Wasatiyah Dalam Menilai Hadis-Hadis Nabi S.A.W. | Pergas Blog

wasat

wasatiyah-dalam-menilai-hadis-nabi

Wasatiyah Dalam Menilai Hadis-Hadis Nabi S.A.W.

01 February 2016 1:47 pm // Written by Mustazah Bin Bahari

Pendekatan wasatiyah dalam urusan mengeluarkan hukum merupakan satu ciri penting dalam agama.

Di dalam ilmu hadis, prinsip wasatiyah tidak terlepas dari pemerhatian para ulama hadis. Pentingnya mengamalkan pendekatan ini kerana ia berkaitan penggunaan nas-nas yang merupakan wahyu daripada Allah s.w.t. Jika tidak dilaksanakan dengan betul dan amanah, akan rosaklah agama Islam.

Isu perbezaan tanggapan dan hukum terhadap hadis-hadis Nabi s.a.w sering berlaku di kalangan umat Islam. Para ulama fiqh yang mengendalikan nas-nas agama bagi mengeluarkan sesuatu hukum mempunyai kaedah tersendiri dalam menerima hadis. Begitu juga ulama dari aliran pengkhususan yang lain seperti akidah dan sejarah. Mereka juga mempunyai alasan dan kaedah yang tersendiri dalam menerima sesebuah hadis. Ada yang menghukum sesuatu hadis sebagai sahih atau hasan, ada pula yang menghukum sebaliknya. Sedangkan hadis yang disebut tidak berbeza isi kandungannya.

Dalam hal ini pendapat siapakah yang patut diterima?

Apakah cara atau kaedah yang perlu diaplikasikan untuk menghurai isu yang masih lagi hangat dibicarakan?

Proses dalam menilai status sebuah hadis

Mengeluarkan hukum terhadap sesuatu hadis merupakan satu usaha ijtihad yang memerlukan kemahiran yang jitu dari seorang yang mengkaji hadis.

Menurut Dr. Badr Abdul Hamid Hamisah, seorang yang ingin menentukan hukum sahih atau da`if (lemah) bagi sesebuah hadis perlu ada baginya dua ciri utama yang paling penting:

  1. Hendaklah dia seorang yang mahir dengan ilmu yang berkaitan dengan hadis seperti ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil (mengkritik dan mengadili perawi), mengetahui hal ehwal perawi-perawi hadis, istilah-istilah ahli hadis, kaedah ahli hadis di dalam menilai perawi dan hadis, ilmu takhrij hadis, kaedah meneliti masalah `illah dan mempunyai ilmu Usul Fiqh untuk menghuraikan hadis yang kelihatan bercanggah serta kaedah tarjih hadis yang kelihatan bercanggah.
  2. Hendaklah dia menyemak dan menganalisa dengan cermat pandangan ahli hadis yang terdahulu.[1] Hal ini adalah kerana ulama hadis terdahulu lebih dekat zamannya dengan para perawi. Maka mudah bagi mereka mengenal latar belakang para perawi hadis.

Cabaran

Mengendalikan sesebuah hadis untuk memastikan status atau darjatnya merupakan satu usaha yang getir lagi mencabar.

Cabaran pertama ialah untuk menguasai segala ilmu yang berkaitan dengan hadis dan kesulitan mendapat mereka yang benar-benar pakar dalam bidang ini untuk dijadikan rujukan. Dalam hal ini, terdapat satu subjek yang amat mencabar, iaitu ilmu `ilal. Ia merupakan suatu ilmu yang menilai dan memeriksa ‘kesihatan’ sesebuah hadis. Ia memerlukan kepada penilitian yang mendalam daripada pakar-pakar hadis untuk mengesahkan sesebuah hadis boleh diterima atau ditolak. Cabaran yang dihadapi di zaman ini ialah ketandusan pakar-pakar untuk melakukan tugas tersebut.

Syeikh Dr. Hatim Al-`Awni Al-Sharif, seorang professor ilmu hadis di Universiti Um Al-Qura di Mekah ditanya mengenai kemungkinan ada penuntut hadis hari ini menjadi seorang pakar ilmu ’ilal. Beliau menjawab bahawa ilmu tersebut adalah di antara ilmu yang paling sukar lagi mencabar bagi seorang ahli hadis. Tapi, beliau tidak menolak kemungkinannya, jika ada seorang yang mempunyai semangat yang kental dan kesabaran yang teguh dalam menekuni subjek itu.[2]

Seterusnya terdapat subjek-subjek lain yang tidak boleh dianggap remeh juga seperti ilmu rijal, iaitu ilmu mengenai latarbelakang seseorang perawi hadis. Di dalam ilmu Al-Jarh Aa Al-Ta`dil sahaja terdapat perselisihan pandangan mengenai cara menilai peribadi seorang perawi. 

Imam Ibn Salah (wafat 643 Hjrah) berkata, “Di zaman ini, kelemahan mencapai kesahihan hadis secara berdikari menerusi jaluran sanad telah kelihatan. Ini kerana setiap sanad yang mengandungi perawi-perawinya tidak mempunyai ciri-ciri yang disyaratkan untuk diterima sebagai sahih dari sudut kekuatan hafalan, ketepatan dan ketekunan. Maka dengan kekurangan itu, tumpuan beralih kepada pandangan imam-imam hadis daripada penulisan mereka untuk mengetahui hadis yang sahih dan hasan. Ini lebih selamat untuk memelihara dari sebarang penukaran dan penyelewengan.”[3]

Kenyataan Imam Ibn Salah ini memberi isyarat bahawa sukar untuk mendapatkan pakar hadis yang benar-benar mahir dalam menilai hadis. Lalu apa yang boleh dilakukan adalah merujuk kepada penulisan-penulisan para ulama hadis silam yang sedia ada. Bayangkan, di zaman beliau sudah dianggap sukar untuk mendapatkan seorang yang pakar, apatah lagi di zaman ini.

Cabaran kedua pula, yang menambah kerumitan dalam penilaian hadis, ialah peubahan pada status sesebuah hadis yang bukan hanya pada masa yang berbeza tapi juga pada penilaian seorang pengkaji hadis yang sama sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Zahabi, “Janganlah berpuas hati dengan kedudukan hadis hasan akan tetap menjadi hasan semata-mata kerana telah letih melakukan penilaian itu. Berapa banyak hadis yang tidak dapat dipastikan oleh para alim hadis sama ada ia hasan atau d`aif atau sahih. Bahkan terdapat seorang alim hadis menukar ijtihadnya tentang satu hadis. Satu hari dia sifatkan sebagai hadis sahih, esoknya dia hukumkan hasan dan ada kalanya dia dha`ifkannya.”[4]

Proses penilaian

Secara dasarnya, sesebuah hadis yang disampaikan dilihat pada

  • sudut perawi (sanad), samada mereka semuanya perawi yang boleh dipercayai (tsiqah) sehingga isi hadis itu boleh dinilai sebagai sahih (benar) dari Nabi s.a.w, dan
  • sudut kandungan (matn), samada ia bebas dari elemen-elemen yang meragukan tentang kesahihannya dari Nabi s.a.w.

Dalam menilai kededua aspek hadis, perlu juga mengambilkira dua nota berikut dari ulama hadis;

  • kesahihan jalur sanad sahaja tidak semestinya menjadikan sesuatu hadis itu sahih kerana terdapat kemungkinan hadis tersebut mengandungi `illah (kecacatan) atau shaz (kejanggalan) pada matn hadis, dan
  • wujudnya kelemahan pada seseorang perawi hadis dalam sesuatu jalur, tidak semestinya menjadikan hadis tersebut muktamad lemah kerana ada kemungkinan terdapat jalur sanad lain yang mensahihkannya.

Menilai sesuatu hadis juga bukanlah hanya melihat pada hadis berkenaan sanad dan matn hadis berkenaan sahaja. Hadis itu perlu juga dinilai menerusi syawahid (penyaksian dari riwayat lain) dan mutaba’at (sokongan dari riwayat lain). Ertinya setelah menilai hadis itu ia perlu juga dibandingkan dengan hadis-hadis yang lain bagi mendapatkan hukum yang holistik mengenainya.

Hadis juga tidak boleh dinilai dengan mudah hanya melihat pada siapa imam yang meriwayatkannya sahaja seperti Imam Al-Bukhari. Walau pun telah diakui oleh umum bahawa kitab Sahih Al-Bukhari adalah kitab yang paling sahih bagi hadis, tapi tidak boleh menghukumkan hadis sebagai sahih hanya kerana ia dinyatakan sebagai “Riwayat Al-Bukhari” kerana Imam Al-Bukhari mempunyai penulisan dan pengumpulan kitab hadis yang lain selain kitabnya Al-Jami` Al-Sahih. Kitab Al-Adab Al-Mufrad karangan beliau tidak mensyaratkan hadis-hadis sahih di dalamnya. Terdapat hadis-hadis yang lemah di dalam kitab tersebut.

Satu cabaran lagi yang dihadapi zaman ini ialah sistem menyampaikan hadis secara dengan sanad sudah tidak lagi diamalkan pada hari ini melainkan sedikit sahaja yang boleh di dapati seperti di beberapa negara di Timur Tengah, Afrika dan India. Begitu pun, ia tidak meneliti peribadi penerima hadis-hadis tersebut sama ada seorang yang baik atau sebaliknya.[5] Apa yang diharapkan ialah hadis-hadis tersebut dapat disebar luaskan kepada yang lain berpandukan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, “Semoga Allah s.w.t mengelokkan rupa seseorang yang mendengar ucapanku, kemudian memeliharanya, lalu menyampaikannya dariku. Mungkin saja orang yang membawa ilmu bukanlah orang yang pandai, dan mungkin juga seseorang akan menyampaikan ilmu kepada orang yang lebih berilmu daripadanya.” (Riwayat Al-Tirmizi)

Pandangan siapa yang diambil?

Apabila terdapat perbezaan antara ulama mengenai sesebuah hadis, pandangan siapa yang wajar diambil?

Imam Ibn Taimiyah berkata sesuatu khabar boleh diketahui benar atau dusta melalui; a) petanda-petanda yang jelas mengukuhkannya, b) penilaian akal yang sihat atau percanggahan dengan Al-Quran, Sunnah dan ijma`, c) pertimbangan perawi-perawi yang lebih dekat dengan Nabi s.a.w seperti Abu Bakar dan Umar bin al-Khattab berbanding sahabat-sahabat yang muda atau jarang bertemu Nabi s.a.w.[6]

Syeikh Dr. Sa`id bin Muhammad Al-Kamali, seorang alim yang masyhur di Moroko berkata, “Ulama hadis dari zaman dahulu telah berbeza pendapat mengenai keharusan mengkritik hadis untuk mengeluarkan hukum sahih atau lemah bagi sesebuah hadis. Ia masih lagi berlaku sehingga hari ini.”[7]

Syeikh Professor Dr. Mustafa Abu `Ammarah, seorang profesor pengajian hadis di Universiti Al-Azhar juga berpendapat bahawa proses mengeluarkan hukum terhadap sesebuah hadis sama ada ianya sahih atau lemah masih lagi berjalan dan dilakukan oleh ahli-ahli hadis yang mempunyai kemahiran di dalam bidang tersebut.[8]

Syeikh Masyhur bin Hasan Al-Salman, seorang ahli hadis kontemporari dari Palestin berkata, “Perbezaan pandangan di kalangan ahli hadis adalah sama seperti perbezaan di dalam bidang-bidang lain seperti bidang perubatan. Para doktor perubatan mempunyai pandangan masing-masing dalam menguruskan pesakit dan ubat yang sesuai.”

Dr. Abdullah Sya`ban `Ali di dalam kitabnya Ikhtilafat Al-Muhaddithin Wa Al-Fuqaha Fi Al-Hukm `Ala Al-Hadis memberi rumusan setelah menghuraikan pandangan pandangan ulama terdahulu mengenai hukum ke atas sesebuah hadis bahawa ahli-ahli hadis yang mengkaji hadis dengan mendalam seperti imam Al-Zahabi menegaskan bahawa tidak boleh berlaku perselisihan antara dua orang perawi pada satu tabaqah yang sama tentang samada seseorang itu lemah atau tsiqah (dipercayai). Secara dasar pula, sifat adil bagi seorang perawi hadis adalah lebih utama dan tidak boleh dinafikan kecuali jika ada bukti jelas menunjukkan sebaliknya.[9]

Dari kesimpulan yang diberikan ini, dapatlah difahami bahawa penilaian sesebuah hadis dari sudut sanad perlulah dirujuk kepada individu-individu yang hidup sezaman dengan perawi hadis yang menyampaikan sesebuah hadis kerana mereka lebih mengenal antara satu sama lain, sama ada untuk menerima atau menolak periwayatan yang disampaikan.

Seperti yang dijelaskan, zaman ini, khususnya di Nusantara boleh dikatakan hampir tiada pelaksanaan untuk menilai peribadi seseorang yang menyampaikan hadis-hadis Nabi s.a.w. Ini kerana kebanyakan hadis telah terkumpul di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar dan mudah dirujuk.

Walaupun demikian, hadis-hadis yang terkandung di dalam kitab-kitab yang muktabar tidak terlepas dari hadis-hadis yang lemah dan palsu. Ini dijelaskan sendiri oleh penulis kitab tersebut seperti imam Al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Al-Jauzi dan lain-lain.

Terdapat banyak hadis yang masyhur di kalangan umat Islam yang pada hakikatnya dipertikai oleh ulama hadis. Namun, ia tidak bererti hadis tersebut tidak boleh digunakan kerana ada kemungkinan ia diterima baik oleh akal dan disokong oleh adat kebiasaan masyarakat tertentu. Cuma, perlulah dielakkan dari menisbahkannya kepada Nabi s.a.w serta memberi penjelasan lanjut mengenai kedudukan riwayat tersebut.

Menurut Dr. Muhammad bin `Umar Bazmul, seorang Professor Madya dalam pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah di Universiti Um Al-Qura, peredaran hadis-hadis secara terbuka di antara ulama, kemasyhurannya dan berlakunya ijma’ terhadap lafaz yang disampaikan, dapat menguatkan lagi status hadis tersebut di sisi ulama hadis dan fiqh.[10]

Dari pandangan ini boleh juga difahami bahawa penerimaan sesebuah hadis tidak terhad hanya sahih atau tidak sanad sahaja, tetapi ia lebih luas dari itu seperti sudut kesesuaian hadis tersebut untuk diamalkan.

Apa yang harus dilakukan pada hari ini jika terdapat percanggahan dan perselisihan mengenai kedudukan sesebuah hadis ialah:

  1. merujuk kepada ahli-ahli hadis bagi golongan awam yang tidak mengetahui cara menilai hadis.
  2. merujuk kepada kitab-kitab hadis secara menyeluruh dari sudut ilmu rijal dan `ilal bagi golongan ilmuwan yang ahli di dalam ilmu hadis.
  3. tidak menyalahkan atau menyesatkan pandangan lain selagi mana ia masih dalam lingkaran perbahasan ulama hadis.

Penutup

Hadis adalah sumber wahyu selepas Al-Quran dan sumber pensyariatan Islam. Sudah pasti, ia perlu dipelihara dengan baik serta amanah. Fenomena menyebarkan hadis tanpa merujuk kepada ahlinya atau menurut kaedah yang dibangukan oleh ulama hadis bakal mengundang musibah ke atas umat Islam. Ditambah lagi dengan perbuatan salah menyalahkan pihak lain sehingga berlakunya perpecahan antara umat Islam.

Hal ini oleh mengakibatkan kesudahan yang buruk di akhirat kelak sepertimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Barangsiapa yang berdusta ke atas namaku dengan sengaja, maka siapkan tempat duduknya di neraka.” (Narrated by Muslim and Al-Hakim)

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan:

[1] Badr `Abd Al-Hamid Hamisah, Manhaj Al-Muhaddithin Fi Al-Tashih Wa Al-Tadh`if, di  http://www.saaid.net/Doat/hamesabadr/235.htm (21 Januari 2016).

[2] “Liqa’ Multaqa Ahl Al-Hadis Ma`a Al-Syarif Hatim Al-`Awni”, di http://www.saaid.net/leqa/5.htm (21 Januari 2016).

[3] Lihat `Uthman bin Abd Al-Rahman Al-Syahrazuri, Muqaddimah Ibn Al-Salah Fi `Ulum Al-Hadis, Dar Al-Fikr, Beirut,1986, ms. 12.

[4] Muhammad bin Ahmad Al-Zahabi, Al-Muqizah Fi Mustalah Al-Hadis, Dar Uhud, 1994, ms. 20.

[5] Berdasarkan pengalaman penulis sendiri sewaktu di Syria. Terdapat juga penyampaian hadis secara sanad atau ijazah secara lintas langsung menerusi program tv. Sebagai contoh, lihat video bertajuk Hadis muttasil al-sanad ila al-nabiy, di https://www.youtube.com/watch?v=Ske28C3OrXc (19 Januari 2016).

[6] Ibn Taimiyah, Majmu` Al-Fatawa, Matba`at Al-Risalah, Syria, 1398H, jld. 3, ms. 41.

[7] Lihat Ahmed Yacine, Hal yajuz tashih aw tad`if hadis fi al-`asr al-hadir, di https://www.youtube.com/watch?v=5ju2xT_xlU0 (19 Januari 2016)

[8] Lihat Abu `Ammarah, Qadiyat al-tahsin wa al-tad`if wa ara’ al-`ulama’ fiha, kitab Tadrib Al-Rawiy – 11, di https://www.youtube.com/watch?v=oSDuMCgGLSU (19 Januari 2016).

[9] Abdullah Sya`ban Ali, Ikhtilafat Al-Muhaddithin Wa Al-Fuqaha’ Fi Al-Hukm `Ala Al-Hadis, Dar Al-Hadis, Cairo 1997, ms. 105.

[10] Lihat Muhammad bin `Umar Bazmul, Taqwiyat Al-Hadis Al-Da`if Bayn Al-Fuqaha’ Wa Al-Muhaddithin, di https://uqu.edu.sa/files2/tiny_mce/plugins/filemanager/files/4052784/filesave1/tgwyataldaeef.pdf (19 januari 2016).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles