatwa yang dikeluarkan untuk situasi darurat tidak sewajarnya diumumkan penggunaannya kepada situasi yang bukan darurat.
Fatwa yang dikeluarkan oleh mana-mana ulama untuk situasi darurat tidak sewajarnya diumumkan penggunaannya kepada situasi yang bukan darurat.
Adapun pandangan Syeikh Abdullah bin Bayyah mengenai isu aurat wanita dalam situasi yang bukan darurat adalah sebagaimana yang termaktub di dalam kitabnya yang berjudul Sina`at Al-Fatwa:
“Ketahuilah bahawa adalah wajib bagi wanita untuk menutup rambut kepalanya berdasarkan firman Allah taala (Janganlah mereka mempamerkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya).”[18] Beliau menambah,
“Mendedahkan rambut kepala adalah haram kerana rambut wanita adalah aurat sama seperti anggota tubuhnya yang lain menurut pandangan yang sahih.”[19]
Kesimpulan
Di dalam menafsirkan ayat-ayat Al-Quran, perlu meraikan prinsip-prinsip tertentu agar penafsiran tersebut berada di atas landasan wasatiy.
Di antara prinsip-prinsip tersebut adalah:
- Penafsiran para sahabat terhadap Al-Quran yang juga dikenali sebagai Al-Tafsir Bi Al-Ma’thur tidak sepatutnya diabaikan.
- Hukum yang terkandung di dalam nas Al-Quran tidak sepatutnya dipisahkan daripada maqasid
- Tidak semua hukum di dalam Al-Quran berubah mengikut peredaran masa dan tempat. Perlu dibezakan antara perkara-perkara yang tidak berubah (thawabit) di dalam Islam dan perkara-perkara yang boleh berubah (mutaghayyirat).
Kegagalan untuk meraikan prinsip-prinsip di atas boleh mengakibatkan seseorang tergelincir dalam usahanya memahami mesej yang terkandung di dalam Al-Quran.
Para ulama tidak menghalang mana-mana individu daripada menafsirkan ayat-ayat al-Quran khususnya bagi mereka yang memiliki keahlian dan kepakaran. Yang sepatutnya dihindari adalah perbuatan menerjunkan diri ke dalam lautan tafsir yang begitu luas tanpa membawa bekalan ilmu yang cukup, sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi:
“Yang kami ingkari adalah orang yang mendakwa melakukan penafsiran semula terhadap al-Quran dan Sunnah dengan satu penafsiran yang baru yang mengabaikan Usul Tafsir, Usul Hadis, Usul al-Fiqh dan kaedah bahasa arab yang masyhur sehingga mendatangkan satu syariat yang baru, yang berbeza dengan syariat Muhammad s.a.w. yang telah diterima oleh umat dengan secara mutawatir dan yakin. Sebuah syariat yang dibuat oleh pemikiran dan nafsunya, dan bukan berpandukan wahyu yang terpelihara.”[20]
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Rujukan:
[1] Boo Su-Lyn, “Quran doesn’t specify women’s hair as ‘aurat’, Muslim NGO insists as conservative Islam digs in”, MalayMail, https://www.malaymail.com/s/919835/quran-doesnt-specify-womens-hair-as-aurat-muslim-ngo-insists-as-conservativ (disaksikan pada 13 Nov. 2018).
[2] Junaid Jahangir, “5 Muslim Scholars on the Permissibility of Not Wearing the Headscarf”, HuffPost, https://www.huffingtonpost.ca/junaid-jahangir/islam-wearing-hijab_b_14046520.html (disaksikan pada 14 Nov. 2018).
[3] Boo Su-Lyn, “Quran doesn’t specify women’s hair as ‘aurat’, Muslim NGO insists as conservative Islam digs in”, MalayMail, https://www.malaymail.com/s/919835/quran-doesnt-specify-womens-hair-as-aurat-muslim-ngo-insists-as-conservativ (disaksikan pada 13 Nov. 2018).
[4] Khaled Abou El Fadl, “Fatwa: On Hijab (The Hair-covering of Women) Updated”, https://www.searchforbeauty.org/2016/01/02/fatwa-on-hijab-the-hair-covering-of-women/ (disaksikan pada 14 Nov. 2018).
[5] Boo Su-Lyn, “Quran doesn’t specify women’s hair as ‘aurat’, Muslim NGO insists as conservative Islam digs in”, MalayMail, https://www.malaymail.com/s/919835/quran-doesnt-specify-womens-hair-as-aurat-muslim-ngo-insists-as-conservativ (disaksikan pada 13 Nov. 2018).
[6] Ibid.
[7] Sisters in Islam, “Penjelasan mengenai permasalahan batas aurat wanita”, https://www.facebook.com/officialSIS/posts/penjelasan-kepada-permasalahan-batas-aurat-wanita-1-aurat-ditakrifkan-sebagai-ke/10153378552744519/ (disaksikan pada 14 Nov. 2018).
[8] Ibid.
[9] Junaid Jahangir, “5 Muslim Scholars on The Permissibility of Not Wearing the Headscarf”, HuffPost, https://www.huffingtonpost.ca/junaid-jahangir/islam-wearing-hijab_b_14046520.html (disaksikan pada 14 Nov. 2018).
[10] Ibn Kathir, Tafsir Ibn Katsir, Jakarta: Pustaka Imam Asy-Syafi’I, 2008, jld. 6, ms. 369.
[11] Al-`Asqalani, Ibn Hajar, Fath Al-Bari, Kaherah: Al-Maktabah Al-Tawfiqiyyah, t. t., jld. 8, ms. 444.
[12] Al-Buti, Muhammad Sa`id Ramadan, Ila Kulli Fatatin Tu’minu Bi Allah, Damsyik: Maktabah Al-Farabi, 1975, ms. 80-81.
[13] Ibn Hazm, Ali bin Ahmad, Al-Muhalla Syarh Al-Mujalla, Beirut: Dar Ihya’ Al-Turath Al-`Arabi, 2001, jld.3, ms.126.
[14] Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jakarta: Gema Insani, 2015, jld.6, ms 292.
[15] Al-Qaradhawi, Yusuf bin `Abd Allah, Al-Marji`iyyah Al-`Ulya Fi Al-Islam Li Al-Quran Wa Al-Sunnah, Kaherah: Maktabah Wahbah, 2001, ms. 52.
[16] Al-Qaradhawi, Yusuf bin `Abd Allah, Dirasah Fi Fiqh Maqasid Al-Shari`ah, Kaherah: Dar Al-Shuruq, 2012, ms 178.
[17] Al-Raysuni, Ahmad, Al-Dhari`ah Ila Maqasid Al-Shari’ah Abhath Wa Maqalat, Mansurah: Dar Al-Kalimah Li Al-Nashr Wa Al-Tawzi’, 2016, ms. 86.
[18] Bin Bayyah, `Abd Allah, Sina`at Al-Fatwa Wa Fiqh Al-Aqalliyat, Jedda: Dar Al-Minhaj, 2007, ms.407
[19] Ibid., 407.
[20] Al-Qaradawi, Yusuf bin ‘Abd Allah, Kayfa Nata`amal Ma`a Al-Quran Al-`Adhim, Kaherah: Dar Al-Shuruq, 2005, ms. 354.