Ulasan Novel Dunia Bukan Kita Punya: Beberapa Pelajaran Tentang Wasatiyah (Kesederhanaan) | Wasat 38 / April 2021

wasat

Suratman Markasan

Ulasan Novel Dunia Bukan Kita Punya: Beberapa Pelajaran Tentang Wasatiyah (Kesederhanaan)

01 April 2021 12:00 am // Written by Muhammad Husin bin Masnin

Mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran tidak terhad pada ceramah, pertuturan atau penulisan ilmiah sahaja. Ia boleh disampaikan dengan cara kreatif agar dapat menarik masyarakat ke arah yang diingini seperti penulisan kreatif dalam bentuk novel.

Novel sastera bukan hanya mengisahkan kisah percintaan, tragik, sedih dan aksi, tetapi ia menggabungkan antara fakta, imaginasi dan matlamat. Ia tidak terhad pada hiburan semata, bahkan lebih pada menyampaikan idea dan tujuan dengan gaya kreatif dan imaginasi agar pembaca dapat meraih manfaat.

Masuri S.N. berkata, “Seorang sasterawan itu pada hakikatnya adalah juga seorang intelektual zamannya. Mengapa? Kerana sasterawan (seperti juga kaum intelek) terjumlah dalam golongan manusia yang yakin bahawa idea itu penting dirasakannya; yakni ‘to whom ideas are emotionally important’. Dengan demikian, sasterawan sejati sekaligus memainkan peranan tanggungjawabnya sebagai jurubicara masyarakat dan zamannya.”[i]

Rencana ini mengambil contoh dari novel Dunia Bukan Kita Punya, karya sasterawan mapan Singapura Suratman Markasan yang menyentuh kepentingan kesederhanaan dalam hidup untuk mencapai kebahagiaan dunia dan Akhirat.

 

Mengenali Suratman Markasan[ii]

Dilahirkan pada tahun 1930 di Pasir Panjang Singapura. Nama yang tidak asing dalam dunia kesusasteraan Singapura ini telah memenangipelbagai anugerah samada di luar atau di dalam negara antaranya: SEA Write Award (1989); Tun Seri Lanang (1999); Anugerah Pujangga UPSI (2003); Pingat Budaya (2010); Anugerah Mastera (2014).

Beliau telah menghasilkan pelbagai genre penulisan seperti novel, cerpen, puisi dan esei. Antara karya-karya beliau: Tak Ada Jalan Keluar (1962); Matahari Kota (1979); Conflict (1980); Perempuan Kerudung Hitam (1991); Potret Isteri yang Hilang (1993); Di Bumi Mana (1996); Subuh Hilang Senja (2004); Puisi Luka dan Puisi Duka (2004); Tiga Lelaki (2005); Dunia Bukan Kita Punya (2011); Kembali Ke Akar Melayu Kembali Ke Akar Islam (2013); Dari Perang Datang Sampai Kamoe San Masuk Melayu (2015); dan Mengasah Kalam (2019).

 

Novel Dunia Bukan Kita Punya[iii]

Novel ini mengisahkan seorang protagonis bernama Haji Shukran yang kuat mengamalkan ajaran agama, tetapi memudaratkan orang lain terutama ahli keluarganya akibat keterlampauan dalam pelaksanaan dan pemahamannya tentang Islam.

Isterinya Hajah Salamah dan anak sulungnya Jamil terpaksa memikul tanggungjawab membesarkan keluarga kerana perbuatan Haji Shukran yang meninggalkan keluarga selama 16 tahun dengan alasan berdakwah serta pemahaman agamanya yang salah.

Namun, pada penghujung hayat Haji Shukran, dia mendapat sinar petunjuk. Beliau insaf akan kesilapannya dalam memahami agama dan sempat memohon maaf kepada teman-teman dan ahli keluarganya.

Terdapat enam pelajaran penting tentang kesederhanaan yang dapat dicerna dari novel Dunia Bukan Kita Punya.

Pertama: Kesederhanaan dalam memahami teks agama

“Menurut Sal yang bebal ni Abang Haji… perkara Abang tidak sembahyang itu, jangan dikaitkan dengan akad nikah kita. Orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja itu hukumnya memang berdosa… itu sudah jelas menurut hukum Islam… yang harus dilakukan oleh orang yang meninggalkan sembahyang, haruslah mengqhadoq sembahyang yang ditinggalkan… tetapi… tidak membatalkan perkahwinan kita… ijab kabul kita… kerana meninggalkan sembahyang tidak terkeluar dari Islam. Oleh itu pernikahan kita tetap sah… kita masih Islam. Kita masih suami dan isteri… kita tidak terkeluar dari Islam Bang…”[iv]

Ini adalah kata-kata Hajah Salamah, isteri kepada Haji Shukran, apabila berlaku pertengkaran disebabkan Haji Shukran mengatakan dia sudah terkeluar dari Islam kerana meninggalkan solat dan sekaligus mendakwa perkahwinan mereka turut terbatal.

Pendapat Haji Shukran itu adalah berlandaskan fahamannya sendiri terhadap hadis Nabi yang banyak memperkatakan bahawa siapa yang meninggalkan solat telah kafir, antaranya ialah,  

“Yang membezakan seorang (mukmin) dengan syirik dan kafir itu ialah meninggalkan solat.”[v]

“Perjanjian di antara kami dan mereka (orang-orang munafik itu) ialah dengan solat. Maka sesiapa yang meninggalkannya sungguh dia telah menjadi kafir.”[vi]

Kitab Fiqh Manhaji menyebut bahawa hadis mengatakan mengenai hukum kafir bagi orang yang meninggalkan solat adalah ditujukan kepada mereka yang mengingkari kewajipannya atau meremehkannya.[vii] Manakala, mereka yang meninggalkan solat disebabkan malas di samping itu mengakui akan kewajipannya tidak dihukum kafir. Syeikh Wahbah Al-Zuhaili turut cenderung kepada pendapat ini.[viii]

Maka memahami teks agama perlu merujuk pada penjelasan para ulama agar ianya bersifat sederhana dan menjauhi sifat pelampauan. Ianya tidak boleh difahami hanya secara literal sahaja.

 

Kedua: Kesederhanaan dalam berdakwah

“Mereka ini… atau kumpulan ini dengan cita-citanya itu cukup tinggi!…” sebut Ustaz Haji Rahmat, “Tapi mereka selalu lupa dengan tanggungjawab terhadap keluarga sendiri; terhadap isteri dan anak-anak mereka… sedang tugas utama… dan pertama adalah keluarga… keluarga kita itulah tanggungjawab yang pertama dan terawal yang harus kita bela yang harus kita nasihat, kita ajar… tapi ini tidak… belum menjaga dan mengajar dan mendakwah keluarga, mereka mendakwah orang lain dulu bagaimana?… Ini  konsep yang kurang betul Ustaz… malah ada yang mengabaikan pekerjaan mereka… jadi bagaimana kita hendak harapkan bangsa dan agama kita maju dan meningkat dengan baik dan tinggi… kalau orang seperti itu… meninggalkan keluarga dan meninggalkan pekerjaannya?”[ix]

Haji Shukran merupakan anggota jemaah yang aktif ke luar negara untuk berdakwah. Namun, niat baiknya itu mendatangkan mudarat kepada keluarganya apabila beliau sanggup mengabaikan mereka selama 16 tahun tanpa sebarang nafkah dan berita. Sedangkan ajaran Islam mewajibkan suami menjaga kebajikan keluarga dengan memberi nafkah sebagaimana firman Allah taala, “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.” (Al-Baqarah: 233)

Malah jika ditelusuri dakwah Rasulullah s.a.w., kita akan dapati bahawa kesungguhannya dalam berdakwah tidak menjadikannya mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.”[x]

Manakala sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Salman r.a., “Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak ke atas kamu, dan tubuh badanmu mempunyai hak ke atas kamu, dan ahli keluargamu mempunyai hak ke atas kamu. Maka berikanlah setiap yang mempunyai hak itu haknya.”[xi]

Justeru sifat kesederhanaan dalam berdakwah tidaklah seharusnya mengabaikan tanggungjawab yang ada kerana ia akan mengakibatkan kemudaratan kepada orang lain.

 

Ketiga: Kesederhanaan dalam berpoligami

“Abang Haji harus sedar apa yang Abang Haji lakukan sekarang bukanlah kerana nafsu… Abang Haji berkahwin dengan Munah, bukan kerana nafsu. Itu jelas… tapi Abang Haji berkahwin dengan Munah semata-mata Sunnah Nabi… dan Abang Haji sekarang menjalankan kewajipan untuk agama…”[xii]

Petikan ini merupakan kata-kata isteri kedua Haji Shukran yang meredai perkahwinannya. Haji Shukran mempunyai tiga orang isteri. Isteri pertamanya di Singapura iaitu Hajah Salamah, kedua di Terengganu iaitu Munah dan ketiga Siti Zaleha di Kuantan. Perkahwinannya yang kedua dan ketiga tidak diketahui isteri pertamanya kerana Haji Shukran giat berdakwah di luar negara. Haji Shukran juga berpoligami untuk menjauhi fitnah kerana isteri kedua dan ketiga merupakan anak muridnya sendiri.

Meskipun Islam membenarkan berpoligami, tetapi ianya harus mematuhi syarat asas, iaitu adil. Malangnya apa yang dilaksanakan Haji Shukran tidak mencerminkan ajaran Rasulullah s.a.w. Lebih dari itu ia tidak membawa kepada keadilan malah menzalimi isteri pertamanya Hajah Salamah dan anak-anaknya kerana meninggalkan mereka tanpa nafkah. Allah taala berfirman,

“Dan jika kamu khuatir tidak berlaku adil terhadap perempuan yatim, maka kahwinilah perempuan yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak berlaku adil maka (nikahilah) seorang sahaja atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim.” (Al-Nisa’: 3)

Imam Al-Qurtubi berkata dalam menafsirkan ayat ini, “Dilarang bernikah lebih dari satu yang membawa kepada ketidakadilan dari segi pembahagian masa dan pergaulan yang baik.”[xiii]

Walaupun berpoligami dengan niat yang baik, tetapi perlu dilakukan sesuai dengan prinsip kesederhanaan Islam dan memberi kesan yang baik kepada semua pihak iaitu dengan menjalankan tanggungjawab secara adil.

Keempat: Kesederhanaan dalam menerima pandangan

“Ikutlah tabiat Nabi; Dia mendengar, mendengar dan mendengar… sebanyak tiga kali, tapi anta Tuan Haji Shukran… anta tidak pernah hendak mendengar sedikit pun pendapat orang lain!… Bila orang lain beri pendapat… anta cepat-cepat berfikir itu tak betul… lalu anta meninggalkan majlis… anta kata pendapat orang lain tak betul… anta berpendapat anta saja yang betul!… Macam mana anta kata pendapat orang lain tak betul, sebelum anta mendengar pendapat orang lain itu anta sudah pergi?…”[xiv]

Haji Shukran dikenali di kalangan teman-temannya sebagai seorang yang susah untuk dibawa berbincang dan tidak mahu menerima pandangan orang lain, bahkan merasakan diri sendiri yang sempurna.

Allah taala berfirman,

“Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentu dijadikanNya umat manusia yang menurut agama yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka, Kalimah (keputusan) Tuhanmu telah tetap: Aku pasti akan memenuhi neraka Jahanam dengan jin dan manusia yang derhaka semuanya.” (Hud: 118-119)

Imam Ibn Kathir berkata mengenai tafsiran ayat ini, “Perbezaan masih tetap terjadi di antara manusia dalam perkara agama, keyakinan, ikutan, mazhab dan pandangan.”[xv]

Justeru, perbezaan pandangan dan pendapat tidak dapat dielakkan. Ia merupakan sifat semula jadi manusia yang dianugerahkan Allah taala. Mustahil untuk seluruh manusia mempunyai fikiran yang sama. Kita boleh mengambil pengajaran dari adab para ulama terdahulu seperti ulama mazhab yang berbeza pandangan tetapi tidak membawa kepada perpecahan, bahkan saling menghormati dan bersikap toleransi.

Buya Hamka berkata mengenai kesederhanaan dalam berfikir, “Satu kegilaan yang menghilangkan sederhana ialah merasa kagum pada diri sendiri. Pongah dengan nama dan turunan sehingga lupa menyelidiki di manakah kekurangan diri. Kesudahannya segala kesalahan hanya ada pada orang lain tanpa saya sendiri suci, benar, jujur [sic.]. Kita sahaja yang berkata begitu, tanpa kita insafi, orang yang jujur pun pergilah seorang demi seorang.”[xvi]

 

Kelima: Kesederhanaan dalam kehidupan

“Ini sangat bertentangan dengan orang-orang dan pendapat Haji sendiri yang mengatakan bahawa dunia ini untuk orang-orang kafir sahaja… maka itu kita orang-orang Islam tidak perlu bekerja keras untuk mendapatkan harta banyak dan hidup senang di dunia, kerana kerja dan tugas orang Islam hanyalah untuk beribadah sebagai bekal di akhirat nanti…”[xvii]

Haji Shukran berpendapat bahawa ‘dunia bukan kita punya’ dan tidak perlu berusaha untuk mencapai kebahagiaan dan kejayaan di dunia. Bagi beliau, seorang Muslim hanya perlu berusaha untuk Akhirat sahaja.

Jika diteliti firman Allah taala, “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia” (Al-Qasas: 77)

Imam Ibn Kathir menulis dalam mentafsirkan ayat ini, “Gunakanlah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu berupa harta yang melimpah dan kenikmatan yang panjang dalam berbuat taat kepada Tuhanmu dan bertaqarrub kepadaNya dengan pelbagai amalan yang dapat menghasilkan pahala di akhirat.”[xviii]

Islam bersifat sederhana dalam mengimbangi kehidupan dunia dan Akhirat. Tidak menjadi satu kesalahan untuk menikmati kesenangan di dunia asalkan tidak melupakan tanggungjawab dalam melaksanakan ibadat dan taat kepada Allah. Malah terdapat dari kalangan para sahabat yang kaya seperti Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan Zubair bin Awwam. Justeru, Muslim yang bertakwa bukan hidup di dunia berkeadaan daif meminta-minta. Dia perlu mengimbangi keperluan hidupnya di dunia dan Akhirat.

Keenam: Kesederhanaan dalam memanfaatkan barang buatan bukan Muslim

“Itulah saya bilang… dunia ini tempat orang kafir Encik Imran!… Encik Omar!… Tengok apa yang dicipta oleh si kafir?… semuanya merosakkan orang Islam… TV, peti video, komputer dan lain-lain mesin… semuanya mengkhayalkan… bukan saja orang-orang muda… tapi orang-orang dewasa juga…”[xix]

Haji Shukran berpandangan bahawa apa yang diciptakan oleh bukan Muslim memudaratkan dan merbahaya. Sikap ini bertentangan dengan firman Allah taala,

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Ma’idah: 8)

Allah taala turut berfirman, “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)

Maka tidak adil untuk menganggap apa sahaja hasil ciptaan dari bukan Muslim tidak bermanfaat dan memudaratkan. Walaupun Syeikh Yusuf Al-Qardhawi banyak mengkritik kelemahan tamadun barat, beliau mengakui kesan positif tamadun barat yang terus berkembang terutamanya dalam bidang teknologi yang banyak memudahkan urusan seharian manusia.[xx]

Tidak menjadi satu kesalahan untuk memanfaatkan sesuatu alat ciptaan yang baik dan berguna, tetapi pengguna perlulah bijak untuk menyaring apa yang boleh membawa kepada kerosakan diri.

 

Penutup

Menyampaikan dakwah tidak terhad pada cara biasa yang diketahui umum. Ia boleh dipelbagaikan untuk menarik sasaran yang ditujukan.

Justeru Dunia Bukan Kita Punya merupakan alternatif lain dalam mengajak masyarakat kepada kesederhanaan dalam kehidupan dalam bentuk novel sastera.

Akhir kalam, dinukilkan kata-kata Suratman Markasan,

“Selain itu yang harus disedari oleh seseorang penulis bahawa mereka adalah antara golongan intelegensia bangsanya, maka itu di samping bercerita, dia harus membawakan sesuatu maksud yang ingin disampaikan kepada khalayak pembacanya, adalah sesuatu yang bermakna dan bernilai tinggi sehingga dengan itu penulis mengajak khalayak pembacanya berfikir dan terus berfikir!”[xxi]


 

Rujukan

[i] Masuri Salikun (2005), Dalam Merenung Dalam, Singapura: Angkatan Sasterawan 50, ms. 194.

[ii] Lihat Mohamed Pitchay Gani (ed.) (2005), Leksikon: Direktori Penulis Melayu Singapura Pasca 1965, Singapura: Angkatan Sasterawan 50, ms. 186.

[iii] Suratman Markasan (2011), Dunia Bukan Kita Punya, Singapura: Darul Andalus Pte. Ltd.

[iv] Suratman Markasan (2011), Dunia Bukan Kita Punya, ms. 34.

[v] Muslim bin Al-Hajjaj Al-Qusyairi Al-Naysaburi (2006), Sahih Muslim, Kitab Al-Iman, Bab Bayan Itlaq Ism Al-Kufr `Ala Man Tarak Al-Solah, no. 82, Riyad: Dar Al-Tayyibah, ms. 52.

[vi] Muhammad bin `Isa Al-Tirmidzi (1996), Sunan al-Tirmidzi, Abwab Al-Iman, Bab Ma Ja’ Fi Tark Al-Solah, no. 2621, jld. 4, Beirut: Dar Al-Gharb Al-Islami, ms. 365.

[vii] Mustafa Al-Khin, Mustafa Al-Bugha dan Ali Al-Sharbaji (1992), Al-Fiqh Al-Manhaji, Damsyiq: Dar Al-Qalam, jld. 1, ms. 104.

[viii] Wahbah Al-Zuhaili (1985), Al-Fiqh A-Islami Wa Adillatuh, Damsyiq: Dar Al-Fikr, jld. 1, ms. 505.

[ix] Suratman Markasan (2011), Dunia Bukan Kita Punya, ms. 77.

[x] Muhammad bin Isa Al-Tirmidzi (1996), Sunan Al-Tirmidzi, Abwab Al-Manaqib, Bab Fi Fadl Azwaj Al-Nabi s.a.w, no. 3895, jld. 6, ms. 188.

[xi] Muhammad bin Ismail Al-Bukhari (2002), Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Saum, Bab Aqsam `Ala Akhih Liyuftir Fi Al-Tatawwu` Wa Lam Yara `Alaih Qada’an Iza Kana Awfaq Lah, no. 1968, Dimasyq: Dar Ibn Kathir, ms. 473.

[xii] Suratman Markasan (2011), Dunia Bukan Kita Punya, ms. 120.

[xiii] Muhammad bin Ahmad Al-Qurtubi (2006), Al-Jami` Li Ahkam Al-Qur’an, Beirut: Muassasah Al-Risalah, jld. 6, ms. 37.

[xiv] Suratman Markasan (2011), Dunia Bukan Kita Punya, ms. 141.

[xv] Ismail bin Umar bin Kathir (1997), Tafsir Al-Quran Al-`Azim, Riyad: Dar Al-Tayyibah, jld. 4, ms. 361

[xvi] Haji Abdul Malik Karim Amrullah (2009), Falsafah Hidup, Selangor: Pustaka Dini, ms. 221.

[xvii] Suratman Markasan (2011), Dunia Bukan Kita Punya, ms. 170.

[xviii] Ismail bin Umar bin Kathir (1997), Tafsir Al-Quran Al-`Azim, jld. 6, ms. 253.

[xix] Suratman Markasan (2011), Dunia Bukan Kita Punya, ms. 229.

[xx] Lihat Yusuf Al-Qardawi (2006), Al-Islam Hadharah Al-Ghad, Kaherah: Maktabah Wahbah, ms. 29.

[xxi] Suratman Markasan (2019), Mengasah Kalam: Membina Kritikan Sastera Di Singapura, Singapura: Unggun Creative, jld. 1, ms. 22.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles