Media sosial merupakan satu wadah komunikasi yang tidak asing dalam kehidupan seharian masyarakat dunia pada masa kini. Menurut kajian yang dilakukan oleh We Are Social dan Hootsuite’s Digital pada tahun 2019, sebanyak 79 peratus penduduk Singapura merupakan pengguna aktif media sosial.
Islam secara dasarnya tidak melarang penganutnya untuk mengikuti arus perkembangan semasa. Dalam Islam, terdapat sebuah kaedah fiqh, “Asal bagi setiap sesuatu adalah harus.” Justeru, sesuatu itu tidak haram melainkan jika terdapat nas yang sahih dan jelas daripada syariat yang mengharamkannya. Berdasarkan pengetahuan penulis, belum ada lagi fatwa yang dikeluarkan berkenaan pengharaman menggunakan media sosial bagi umat Islam.
Namun, ketiadaan larangan untuk menggunakan media sosial bukan bermakna umat Islam bebas melakukan apa sahaja yang mereka inginkan di media sosial. Dalam keghairahan untuk mengikuti arah aliran semasa dan menjadi pengguna media sosial yang aktif, terdapat sebilangan orang yang kadangkala terlupa akan hukum-hukum dan akhlak yang harus dipegang oleh seorang Muslim tidak kira di mana mereka berada. Seorang Muslim haruslah sentiasa peka bahawa segala perbuatan di media sosial, baik dan buruk, akan tetap terhitung dalam amalannya sama seperti perbuatan yang lain di dunia nyata.
Oleh itu, artikel ini akan membincangkan beberapa perkara yang berkait rapat dengan media sosial dan pendirian Islam berkaitan dengan perkara itu.
Penerimaan Dan Penyampaian Berita Di Media Sosial
Memang tidak dapat dinafikan bahawa media sosial merupakan wadah utama untuk mendapatkan dan menyebarkan berita, khususnya bagi masyarakat Singapura pada masa kini. Menurut kajian yang dijalankan oleh Digital News Report pada tahun 2019, sebanyak 62 peratus responden di Singapura menjadikan media sosial sebagai wadah untuk mereka mendapatkan berita.
Hal ini dapat difahami memandangkan kandungan media sosial yang mudah diakses oleh sebahagian besar lapisan masyarakat. Selain itu, sesuatu berita itu dapat diterima dan disebarkan dengan mudah dan cepat melalui media sosial. Segalanya dapat dilakukan dengan hanya beberapa ketikan dalam hanya beberapa saat sahaja. Namun, perkara ini telah menimbulkan beberapa masalah. Antara masalah yang timbul ialah penyebaran berita palsu yang berleluasa ekoran dari kesan kemudahan untuk menyebarkan berita di media sosial.
Hal ini telah menyebabkan pemerintah Singapura meluluskan Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) pada Oktober 2019 bagi mengekang penularan penyebaran berita palsu di media sosial. Sebenarnya, walaupun tanpa akta tersebut, seorang Muslim haruslah mengelakkan dari menyebarkan setiap berita dan maklumat yang diterima tanpa terlebih dahulu meneliti kebenarannya. Ini kerana Islam mendidik umatnya agar tidak menerima dan menyampaikan setiap berita tanpa usul periksa.
Allah taala berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujurat: 6)
Islam juga mengajar umatnya untuk tidak tergesa-gesa dalam menyebarkan setiap berita yang didengar. Rasulullah s.a.w bersabda, “Cukuplah seseorang dianggap pendusta, ketika dia menceritakan semua berita yang pernah dia dengar.” (Riwayat Muslim)
Ayat Al-Quran dan hadith Nabi s.a.w di atas menjelaskan tuntutan untuk memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum ia diterima dan disampaikan kepada orang lain. Hal ini tidak kira sama ada maklumat tersebut mempunyai kaitan dengan agama mahupun tidak.
Oleh itu, sebelum seorang Muslim menekan butang forward atau butang share, dia hendaklah menyelidik dahulu kesahihan maklumat yang ingin dikongsi agar dia tidak terkeluar dari landasan yang telah ditetapkan oleh syariat berkenaan dengan perkongsian maklumat. Walau sesensasi mana pun sesuatu maklumat itu, jika tidak dapat dipastikan kesahihan maklumat tersebut, adalah lebih baik dia menahan diri dari menyebarkannya.
Penjagaan lidah di media sosial
Selain menjadi wadah untuk perkongsian berita, media sosial juga menyediakan ruang untuk penggunanya mengutarakan pendapat dan memberi komentar dengan bebas tanpa perlu mendedahkan identiti mereka. Ini menyebabkan sesetengah pengguna aktif memberi komentar negatif di media sosial tanpa berfikir panjang.
Seorang Muslim wajib sedar bahawa menjaga kata-kata merupakan perkara yang dituntut dalam agama tidak kira di dunia nyata ataupun di alam maya.
Allah taala berfirman, “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Qaf: 18)
Sebelum menulis komen-komen di media sosial, fikirkan dahulu sama ada tulisan kita akan membawa sebarang manfaat. Usahlah hanya mengikut rasa hati kita sahaja. Jika tulisan kita tidak membawa apa-apa manfaat atau lebih buruk lagi hanya akan membawa kemudaratan kepada diri kita atau orang lain, maka elakkan dari menulisnya.
Imam Al-Nawawi ada mengatakan dalam kitab Al-Adzkar,
“Ketahuilah bahwa hendaknya setiap mukallaf menjaga lisannya dari seluruh perkataan, kecuali perkataan yang memang nampak ada maslahat di dalamnya. Ketika sama sahaja nilai maslahat antara berbicara atau diam, maka yang dianjurkan adalah menahan diri darinya (diam).”
Oleh itu, terapkanlah kebiasaan untuk sentiasa menulis perkara yang positif, bermanfaat, membina dan menggembirakan orang yang membaca di media sosial. Hindarilah dari menulis perkara yang negatif dan perkara yang tidak bermanfaat kerana ia bukan sahaja tidak diterima oleh norma masyarakat, bahkan dilarang oleh agama.
Selain itu, antara perkara lain berkaitan lidah yang sering berlaku di media sosial pada masa kini ialah mengumpat ataupun istilah modennya “membawang”, di mana cerita-cerita sensasi yang selalunya merupakan aib, berkenaan dengan seseorang ditularkan dan dibincangkan di media sosial tanpa pengetahuan dan kerelaan orang tersebut. Perkara ini dilarang dalam agama. Bahkan, perbuatan ini telah disamakan dengan memakan daging saudara sendiri.
Allah taala berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-Hujurat: 12)
Imam Al-Maraghi di dalam tafsirnya berkenaan ayat di atas menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging.
Mungkin ada yang akan mendakwa bahawa perbuatan “membawang” ini tidak sama dengan mengumpat yang dimaksudkan dalam surah Al-Hujurat. Namun, Rasulullah s.a.w ada memberikan definisi mengumpat dalam sabdanya, “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: “Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya.” Nabi s.a.w bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” (Riwayat Muslim)
Menjaga lidah ini memang bukan satu perkara yang mudah, terutama di zaman penggunaan media sosial yang meluas ini. Oleh kerana itu, orang yang dapat menjaga lidah digolongkan sebagai orang yang berjaya.
`Uqbah bin ‘Amir r.a pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Bagaimanakah kejayaan?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Jagalah lidahmu, hendaklah rumahmu membuatmu merasa lapang, dan menangislah kerana dosa-dosamu.” (Riwayat Al-Tirmidzi)
Walaupun Islam tidak menyekat kebebasan mengutarakan pendapat dan memberi komen, terdapat batas-batas syariat yang harus dijaga oleh seorang Muslim agar sentiasa berada dalam landasan yang betul. Usah biarkan gejala “Takut ketinggalan kepada perkembangan semasa” atau FOMO menyebabkan kita ingin memberikan komen pada setiap perkara yang tular di media sosial sehingga menyebabkan kita melanggar ketetapan syariat yang sedia ada.
Bersederhana dalam perkongsian
Satu lagi perkara yang sering dilakukan oleh kebanyakan pengguna media sosial ialah keterlaluan dalam berkongsi perkara-perkara yang bersifat peribadi. Segala perkara yang berlaku dalam kehidupan ingin dikongsi dan dipertontonkan kepada umum.
Seorang Muslim harus ingat akan batas-batas yang perlu dijaga dalam berkongsi perkara di media sosial. Contohnya, sebelum berkongsi sesuatu gambar ataupun video, hendaklah kita sentiasa pastikan bahawa batasan aurat terjaga. Sebelum membuat sebarang curahan hati tentang masalah-masalah peribadi seperti masalah rumah tangga dan keluarga, pastikan tiada aib yang akan terbuka.
Selain itu, Muslim kadangkala boleh membuat orang lain berasa sedih tanpa sengaja disebabkan perkongsianya yang keterlaluan,. Contohnya apabila dia berkongsi gambar berkenaan dengan imbasan yang menunjukkan dia sedang hamil. Ini berkemungkinan menyebabkan wanita yang tidak mampu untuk hamil berasa sedih. Sedangkan, dia tidak mempunyai apa-apa keperluan untuk berkongsi berita kehamilan di media sosial dan memadai pula kegembiraan itu dikongsi dengan keluarga terdekat.
Islam tidak melarang Muslim untuk berkongsi di media sosial secara umum. Namun, perlu dipastikan bahawa setiap perkongsian itu tidak keterlaluan dan bukan untuk mengejar perhatian di media sosial.
Kesimpulannya, Islam mengajar kita untuk bersederhana dalam setiap urusan dan ini harus meliputi penggunaan media sosial. Dalam mengikuti arus perkembangan semasa, Muslim hendaklah tidak lupa akan ajaran-ajaran Islam yang perlu dipegang tidak kira tempat dan juga masa.