Menuntut ilmu yang bermanfaat adalah sesuatu yang amat dituntut oleh Islam. Terdapat banyak dalil dari Al-Quran dan Sunnah yang menunjukkan kelebihan golongan ulama dan para penuntut ilmu. Antaranya ialah
Allah taala berfirman, “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.” (Al-Mujadalah: 11)
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barangsiapa yang menempuh satu jalan dalam mencari ilmu, Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga.” (Riwayat Al-Tirmidhi)[1]
Salah satu makna perkataan wasat adalah yang terbaik dan yang paling adil. Dalilnya terdapat dalam firman Allah taala, “Berkatalah orang yang bersikap adil di antara mereka [awsatuhum]: Bukankah aku telah katakan kepada kamu (semasa kamu hendak menghampakan orang-orang fakir miskin dari habuannya): amatlah elok kiranya kamu mengingati Allah (serta membatalkan rancangan kamu yang jahat itu)?” (Al-Qalam: 28)
Ketika menafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir menukil pandangan para ulama tafsir dari kalangan para sahabat dan tabi’in yang berpendapat bahawa perkataan awsatuhum di dalam ayat di atas ini bererti yang paling adil dan baik.[2]
Menuntut ilmu adalah satu perjalanan sepanjang hayat. Dalam menempuhi perjalanan ini, para penuntut ilmu hendaklah menghiasi diri mereka dengan sifat yang terbaik dan yang paling adil demi meraih keredhaan Allah taala.
Pada kesempatan ini, penulis ingin menyarankan enam langkah yang boleh diambil untuk menegakkan pendekatan wasatiy dalam menuntut ilmu.
1. Menuntut ilmu dari yang pakar.
Pemilihan guru adalah sesuatu yang amat penting dalam perjalanan menuntut ilmu. Menimba ilmu dari golongan pakar adalah sesuatu yang amat dituntut di dalam Islam.
Allah taala berfirman, “Bertanyalah kepada ahli zikir sekiranya kamu tidak mengetahui.” (Al-Nahl: 43)
Menurut Prof. Wahbah Al-Zuhayli, “ahli zikir” yang disebut dalam ayat ini ahli ilmu ialah yang mana golongan awam dituntut untuk bertanya kepada mereka tentang perkara yang tidak diketahui.[3]
Seseorang yang pakar dalam bidang sains politik belum tentu pakar dalam bidang penafsiran Al-Quran. Seseorang yang pakar dalam bidang hadis belum tentu pakar dalam bidang perundangan. Seseorang yang pakar dalam bidang kewangan belum tentu pakar dalam pengeluaran fatwa. Begitu juga sebaliknya.
Seseorang boleh menjadi seorang yang mahir dalam sesuatu bidang dan dalam masa yang sama beliau juga boleh menjadi di antara sejahil-jahil manusia dalam bidang yang lain. Atas dasar inilah, seorang penuntut ilmu hendaklah mengambil ilmu dari golongan yang pakar dalam bidang yang ingin dipelajari.
Kewujudan individu-individu yang tidak mahir dan tidak dilatih di dalam sesuatu bidang tapi terjun ke dalam bidang tersebut adalah sesuatu yang amat membimbangkan. Lebih dibimbangi, apabila mereka dijadikan sebagai pakar rujuk oleh masyarakat awam. Prof. Yusuf Al-Qaradawi pernah melahirkan kebimbangannya mengenai golongan yang menceburi bidang ijtihad dan fatwa sedangkan mereka tidak memiliki ilmu dan kemahiran dalam bidang tersebut. Beliau berkata:obor ummah
“Bagaimana seseorang itu mendakwa dia layak berijtihad sedangkan dia belum membaca Kutub Sittah,[4] tidak membaca Tafsir Al-Tabari mahupun Tafsir Al-Qurtubi, tidak menguasai Al-Risalah atau Al-Mustasfa atau Al-Ihkam di dalam ilmu usul. Kemungkinan dia tidak pernah melihat kitab Al-Muhalla oleh Ibn Hazm, Al-Istidhkar oleh Ibn `Abd Al-Bar, Al-Mughni oleh Ibn Qudamah, Al-Majmu` oleh Al-Nawawi, Al-Mabsut oleh Al-Sarakhsi, Rawdh Al-Nadhir oleh Al-Sayaghi dan Al-Sail Al-Jarrar oleh Al-Shawkani! Dengan itu dia mengaku dia mujtahid pada zaman ini!”[5]
2. Tidak menghadkan kebenaran kepada individu atau tempat tertentu.
Seorang penuntut ilmu yang ikhlas mencari kebenaran tidak sewajarnya menghadkan kebenaran kepada individu atau tempat tertentu.
“Saya akan hanya mengambil ilmu dari para ulama dan graduan dari negara sekian dan bukan dari para ulama dan graduan dari Mesir.”
“Saya akan hanya membaca karya-karya ilmiah dari para ulama dan graduan dari negara sekian dan bukan dari para ulama dan graduan dari Syria.”
“Saya akan hanya mendengar dan membaca kitab-kitab dari para ulama dan graduan dari negara sekian dan bukan dari para ulama dan graduan dari Arab Saudi.”
Kata-kata atau mentaliti sedemikian rupa akan hanya membawa kerugian kepada golongan penuntut ilmu.
Adalah satu kerugian yang besar jika sekiranya seorang penuntut ilmu tidak sudi mengambil ilmu dari para ulama Mesir sedangkan di sana terdapat ramai para ilmuwan ulung seperti Shaykh Muhammad Mutawalli Al-Sha`rawi, Shaykh `Attiyah Saqr, Shaykh Ahmad Shakir, Shaykh Muhammad Fuad Abd Al-Baqi dan lain-lain.
Adalah satu kerugian yang besar jika seandainya seorang penuntut ilmu tidak sudi membaca karya-karya ilmiah para ulama Syria sedangkan terdapat ramai para ulama hebat dari Syria seperti Shaykh Abd Al-Fattah Abu Ghuddah, Shaykh Mustafa Al-Siba`ii, Shaykh Wahbah Al-Zuhayli, Shaykh Sa`id Ramadan Al-Buti, Shaykh Mustafa Al-Bugha dan lain-lain.
Adalah satu kerugian yang besar kalau sekiranya seorang penuntut ilmu tidak sudi mendengar mutiara-mutiara ilmu dari para ulama di Arab Saudi sedangkan terdapat ramai para cendekiawan yang menetap dan mengajar di Arab Saudi seperti Shaykh Muhammad Al-Amin Al-Shinqithi, Shaykh Muhammad ibn Salih, Shaykh Muhammad Mukhtar Al-Shinqithi, Shaykh `A’id Al-Qarni, Shaykh Muhammad Al-Arifi dan lain-lain.
Begitu juga dengan tempat-tempat yang lain. Setiap tempat mempunyai para ulama mereka yang tersendiri. Setiap ulama memiliki kekuatan dan keistimewaan mereka tersendiri.
Seorang penuntut ilmu tidak sewajarnya menyempitkan apa yang telah diberikan keluasan oleh Allah taala. Pendekatan menghadkan kebenaran kepada individu atau tempat tertentu hanya akan menyebabkan seorang penuntut ilmu terhalang dari mendapatkan kebaikan dan mutiara-mutiara ilmu dari para ulama. Pendekatan ini juga tidak akan meluaskan ufuk pemikiran seorang penuntut ilmu.
3. Memperbanyak dan mempelbagaikan guru.
Seorang penuntut ilmu perlu menyedari bahawa para ulama yang hidup di pelbagai kota bukanlah musuh antara satu sama lain tetapi mereka saling melengkapi.
Demikianlah juga penuntut ilmu di pelbagai negara. Mereka bukan musuh antara satu sama lain tetapi saling mengukuhkan. Mereka mungkin belajar dari guru yang berbeza di tempat yang berbeza tetapi apabila kembali ke tanahair, mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu dakwah dan islah (reformasi).
Seorang graduan universiti Islam merupakan seorang pendakwah dalam menyampaikan syariat Allah. Dalam menyampaikan dakwah, beliau mencontohi jejak langkah Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Beliau menghiasi diri dengan ikhlas dan tawakkal, dan perlu bersabar ketika menanggung kesukaran dan kepayahan dalam menjalankan usaha dakwah.
Seorang graduan universiti Islam adalah pembawa islah. Beliau berusaha untuk menyatukan hati-hati manusia. Beliau berusaha menghilangkan permusuhan, kebencian dan hasad dari hati-hati manusia. Beliau berusaha melenyapkan perpecahan antara kumpulan-kumpulan yang berbeza.[6]
4. Menghiasi diri dengan sifat keadilan.
Satu hakikat yang perlu kita sedari adalah para ulama itu tidak maksum. Setinggi dan sehebat mana pun kedudukan dan ilmu mereka di mata masyarakat Islam, mereka boleh tersilap dalam sebahagian ijtihad dan pandangan mereka.
Persoalannya, bagaimanakah reaksi kita sekiranya kita mengetahui bahawa sesungguhnya seorang alim yang hebat tersilap? Adakah kita akan menutup jendela daripada mendengar apa sahaja yang disampaikannya walau pun perkara yang disampaikan itu adalah kebenaran? Atau adakah kita akan memberitahu kepada orang-orang di sekeliling kita agar tidak membaca penulisannya? Atau adakah kita akan mengaibkan dan merendahkan kedudukan sang alim tersebut?
Dalam hal ini, Imam Ibn Al-Qayyim pernah berkata:
“Sesiapa yang mempunyai ilmu syarak dan realiti mengetahui secara pasti bahawa seseorang yang telah berbakti kepada agama Islam serta mempunyai kedudukan yang tinggi di dalam Islam dan di kalangan orang-orang Islam boleh tergelincir dan melakukan kesilapan tetapi beliau boleh diberikan keuzuran di atas kesilapan tersebut. Bahkan beliau boleh diberikan ganjaran di atas ijtihadnya. Maka tidak dibenarkan untuk mengikuti kesilapan tersebut dan tidak dibenarkan juga untuk melemahkan kedudukannya di dalam hati golongan muslimin.”[7]wasati cartoon
Ketika membincangkan mengenai kesilapan sebahagian ahli tafsir, Prof. Solah ‘Abd Al-Fattah Al-Khalidi berkata:
“Wajib bagi kita untuk bersikap adil terhadap mereka (para ahli tafsir). Kecintaan kita terhadap sebahagian mereka tidak menyebabkan kita menutup mata dari kesilapan mereka seperti mengatakan: Al-Tabari tidak pernah tersilap, Ibn Taimiyah tidak pernah tersilap, Ibn Kathir tidak pernah tersilap, Sayyid Qutub tidak pernah tersilap!”[8]
Beliau menambah:
“Tidak dibenarkan bagi kita untuk membesarkan kesilapan mereka sehingga menutupi kebenaran mereka yang banyak dan membatalkan ilmu dan kelebihan mereka seperti mengatakan: Janganlah baca Tafsir Al-Razi atau Tafsir Al-Baidhawi atau Tafsir Al-Shawkani atau Tafsir Al-Shinqiti.
Hendaklah kita menyebutkan manhaj mereka yang sahih dalam pemahaman Al-Quran dan penafsirannya, menunjukkan kebenaran yang banyak yang telah memenuhi kitab tafsir mereka, serta memuji mereka. Kemudian hendaklah kita menyebutkan kesilapan mereka dalam isu-isu cabang, mencatitnya dan menolaknya dengan rasa cinta kepada mereka dan mengakui keilmuan mereka. Setelah itu kita menyebutkan bahawa kadar kesilapan mereka adalah kecil jika dibandingkan dengan kebenaran mereka yang banyak.”[9]
Justeru, boleh disimpulkan bahawa pendekatan yang wasatiy ketika berdepan dengan kesilapan yang terbit dari seorang alim adalah dengan tidak melemahan kedudukannya di hati golongan muslimin. Kebenaran yang beliau sampaikan perlu diterima manakala kesilapan yang beliau lakukan tidak sewajarnya diikuti kerana seorang penuntut ilmu yang ikhlas mencari kebenaran seharusnya mengutamakan kecintaan kepada kebenaran melebihi kecintaan kepada para ulama.
5. Membaca tulisan ulama untuk mengetahui pandangan sebenarnya dan bukan hanya bergantung kepada tulisan penentangnya.
Seorang penuntut ilmu harus meluaskan pembacaannya. Sekiranya beliau mendengar seorang alim dilontarkan dengan satu tuduhan, beliau tidak sepatutnya tergesa-gesa menerima berita tersebut sebelum membuat kajian dan pembacaan yang menyeluruh mengenainya. Seseorang itu tidak sepatutnya dianggap bersalah atau sesat melainkan dengan bukti yang kukuh mengenai kesalahan atau kesesatannya.
Seseorang itu tidak boleh dianggap sesat semata-mata kerana ada pihak lain yang berkata demikian. Tulisan individu yang didakwa sebagai sesat itu perlu dibaca, dikaji dan diteliti untuk memastikan apakah sebenarnya pandangan dan pendiriannya.
Perlu ditekankan di sini bahawa orang yang memberikan kritikan tidak semestinya benar dan orang yang dikritik tidak semestinya salah. Untuk mengetahui kedudukan perkara yang sebenar, seorang penuntut ilmu perlu membuat kajian secara komprehensif.
6. Tidak memperkecilkan pihak lain dengan kata-kata yang menyakitkan hati.
Wujudnya perbezaan pandangan dalam menangani isu-isu semasa adalah sesuatu yang sukar dielakkan terutama dalam isu-isu yang tidak mempunyai dalil yang jelas dari Al-Quran dan Al-Sunnah.
Tidak sewajarnya bagi seorang penuntut ilmu untuk melontarkan kata-kata yang menyakitkan dan melukakan hati kepada golongan para ulama atau para pengikut mereka yang tidak disetujuinya. Sekiranya dia dihujani dengan kata-kata tersebut, tidaklah wajar baginya untuk membalas keburukan dengan keburukan.
Alangkah indahnya pendekatan yang ditunjukkan oleh Prof. `Umar Sulayman Al-Ashqar ketika mana dilontarkan kata-kata yang menyakitkan hati. Beliau menjawab:
“Adapun kata-kata yang dilontarkan oleh sebahagian pengkaji terhadap diriku yang mana ianya memedihkan dan menyakitkan, aku tidak akan menayangkannya dan aku tidak akan menjawabnya.
Ini adalah kerana itu bukan daripada manhajku sebagaimana yang diketahui oleh semua yang mengenali diriku. Aku hanya mampu mengatakan: Mudah-mudahan Allah mengampunkanku dan juga semua yang telah menyakitiku kerana aku tidak memperolehi keuntungan jika aku menyakiti mereka. Mudah-mudahan juga mereka yang telah memberikan pujian terhadap kitab ini dan pengarangnya memaafkanku kerana tidak menyebutkan nama mereka dan memuji mereka di dalam mukaddimah ini.
Cukuplah bagi kita untuk mengikhlaskan niat dan meminta ganjaran daripada Allah.”[10]
Kesimpulan
Pendekatan wasatiy amat diperlukan dalam perjalanan menuntut ilmu. Para penuntut ilmu perlu menghiasi diri mereka dengan sifat yang terbaik dan yang paling adil dalam setiap perbuatan dan ucapan mereka. Ramai yang memperkatakan mengenai keadilan tetapi tidak ramai yang dapat menegakkannya. Sebagai penutup tirai, marilah sama-sama kita merenung kata-kata mutiara dari Prof. Hamka:
“Muslim beralih zaman bertukar dan keadaan pun berubah. Keadaan kaum Muslimin sehari-sehari mulai menjauhi dari ajaran agama. Yang lebih dulu hilang dari permukaan bumi masyarakat Islam ialah keadilan itu. Keadilan menjadi buah mulut tiap hari, tetapi tidak bertemu lagi dalam kenyataan. Janganlah kepada orang lain, kepada diri sendiri pun orang tidak sanggup berlaku adil lagi. Runtuhnya keadilan menyebabkan runtuhnya segala tiang-tiang dari akhlak. Orang tidak lagi berebut mencari keadilan. Tetapi orang berebut mencari pengaruh dan kekuasaan.”[11]
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Rujukan:
[1] Muhammad ibn `Isa, Sunan Al-Tirmidhi, Kitab Al-`Ilm, Bab Fadl Talab Al-`Ilm, no. hadith: 2646.
[2] Ibn Kathir (1999), Tafsir Al-Quran Al-`Adhim, Riyadh: Dar Al-Tayyibah Li Al-Nashr Wa Al-Tawzi`, jld. 8, ms. 196.
[3] Wahbah Al-Zuhayli (1991), Al-Tafsir Al-Munir Fi Al-`Aqidah Wa Al-Shari`ah Wa Al-Akhlaq, Dimashq: Dar Al-Fikr, jld. 7, ms. 461.
[4] Yang dimaksudkan dengan Kutub Sittah ialah Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Jami` Al-Tirmidhi, Sunan Al-Nasa’ii dan Sunan Ibn Majah.
[5] Yusuf Al-Qaradawi (2001), Al-Marji`iyyah Al-`Ulya Fi Al-Islam Li Al-Quran Wa Al-Sunnah, Al-Qahirah: Maktabah Wahbah, ms. 166.
[6] Muhammad Al-Zuhayli (2009), Mawsu`ah Qadaya Islamiyyah Mu`asirah, Dimashq: Dar Al-Maktab, jld. 6, ms. 720-8.
[7] Ibn Al-Qayyim (2001), I`lam Al-Muwaqqi`in `An Rab Al-`Alamin, Dammam: Dar Ibn Al-Jawzi, jld. 5, ms. 235.
[8] Solih `Abd Al-Fattah Al-Khalidi (2012), Ta`rif Al-Darisin Bi Manahij Al-Mufassirin, Dimashq: Dar Al-Qalam, ms. 125.
[9] Ibid.
[10] `Umar Sulayman Al-Ashqar (2009), Hukm Al-Musharakah Fi Al-Wizaarah Wa Al-Majalis Al-Niyabiyah, Urdun: Dar Al-Nafais, ms. 6.
[11] Hamka (2012), Prinsip dan Kebijaksanaan Dakwah Islam, Selangor: Pustaka Dini, ms. 23.