Sering kali kita sebagai penganut agama Islam diingatkan dan dianjurkan supaya bersikap wasatiy atau sederhana di dalam kehidupan seharian; baik dalam agama, masyarakat, kehidupan berkeluarga, mahupun secara individu. Barangkali kita juga sudah lali mendengar tentang kesederhanaan yang disyorkan oleh tokoh ilmuan dan institusi agama.
Tetapi apakah kita telah memahami dengan baik erti wasatiyah dan garis-pandunya? Adakah wasatiyah yang kita amalkan sesuai dengan ajaran Islam atau ia hanya untuk mempertahankan amalan kita yang tidak dianjurkan dalam agama? Bagaimanakah kita boleh menghayati dan mengamalkan wasatiyah di dalam konteks Singapura secara adil?
Untuk menjawab persoalan tersebut, perlu kita fahami terlebih dahulu wasatiyah dan kesederhanaan menurut Islam. Di dalam Al-Quran, telah disebutkan: “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat wasat agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”[1]
Pengertian wasat atau dari sudut bahasa Arabnya bermakna ‘pertengahan’ telah banyak dibincangkan para ulama di dalam kitab-kitab mereka, berdasarkan hadis-hadis Nabi s.a.w yang antaranya menafsirkan perkataan ‘umat wasat’ dalam ayat Al-Quran sebagai umat yang adil.[2]
Namun, jangan kita salah ertikan makna adil menurut Islam. Secara amnya, boleh kita fahami wasat atau adil di sini bermaksud tidak ifrat dan tidak tafrit. Ifrat bermaksud melampau dalam melebihkan sesuatu manakala tafrit dalam mengurangkan. Maka wasat diertikan sebagai adil kerana dengan sifat adil, seseorang itu tidak cenderung ke mana-mana arah; melampau dalam memberatkan atau melampau dalam meringankan. Sebaliknya, dia bersifat saksama. Ini sesuai dengan amaran yang telah diberikan Nabi s.a.w: “Musnahlah golongan yang melampau”.[3]
Konsep pelampauan dalam Islam dan garis panduan wasatiy
Dalam membincangkan soal pelampauan, sudah menjadi kebiasaan kita untuk memperkatakan tentang ekstremisme atau biasanya dikaitkan dengan keras, strict atau syadid.
Umat Islam secara amnya tiada masalah untuk mengenal pasti golongan yang melampau dalam kekerasan sehingga menyebabkan berlakunya keganasan seperti kumpulan ISIS, Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah atau kumpulan-kumpulan pelampau yang lainnya. Namun sebenarnya, pelampauan atau ekstremisme juga merangkumi kelonggaran atau laxity yang berlebihan. Dalam perkara kedua inilah kita sebagai umat Islam mungkin sukar untuk mengetahui sama ada kita sudah terjerumus ke dalamnya atas dasar semangat demokrasi, sekularisme dan liberalisme yang dipopularkan masyarakat Barat.
Maka selagi mana sesuatu perkara itu berlebihan dalam memberatkan atau meringankan, selagi itulah ianya boleh dikategorikan sebagai pelampauan. Ini menjadi sebab terlahir suatu kaedah dalam ilmu fiqh, ‘La ifrat wa la tafrit’, yang bermaksud tidak boleh melampaui batas dan tidak boleh mengurangi batas. Juga kaedah Usul Fiqh di sisi ahli hadis, ‘Perlu menafsir dalil dan memahaminya dengan cara sederhana tanpa melampau mahupun terlalu longgar’.[4]
Persoalannya di sini, adakah terdapat garis panduan yang jelas yang boleh kita amalkan supaya dapat kita berlaku adil dan wasatiy, dan tidak bersikap berlebihan mahupun bermudah-mudahan?
Jika diteliti dan dikaji, tidak terdapat sebarang dalil khusus daripada Nabi s.a.w yang menyatakan tentang garis panduan pengamalan wasatiyah dalam Islam. Namun, jika kita hayati potongan ayat Al-Quran: “Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya”,[5] kita boleh merumuskan bahawa umumnya, kehidupan kita sebagai Muslim haruslah bersandarkan jalan lurus yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Ini bermaksud dalam kita mengamalkan konsep wasatiyah, perlu untuk kita pastikan yang ianya berlandaskan ajaran Islam. Hadis daripada Aisyah r.a juga ada menyebutkan, “Tidaklah Rasulullah s.a.w disuruh memilih antara dua perkara, melainkan baginda akan memilih yang lebih mudah di antara keduanya selama mana ia tidak berdosa”.[6]
Berdasarkan dalil-dalil yang telah disebutkan di atas, dapat kita faham bahawa tunjang wasatiyah adalah berteraskan landasan Islam yang telah diajarkan Nabi s.a.w. Dua syarat utama dalam pelaksanaan wasatiyah adalah:
1. Istiqamah atau konsisten dalam mentaati Allah dan patuh akan perintah-Nya serta menjauhi, larangan-Nya, tanpa melampaui dan mengurangi batas
2. Kekal pada jalan lurus yang tidak terpesong dan tiada penyelewengan.
Adakah Islam Liberal itu jalan kepada Islam wasatiy?
Dewasa ini menyaksikan dakyah dan seruan kepada Islam yang progresif dan Islam Liberal, sehingga sering dikaitkan perkataan progresif kepada liberal seakan-akan mengehadkan syarat tercapainya Islam progresif hanya melalui Islam Liberal.
Untuk meneruskan perbincangan, perlu difahami terlebih dahulu apakah itu liberalisme dan apakah yang dibawakan oleh pengasas ideologi Islam Liberal.
Dari sudut falsafah, liberalisme membawa maksud ideologi yang berasaskan kebebasan dan kesetaraan.[7]Perkataan liberalisme sering digunakan pada masa kini untuk membangkitkan teori politik yang menekankan aspek keadilan dan kesamarataan, khususnya dalam hal ehwal kebajikan masyarakat.[8] Namun, disebabkan penggunaan istilah liberalisme yang berleluasa, ianya sudah menjadi perkataan serbaguna dan sudah melangkaui maksud asalnya, hingga menjadi satu istilah yang tiada had dan batasan baginya.[9] Ini menjadikannya terlebih mudah untuk sewenang-wenangnya mengklasifikasikan sesuatu perkara itu termasuk dalam liberalisme atas nama kesetaraan yang didakwa disebabkan luasnya takrifan dan penggunaan istilah tersebut.
Apabila membincangkan tentang liberalisme dari sudut agama, ia secara umum merupakan suatu reformasi agama yang memperkenalkan pembaharuan dan kontekstualisasi agama mengikut keadaan semasa. Secara zahirnya, ia kelihatan seperti suatu perkara yang positif. Namun, disebabkan tiada batasan dan panduan yang jelas dalam konsep tersebut, maka ini mengakibatkan tiada juga batasan dalam penerimaan suatu perkara itu untuk disesuaikan dalam agama. Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang Islam, bahkan ia juga melibatkan agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu, lebih-lebih lagi yang lazim berlaku di negara barat. Dalam erti kata lain, golongan liberal berpandukan akal lebih daripada sumber agama.[10]
Tidak cukupkah kita sebagai umat Islam untuk mengambil iktibar dari kemunculan golongan Muktazilah, yang mendahulukan akal ke atas Al-Quran dan Sunnah? Disebabkan berpandukan akal lebih daripada wahyu jugalah munculnya kumpulan seperti Sisters in Islam di Malaysia yang menyeru kepada hak wanita melebihi dari tuntutan Syariah, juga Jaringan Islam Liberal di Indonesia yang menyeru kepada pembebasan pemikiran Islam.[11]
Di sini timbul beberapa persoalan, jika setiap perkara yang terlarang dalam Islam itu diperbolehkan tanpa batasan atas dasar kontekstualisasi agama, di manakah datangnya keutamaan sumber-sumber utama dalam Islam? Bagaimanakah liberalisme boleh diterima sebagai jalan yang wasatiy sedangkan ia menyeru lebih kepada bermudah-mudahan? Bukankah hasilnya akan mengakibatkan hilangnya identiti Islam yang susah payah dipelihara oleh tokoh-tokoh ilmuan yang terdahulu?
Bukanlah di sini bermaksud Islam itu tidak boleh menerima pembaharuan, tetapi ianya mesti berpandukan ajaran Islam yang benar berserta dalil sesuai yang boleh dijadikan sebagai sandaran dan bukan akal sebagai sandaran yang utama.
Islam secara lumrahnya adalah bersifat progresif
Pastinya kita pernah diajarkan bahawa Islam itu bersifat ‘alamiy (sejagat), syumuliy (lengkap) dan waqi`iy (kontekstual). Apakah yang dimaksudkan dengan ketiga-tiga istilah tersebut?
Secara ringkasnya, agama Islam bersifat inklusif, walaupun dengan berlakunya peredaran masa dan wujudnya perbezaan kemampuan dan kudrat manusia. Ini boleh dilihat melalui apa yang diajarkan Nabi s.a.w dalam pergaulannya sesama manusia, Muslim atau bukan Muslim, perlakuan baginda terhadap haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta yang lainnya.
Sebagai contoh, Piagam Madinah yang dilakarkan oleh baginda merangkumi hak-hak orang Islam dan juga bukan Islam atau Yahudi yang hidup pada masa tersebut. Dari sudut agama, kita juga diperintahkan supaya solat dalam keadaan berdiri. Sekiranya tidak mampu, lakukan cara duduk atau dalam keadaan baring.
Bagi mereka yang bekerja di bidang perubatan seperti jururawat dan mengalami kepayahan untuk menunaikan solat disebabkan keterbatasan masa, dibolehkan untuk mereka melaksanakan jama’ suriy (melewatkan solat di hujung waktunya lalu melakukan solat lain di awal waktu hingga seolah-olah seperti menjamakkan kededua solat). Maka Islam merangkumi segala aspek kehidupan dan kita boleh dapati bahawa ketiga-tiga ciri Islam tadi menepati maksud sifat progresif.
Dalam sepotong hadis, Nabi s.a.w pernah berjumpa dengan sebuah kaum yang mengawinkan pohon kurma. Baginda menyuarakan pendapatnya supaya dibiarkan pohon tersebut seadanya dan mereka menurut cadangan baginda. Setelah itu, Nabi s.a.w berjumpa lagi dengan kaum tersebut dan mendapati pohon berkenaan rosak. Beliau bertanya tentang sebabnya. Mereka katakan bahawa mereka lakukan apa yang telah baginda pesan. Nabi s.a.w pun bersabda: “Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian”,[12] dalam riwayat lain disebutkan: “Jika memang pengawinan itu bermanfaat, hendaklah mereka lakukannya.”[13] Dari hadith ini, boleh didapati bahawa dalam urusun dunia juga Nabi s.a.w menyuruh kita supaya bersifat progresif.
Begitu juga pada masa kini kita boleh dapati kemusykilan agama yang muncul dengan perkembangan teknologi yang mana tiada berlaku pada zaman Nabi s.a.w. Contohnya, pemindahan organ dan bank susu. Di sinilah datangnya peranan ijtihad seperti mana ijtihadnya para sahabat tentang maksud perintah Nabi s.a.w supaya jangan menunaikan solat Asar melainkan di Bani Quraizah.[14] Ada sahabat yang melambatkan solat Asar hingga ke waktu Maghrib dan ada sahabat yang menunaikannya di pertengahaan perjalanan mereka. Dalam kedua-dua keadaan, mereka bersandarkan kepada perintah Nabi s.a.w dalam melakukan ijtihad mereka. Begitu juga sebagai rakyat Muslim Singapura, kita berpandukan kepada Mufti dan Majlis Ugama Islam Singapura dalam mengemukakan fatwa mengenai suatu permasalahan baharu yang timbul, yang mana mereka juga bersandarkan kepada sumber-sumber utama dalam Islam. Ini sudah memadai untuk menunjukkan bahawa Islam itu secara lumrahnya bersifat progresif dan tidak perlu untuk kita menokok tambah unsur-unsur progresif dalamnya.
Kesimpulan
Kita sebagai umat Islam harus senantiasa mengamalkan wasatiyah dalam setiap tindak-tanduk dan amalan kita. Sebagai penduduk Muslim Singapura, kita juga harus sedar bahawa kita mempunyai tanggungjawab untuk memberikan gambaran Islam yang benar dan positif kepada penganut-penganut agama lain; baik dari sudut toleransi, kemajuan, kesefahaman dan juga kedamaian. Di sebalik itu, kita juga harus ingat bahawa kita mempunyai tanggung-jawab terhadap agama, iaitu untuk memeliharanya daripada penyelewengan dan penyimpangan. Dalam kita berusaha untuk mengamalkan Islam sesuai dengan konteks Singapura yang berbilang kaum dan agama, kita juga harus mengiktiraf batasan-batasan yang telah ditetapkan dalam Islam. Ini boleh dipastikan dengan mengikuti garis panduan yang telah disampaikan oleh Nabi s.a.w dan bukan dengan mendahulukan akal dan kepentingan kita atas Baginda s.a.w.
[9] Duncan Bell (2014), “What is Liberalism?”, SAGE Journals, jld. 42, no. 6.
[10] Kamaruzzaman Bustamam-Ahmad (2011), “Contemporary Islamic Thought in Indonesian and Malay World: Islam Liberal, Islam Hadhari and Islam Progresif”, Journal of Indonesian Islam, jld. 5, no. 1.
[11] Darwin Zainuddin dan Fakhrur Adabi Abdul Kadir (2014), “Aktivitas-aktivitas Gerakan Liberalisasi Islam di Indonesia”, Analytica Islamica, jld. 3 no. 1.
[12]Sahih Muslim. Kitab Al-Fadhail, bab Wujub Imtithal Ma Qalahu Shar`an Dun Ma Dzakarahu Sallallahu `Alaihi Wa Sallam Min Ma’ayish Al-Dunya, hadis no. 2363.
[14]Sahih Al-Bukhari. Kitab Al-Maghazi, bab Marja`i Al-Nabi Sallallahu `Alaihi Wa Sallam Min Al-Ahzab Wa Makhrajih Ila Bani Quraizah Wa Muhadaratih Iyyahum, hadis no. 4119.