Sejarah tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia. Ia menyediakan maklumat mengenai kehidupan manusia di masa lampau. Menerusi sejarah, manusia dapat berinovasi dan mengambil tauladan yang baik serta dapat berwaspada dari kelakuan yang merugikan mereka.
Berpandukan prinsip wasatiyah yang bermaksud adil dan terbaik, fakta sejarah juga harus disampaikan dengan prinsip ini.
Hal ini adalah penting kerana ia bakal memberi kesan kepada kelangsungan hidup manusia pada masa-masa akan datang.
Mengenali Imam Al-Zahabi
Beliau adalah Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Utsman bin Qaimaz bin Abdullah Al-Zahabi Al-Fariqi.
Imam Al-Zahabi dilahirkan pada tahun 673H di Mayyafariqin Diyar Bakr, Turkumenistan. Beliau terkenal sebagai seorang yang kuat hafal, cerdas, warak, zuhud, lurus akidah dan fasih lidahnya.
Seperti ulama lain, imam Al-Zahabi menuntut ilmu sejak usia yang muda dan ketika berusia 18 tahun beliau memberi perhatian khusus pada dua bidang ilmu iaitu Ulum Al-Quran dan Hadis.
Beliau menempuh perjalanan yang jauh untuk mencari ilmu. Beliau mengembara ke Syria, Mesir dan Hijaz (Mekah dan Madinah). Beliau mengambil ilmu dari para ulama di negeri-negeri tersebut.
Kitab Siyar A`lam Al-Nubala’
Salah satu karya imam Al-Zahabi yang terkenal dan sangat bermanfaat ialah Siyar A`lam Al-Nubala’ (Perjalanan Hidup Tokoh-tokoh Yang Terhormat).
Kitab ini menghimpunkan biografi para sahabat Nabi s.a.w., tabi`in, tabi` al-tabi`in, ulama, sasterawan dan lain-lain lagi.
Di antara kelebihan kitab in ialah:
1. Ketelitian
Imam Al-Zahabi tidak hanya memaparkan biografi orang yang ditulis tetapi juga menyertakan komentarnya, jika menurutnya perlu, dengan menjelaskan secara lanjut mengenai kisah yang dipaparkannya dengan menyebut sudut kekurangan dan kelebihan orang berkenaan.
Beliau juga menyangkal beberapa kritikan yang dilemparkan terhadap seseorang secara tidak adil.
2. Kitab ini dimuatkan dengan pengisian yang tidak didapati dalam kitab-kitab sejarah lain kerana ia mencantumkan maklumat sejarah dengan riwayat hidup.
Kitab Al-Bidayah Wa Al-Nihayah karya imam Ibn Katsir misalnya, memuatkan kisah-kisah sejarah yang cukup luas tetapi tidak memuat biografi para ulama, orang-orang kenamaan, para pemimpin dan sebagainya secara terperinci.
Begitu juga kitab Al-Kamil karya Ibn Al-Atsir dan Tarikh Al-Umam Wa Al-Muluk karya Al-Tabari.
Memang ada kitab-kitab yang memuatkan biografi para tokoh seperti kitab imam Al-Zahabi, namun susunan kisah sejarahnya tidak setanding dengannya. Sebagai contoh ialah kitab Hilyah Al-Auliya’ dan Al-Tabaqat karya Ibn Sa`ad, serta Wafayat Al-A`yan karya Ibn Khalkan.
Kitab imam Al-Zahabi ini membahaskan kisah sejarah hidup orang kenamaan dengan terperinci dan dengan metodologi yang tersusun.
Contoh-contoh Prinsip Wasatiyah Al-Zahabi
1. Penilaian beliau terhadap Yazid bin Muawiyah.
Imam Al-Zahabi berkata di permulaan perbicaraan mengenai Yazid bin Muawiyah, “Dan padanya (Yazid) kebaikan mengatasi keburukannya iaitu mempimpin tentera untuk menakluk Kostantinopel..”
Seterusnya beliau berkata, “Dan Yazid di antara orang-orang yang kita tidak cela dan tidak juga menyukainya. Dia mempunyai pesaing-pesaing dari kalangan pemimpin kedua-dua negara dan raja-raja disekelilingnya. Bahkan mereka lebih teruk daripadanya..”
Selanjutnya beliau membawakan riwayat-riwayat yang menunjukkan kebaikan Yazid dan juga keburukannya seperti berikut.
Nafi` menceritakan bahawa satu hari Abdullah bin Muti` berserta sahabat-sahabatnya pergi berjumpa Ibn Al-Hanafiah untuk menggesa beliau agar berlepas tangan dari mentaati Yazid tetapi beliau enggan.
Abdullah bin Muti` berkata, “Dia (Yazid) adalah seorang yang minum arak, meninggalkan solat dan melampau batas dalam urusan hukum Al-Quran.” Ibn Al-Hanafiah menjawab, “Aku tidak nampak daripadanya apa yang kamu sebutkan. Malah ketika di sisinya aku melihat dia sering solat, sentiasa berusaha melakukan kebaikan dan banyak bertanya mengenai fiqh.” Namun Abdullah berkata, “Itu semua adalah riyak dan berpura-pura sahaja.”
Nama Abu Bakar Al-Siddiq r.a disebut pada Abdullah bin `Amr lalu beliau berkata, “Kamu telah menepati namanya. Kemudian nama Umar Al-Faruq yang mempunyai tanduk besi, tepat namanya. Ibn Affan Zi Al-Nurain yang dibunuh secara zalim, Muawiyah dan anaknya (Yazid) yang memimpin tanah suci….. semua mereka adalah baik..”
Setelah membawakan banyak riwayat mengenai peribadi Yazid, Al-Zahabi merumuskan dengan berkata, “Dia adalah kuat lagi berani, mempunyai pandangan yang bernas dan tegas, kebijaksanaan, kefasihan bicara dan mempunyai syair yang baik. Dia juga adalah seorang yang Nasibi (menentang Ali), kasar, keras dan ganas. Dia mengambil minuman yang memabukkan dan melakukan kemungkaran. Dia memulakan pemerintahannya dengan pembunuhan Husain [cucu Nabi s.a.w] dan mengakhirinya dengan peperangan Al-Harrah sehingga orang ramai membencinya serta umurnya tidak diberkati..”
2. Mengenai Abu Ja`far Al-Baqir.
Beliau merupakan cucu kepada Ali bin Abi Talib dari Ahli Bait Nabi s.a.w.
Golongan Syiah menganggap beliau sebagai salah seorang imam dua belas yang maksum.
Al-Zahabi membidas mereka dengan mengatakan bahawa golongan maksum hanyalah para Nabi dan malaikat sahaja.
Selain mereka adalah manusia biasa yang boleh berlaku betul atau salah dan boleh diambil kata-katanya atau ditolak.
Di sisi golongan Sunni pula, beliau dianggap sebagai seorang tokoh pemimpin Islam yang unggul, seorang mujtahid, seorang ahli Al-Quran dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam.
Namun Al-Zahabi berkata, “Tetapi beliau tidak mencapai darjat ilmu Al-Quran seperti Ibn Katsir dan beberapa tokoh sepertinya. Tidak juga di dalam fiqh setanding darjat Abi Al-Zinad dan Rabi`ah. Tidak juga setanding Qatadah dan Ibn Syihab di dalam hafalan hadis dan sunan. Kami tidak mengagungkannya dan tidak pula bertindak zalim ke atasnya. Kami hanya mencintainya kerana Allah kerana padanya ada sifat-sifat terpuji yang sempurna.”
Di sini jelas prinsip wasatiyah Al-Zahabi dalam menceritakan peribadi seorang tokoh Islam agar tidak dibelenggu dengan wabak fanatik atau mengagungkan diri seseorang melebihi hak yang sewajarnya.
3. Ma`bad Al-Juhani.
Al-Zahabi berkata dalam permulaan bicara mengenainya, “Ibn `Uwaimir, dikatakan juga Ibn Abdullah Ibn `Ukaim Al-Juhani, menetap di Basrah dan orang pertama yang membicarakan soal Qadar di zaman sahabat. Dia merupakan di kalangan ulama di zamannya walaupun kekal di dalam bid`ahnya. Ibn Ma`in telah meletakkannya di dalam kumpulan ahli hadis yang dianggap tsiqah. Abu Hatim berkata, dia adalah saduq (dipercayai) dalam hadis.”
Ini juga jelas menunjukkan keadilan Al-Zahabi dalam meletakkan kedudukan seorang yang dianggap telah mencabar perkara utama di dalam syariat.
Walau pun pada mumnya Ma’bad telah diletakkan dalam senarai inidividu yang mengajar ajaran yang menyeleweng, Al-Zahabi tidak menafikan kebaikan yang ada padanya.
4. Al-Hajjaj bin Yusuf.
Mengenai Al-Hajjaj, Al-Zahabi berkata, “Allah telah memusnahkannya pada bulan Ramadan tahun sembilan puluh lima alhajjajHijrah dalam usia melewati lima puluh. Dia adalah sangat zalim, sombong lagi ganas, seorang yang Nasibi (menentang Ali), celaka dan terlalu banyak menumpahkan darah. Dia juga (pada masa yang sama), seorang yang berani, proaktif, bijak, strategis, fasih bicaranya serta tinggi bahasanya dan mengagungkan Al-Quran. Saya telah bawakan kisah hidupnya yang buruk di dalam kitab Al-Tarikh Al-Kabir – bagaimana dia mengepung Ibn Al-Zubair di sisi Ka’bah dan membaling bola meriam ke arahnya, penghinaannya terhadap penduduk dua tanah haram, kemudian penguasaannya ke atas Iraq dan Syam selama dua puluh tahun, penentangan Ibn Al-Asy’ath terhadapnya dan kelewatannya dari menghadiri solat sehinggalah Allah kembalikannya kepadaNya. Kami mencelanya dan tidak menyukainya, malahan kami membencinya kerana Allah kerana sesungguhnya itu adalah salah satu dari ikatan iman yang paling utuh. Baginya kebaikan-kebaikan yang tenggelam di dalam lautan dosa-dosanya. Urusannya terserah kepada Allah. Padanya tauhid secara umum dan dia mempunyai pesaing-pesaingnya di kalangan pemimpin yang zalim dan angkuh.”
Tidak dinafikan bahawa Al-Hajjaj adalah seorang pemerintah yang amat zalim. Tiada siapa yang menyangkal fakta tersebut.
Namun, sebagai seorang yang bersifat adil dalam menghukum, Al-Zahabi tidak terbawa-bawa dengan perasaan geram dan marahnya untuk menjatuhkan hukuman yang berat seperti meletakkannya di dalam neraka atau dia tidak akan diampunkan oleh Allah dan sebagainya.
Dia memberi kritikan dan pujian dengan saksama.
5. Abdul Malik bin Marwan.
Abdul Malik adalah salah seorang khalifah Bani Umayyah yang mempunyai kebaikan dan juga keburukan.
Al-Zahabi membawa kisah-kisah beliau dari sudut baik dan buruknya seperti pujian terhadap ketinggian ilmunya dan kuat ibadahnya ketika di Madinah.
Keburukannya pula ialah dia memerangi Ibn Al-Zubair dan membunuh adiknya Mus`ab. Dia juga yang menyediakan dan mengizinkan tentera Al-Hajjaj untuk memerangi Ibn Al-Zubair di Mekah sehingga beliau terbunuh.
Akhir sekali Al-Zahabi berkata, “Dia adalah salah seorang lelaki yang ulung lagi licik dalam sejarah dan Al-Hajjaj merupakan salah satu dari dosa-dosanya.”
‘Son, history is important because it’s the story of our past that we rewrite to understand our present.’
‘Son, history is important because it’s the story of our past that we rewrite to understand our present.’
Kesimpulan
Banyak kerosakan telah berlaku akibat fakta yang disampaikan mengenai seorang individu tidak seimbang.
Ia boleh mendatangkan persepsi negatif yang boleh mencetuskan perbalahan seperti yang berlaku di zaman khalifah-khalifah Rasyidin dan zaman selepas mereka.
Perselisihan dan perbalahan antara Syiah dan Sunni misalnya, tidak terlepas dari penyampaian khabar yang berat sebelah.
Di dalam kelompok Sunni juga berlaku perselisihan yang besar sehingga mencetuskan fenomena takfir sesama mereka.
Misalnya persoalan mengenai Yazid bin Muawiyah sama ada beliau muslim atau kafir hangat dibicarakan oleh golongan Sunni.
Imam Ibn Al-Jauzi sendiri telah mengarang kitab yang berkisar tentang kezaliman Yazid yang patut dicela yang berjudul, Al-Radd `Ala Al-Muta`assib Al-`Anid Al-Mani` Min Zammi Yazid (Sanggahan Ke Atas Golongan Fanatik yang Degil Yang Enggan Mencela Yazid).
Tapi ada juga para ulama yang tidak mencela. Contoh lain selain imam Al-Zahabi ialah imam Ahmad yang juga pernah berkata, “Kami tidak melaknati Yazid dan kami juga tidak menyukainya.” Imam Ibn Katsir juga berkata, “Terdapat ciri-ciri kebaikan pada Yazid seperti pemurah, lemah lembut, fasih berbicara, penyair, berani, pandangan yang bernas dalam pemerintahan, mempunyai penampilan dan pergaulan yang elok. Namun, dia juga sentiasa melayan syahwatnya, meninggalkan solat pada waktunya dan kebanyakan waktu dia tidak solat.”
Tuduhan kafir terhadap seseorang adalah suatu perkara yang besar yang memerlukan bukti yang kukuh.
Mencela seseorang juga tidak wajar dilakukan sewenangnya kerana ia membabitkan kemuliaan diri seseorang.
Apa jua yang telah berlaku dalam lipatan sejarah tidak dapat diubah, namun manusia yang hidup hari ini dengan membaca sejarah dapat mengubah keadaan dari keburukan kepada kebaikan dan kebaikan yang sedia ada dikekalkan atau menjadi lebih baik lagi.
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.