Wasatiyyah Dalam Menjalani Norma Baharu | Pergas Blog

newest article

top-view-islamic-new-year-decorative-objects-made-wood Cropped (1)

Wasatiyyah Dalam Menjalani Norma Baharu

17 January 2023 12:21 pm // Written by Ahmad Helmi Bin Mohamad Hasbi;

Sejak menularnya virus COVID-19 dari China pada Disember 2019, kebanyakan negara terpaksa membuat perubahan perit yang mendadak  – dari siasah, ekonomi sehingga amalan bersosial. Langkah wajib memakai pelitup, senantiasa memelihara kebersihan, jarak sosial selamat dan kepungan (lockdown) sehingga menutup sempadan telah dilaksanakan. Semua ini dilakukan demi melindungi nyawa dan memerangi wabak ini. Dalam pada itu, dunia mengalami kemelesetan besar yang menggugat.

Maka timbullah kebiasaan atau norma baharu yang dijangka berpanjangan selagi belum ditemui vaksin untuk membentengi virus ini. Makalah ini bertujuan untuk mengajak masyarakat Islam merenung erti norma baharu akibat COVID-19 menurut landasan Islam iaitu wasatiyyah.

Wasatiyyah Sebagai Amanah

Kehidupan bertanggung jawab berteraskan wasatiyyah merupakan suruhan Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

“Dan demikianlah, Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (QS Al-Baqarah: 143)

Para ulama mentafsirkan wasat (وَسَطًا) di dalam petikan ayat tersebut, antara lain, dengan beberapa makna:

  • pertengahan;
  • sederhana, berpada-pada atau moderat;
  • seimbang, dan
  • adil

Keunggulan umat Islam pada zaman Rasulullah kerana kejayaaan meraih kehidupan adil dan ihsan yang cemerlang sehingga mendapat pujian Allah SWT: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.” (QS. Ali Imran: 110)

Adil dapat difahami sebagai membuat keputusan atau tindakan dengan saksama atau diertikan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adil menjadi penyebab yang membolehkan umat ini menjalankan tanggung jawabnya sebagai saksi ke atas umat lainnnya.[1]

Seorang Muslim yang hendak berlaku adil (ulul al-bab) dalam memutuskan sesuatu, perlu terlebih dahulu bertanggung jawab (berakhlak) dalam pelaksanaan bersandarkan ilmu yang hakiki atau benar. Tegasnya, keahlian atau kepakaran diperlukan dalam melaksanakan amalan agar tercapai keputusan adil dan ihsan. Jika tidak, akan berlakulah kerosakan.

Hari ini, umat Islam membentuk 1.7 bilion daripada 7.1 bilion penduduk dunia. Keadaan di kebanyakan 57 negara majoriti Muslim (yang kebetulan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam atau OIC) dikatakan ‘daif’ dari segi ekonomi, pelanggaran hak asasi manusia, gejolak politik dan rendah pencapaian pendidikan, kesihatan dan perumahan. Jadi, dengan penularan wabak COVID-19, dapatkah umat Islam mengatasinya dan muncul sebagai umat terbaik seperti umat yang awal atau sebaliknya? 

Ilmu Sebagai Tonggak

Menurut Prof Emeritus Mohd. Kamal Hassan (1942- ), sarjana Islam ternama dari Malaysia, wasatiyyah perlu berdiri di atas tiga asas iaitu 1) ilmu, 2) iman dan 3) takwa.[2]

Ilmu perlu beserta dengan dua tonggak atau nilai luhur iaitu iman dan takwa yang kededuanya membentuk ‘akhlak terpuji’.

Umat Islam terawal dikatakan ‘ummiy’ atau buta huruf iaitu kurang berilmu, namun ‘akhlak’ mereka amat luar biasa. Setelah pendidikan tersusun diperkenal, para pengikut sahabat (tabiin) dan para pengikut selanjutnya membangun ilmu menerusi sistem madrasah sehingga universiti terawal dunia (Universiti al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi pada 859M). Hasilnya, umat Islam telah membina sebuah tamadun dunia selama 700 tahun (abad ketujuh sehingga ke-14M).

Dengan pemupukan akhlak terbaik sebagai keutamaan, ilmu yang berguna dapat diperolehi. Hubungan akhlak dan ilmu saling melengkapi (complementary). Tanpa akhlak, ilmu (termasuk teknologi) boleh tersasar atau tidak digunakan untuk kebaikan. Tanpa ilmu, akhlak tidak akan tumbuh berkembang untuk dijadikan teladan.

Banyak dalil daripada Al-Quran dan Sunnah yang menekankan peri penting insan mencari  ilmu untuk memantapkan iman dan takwanya. Hayati maksud firman-Nya:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat.” (QS Al-Mujadilah:11)

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

“Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”  (QS An-Nahl:43)

Oleh itu, setiap orang Islam yang mampu, masyarakat dan pemerintah Muslim perlu memastikan kesuburan institusi pendidikan dan peluang untuk meraih pendidikan wajib dan jika dapat percuma, setinggi yang terdaya. Ini merupakan suatu kewajipan utama dari segi hak asasi manusia. Hakikatnya, kemunduran banyak negara majoriti Muslim kerana sistem pendidikannya yang lemah. Kadar tinggi muslimah atau wanita Islam yang buta huruf kerana tidak dapat belajar akan menjejas bukan saja asuhan anak, bahkan kesejahteraan rumah tangga dan masyarakat. Seyogia,  Rasulullah berpesan kepada kita: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim.” (HR Ibn Majah, nombor 229).

Adil Dari Segi Akhlak dan Ilmu

Sarjana ternama Mesir, Sheikh Mohammed al-Ghazali al-Saqqa (1917–1996), menyedari kepincangan umat Islam dari segi akhlak dan ilmu. Beliau memberikan amaran keras bahawa telah berlaku kejahilan pasca moden di Dunia Islam yang menjejas jati diri Muslim sendiri. Kemiskinan umat Islam moden terpapar lebih pada akhlak dan ilmunya berbanding kebendaan semata.[3] Kejahilan tadi diperburuk oleh sikap malas dan bodoh sombong sehingga mencetuskan amalan keji dalam kalangan ummah.[4]

Ketika COVID-19 mula menular, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menggesa seluruh jagat agar mengamalkan pemakaian pelitup, mengelakkan percampuran ramai dan memastikan jarak selamat. Hal ini perlu dilakukan kerana virus atau kuman yang membunuh ini dapat biak terapung dalam udara selama beberapa hari dan menular menerusi pelepasan cecair ketika bercakap, bersin atau batuk. Oleh itu, amalan kebersihan untuk membasmi kuman amat mustahak. Namun, hal ini ditertawakan dan diejek oleh segelintir umat Islam, termasuk sebuah gerakan agama sehingga tercetus jangkitan dalam beberapa pertemuannya di Kuala Lumpur dan tertular di negara jiran termasuk Singapura.[5]

Data WHO menunjukkan Amerika Syarikat menampung kes tertinggi wabak ini (25.2% dari jumlah keseluruhan dunia)[6] berbanding China yang merupakan punca wabak ini. Mengapa?

Jawapannya: ada di kalangan pucuk pimpinan Amerika dan warga negara kuasa besar ini meremehkan ancaman wabak ini. Mereka mengabaikan pemakaian pelitup, pelaksanaan jarak selamat dan sebagainya. Di Florida, bantahan terhadap arahan memakai pelitup dan jarak selamat telah berlaku sehingga mencetuskan jangkitan yang besar.[7]

Antara sebab utama tindakan kalangan pimpinan dan warga Amerika ialah anggapan bahawa memakai pelitup dan jarak selamat itu tidak adil kerana menyekat kebebasan mereka. [8] Anehnya, Amerika mempunyai ramai para pakar penyakit berjangkit termasuk tokoh terkenal, Dr Anthony Fauci, yang merayu agar pimpinan dan warga Amerika bersikap sabar dan realistik dalam menghadapi wabak maut ini.[9] Jelaslah, sikap degil dan bodoh sombong telah menjejas Amerika sendiri walaupun ia mempunyai sejumlah universiti terbaik di dunia seperti MIT dan Harvard!

Penerapan Wasatiyyah pada Norma Baharu COVID-19

Memanglah norma atau kebiasaan baharu menjejas keselesaan dan rutin harian kehidupan insan. Namun, ia wajib dipatuhi demi melindungi nyawa sehinggalah urusan sesama manusia. Sesungguhnya, melindungi jiwa merupakan perkara utama daripada lima aspek maqasid (pegangan) Syariah Islam dalam rangka melaksanakan wasatiyyah.

Memang tiada orang suka dirinya dipantau. Namun pendaftaran digital “SafeEntry” amat mustahak demi memastikan jangkitan dapat dikesan demi mengelakkan penularan yang lebih luas. Sesungguhnya hal ini pun bukan perkara ‘baharu’ bagi orang Islam yang bertakwa kerana menginsafi bahawa setiap tindak-tanduk dirinya senantiasa dipantau oleh malaikat yang mencatatkan kebaikan dan keburukan amalannya (aspek muraqabah).

Norma baharu dalam suasana COVID-19 memaksa sebahagian besar orang yang bekerja secara giliran dan fleksibel sama ada di rumah, pejabat atau di mana saja tanpa diperhatikan oleh penyelia, bos atau majikannya. Namun, bagi orang Islam yang bertakwa, hal ini tidak akan menjejas daya penghasilannya kerana ‘pintu rezeki’ ditentukan oleh kegigihannya bekerja secara jujur (bukan curi tulang atau mengelat) demi mendapat keredhaan Ilahi.

Begitu juga dengan pelajar Islam yang perlu belajar rumah secara talian. Tanpa pengawasan guru sekolah, apatah lagi guru disiplin, tidak bermakna dia boleh menonton televisyen atau bermain ‘game’ dan mengabaikan tugasan sekolah dengan alasan sakit dan sebagainya.

Dengan jarak selamat, orang Islam tidak dapat berjabat tangan ketika memberi salam. Namun, hal ini tidak mengurangi ukkhuwah kerana ada amalan ‘salam ala mufti’ (juga disebut salam sufi Turkey) boleh dilakukan, perbincangan secara talian dapat dijayakan dan usaha membantu dari segi penghantaran makanan ke rumah saudara Muslim yang susah (termasuk ibu bapa sendiri sehingga sanak-saudara) sehingga menderma untuk keperluan masjid dan badan Islam.

Demi kejayaan wasatiyyah pada norma baharu, pengurusan waktu yang berkesan menjadi kian genting. Ia perlu diatur dengan itqan (tekun). Ini untuk memastikan produktiviti sentiasa tinggi dan dapat dikekalkan. Menurut maksud Surah Al-‘Asr, mereka yang tidak dapat menjaga masanya dengan baik dianggap sebagai dalam kerugian.

Prinsip wasatiyyah menitikberat aspek kecemerlangan dalam apa jua urusan atau amanah dan jauh daripada penyimpangan (rasuah).[10] Dalam konteks ini, Nabi (saw) berpesan: “Sesungguhnya Allah ‘Azza-Wa-Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan dengan secara tekun.”

Umat Islam merupakan 15 peratus penduduk Singapura, iaitu sebuah negara maju yang pertama di Nusantara atau Asia Tenggara. Dari segi luaran, krisis atau kemelut wabak COVID-19 memanglah merupakan suatu ujian buruk yang kita khuatiri. Namun ingatlah akan maksud firman-Nya:

”Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (saja) mengatakan: Kami telah beriman, lantas tidak diuji lagi? Sungguh Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan mengetahui orang-orang yang dusta.” (QS Al Ankabut: 2-3).

Kehebatan umat Islam terawal sehingga dipuji Allah SWT kerana ketabahan kental menangani ujian besar dan muncul sebagai pembela keadilan dan keihsanan. Hakikatnya, umat Islam di Singapura perlu berasa syukur kerana terdapat pelbagai bantuan pemerintah serta badan-badan Islam yang tersedia. Oleh itu, kita amat perlu bersabar dalam menghadapi masalah kehilangan perkerjaan, terputus hasil pendapatan, terpaksa berjauhan dengan orang yang tersayang dan sebagainya.

Dek wabak ini, umat Islam perlu terus giat menimba ilmu secara online atau dalam talian – ilmu untuk lulus ujian sekolah sehingga ilmu Quran atau agama daripada asatizah. Kita perlu membiasakan diri menggunakan komputer dan telefon bijak bukan sekadar untuk bertanya khabar tetapi menimba ilmu dan meneguhkan akhlak terpuji.

Masjid-masjid kita harus terus  mendampingi setiap warga kejiranan dengan mendapat kontak dan sekali gus menyebarkan mesej Islam untuk saling tolong-menolong dalam waktu sukar ini. Misalnya, ibu tunggal yang mendapati kesulitan perlu dihubungi demi meringankan bebannya dan membantu dalam asuhan anak-anaknya. Gelandangan Muslim boleh dibantu untuk mendapatkan teduhan sementara di masjid – menjelang adanya flat sewa atau flat milik sendiri.

Para belia Muslim yang sedar juga boleh memainkan peranan mereka. Dengan bimbingan asatizah terlatih, mereka boleh dijadikan duta untuk mendekati dan menghubungi teman-teman sebaya demi meningkatkan semangat jaya diri mereka untuk bersaing dan maju. Konsep ‘berserah’ kepada Allah tidak bermakna pasrah melulu, tetapi berusaha dengan gigih menimba ilmu dan memperbaik akhlak sehingga tercapai cita-cita dengan penuh kesungguhan dan mendamba keredhaan-Nya. Jika inilah menjadi motivasi umat Islam pasca COVID-19, maka akan tercapailah visi dalam sabda Nabi (saw):

“Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”[11]

Penutup

Prinsip wasatiyyah mengajak masyarakat Muslim secara khususnya kepada jalan kebaikan dan pembaikan. Antara aspek wasatiyyah yang perlu diamati adalah keseimbangan dalam menemukan kemanfaatan (maslahah) dan mengelakkan kerosakan (mafsada) yang lebih besar. Aspek ini perlu dinilai dengan disiplin ilmu dan akhlak yang mematuhi syariah.[12] Apabila berdepan dengan isu yang runcing, prinsip wasatiyyah menganjurkan kita bersabar menghadapi kemudaratan demi mengelakkan darurat yang lebih besar:

إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما

“Jika bertemu dua mafsadah, maka mafsadah yang lebih besar harus dihindari dengan cara mengambil (menjalani) mafsadat yang lebih ringan”

Wasatiyyah hendaklah dilaksanakan secara muafakat dan majmuk (pluralistik) dengan mengambil kira pelbagai pandangan,[13] walaupun daripada pakar yang bukan Islam. Ini supaya ranah (domain) ilmu dapat terus berkembang dan tidak terhad atau jumud. Seyogia, tamadun Islam yang awal mengambil kira masukan (input) dari Yunani (Greece), Rom, Farsi, India, China dan sebagainya. Tradisi keilmuan Islam membuktikan bahawa tiada halangan dalam menampung kepelbagaian pandangan asalkan tidak melanggar lunas Syariah. Ini sekaligus menjadikan umat Islam sebagai golongan pertengahan, sederhana, seimbang lagi adil dalam menghidupkan persekitaran damai di jagat yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa.


Rujukan:

[1] Iyad Kamil Ibrahim Az-Zibari, “VII. Moderat (Al-Wasathiyyah),” dalam Fikih Tadarruj – Tahapan-Tahapan Dalam Membumikan Syariat Islam (Pustaka Al-Kauthar, 2017), ms: 84.

[2] Muhammad Haniff Hassan, “Konsep Wasatiyyah Dari Sudut Pandangan Prof. Kamal Hassan,” Wasat (blog), February 1, 2015, https://blog.pergas.org.sg/wasat/konsep-wasatiyyah-dari-sudut-pandangan-prof-kamal-hassan/ , (Akses pada 13 Julai 2020).

[3] Muhammad Al-Ghazali, “Pengislaman Ilmu Atau Ilmu Islam,” dalam Warisan Pemikiran Islam Menurut Syara’ dan Rasional (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003), ms:3.

[4] Al-Quran, 2:34, 2:258, 40:56,

[5] ‘None of Us Have a Fear of Corona’: The Faithful at an Outbreak’s Center,  https://www.nytimes.com/2020/03/20/world/asia/coronavirus-malaysia-muslims-outbreak.html?auth=login-email&login=email (Akses pada 20 Julai 2020)

[6] Data kemaskini pada 19 Julai melalui pautan WHO – https://covid19.who.int/ (Akses pada 20 Julai 2020)

[7] Florida’s Anti-Maskers Are Taking a Stand | NowThis, https://www.youtube.com/watch?v=433b5RJ9BME (Akses pada 13 Julai 2020)

[8] Wearing masks vs. constitutional rights, https://www.wtoc.com/2020/07/09/wearing-masks-vs-constitutional-rights/ (Akses pada 13 Julai 2020)

[9] Wearing masks ‘purely a health issue,’ says Fauci, https://news.cgtn.com/news/2020-06-25/Wearing-masks-purely-a-health-issue-says-Fauci-RBwquCtUEU/index.html (Akses pada 20 Julai 2020)

[10] Iyad Kamil Ibrahim Az-Zibari, “VII. Moderat (Al-Wasathiyyah), ms: 85.”

[11]Al-Imam an-Nawawi, Riyadhus-Salihin, Hadis 27, https://sunnah.com/riyadussaliheen/introduction/27 (Akses pada 13 Julai 2020)

[12] Muhammad Hashim Kamali, “Manifestation of Wasatiyyah,” dalam The Middle Path of Moderation in Islam: The Quranic Principle of Wasatiyya, Religion And Global Politics (Oxford University Press, 2015), ms 53.

[13] Ibid, ms 56.

CONTEMPORARY ISSUES MUSLIM LIFE WORK ISU SEMASA KEHIDUPAN MUSLIM MASYARAKAT MUSLIM WORLD ISLAM DAN ETIKA PEKERJAAN MEDIA SINGAPURA UMAT ISLAM DUNIA SINGAPORE Kesederhanaan Dalam Islam Moderation In Islam


Leave a Reply

Your email address will not be published.

related articles