wasat

Wasatiyah Dalam Menanggapi Isu Takfir
01 April 2015 5:13 pm // Written by Mustazah Bin Bahari
Takfir bermaksud mengkafirkan orang lain atau sesuatu perkara.
Takfir adalah satu perkara yang penting disebabkan perkara-perkara berikut;
1. Ia melibatkan persoalan prinsip aqidah dalam Islam.
Antara prinsip aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah untuk menghukum sesuatu yang kufur dengan kekufuran dan menghukumkan iman dengan kebenaran. Redha terhadap kekufuran boleh menjatuhkan seseorang dalam kekufuran. Berdiam diri terhadap kekufuran boleh menjatuhkan seseorang dalam kefasiqan.
2. Kekufuran adalah sebesar-besar dosa di sisi Allah taala.
Allah taala berfirman:
“Dan orang-orang yang kufur dan membohongi ayat-ayat kami, mereka itu adalah penduduk neraka. Mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 39)
3. Takfir adalah satu perbuatan yang serius yang menatijahkan akibat yang serius ke atas orang yang dituduh kerana seorang yang dihukumkan kafir sudah dianggap terkeluar dari Islam.
Jika dia seorang Muslim, maka dia dianggap murtad. Antara akibat-akibatnya ialah;
- Fasakh nikah.
- Hilang hak pemeliharaan anak.
- Wajib dihadapkan ke mahkamah syariah.
- Jika mati, tidak boleh diselenggara mayatnya seperti mayat orang Islam.
- Tiada pewarisan.
- Takfir adalah satu perbuatan yang menatijahkan akibat yang serius ke atas orang yang menuduh. Jika tuduhannya tidak betul, hukumnya akan jatuh ke atas orang yang menuduh. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Jika berkata seorang lelaki kepada saudaranya ‘Hai kafir’, maka jatuhlah ke atas salah satu dari keduanya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
“Sesiapa yang bersumpah dengan agama selain Islam secara berbohong, maka dia adalah seperti mana yang dia kata. Dan sesiapa yang membunuh satu jiwa, dia akan diazab di api neraka. Dan melaknat seorang mukmin, sama seperti membunuhnya. Dan sesiapa yang melempar ke atas seorang mukmin dengan tuduhan kufur, maka ia sama seperti membunuhnya.” (Riwayat Al-Bukhari & Ahmad)
“Sesiapa yang memanggil seorang lelaki dengan kufur atau berkata ‘Hai musuh Allah’ sedang dia tidak sedemikian kecuali (tuduhan itu) berpaling kepadanya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
“Tidak seorang lelaki memangggil seorang lelaki lain dengan kefasiqan atau kekufuran kecuali dia telah murtad jika lelaki itu tidak sedemikian.” (Riwayat Al-Bukhari)
Disebabkan persoalan takfir adalah satu persoalan yang besar dalam Islam, para ulama sentiasa memberi peringatan mengenai bahaya mentakfir dan sentiasa berhati-hati dalam persoalan ini.
Dalam buku Syarh Al-`Aqidah Al-Tahawiyah telah dinyatakan;
“Ketahuilah bahawa bab takfir dan tidak mentakfir adalah satu bab yang besar fitnah dan cubaan di dalamnya. Banyak perpecahan berlaku di dalamnya. Bersimpang siur di dalamnya pelbagai pandangan dan nafsu dan saling bercanggah dalil-dalil mereka. ”
Tidak harus bagi seorang Muslim untuk melakukan takfir kecuali dengan bukti yang nyata dan dalil yang jelas.
Kecuaian & Pelampauan
Walaupun isu takfir ini satu isu yang besar dan bahaya, tetapi telah berlaku kecuaian oleh setengah-setengah pihak dalam masalah ini sehingga berlaku takfir secara longgar seperti berikut;
- Mentakfir orang kerana melakukan maksiat.
- Mentakfir penguasa secara mutlak kerana berhukum dengan bukan hukum Allah taala
- Mentakfir pengikut-pengikut penguasa yang tidak berhukum dengan hukum Allah taala.
- Mentakfir orang yang keluar dari jemaah.
- Mentakfir orang yang tidak berhijrah.
- Mentakfir orang yang tidak mengkufurkan orang kafir mengikut pandangannya.
- Mentakfir individu secara khusus tanpa panduan syara’.
- Mentakfir masyarakat jahiliyah.
- Mentakfir orang yang berada di Darul Harbi.
Memahami Kufur Sebelum Takfir
Kufur dalam Islam mempunyai martabat-martabatnya, sebagaimana iman juga mempunyai martabat-martabat. Ia bukan sejenis dan satu martabat yang layak baginya satu hukum sahaja, iaitu keluar dari Islam dan kekal dalam neraka.
Perkataan kufur dalam pelbagai dalil syara’ kadangkala memberi makna keluar dari agama dan kadangkala tidak. Kufur yang terdapat dalam dalil-dalil syara ada dua;
- Kufur yang mengeluarkan seseorang dari agama dan kekal dalam neraka.
- Kufur yang hanya mewajibkan seseorang mendapat siksa tanpa kekal dalam neraka.
Kufur jenis pertama ialah kufur yang melibatkan sikap membohongi ajaran agama, mengingkari hukum, bersikap sombong terhadap agama, meragui ajaran agama dan bersikap munafiq.
Kufur jenis kedua ialah kufur kerana melakukan maksiat. Perbuatan ini menatijahkan seorang itu diazab tetapi tidak keluar dari agama dan tidak kekal dalam neraka.
Contoh-contoh kewujudan kufur dalam erti sedemikian dalam dalil-dalil syara’ adalah banyak antaranya ialah:
Allah taala berfirman;
“Sesungguhnya kami menunjukkan dia jalan, samada dia bersyukur atau kufur.” (Al-Insan: 3)
“Dan siapa yang bersyukur, sesungguhnya dia bersyukur bagi dirinya sendiri dan siapa yang kufur sesungguhnya Tuhanku amat kaya dan mulia.” (Al-Naml: 40)
Dalam kedua ayat ini Allah taala menggandingkan syukur dan kufur. Sebagaimana diketahui, tidak bersyukur dengan Allah taala sahaja tidak menjadikan seorang itu terkeluar dari agama.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Janganlah kamu tidak suka terhadap bapa-bapa kamu. Sesiapa yang tidak suka akan bapanya, maka dia telah kufur.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Dalam hadits ini Rasulullah s.a.w menggunakan perkataan kufur ke atas perbuatan yang tidak mengeluarkan seseorang dari agama tetapi hanya dianggap sebagai maksiat sahaja.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Bukan dari kalangan kami sesiapa yang menyandarkan dirinya pada orang yang bukan bapanya sedangkan dia tahu kecuali dia telah kufur.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Kufur di sini bermakna kufur terhadap nikmat bukan keluar dari Islam. Ia hanya ditafsirkan keluar dari Islam jika yang melakukannya melakukan atas niat menghalalkan apa yang dilarang oleh Allah taala.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Memaki seorang Muslim ialah fasiq dan membunuhnya ialah kufur.” (Riwayat Al-Bukhari & Al-Turmuzi)
Kufur di sini bukan bererti keluar dari agama kerana Allah taala berfirman:
“Dan apabila dua kelompok dari orang-orang beriman saling berbunuhan, maka pebaikilah antara keduanya.” (Al-Hujurat: 9)
Ayat ini masih mensifat kelompok yang saling berperang itu dengan sifat mukmin. Ini bermakna bahawa erti kufur di dalam hadits di atas bukan bermakna keluar dari agama tetapi bermakna maksiat.
Begitu juga hadits yang bermaksud:
“Jika bertemu dua orang Muslim dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan dibunuh masuk neraka.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Rasulullah s.a.w tetap menyifatkan keduanya sebagai Muslim walaupun masuk neraka kerana saling bunuh membunuhi.
Begitulah juga dengan hakikat zalim, fasiq dan jahil. Kesemuanya itu berperingkat-peringkat. Ada yang mengeluarkan seseorang dari agama dan ada yang tidak.
Beberapa Tanggapan Penting Dalam Takfir
1. Kufur itu berperingkat-peringkat, sebagaimana iman juga berperingkat-peringkat.
Di antara peringkat-peringkat kekufuran, tidak semua yang menyebabkan keluar dari agama. Oleh itu perlulah berhati-hati dalam memahami ayat-ayat yang mengkufurkan sesuatu perbuatan, samada ia bermakna keluar dari agama atau kufur sebagai maksiat yang menjadi ciri orang-orang kafir.[1]
2. Kufur bertempat di hati. Tiada siapa yang mengetahui hakikat sebenar di hati kecuali Allah taala.
Atas dasar itu, perlulah banyak berhati-hati dalam berurusan dengan masalah hati. Oleh kerana kufur tempatnya di hati, perbuatan zahir sahaja belum tentu membolehkan takfir kecuali ada dalil yang jelas mengenainya. Asalnya, kita hanya diperintah untuk menghukum apa yang zahir dan dilarang dari mengikuti apa yang tidak diketahui.[2]
Allah taala berfirman yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu ikuti apa yang kamu tiada ilmu mengenainya.” (Al-Isra’: 36)
“Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kamu banyak-banyak dari sangka-sangkaan.” (Al-Hujurat: 12)
Rasulullah s.a.w memarahi Usamah kerana membunuh seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah kerana menyangka dia mengucap kerana takut dibunuh dengan katanya;
“Adakah kau belah hatinya sehingga kau tahu samada hatinya mengucap atau tidak?” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Ertinya dalam persoalan takfir, benefit of the doubt mesti diberikan kepada orang yang tertuduh.
3. Tidak boleh mengkafirkan seseorang hanya kerana melakukan maksiat selama mana dia tidak menghalalkan perbuatannya.[3]
Yang dimaksudkan dengan tidak mengkafirkan kerana melakukan dosa ialah dosa-dosa besar bukan meninggalkan rukun Islam seperti berzina dan minum arak. Adapun meninggalkan rukun Islam, mengkafirkan orang berkenaan mempunyai perdebatan di sisi ulama.[4]
Ibn Taimiyah berkata, “Setiap Muslim mengetahui bahawa peminum arak, penzina, pelaku qazf dan pencuri tidak dihukum oleh Nabi s.a.w sebagai murtad yang wajib dibunuh. Bahkan Al-Quran dan riwayat yang mutawatir darinya s.a.w menerangkan bahawa bagi mereka hukuman-hukuman bukan hukuman orang yang murtad.”[5]
Yang mengkufurkan orang yang melakukan maksiat ialah kaum Khawarij dan Muktazilah, bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah.[6]
4. Tidak boleh mengkufurkan penguasa semata-mata kerana tidak berhukum dengan hukum Allah taala.
Ibn Abi Al-`Iz dalam Syarh Al-`Aqidah Al-Tahawiyah menulis;
“Bahawa berhukum dengan apa yang bukan diturunkan oleh Allah boleh menjadikan kufur yang keluar dari agama dan boleh jadi maksiat, samada maksiat kecil atau besar. Dikatakan kufur, samada ada atas dasar kiasan (majazi) atau kufur kecil, mengikut dua pendapat yang telah disebutkan. Yang demikian itu mengikut keadaan si penguasa. Jika dia beriktikad bahawa berhukum dengan apa yang bukan diturunkan oleh Allah tidak wajib dan ia hanyalah pilihan baginya atau dia meremehkannya dengan keyakinan bahawa itu adalah hukum Allah, maka ini adalah kekufuran yang besar. Jika dia beriktikad wajib berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah taala, dan dia tahu hukum bagi kes itu, tetapi berpaling darinya disamping mengakui bahawa dia layak diazab, maka dia adalah pelaku maksiat. Dia dinamakan kafir (dalam erti) majazi (kiasan) atau kafir kecil. Jika dia tidak tahu akan hukum Allah dalam satu kes, disamping mengerahkan usaha untuk mengetahuinya tetapi tersalah, maka dia dikatakan orang yang tersilap. Bagi dia pahala untuk ijtihadnya dan kesilapannya dimaafkan.”[7]
Telah timbul pelampauan dari kalangan kelompok takfir dalam satu pandangan bahawa para penguasa orang-orang Islam telah kufur dan orang-orang yang duduk di bawah kuasa mereka tetapi tidak berusaha untuk mengubah pemerintahan berkenaan dengan menyertai jemaah mereka yang membawa pemikiran yang benar bagi Islam dan berusaha untuk melaksanakan pemikiran itu, telah kufur juga kerana mentaati penguasa-penguasa itu.[8]
Yang benar, penguasa-penguasa ini tidak boleh dihukumkan kafir terus tanpa penelitian kerana Allah taala sendiri memberikan mereka dengan tidak hukum kafir, zalim dan fasiq.[9]
Rasulullah s.a.w tidak mencela Najasyi kerana tidak berhukum dengan hukum Allah taala dan Allah taala juga tidak mencela nabi Nabi Yusuf a.s a.s kerana bersama dengan raja yang bukan Muslim dalam pemerintahannya.
5. Tidak boleh mengkufurkan secara mutlak rakyat yang di bawah pemerintah yang tidak berhukum dengan hukum Allah taala.
Sesungguhnya rakyat-rakyat di bawah pemerintah seperti ini berbagai-bagai:
- Mereka yang taat dan ikut apa yang dilakukan oleh pemerintah dengan penuh sedar dan yakin akan kebenaran pemerintahnya. Maka hukumnya mengikut hukum si pemerintah.
- Mereka yang taat tetapi masih beriman dengan apa yang halal dan apa yang haram di sisi Allah taala. Mereka taat atas maksiat. Mereka ini dihukumkan sebagai orang-orang yang berdosa.
Ibn Al-`Arabi berkata, “Sesungguhnya ketaatan seorang mukmin kepada seorang musyrik menjadi syirik jika dia mentaatinya dalam akidah dalam daerah kekufuran dan iman. Jika dia mentaatinya dalam perbuatan tetapi akidahnya kekal dalam tauhid, maka dia dikira bermaksiat. Maka fahamilah itu di setiap tempat.”[10]
- Mereka yang ingkar dan tidak redha. Jika dia tidak mampu mengubah keadaan atau telah berusaha tetapi belum berjaya, maka mereka dimaafkan dan dihisab sekadar amal mereka. Jika mereka tidak redha tetapi kurang berusaha, maka mereka tercela sekadar kekurangan mereka.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)
Sesiapa yang benci kemungkaran itu, maka dia telah berlepas diri dari hukuman Allah taala. Ini bagi mereka yang tidak mampu untuk mengingkari dengan tangan dan tidak dengan lidah, maka dia membencinya dengan hati. Sesiapa yang lemah untuk mengubah kemungkaran, dia tidak berdoa hanya kerana diam, tetapi berdosa kerana redha atau jika dia tidak membencinya dengan hati.
Lihat juga dalil berkaitan Najasyi, nabi Nabi Yusuf a.s dan keberadaan para sahabat di Habsyah sebagai perincian di bahagian yang membincangkan persoalan Darul Harbi dan Darul Islam dan menjawat jawatan di institusi pemerintah.
6. Tidak boleh mengkufurkan orang kerena dia tidak bersama dalam jemaah yang dianggotai atau keluar dari jemaah itu.
7. Tidak boleh mengkufurkan seseorang yang menetap di negara bukan Muslim dan tidak mahu berhijrah darinya.
8. Tidak boleh mengkafirkan seseorang atau mana-mana kumpulan secara khusus (ta`yin) tanpa dalil yang kukuh, wewenang dan tidak melalui proses yang betul.
Disebabkan bahaya takfir sebagaimana yang dinyatakan dalam hadits, para ulama salaf sentiasa mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam isu takfir. Mereka walaupun sering memberi fatwa mengenai kekufuran sesuatu fahaman atau amalan, tetapi mereka menjauhi dari menghukumkan kafir ke atas individu tertentu atau kumpulan tertentu.
Hal ini adalah disebabkan perbuatan yang menunjukkan kekufuran mempunyai pelbagai andaian dan kemungkinan yang terselindung. Oleh itu, para ulama lebih cenderung untuk memberi benefit of the doubtdalam persoalan ini agar tidak jatuh dalam kesilapan yang tercela.
Selain itu, mensabitkan kekufuran seseorang bukanlah tugas individu tetapi ia adalah tugas kehakiman. Seorang yang telah keluar dari Islam kerana perlakuan atau kepercayaannya, dia boleh dihukum atas kesalahan itu. Bagi membolehkan hukuman itu dilaksanakan, maka perlulah dia dibicarakan di mahkamah agar dia diberi hak untuk bercakap dan membela diri disamping menilai bukti tuduhan ke atasnya.
9. Tidak boleh mengkafirkan sesiapa kerana dia tidak mengkafirkan orang lain berdasarkan pandangan orang berkenaan atau sesiapa yang berbeza pendapat dengannya.
Sebagaimana yang telah dinyatakan di atas, hukum kufur bukanlah hak mana-mana individu atau kumpulan untuk melakukannya tetapi ia adalah bidang kuasa kehakiman Islam. Apabila tiada kehakiman yang berkuasa untuk membicarakan orang-orang yang dituduh murtad, kuasa berkenaan tidak berpindah ke mana-mana pihak kerana ia akan menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat.
Apatah lagi tuduhan kekufuran itu sering kali mempunyai pelbagai kemungkinan. Oleh itu, apabila seseorang itu tidak bersetuju untuk mengkufurkan orang lain, maka tidak boleh dia dituduh kafir kerana tidak mengkafirkan orang yang telah kufur.
Ibn Taimiyah berkata:
“Sesungguhnya ahli ilmu dan sunnah tidak mengkufurkan sesiapa yang menyalahi mereka, walaupun yang menyalahi mereka itu mengkufurkan mereka, kerana kufur adalah hukum syara’ yang mana manusia tidak boleh membalas hukuman orang lain dengan perbuatan yang sama. Seumpama seseorang yang membuat pembohongan ke atas kamu dan berzina dengan keluarga kamu, maka tidak boleh bagi kamu membalas dengan membuat pembohongan ke atas dia dan berzina dengan keluarga dia pula. Begitulah takfir, ia adalah hak Allah. Tidak boleh mengkufurkan sesiapa kecuali orang yang dikufurkan oleh Allah dan RasulNya.”[11]
10. Tidak boleh menghukum masyarakat Islam secara umum sebagai jahiliyah.[12]
Imam Al-Bukhari di dalam kitab Sahih Al-Bukhari telah menamakan satu bab yang bertajuk ‘Bab maksiat adalah sebahagian dari perkara jahiliyah, tidak boleh pelakunya dihukumkan kafir kerana melakukannya kecuali perlakuan syirik’.
Tidak boleh menghukumkan bahawa manusia hari ini semuanya berada dalam jahiliyah atau masyarakat Islam hari ini semuanya adalah jahiliyah kerana jahiliyah yang umum seperti itu merujuk kepada zaman sebelum kebangkitan nabi. Keadaan sedemikian tidak berlaku setelah zaman kebangkitan Rasulullah s.a.w kerana ia bercanggah dengan hadits Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Akan sentiasa ada satu kelompok dari umatku yang sentiasa memperjuangkan kebenaran sehingga hari Kiamat.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
“Allah tidak akan menjadikan umatku bersetuju atas kesesatan.” (Riwayat Al-Turmuzi)
Jahiliyah yang digunakan yang didapati dalam Al-Quran dan Sunnah sentiasa dikaitkan dengan sifat-sifat tertentu atau keadaan tertentu seperti hukum jahiliyah,[13] tabarruj jahiliyah[14] atau sifat-sifat jahiliyah.[15]
Demikianlah beberapa nota penting mengenai persoalan takfir yang membezakan antara kesederhanaan dan pelampauan.
Dipetik dan disunting dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Muslim Singapura, Pergas 2004.
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Rujukan:
[1] Ibn Abi Al-`Iz, Syarh Al-`Aqidah Al-Tahawiyah, ms. 340.
[2] Ibid, ms. 378-379.
[3] Ibid, ms. 316.
[4] `Abd Al-Rahman b. Mu`alla Al-Luwaihiq, Al-Ghuluw Fi Al-Din Fi Hayat Al-Muslimin Al-Mu`asirah, ms. 265.
[5] Ibn Taimiyah, Majmu` Al-Fatawa, jld. 7, ms. 288, 482.
[6] Ibn Abi Al`Iz, Syarh Al-`Aqidah Al-Tahawiyah, ms. 340.
[7] Ibid, ms. 323-324.
[8] `Abd Al-Rahman b. Mu`alla Al-Luwaihiq, Al-Ghuluw Fi Al-Din Fi Hayat Al-Muslimin Al-Mu`asirah, ms. 292.
[9] Lihat Al-Quran Al-Karim, Al-Maidah: 44, 45, 47.
[10] `Abd Al-Rahman b. Mu`alla Al-Luwaihiq, Al-Ghuluw Fi Al-Din Fi Hayat Al-Muslimin Al-Mu`asirah, ms. 296. Lihat Ibn Al-`Arabi, Ahkam Al-Quran, jld. 2, ms. 743.
[11] Dinukil dari `Abd Al-Rahman b. Mu`alla Al-Luwaihiq, Al-Ghuluw Fi Al-Din Fi Hayat Al-Muslimin Al-Mu`asirah, ms. 314.
[12] Jahiliyah adalah sifat yang merujuk kepada zaman sebelum perutusan nabi Muhammad s.a.w. Zaman yang dipenuhi dengan kekufuran. Oleh itu, tuduhan jahiliyah mengandungi erti kufur dan syirik.
[13] Lihat Al-Quran Al-Karim, Al-Maidah: 50.
[14] Lihat Al-Quran Al-Karim, Al-Ahzab 33.
[15] Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Engkau seorang lelaki, yang di dalam diri kau ada (sifat) jahiliyah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)