Ijmak memiliki kedudukan yang istimewa di sisi ramai ulama silam dan kontemporari. Kedudukan yang istimewa ini dapat dilihat menerusi perbincangan para ulama mengenai syarat-syarat yang perlu ada pada seseorang sebelum dibenarkan baginya untuk berijtihad.[1] Salah satu syaratnya adalah mengetahui mawadhi` ijma` iaitu mengetahui perkara-perkara yang telah disepakati oleh para ulama mujtahid.[2]
Pengertian ijmak
Dari sudut bahasa, ijmak membawa dua pengertian. Yang pertama adalah keazaman dan niat untuk melakukan sesuatu. Manakala yang kedua adalah kesepakatan.[3]
Adapun dari sudut istilah, takrif yang dipilih di dalam artikel ini adalah, “kesepakatan dalam hukum syarak oleh para mujtahid dari umat Nabi Muhammad s.a.w pada satu zaman selepas kewafatan beliau s.a.w.”[4]
Kedudukan Ijmak & pendekatan dalam penggunaan ijmak
Kedudukan ijmak yang istimewa jelas kelihatan apabila kita menelaah kitab-kitab Usul Al-Fiqh, yang mana ianya disenaraikan di bawah kategori dalil-dalil yang disepakati ke atasnya. Kedudukannya yang istimewa juga jelas terzahir apabila kita membaca kitab-kitab fiqh, yang mana para ulama sering menyebutkan, “Dalil pensyariatan hukum ini adalah Al-Quran, Al-Sunnah dan ijmak.”
Menurut Prof. Yusuf Al-Qaradhawi, ijmak membawa faedah yang besar. Antara faedahnya ialah:[5]
- Ijmak menyatukan pemahaman terhadap nas-nas syarak.
- Ijmak memelihara nas-nas syarak daripada dipermain-mainkan.
Secara umumnya, di sana terdapat tiga pendekatan utama dalam pemahaman dan penggunaan ijmak di kalangan ulama:
- Pendekatan yang menolak ijmak.
- Pendekatan yang terlalu mudah menghukum sesuatu perkara sebagai ijmak.
- Pendekatan wasatiy dalam pemahaman dan penggunaan ijmak.
Pertama: Pendekatan yang menolak ijmak
Terdapat segolongan ulama yang meragui serta merendahkan kedudukan ijmak. Pandangan yang mereka utarakan jelas bercanggah dengan ijmak. Sebahagian mereka pula menyeru agar dikeluarkan topik ijmak dari ilmu Usul Al-Fiqh.
Salah satu contoh pendekatan ini adalah pandangan yang membenarkan bagi seorang wanita Muslimah untuk bernikah dengan lelaki ahli kitab iaitu yang beragama Yahudi atau Nasrani.[6] Ini merupakan satu pandangan yang bercanggah dengan ijmak para ulama.
Dalil pengharaman ini adalah firman Allah taala:
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” (Al-Baqarah, 221)
Berkaitan dengan ayat ini, Prof. `Abd Al-Karim Zaydan berkata:
“Tiada perselisihan di kalangan para mufassir bahawa ayat yang mulia ini menunjukkan pada pengharaman pernikahan antara seorang wanita Muslimah dan seorang bukan Muslim, dan para fuqaha’ juga ijmak ke atasnya. Tiada perbezaan pendapat di antara mereka mengenai pengharaman pernikahan antara seorang Muslimah dan seorang bukan Muslim.”[7]
Beliau kemudian menambah, “Pengharaman pernikahan antara seorang wanita Muslimah dan seorang bukan Muslim adalah pengharaman yang bersifat thabit dan qat’iy, tidak kira agama bukan Muslim tersebut, sama ada terdiri dari kalangan ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani, penyembah berhala, Majusi atau yang tidak mempunyai agama tertentu.”[8]
Kedua: Pendekatan yang terlalu mudah menghukum sesuatu perkara sebagai ijmak
Berbeza dengan pendekatan yang pertama, pendekatan kedua ini pula terlalu mudah menghukum sesuatu perkara sebagai ijmak.
Dalam hal ini, ulama Syria yang terkenal, Prof. Wahbah Al-Zuhayli berkata:
“Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fiqh, seorang ahli fiqh berdalil dengan ijmak. Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak untuk menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak.
Sheikh Abu Ishaq Al-Isfaraini berkata, “Kita mengetahui bahawa isu-isu ijmak melebihi dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar? Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam? Inikah ijmak yang istimewa yang terpelihara dari kesalahan berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain? Bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fiqh ini dengan apa yang disebutkan oleh majoriti ulama Usul Al-Fiqh bahawa ijmak adalah hujah yang qat`iy, menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?
Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fiqh ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi yang dimaksudkan hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza pendapat dengan mereka. Kebiasaannya apa yang mereka maksudkan dengan ijmak adalah kesepakatan mazhab tertentu.”[9]
Di sana terdapat banyak isu-isu yang dihukumkan sebagai ijmak tetapi setelah diselidiki isu tersebut dengan lebih mendalam, ternyata dakwaan ijmak tersebut adalah kurang tepat.
Sebagai contoh ialah isu-isu berikut:
- talak tiga jatuh apabila melafazkan talak tiga sekaligus
- pengharaman penggunaan alat muzik.
Isu menjatuhkan talak tiga sekaligus
Terdapat satu pandangan yang tersebar luas yang mengatakan bahawa para ulama telah sepakat bahawa menjatuhkan talak tiga sekaligus dianggap sebagai talak tiga dan sesiapa yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu ini dianggap telah menyalahi ijmak.
Salah seorang ulamak yang berbeza pandangan dalam isu ini adalah Ibn Taimiyah. Menurut beliau, menjatuhkan talak tiga sekaligus dianggap sebagai satu. Pendiriannya ini ditentang oleh para ulama pada zamannya. Beliau dituduh telah menyalahi ijmak. Pendiriannya itu telah menyebabkannya dimasukkan ke dalam penjara beberapa kali sehingga beliau meninggal dunia di dalam penjara.[10]
Persoalannya, adakah benar dakwaan ijmak ini?
Apabila diselidiki isu ini dengan lebih mendalam, para ulamak kita mendapati bahawa dakwaan ijmak dalam isu ini adalah satu dakwaan yang kurang tepat. Dalam isu ini, para ulamak terbagi kepada dua pandangan.
Kumpulan yang pertama berpendapat bahawa talak tiga yang dijatuhkan sekaligus dianggap sebagai tiga. Ini merupakan pandangan majoriti para sahabat dan juga imam empat mazhab.[11]
Golongan yang kedua berpendapat bahawa talak tiga yang dijatuhkan sekaligus dianggap sebagai satu. Ini merupakan pandangan sebahagian para sahabat dan para tabi`in. Di kalangan para sahabat yang berpegang dengan pandangan ini adalah Abu Musa Al-Ash`ari, Ibn `Abbas, Ibn Mas`ud, `Abd Al-Rahman bin `Awf dan Al-Zubayr bin Al-`Awwam. Antara para tabi`in pula adalah Tawus dan `Atha’. Ini juga merupakan pandangan sebahagian dari kalangan ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.[12]
Isu penggunaan alat muzik
Telah tersebar luas pandangan yang mengatakan bahawa terdapat ijmak dalam pengharaman alat muzik selain duff (alat perkusi berbentuk seperti kompang dan rebana). Justeru pandangan sesiapa sahaja di kalangan ulama silam dan kontemporari yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu ini dianggap bercanggah dengan ijmak dan tertolak.
Persoalannya, adakah benar dakwaan bahawa para ulama telah ijmak dalam isu ini?
Sebelum membincangkan isu ini dengan lebih lanjut, adalah penting untuk menjelaskan titik kesepakatan dan titik perbezaan di dalam isu ini.
Pertama, mana-mana muzik yang mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam adalah terlarang. Contoh-contoh yang termasuk dalam kategori pertama ini adalah lirik-lirik yang mengajak kepada kemaksiatan dan gaya persembahan yang membangkitkan syahwat.
Justeru, tidak sepatutnya bagi seorang Muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul memutarkan muzik-muzik jenis sedemikian pada majlis walimah atau menghadirkan diri ke konsert-konsert yang terdapat di dalamnya persembahan-persembahan yang membangkitkan syahwat. Yang lebih membimbangkan lagi adalah apabila seseorang melakukan perkara di atas lalu mengatakan bahawa ini adalah isu yang diperselisihkan para ulama. Perlu ditegaskan di sini bahawa para ulama tidak berbeza pandangan mengenai pengharaman mana-mana muzik yang termasuk dalam kategori yang pertama ini.
Kedua, yang diperselisihkan para ulama silam dan kontemporari adalah mengenai muzik-muzik yang tidak mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Mengenai kategori muzik jenis kedua ini, para ulama mempunyai pendirian yang berbeza.
Segolongan ulama tidak membenarkan penggunaan mana-mana alat muzik kecuali duff. Ini merupakan pandangan para ulama yang terkenal seperti Imam Ibn Hajar Al-Haitami, Sheikh Abu Bakr Al-Jaza’iri, Sheikh `A’idh Al-Qarni, Sheikh Muhammad Al-Zuhayli, Sheikh Muhammad Salih bin Al-Uthaimin dan lain-lain.[13]
Sekumpulan ulama lain membenarkan penggunaan apa jua alat muzik selagi mana ia tidak diiringi dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Ini juga merupakan pandangan para ulama yang tersohor seperti Imam Abu Hamid Al-Ghazali, Sheikh Sayyid Sabiq, Sheikh Muhammad Shaltut, Sheikh Ramadan Al-Buti, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dan lain-lain.[14]
Bukan tujuan artikel ini membentangkan dalil-dalil dan hujah-hujah kedua-kedua belah pihak kerana ia memerlukan satu perbincangan yang amat panjang.
Yang ingin ditekankan di sini adalah kaitan isu muzik ini dengan ijmak, iaitu adakah benar dakwaan bahawa pengharaman hukum muzik yang tidak diiringi dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam termasuk dalam ijmak juga, yang mana tidak dibenarkan bagi sesiapa sahaja di kalangan ulama untuk berbeza pandangan dalam isu ini?
Di antara para ulama yang membuat kajian mengenai isu ini adalah Imam Al-Shawkani, ibtal-dawa-al-ijmapengarang kitab Nayl Al-Awtar. Salah satu karya ilmiah Imam Al-Shawkani adalah sebuah risalah yang berjudul Ibtal Da`wa Al-Ijma` `Ala Tahrim Mutlaq Al-Sama`. Sungguhpun Imam Al-Shawkani lebih cenderung kepada pengharaman muzik, pendekatan yang diambil beliau adalah sedikit berbeza dengan golongan para ulama yang mengharamkannya. Beliau tidak mengharamkannya kerana wujudnya dalil yang jelas yang mengharamkannya tetapi beliau berpendapat bahawa isu muzik ini termasuk dalam perkara mushtabihat iaitu perkara yang tidak jelas halal atau haramnya. Pada pandangan beliau, seorang Muslim sewajarnya meninggalkan perkara-perkara mushtabihat berdasarkan sabda Nabi s.a.w, “Barangsiapa yang meninggalkan perkara-perkara mushtabihat, maka dia telah menyelamatkan maruah dan agamanya.”[15]
Di dalam risalahnya itu, Imam Al-Shawkani turut menyanggah dakwaan ijmak dalam isu ini dan menyenaraikan nama-nama para ulama dari kalangan salaf dan khalaf yang membenarkan mendengar kepada nyanyian sama ada diiringi dengan alat muzik mahupun tidak.
Imam Al-Shawkani berkata, “Jelas bagi golongan yang adil, yang mengetahui cara istidlal, yang mengetahui sifat perdebatan bahawa mendengar kepada nyanyian sama ada dengan diiringi alat muzik ataupun tanpanya, termasuk dalam perkara yang diperselisihkan antara para ahli ilmu.”[16]
Di dalam risalahnya itu, Imam Al-Shawkani menegaskan dua perkara yang penting berkaitan hukum mendengar kepada nyanyian sama ada diiringi dengan alat muzik ataupun tidak:
- Hukum ini bukanlah sesuatu yang termasuk dalam kategori ijmak.
- Tidak sepatutnya bersikap keras dalam mengingkari orang yang melakukannya.[17]
Ketiga: Pendekatan wasatiy dalam pemahaman dan penggunaan ijmak.
Wasatiyah berasal dari perkataan wasat. Di antara pengertian wasat adalah yang terbaik dan yang paling adil. Pada pandangan penulis, di sana ada beberapa cara untuk menegakkan pendekatan yang terbaik dan yang paling adil dalam pemahaman dan penggunaan ijmak.
1. Membezakan antara kesepakatan empat mazhab dan ijmak
Langkah yang pertama dalam menegakkan pendekatan wasatiy dalam isu ijmak adalah dengan mengetahui bahawa kesepakatan imam empat mazhab atau majoriti mujtahid tidak sama kedudukannya dengan ijmak menurut ramai di kalangan ulama. Justeru, melontarkan tuduhan sesat kepada mana-mana ulama yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan imam empat mazhab atau majoriti mujtahid adalah satu tindakan yang harus dielakkan.
Imam Al-Ghazali adalah di kalangan para ulama yang berpendapat bahawa kesepakatan majoriti tidak dianggap sebagai hujah. Beliau berkata, “Yang muktamad di sisi kami adalah kemaksuman (terpelihara dari kesalahan) ditetapkan bagi umat secara keseluruhannya. Ini (iaitu kesepakatan majoriti) bukan kesepakatan semua…”[18]
2. Tidak tergesa-gesa untuk melontar tuduhan kafir atau fasik kepada sesama Muslim
Langkah yang kedua dalam menegakkan pendekatan wasatiy dalam isu ijmak adalah tidak tergesa-gesa melontarkan tuduhan kafir atau fasik kepada sesama Muslim.
Berkaitan dengan hal ini, Prof. `Umar Sulayman Al-Ashqar berkata:
“Sebahagian penuntut ilmu mendakwa bahawa seseorang itu telah kufur kerana dia menyalahi hukum sesuatu isu yang termasuk dalam kategori al-ma`lum min al-din bi al-darurah (perkara-perkara berkaitan agama yang diketahui oleh golongan awam dari kalangan Muslim tanpa memerlukan kepada analisa) sedangkan realitinya isu ini tidak disepakati ke atasnya dan perbezaan pandangan dalam isu tersebut diketahui.”[19]
Prof. `Iyad bin Nami, seorang profesor Usul Al-Fiqh dari Riyadh pula berkata:
“Terdapat banyak perkataan para ulama yang melontarkan tuduhan kafir dan fasik terhadap golongan yang menyalahi ijmak tetapi itu adalah bagi ijmak yang jelas yang dinukil melalui jalan yang banyak dan pasti. Kami telah katakan sebelum ini bahawa jenis ijmak yang sedemikian tidak wujud melainkan dalam isu-isu yang terdapat dalam nas-nas yang qat`iy, dan pada saat itu, berlakunya tuduhan kafir atau fasik terhadap golongan yang menyalahi adalah disebabkan menyalahi nas-nas dan bukan sekadar menyalahi ijmak sahaja. Adapun selain dari ijmak tersebut, ia tidak melebihi dalil yang bersifat zhanniy, yang mana tidak boleh menuduh golongan yang menyalahinya sebagai kafir atau fasik, khususnya sekiranya dia memiliki dalil umum dari Al-Quran dan Al-Sunnah.”[20]
3. Perlu ada usaha untuk mengetahui pandangan para ulama sebelum memutuskan sesuatu hukum sebagai ijmak
Langkah yang terakhir dalam menegakkan pendekatan wasatiy dalam isu ijmak adalah tidak tergesa-gesa memutuskan sesuatu hukum sebagai ijmak sebelum berusaha untuk mengetahui pandangan para ulama mengenai perkara tersebut.
Dalam hal ini, salah seorang ulama syariah yang terkenal, Prof. `Abd Al-Karim Zaydan berkata,
“…upaya memanfaatkan ijmak tidak mungkin boleh terwujud begitu sahaja kecuali jika dikumpulkan para fuqaha’, lalu dibentangkan beragam permasalahan kepada mereka hingga boleh mengenali pendapat-pendapat mereka.
Dan menurut kami, semua itu tidak mungkin boleh terlaksana dengan baik di masa sekarang kecuali dengan dibentuknya lembaga fiqh yang menyatukan seluruh ulama fiqh di dunia Islam.
Dan lembaga tersebut, tentunya memiliki tempat tertentu sebagai pusatnya, serta disediakan dengan apa yang diperlukannya seperti kewangan, buku-buku dan yang lainnya.
Lalu para ulama berkumpul pada waktu-waktu tertentu, mengikut peraturan tertentu, dan dibentangkan isu-isu dan peristiwa yang baru untuk dikaji dan dianalisa bagi mengeluarkan hukum sesuai dengan nas-nas syariah, kaedah-kaedah, serta prinsip-prinsipnya.
Kemudian hukum-hukum ini disebarkan melalui jurnal-jurnal atau kitab-kitab khusus agar dapat ditelaah oleh manusia.
Dan hendaklah para pemikir dan ahli ilmu memberikan pandangan mereka mengenai hukum-hukum tersebut kerana ada kemungkinan sebahagian ahli fiqh tidak dapat dimasukkan ke kesatuan fiqh itu kerana sebab tertentu.
Diminta dari para pemikir dan ahli ilmu ini untuk memberikan pandangan mereka kepada kesatuan fiqh secara langsung atau kepada badan yang diiktiraf di setiap negara.
Boleh juga memanfaatkan peranan radio untuk meuar-uarkan pandangan-pandangan kesatuan fiqh kemudian perlu diperhatikan maklum balas yang diterima berkaitan pandangan-pandangan tersebut
Jika seluruh pandangan ulama telah sepakat terhadap satu hukum, barulah ia menjadi hukum yang disepakati. Inilah bentuk ijmak yang lebih dekat dengan ijmak yang ditetapkan oleh para ulama Usul Al-Fiqh, di mana wajib untuk mengamalkan hukumnya.”[21]
Kesimpulan
Ijmak memainkan peranan yang penting dalam memelihara nas-nas syarak daripada dipermain-mainkan. Umat Islam pada hari ini memerlukan kepada pendekatan wasatiy dalam pemahaman dan penggunaan ijmak, bukan pendekatan yang menolak ijmak secara total dan bukan juga pendekatan yang terlalu mudah menghukumkan sesuatu perkara sebagai ijmak.
Rujukan:
[1] Ijtihad adalah perbuatan mengeluarkan hukum-hakam syarak dari dalil-dalilnya yang terperinci.
[2] Mujtahid adalah orang yang melakukan ijtihad.
[3] Wahbah Al-Zuhayli (2005), Usul Al-Fiqh Al-Islami, Dimashq: Dar Al-Fikr, jld. 1, ms. 468.
[4] Ibid., jld. 1, ms. 469.
[5] Yusuf Al-Qaradhawi (2000), Taysir Al-Fiqh Li Al-Muslim Al-Mu`asir Fi Dhaw’ Al-Quran Wa Al-Sunnah, Bayrut: Muassasat Al-Risalah, ms. 83.
[6] Para ulama berbeza pandangan mengenai istilah ahli kitab. Penulis lebih cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa ahli kitab terdiri dari kalangan mereka yang beragama Yahudi atau Nasrani.
[7] `Abd Al-Karim Zaydan (2000), Al-Mufassal Fi Ahkam Al-Mar’ah Wa Bayt Al-Muslim Fi Al-Shari`ah Al-Islamiyyah, Bayrut: Muassasat Al-Risalah, jld. 7, ms. 7.
[8] Ibid.
[9] Al-Zuhayli (2005), jld. 1, ms. 467-8.
[10] Yusuf Al-Qaradhawi (2010), Al-Fatawa Al-Shazzah, Al-Qahirah: Dar Al-Shuruq, ms. 99.
[11] `Abd Allah ibn `Abd Al-Rahman Al-Bassam (2003), Tawdhih Al-Ahkam Min Bulugh Al-Maram, Makkah: Maktabat Al-Asadi, jld. 5, ms. 494.
[12] Ibid.
[13] Muhammad `Abd Al-Rahman (2006), Al-Ghina’ Wa Al-Ma`azif fi Al-I`lam Al-Mu`asir Wa Hukmuhuma Fi Al-Islam, Bayrut: Dar Al-Ma`rifah, ms. 81.
[14] Ibid.
[15] Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Iman, Bab Fadl Man Istabra’a Li Dinih, hadith no. 52.
[16] Muhammad bin `Ali Al-Shawkani (t. t.), Al-Fath Al-Rabbani Min Fatawa Al-Imam Al-Shawkani, San`a’: Maktabat Al-Jil Al-Jadid, jld. 10, ms. 5249.
[17] Ibid.
[18] Abu Hamid Al-Ghazali (2009), Al-Mustasfa Min `Ilm Al-Usul, Bayrut: Al-Maktabah Al-`Asriyah, jld. 1, ms. 261.
[19] `Umar Sulayman Al-Ashqar (2015), Nazarat Fi Usul Al-Fiqh, Urdun: Dar Al-Nafa’is, ms. 51.
[20] `Iyad bin Nami (2008), Usul Al-Fiqh Allazi La Yasa` Al-Faqih Jahluh, Al-Riyadh: Dar Al-Tadmuriyah, ms. 140-1.
[21] `Abd Al-Karim Zaydan (2011), Nazarat Fi Al-Shari`ah Al-Islamiyah Wa Al-Qawanin Al-Wadh`iyah, Bayrut: Muassasat Al-Risalah, ms. 254.