Wasatiyah Dari Lensa Sheikh Wahbah Al-Zuhayli | Pergas Blog

wasat

wasatiyah-dari-lensa-sheikh-wahbah-al-zuhayli

Wasatiyah Dari Lensa Sheikh Wahbah Al-Zuhayli

01 December 2015 2:44 pm // Written by Mohammad Rizhan bin Leman

Pada bulan Ogos yang lalu, dunia dikejutkan dengan pemergian salah seorang ulama Syria yang terkenal, Sheikh Wahbah bin Mustafa bin Wahbah Al-Zuhayli.

Beliau merupakan salah seorang ulama pada zaman ini yang memperjuangkan wasatiyah khususnya menerusi penulisan dan fatwa-fatwanya.

Artikel ini merupakan rumusan dari salah satu kertas kerja beliau yang berjudul Al-Ma`alim Wa Al-Dawabit Fi Mafhum Al-Wasatiyyah yang pernah dibentangkan di sebuah muktamar di Kuwait pada tahun 2005 yang bertemakan “Wasatiyyah Manhaj Kehidupan”.

Di dalam kertas kerja tersebut, Sheikh Al-Zuhayli menyentuh beberapa topik penting berkaitan dengan wasatiyah, di antaranya:

  1. Pengertian
  2. Kesan wasatiyah kepada masyarakat.
  3. Wasatiyah di dalam ibadah dan akidah.
  4. Ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan pada makna tawassut (sederhana) dan i`tidal (saksama) di dalam beribadah.
  5. Ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan kepada makna tawassut dan i`tidal dalam bermuamalat kewangan serta berhubungan kemasyarakatan.
  6. Ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadisyang menunjukkan kepada makna tawassut dan i’tidal dalam berkasih-sayang dan memberikan peringatan.

Pengertian wasatiyah

Wasatiyah berasal dari perkataan wasat. Sungguhpun kalimah ini mempunyai beberapa makna, diantara pengertian wasat adalah yang terbaik dan paling adil. Inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah taala:

“Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Nabi Muhammad) ummatan wasatan…” (Al-Baqarah: 143)

Pengertian wasatiyah yang tersebar luas pada hari ini adalah i’tidal dalam iktikad, pendirian, kelakuan, cara, muamalah dan akhlak.

Menurut Sheikh Wahbah Al-Zuhayli, pengertian ini dapat dimanifestasikan melalui cara-cara berikut:

  1. Tidak bersifat ghuluw (berlebihan) di dalam urusan agama.
  2. Tidak meremehkan atau mengabaikan hak Allah dan hak manusia.
  3. Tidak mengabaikan kerja dakwah iaitu menyeru manusia kepada agama Tauhid dengan berhikmah dan memberikan nasihat yang baik.
  4. Mengiktiraf kebebasan bagi manusia lain khususnya kebebasan beragama.
  5. Mensucikan diri dari hasad, benci dan permusuhan.
  6. Menyepadukan material dan rohani.
  7. Bermuamalah dengan manusia dengan cara yang baik.
  8. Tidak berlebihan dalam mencintai dunia.

Kesan wasatiyah pada masyarakat

Wasatiyah mempunyai kesan yang positif pada masyarakat. Apabila kasih sayang disebarkan di kalangan anggota masyarakat, sifat taksub dan hasad dihindari dan cara bermuamalah sesama anggota masyarakat berpaksi di atas dasar keihsanan.

Natijah dari ini akan tersebarlah ketenangan dan keadilan di dalam masyarakat tersebut serta akan dihindari dari keburukan.

Manusia pula akan merasakan nikmat persaudaraan serta akan menghindari segala bentuk keburukan dan kemudaratan.

Wasatiyah dalam ibadah dan akidah

Wasatiyah dalam ibadah dan akidah dapat dikenali menerusi beberapa ciri berikut:

  1. Tidak membebankan diri dengan sesuatu yang sukar ditanggung sehinggakan boleh membawa kepada rasa bosan untuk menunaikan kewajipan.
  2. Tidak bersifat ghuluw di dalam urusan agama kerana ianya boleh membuatkan seseorang merasa malas dan mengabaikan kewajipan.
  3. Akidah Islam adalah wasat antara golongan musyrik dan golongan atheis. Yang pertama menyembah tuhan-tuhan selain Allah manakala yang kedua mengingkari kewujudan Tuhan.

Al-Quran dan hadis tentang tawassut dan i’tidal dalam ibadah

Hukum-hukum syarak kesemuanya dibina di atas kemudahan, samahah, tawassut serta i’tidal agar mudah diamalkan bagi sekalian manusia, baik dalam keadaan kuat mahupun lemah, musafir mahupun mukim, sihat mahupun sakit, muda mahu pun tua.

Allah taala berfirman:

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…” (Al-Baqarah: 286)

“Bertaqwalah kepada Allah menurut kemampuan kamu…” (Al-Taghabun: 64)

Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w.  bersabda, “Apa yang aku larang kamu daripada melakukannya, hindarilah ia. Dan apa yang aku perintahkan kamu melakukannya, lakukanlah menurut kemampuan kamu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam ibadah solat yang disebutkan di dalam Al-Quran terkandung makna tawassut dan i’tidal.

Allah taala berfirman:

“Berjayalah orang-orang mukmin. (Iaitu mereka) yang khusyuk di dalam solat mereka.” (Al-Mu’minun: 1-2).

Makna kemudahan, samahah, tawassut serta i’tidal juga terdapat di dalam ibadah puasa.

Berikut adalah beberapa contoh:

1. Keringanan agar tidak berpuasa bagi golongan yang berada dalam keadaan musafir atau sakit.

Allah taala berfirman:

“…sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan (Ramadan), maka hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…” (Al-Baqarah: 185).

2. Larangan berpuasa dalam keadaan bermusafir jika boleh membawa kepada kemudaratan.

Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa satu ketika Rasulullah s.a.w. dalam sebuah perjalanan. Dia lalu melihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang sedang diberikan teduh. Baginda s.a.w. bertanya: “Ada apa?” Mereka menjawab: “Orang ini sedang berpuasa.” Maka Baginda s.a.w. bersabda: “Bukan merupakan suatu kebaikan berpuasa dalam keadaan musafir.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

3. Larangan berpuasa pada kedua `Eid.

4. Larangan berpuasa wisal iaitu berpuasa terus-menerus.

5. Anjuran untuk berpuasa seperti yang dilakukan Nabi Dawud

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Puasa yang paling utama di sisi Allah adalah puasa Dawud. Beliau berpuasa sehari dan berbuka (tidak berpuasa) pada keesokan hari.” (Riwayat Muslim).

Hukum-hukum berkaitan dengan ibadah haji juga dibina di atas kemudahan, samahah, tawassut serta I’tidal.

Buktinya ialah:

1. Haji hanya diwajibkan bagi mereka yang mampu.

Allah taala berfirman:

“…Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya…” (Ali Imran: 97).

2. Kerapkali ketika ditanya oleh para sahabat mengenai sebahagian amalan haji, Rasulullah s.a.w. menjawab, “Lakukanlah, tidak mengapa”.

Abdullah bin `Amr r.a. meriwayatkan:

“Aku melihat Nabi s.a.w. di jamarat ditanya. Seseorang bertanya kepadanya, ‘Ya Rasulullah, saya menyembelih sebelum melontar?’ Beliau menjawab, ‘Lontarlah, tidak mengapa.’ Seorang lagi bertanya, ‘Ya Rasulullah, saya mencukur kepala sebelum menyembelih.’ Baginda menjawab, ‘Sembelihlah, tidak mengapa.’ Tidaklah beliau ditanya tentang sesuatu yang dikedepankan atau yang dilambatkan kecuali beliau berkata, ‘Lakukanlah, tidak mengapa.” (Riwayat Al-Bukhari).

3. Keringanan bagi mereka yang perlu mencukur rambut mereka dalam keadaan ihram kerana suatu keuzuran.

Allah taala berfirman:

“Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah iaitu berpuasa atau bersedekah atau menyembelih…” [Al-Baqarah: 196]

Makna kemudahan, samahah, tawassut serta I’tidal juga terzahir di dalam ibadah membaca al-Quran

Sebagai contoh:

  1. Larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari tiga hari agar dapat menghayati makna al-Quran.
  2. Peringatan agar tidak melupakan ayat-ayat al-Quran.
  3. Diangkat dosa dari golongan awam yang menghadapi kepayahan untuk membaca al-Quran.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang yang mahir membaca Al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia, manakala orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan tersekat dan tergagap, dan padanya kesukaran, baginya dua pahala.” (Riwayat Muslim).

Al-Quran dan hadis tentang tawassut dan i’tidal muamalah dan hubungan masyarakat

Selain dari lapangan ibadah, makna kemudahan, samahah, tawassut serta i’tidal juga wujud dalam bermuamalah kewangan dan berhubungan kemasyarakatan.

Di antara contohnya:

1. Urusan jual-beli harus dijalankan berdasarkan keredhaan kedua belah pihak.

Allah taala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang kamu redhai…” (Al-Nisa’: 29).

2. Pujian bagi mereka yang memberi kemudahan ketika berjual-beli dan menuntut hak.

Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Semoga Allah merahmati seseorang yang mudah apabila menjual, membeli dan menuntut haknya.” (Riwayat Al-Bukhari).

3. Larangan melengahkan pembayaran hutang bagi mereka yang mampu melunaskannya.

Rasulullah bersabda, “Melambatkan pembayaran hutang bagi golongan kaya adalah satu kezaliman.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

4. Perintah agar memberikan tempoh bagi golongan yang menghadapi kesukaran melangsaikan hutang.

Allah taala berfirman:

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga lapang hidupnya dan jika kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu seandainya kamu mengetahui.”  (Al-Baqarah: 280).

5. Hubungan kemasyarakatan di dalam Islam berdiri di atas dasar rahmah.

Allah taala berfirman:

“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’: 107).

6. Perintah agar berlaku ihsan kepada ahli keluarga serta kaum kerabat.

Allah taala berfirman:

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.” (Al-Baqarah: 177).

7. Perintah untuk menyalurkan zakat kepada beberapa asnaf, di antaranya ialah golongan fakir dan miskin.

Allah taala berfirman:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, fi sabilillah, dan ibnissabil. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Taubah: 60).

Al-Quran dan hadis tentang tawassut dan i’tidal dalam berkasih-sayang dan memberikan peringatan

Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang menyentuh mengenai kasih sayang yang juga mengandungi makna tawassut dan i’tidal.

Antara contohnya ialah:

1. Perintah agar menyeru manusia ke jalan Tuhan dengan cara berhikmah, nasihat yang baik serta perbahasan yang lebih baik.

Allah taala berfirman:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (Al-Nahl: 125).

2. Kecintaan kepada seseorang tidak sepatutnya berdasarkan sesuatu manfaat yang ingin diperolehi. Sebaliknya, tujuan mencintai seseorang hendaklah untuk mencari keredhaan Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang memberi kerana Allah, melarang kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, menikahkan kerana Allah, maka telah sempurna keimanannya.” (Riwayat Al-Hakim).

Kesimpulan

Sungguh pun wasatiyah diambil dari kalimah wasat, ini tidak bererti seseorang itu berdiri di antara kebenaran dan kebatilan, tidak menyokong kebenaran dan tidak juga menentang kebatilan.

Ia juga tidak bererti seseorang itu berdiri di antara kebaikan dan kejahatan, tidak mengajak kepada kebaikan dan tidak juga mencegah kejahatan.

Bukan ini yang dilaungkan oleh para ulama yang muktabar dan bukan ini yang diseru oleh Sheikh Al-Zuhayli.

Sebagaimana yang disebutkan pada awal artikel ini dan sekali lagi ingin ditegaskan di sini, salah satu pengertian wasat adalah yang terbaik dan yang paling adil.

Umat Nabi Muhammad s.a.w. disifatkan sebagai ummatan wasatan iaitu umat pilihan, terbaik dan paling adil.

Akhirnya, segala apa yang disyariatkan oleh Allah taala, baik yang berkaitan denga ibadah, muamalat kewangan, hubungan kemasyarakatan atau yang lain-lain adalah terbaik dan paling adil.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles