Berdakwah adalah satu kewajipan yang penting diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Namun, di dalam melakukan kerja dakwah, penulis ingin menitikberatkan tiga komponen penting dan asasi dalam berdakwah, iaitu pendakwah, mad’u (atau dipanggil sebagai orang yang menjadi subjek dakwah) dan isi kandungan dakwah. Setiap satu komponen ini perlu dititikberatkan oleh setiap Muslim bagi memastikan matlamat dakwah dicapai dengan sebaiknya.
Komponen Pendakwah
Tugas sebagai pendakwah bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia melibatkan interaksi dengan pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza.
Seorang pendakwah akan pasti berhadapan dengan pelbagai rintangan dan ujian sepanjang menjalankan tanggungjawab tersebut. Oleh itu, terdapat beberapa perkara penting yang harus dijaga dan dimiliki oleh seorang pendakwah.
Seorang pendakwah perlu sentiasa menanamkan niatnya kerana Allah. Perjalanan berdakwah terdapat onak dan durinya. Adakalanya seorang pendakwah akan tersasar daripada niat asal. Namun, itu tidak sepatutnya mematahkan semangat dakwahnya. Niat harus diperbaharui dari semasa ke semasa.
Selain itu, seorang pendakwah harus menyiapkan diri dengan ilmu-ilmu dan kemahiran-kemahiran yang bermanfaat yang membantu dalam kerja dakwah mereka. Berdakwah memerlukan beberapa kemahiran agar pendakwah dapat menyampaikan mesejnya kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
Seorang pendakwah juga harus mempunyai minda yang terbuka dan sikap rendah diri semasa berdakwah. Minda terbuka dan sikap berlapang dada ini bukan sahaja terhad kepada isu khilafiyah -seperti yang selalu diwarwarkan – akan tetapi sikap keterbukaan ini termasuk bersedia untuk menukar cara dan konsep semasa berdakwah, bersedia untuk menerima kritikan dan teguran di dalam pengisian dan cara berdakwah daripada sesiapapun, baik rakan pendakwah yang lain mahupun masyarakat umum. Supaya apabila ditegur atau diberi nasihat, pendakwah dapat melihatnya dari sudut positif dan menerimanya sebagai kritikan yang membina dan dapat membantu perjalanan dakwahnya.
Menerima teguran amat dititikberatkan oleh agama, ada beberapa nas di dalam agama di mana Nabi s.a.w sendiri ditegur oleh Allah taala, seperti di dalam surah `Abasa, dan Nabi juga pernah menegur pendakwah yang lain seperti Muaz ibn Jabal ketika beliau menjadi imam dan membaca surah yang panjang di dalam solat berjemaah.
Sikap menerima kritikan dan teguran sebenarnya membantu pendakwah membaiki dan menghindar dari mempunyai perasaan maksum ketika berdakwah. Ini kerana kebiasaannya masyarakat akan melihat pendakwah sebagai seorang yang jarang melakukan kesilapan atau tidak melakukan kesilapan langsung kerana mereka dianggap sebagai ahli di dalam agama. Ini kadangkala akan membuatkan pendakwah merasa diagungkan dan juga merasakan bahawa diri mereka tidak boleh atau tidak patut ditegur. Oleh hal demikian, sikap keterbukaan, berlapang dada dan rendah diri harus ada dalam diri pendakwah.
Pendakwah juga perlu meningkatkan diri dari semasa ke semasa. Pendakwah harusnya bersedia untuk mempelajari kemahiran-kemahiran baru yang boleh memperbaiki dan meningkatkan keberkesanan dakwahnya. Adakalanya rutin harian yang sama dan tanpa sebarang perubahan akan membuatkan mereka berada di dalam comfortzone sekaligus membuatkan segelintir pendakwah tidak mahu mempertingkatkan diri dan menukar cara berdakwah. Pendakwah harus mengelakkan diri dari perkara ini berlaku dan bersedia untuk melakukan sebarang perubahan jika perlu.
Pendakwah perlu bersatu walaupun berbeza fikrah, pendapat dan pandangan. Menjadi sunnah Allah bahawa pelbagai pandangan yang berbeza di kalangan ulama sendiri wujud dalam agama ini. Perkara ini tidak sepatutnya menimbulkan sebarang masalah atau persengketaan di kalangan pendakwah sekiranya para pendakwah faham akan kemanisan perbezaan di dalam agama. Perbezaan ini seharusnya boleh diuruskan dengan baik.
Para pendakwah yang harus mula untuk menguruskan perbezaan ini dengan menjaga hubungan silaturahim sesama mereka. Pada masa yang sama, oleh kerana masyarakat mempunyai latar belakang yang rencam, pendakwah tidak harus bercita-cita untuk melahirkan masyarakat yang sefikiran, kerana ia merupakan sesuatu perkara yang mustahil. Ini bermakna institusi agama perlu meraikan perbezaan pandangan. Sikap berat sebelah terhadap pandangan sendiri boleh disangkal dengan meraikan perbezaan pandangan. Jika ingin mendidik masyarakat, institusi agama sendiri harus menerima perbezaan dalam kalangan pendakwah terlebih dahulu. Ini juga bermakna pendakwah-pendakwah yang berlainan pendapat harus bekerjasama atas nama dakwah.
Komponen Subjek Dakwah
Subjek dakwah meliputi individu atau masyarakat umum yang menjadi sasaran dakwah. Individu dan masyarakat yang terbentuk dari individu-individu memiliki pelbagai latar belakang. Meskipun begitu, berdasarkan pemerhatian penulis, mustahil akan ada individu-individu di dalam masyarakat kita yang akan berkelakuan seperti orang Arab badwi yang membuang air dekat tiang masjid. Faktor ketamadunan, kemodenan, kemajuan dan pendidikan di Singapura membuatkan orang Islam hampir mustahil untuk melakukan perkara sedemikian.
Walaupun begitu, penulis berpandangan bahawa isu baharu yang timbul di dalam masyarakat, membuatkan sebahagian daripada mereka yang bertindak dengan tidak sewajarnya. Tambahan pula, masih ada lagi kesalahfahaman agama yang diamalkan dalam pemikiran masyarakat awam di Singapura. Masih ada lagi kalangan masyarakat yang berfikiran cetek, seperti berfahaman; bertawakal tanpa usaha, “takut dengan virus tetapi tidak takut dengan Allah yang menciptakan virus”, mengajar agama perlu ikhlas yang bermaksud guru agama tidak perlu dibayar dengan bayaran yang selayaknya; perkataan ikhlas terus disalah gunakan di bibir awam untuk membuli guru-guru agama supaya mengajar secara percuma dan sering guru agama dipanggil dan dikaitkan dengan label penunggang agama jika mula mengenakan bayaran kepada pengajian.
Penulis berpandangan bahawa ini berpunca daripada masyarakat yang tidak didedahkan dengan ilmu. Seperti kisah pada zaman Nabi s.a.w yang berkaitan dengan pengambilan upah ketika melakukan ruqyah. Pada era Tabi` Tabi`in pula, Imam Al-A`masyh tidak akan meriwayatkan hadis melainkan setelah muridnya memberinya beberapa dirham.
Pada era mutakhirin, terdapat juga kisah di mana guru Imam Ibn Raslan meminta beliau suku dirham bagi setiap bait Alfiyah Ibn Malik untuk dipelajari, dan dikatakan bahawa beliau menghabiskan 250 dirham untuk mempelajari Alfiyah Ibn Malik. Adakah berbaloi? Sudah tentu, kerana sebaik-baik wang yang dibelanjakan ialah pada jalan Allah dan menuntut ilmu.
Selain daripada itu, masyarakat harus dididik agar tidak tergopoh-gopoh dalam menyuarakan pendapat khususnya apabila berkaitan dengan isu agama. Masyarakat awam mempunyai pelbagai kedudukan dalam urusan dunia. Mungkin kedudukan tersebut besar di mata dunia, tetapi harus dibimbing dan dijelaskan bahawa kerja menjelaskan syariat ialah para ulama dan asatizah. Masyarakat awam boleh berkongsi pandangan mereka mengenai sesuatu isu berkaitan dengan hukum, tetapi perkara yang melibatkan hukum bukan semudah membaca beberapa buku mahupun teks terjemahan. Hal ini kerana proses mengeluarkan hukum perlu kepada kepakaran dalam bidang tersebut dan perlu pada pendidikan berstruktur di dalam agama. Bagi bercakap tentang syariah, Allah telah melantik Rasul dan bila Rasul telah wafat ianya berpindah kepada Ulu Al-Amri, iaitu ulama kerana bab agama harus dibicarakan oleh mereka yang telah terlatih dan pakar dalam bidangnya dan bukan sesiapa sahaja yang merasakan mereka berhak untuk bercakap sedangkan mereka belum melalui proses yang sepatutnya untuk bercakap tentang agama. Sebaliknya mereka perlu memahami bagaimana sesuatu hukum itu dikeluarkan.
Mungkin sikap ini wujud kerana mereka berpegang pada hadis Nabi s.a.w, “Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat”. Namun perlu ditekan di sini, hadis ini tidak memberikan keahlian untuk berbicara tentang agama kepada setiap orang. Ia hanya menekankan bahawa apabila ingin berkongsi sesuatu harus dipastikan sumbernya benar-benar daripada Rasulullah s.a.w dan tiada jalan mudah untuk mengetahuinya melainkan dengan proses belajar. Ini secara tidak langsung memupuk sikap berhati-hati dalam membicarakan sesuatu yang melibatkan agama Allah kerana khuatir sekiranya perkara yang disampaikan apabila tidak disemak terdahulu dan tidak diambil endah akan ketulenannya boleh membuat kita tergelincir dan termasuk dalam golongan yang telah mendustakan Nabi s.a.w dan sekaligus menempahkan diri ke neraka Allah.
Komponen Kandungan Dakwah
Beberapa perkara yang perlu difikirkan sebelum menyampaikan sebarang maklumat kepada masyarakat. Seperti, adakah perkara itu penting untuk masyarakat? Adakah masyarakat sudah bersedia untuk menerima perkara tersebut?
Penting juga bahawa perkara yang sama tidak diulang tayang supaya tidak mengundang bosan di kalangan masyarakat. Namun jika ada keperluan, penulis berpandangan tidak menjadi masalah. Mengulang-ulang perkara yang sama memberikan konotasi bahawa pendakwah kurang persiapan dari segi bacaannya, sedangkan membaca merupakan intipati bagi diri pendakwah, selalu kita akan dapati sebahagian kerap menegur cara berdakwah. Namun, penulis berpandangan bahawa pengisian yang sama apabila tiada keperluan padanya seakan-akan merendahkan daya intelek masyarakat dan juga akan membuatkan masyarakat merendahkan kandungan yang disampaikan dan lebih teruk lagi merendahkan diri pendakwah itu sendiri.
Juga penting bagi perkara yang hendak disampaikan itu ialah ia tidak bersifat ‘asal boleh’ iaitu tidak berasaskan nas Al-Quran dan hadis serta penjelasan ulama. Persediaan yang cukup dan pembacaan yang teliti harus dilakukan terlebih dahulu oleh pendakwah kerana agama hendaklah dibina atas nas-nas Al-Quran dan hadis dan sangat penting bagi setiap pendakwah membuat persediaan yang rapi supaya kandungan dakwah dapat disampaikan dengan baik dan sekaligus berkesan buat masyarakat.
Penutup
Berdakwah merupakan satu proses yang memerlukan kegigihan dan kesungguhan. Berdakwah bukan sahaja mendidik mad’u akan tetapi jiwa pendakwah itu tersendiri yang akan terdidik apabila melakukan persiapan yang tekun dan baik sebelum penyampaian dakwahnya.
Dakwah adalah satu tanggungjawab yang berat untuk memikulnya. Hasilnya adakala tidak dapat dilihat ketika hayat akan tetapi janji Allah kepada mereka yang menjalankan amanahnya dengan baik, pasti akan meraih kemanisan perjuangan pahit duniawi ini di syurga kelak.