Ketika diminta menyumbangkan artikel ini, soalan pertama sekali yang terdetik di benak fikiran saya ialah; apakah yang bakal terjadi kepada kita, jika para ulama silam juga mengambil sikap tidak berkongsi ilmu, tidak menulis serta hanya menyampaikan sahaja? Pasti yang ruginya generasi selepasnya, atau kita sendirilah antara yang terkesan dengannya. Kita akan tiada khazanah rujukan, manuskrip mahupun kitab-kitab rujukan baik dari sudut ilmu Fiqh, Tafsir, Hadis atau apa sahaja disiplin ilmu tradisi Islam.
Namun realitinya tidak begitu, menulis merupakan tradisi ulama kita zaman berzaman. Jika kita lihat sesuatu kitab pada satu-satu disiplin tertentu. Menjadi perkara biasa pula, sesuatu kitab tersebut diulas pula oleh para ulama lain.
Menulis Merupakan Tradisi Ulama Kita Zaman-Berzaman
Sebagai contoh kitab al-Kamal fi Asma’ ar-Rijal karya al-Maqdasi, satu karya penelitian ulung bagi koleksi biografi para perawi hadis. Kitab ini memuatkan kesemua para perawi 9 kitab hadis utama (kutubut tis’ah). Ia kemudian diperbaiki lagi dari sudut informasi biodata perawi ini oleh al-Mizzi dan dinamakan sebagai ‘Tahdzibul Kamal fi Asma’i al-Rijal’.
Murid Imam al-Mizzi yang bernama Imam Al-Dzahabi kemudiannya merumuskan karya gurunya ini menjadi dua karya lain, dengan salah satunya bernama ‘Tazhib al-Tahzhib’.
Imam Ibn Hajar al-Asqalani kemudiannya memperkembangkan lagi penjelasan biodata perawi kitab yang sama ini dengan karangannya yang bertajuk ‘Tahdhib al-Tahdhib’ dalam 12 jilid, sebelum beliau meringkasnya kembali dengan memaparkan beberapa butiran biodata tertentu sahaja yang dinamakannya sebagai ‘Taqrib al-Tahdhib’.
Begitulah hebatnya ulama pada zaman terdahulu, sesuatu karya boleh dikembangkan lagi, dirumuskan dan kemudian dikembangkan kembali dan diringkaskan semula. Ianya tidak terhenti di situ, bahkan para ulama masih tidak henti-henti berusaha memperelokkan khazanah kitab-kitab ini dengan komentar-komentar ilmiah.
Contoh-Contoh Karya Hebat Ulama Tempatan Singapura
Namun tradisi hebat para ulama silam dalam berkarya tidak terbatas di kawasan Timur Tengah atau Asia Tengah sahaja, tetapi ia juga meliputi ulama di Nusantara ini. Malah ulama kita di Singapura inipun tidak kurang hebatnya juga. Jika kita menelurusi buku Obor Ummah 1 dan Obor Ummah 2 terbitan Pergas – Dokumentasi Biografi para Sarjana Islam Singapura – Kita akan dapati para ulama tempatan seperti Almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad, merupakan pelopor dalam karya pengajian solat bertajuk ‘Mari Sembahyang’,‘Tafsir Abr Athir’ dan banyak lagi, begitu juga dengan Almarhum Ustaz Osman Jantan, Ustaz Syed Ahmad Semait dan lain-lain lagi.
Malah ketika saya berkesempatan menelurusi draf ‘Bibliografi Penulisan Ulama dan Asatizah Singapura 100 tahun – 1906 hingga 2016’ yang bakal diterbitkan Pergas, saya dapati salah satu figura bibliografi tersebut iaitu; Almarhum Kiayi Fadhlullah Suhaimi contohnya berterusan menulis selama lebih 40 tahun! Bermula dari tahun 1914 hinggalah ke 1958, dari penulisan buku hinggalah kepada makalah akhbar!
Namun, pada masa kini penulisan buku-buku karya asatizah tempatan tidak berapa rancak seperti dulu. Juga saya akui sebenarnya bahawa kegersangan budaya menulis ini sebenarnya tidaklah eksklusif di kalangan para asatizah sahaja, ia juga merupakan fenomena pada profesi-profesi lain juga. Cuma fokus penulisan saya kali ini ialah pada karya asatizah tempatan kita, serta bagaimana dapat kita memperbaikinya.
Jadi soalannya, mengapa kita perlu menulis? Apakah manfaat jika kita menulis?
Dalam hal ini, suka saya berkongsi 5 sebab mengapa kita perlu menulis sebagai satu perangsang dan motivasi untuk kita bersama agar dapat memulakan budaya yang sangat baik ini:
1. Merupakan tradisi keilmuan sarjana islam
Sebagai meneruskan tradisi keilmuan sarjana Islam. Para sarjana terdahulu dan masa kini, tidak sekadar menyampaikan, tetapi juga menulis.
2. Satu rekod untuk bukan sahaja generasi masa kini dan akan datang
Dengan menulis, ia menjadi satu rekod untuk bukan sahaja generasi masa kini, tetapi juga generasi akan datang, itulah yang dilakukan ulama kita terdahulu.
3. Sebagai satu usaha dakwah
Bila menulis, ia sebenarnya juga sebagai satu wasilah dakwah dalam menyampaikan amar ma’ruf dan nahu munkar, malah lebih mudah disebar luaskan dan dimanfaatkan oleh masyarakat dulu dan sekarang.
4. Salah satu wadah ibadah
Ia berpotensi menjadi satu wadah bagi ibadah dan pahala yang berpanjangan walaupun setelah kita tiada, sesuai dengan hadis ilmu yang bermanfaat.
5. Memaksa diri untuk membaca
Untuk menulis, kita perlu banyak membaca selain pendedahan dalam sesuatu disiplin ilmu yang kita kongsi. Dengan banyak membaca kita mampu menajamkan minda dan mengasah akal untuk berfikiran kritis.
Dengan begitu banyak kelebihan menulis sama ada penulisan makalah atau buku, persoalannya mengapa masih lagi tidak banyak penulisan asatizah kita? Bagaimana ilmu mampu dikembangkan dan berkekalan dan diwarisi?
Payahkah Menulis?
Mengapa tidak ramai orang suka menulis? Sukarkah menulis ini?
Menjawab soalan ini, teringat interaksi saya bersama seorang teman asatizah lain, di mana ketika buku pertama saya baru diterbitkan, seorang asatizah bertanya kepada saya, ‘Ustaz, susah ke menulis? Bagaimana nak buat buku?’
Respon saya, ‘Semua orang boleh tulis, tak susah.’ ‘Awak biasa berceramah kan?’ Bila nak ceramah kan, kena susun poin dulu?’ Lepas itu fikirkan contoh dan cerita bagi menjadikan pengisian kita lebih menarik. Masukkan dalil dan hujjah daripada Quran dan Hadis. Macam tulah buat artikel atau tulis buku! Cuma bezanya, kita perlu menulis sahaja. Perlu cari masa dan disiplin.’
Beliau mengangguk tanda setuju.
Sebenarnya untuk menulis tidak susah, cuma perlukan masa dan disiplin sahaja.
Jika saya boleh rumuskan tip-tip yang saya kongsi bersama asatizah muda tadi untuk perangsang kepada yang ingin mula menulis termasuk golongan bukan asatizah, boleh dibahagikan kepada 8 langkah mudah seperti berikut:
1. Pilih topik yang ingin ditulis dan minat
Sebagai permulaan, perkara pertama sekali yang perlu dilakukan oleh setiap penulis ialah untuk memilih apakah genre atau bidang yang ingin ditulis.
Adakah ia merupakan komentar buku, pengamatan sosial pada sesuatu isu yang kita ingin kongsi? Atau ia merupakan ulasan ceramah yang kita dengari, atau mungkin juga transkripsi ceramah yang kita sendiri sampaikan pada masyarakat.
Asatizah juga boleh menulis tentang pengalaman mereka sendiri dalam berdakwah, atau dalam mendampingi masyarakat sama ada yang berbentuk refleksi atau catitan pengalaman seharian.
2. Buat rangka penulisan
Selepas itu rangkakan atau susunkan apa yang ingin ditulis terlebih dahulu. Bermula dengan pengenalan ringkas; apakah yang ingin dikongsi dan mengapa ia sangat penting dan menarik. Pengenalan juga boleh menjelaskan apakah perkara-perkara selanjutnya yang bakal dikongsi dalam artikel penulis.
Selepas pengenalan, kemudian rangkakan penulisan bagi isi utama. Apakah poin-poin penting yang ingin dikongsi. Sebagai contoh boleh bahagian kepada 3 isi penting atau sub topik, dan setiap isi penting tersebut difikirkan apakah data, fakta atau contoh secara ringkas sahaja terlebih dahulu.
Boleh juga isi tersebut lebih daripada tiga, contohnya perkongsian tentang tip-tip berkomunikasi antara suami dan isteri. Catitkan 5 tip-tip utama tip tersebut, dan apakah poin-poin serta contoh bagi setiap tip.
3. Mulakan penulisan dan elaborasi bagi setiap poin yang sudah dilakarkan
Kini bermula penulisan sebenar. Namun kerja penulisan anda semakin mudah. Anda hanya perlu lakukan elaborasi daripada poin-poin yang sudah dilakarkan terlebih dahulu sebelum ini. Ini boleh dilakukan dengan ‘sambil lewa’ atau secara kasar; iaitu tidak diberikan penekanan dari sudut typo atau tata bahasa.
Bahasa tidak perlu terlalu berbunga, kecuali anda menulis cerpen atau novel mahupun sajak! Semakin mudah bahasa yang digunakan, semakin senang dibaca. Contohnya jika menulis dalam bahasa Melayu, elakkan bahasa ‘buku’ seperti ‘tatkala’, tetapi sebaliknya gunakan kekata seperti ‘ketika’. Begitu juga jika menulis dalam bahasa Inggeris, gunakanlah ‘plain English.’
4. Catat apabila terfikir poin menarik
Kerangka penulisan yang sudah dilakarkan sebelum ini tidaklah muktamad, dan ini termasuklah poin-poin yang sudah dicatitkan sebelum ini, atau elaborasi yang sudah dilakukan daripada rangka awal penulisan.
Anda masih lagi boleh menambah catitan poin penting atau elaborasi pada poin yang sudah dilakarkan dari semasa ke semasa.
Malah setiap poin atau modal yang terdetik di fikiran hendaklah cepat-cepat dicatit di nota kecil atau melalui telefon bimbit bijak anda. Ini sangat penting kerana idea menarik tersebut jika tidak cepat dicatit, terkadang kita tidak dapat ingat kembali.
5. Tulis secara beransur
Ingat, tulisan boleh dilakukan secara beransur-ansur. Gunakanlah peribahasa ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’, kecuali anda seorang penulis prolifik, wartawan akhbar harian atau merupakan penulis professional. Kerja anda hanyalah menulis, tiada lain!
Langkah no. 2 yang saya kongsikan sebelum ini contohnya boleh mengambil masa 2-3 hari atau maksudnya 20-30 minit setiap hari atau malam, malah boleh dicatit apabila setiap kali fikiran anda terdetik atau tercetus idea.
Begitu juga langkah no. 3, ia juga boleh dalam masa 4-5 hari atau lebih, bergantung kepada ‘deadline’ anda dan berapa panjang penulisan yang ingin dilakukan. Jika artikel panjang, penulisan ilmiah atau buku pastinya ia mengambil masa lebih lama lagi.
6. Anekdotal
Untuk mengelakkan penulisan kita tidak bosan atau malap. Seperti mana ceramah yang biasa asatizah sampaikan, asatizah juga boleh memasukkan anekdotal dari cerita-cerita atau dialog hasil dari pengalaman peribadi mereka. Ini menjadikan penulisan anda lebih santai dan dekat di hati para pembaca secara langsung.
Anda juga boleh gunakan bahasa pertama seperti ‘saya’ dengan gaya bercerita seperti contoh, ‘saya pernah berdepan dengan satu soalan dari seorang jemaah, beliau bertanya…’
Selain itu, boleh juga merujuk kepada hujjah-hujjah daripada Quran dan Hadis, sirah Nabi serta pendapat para ulama bagi menguatkan hujjah anda terutama bagi pengisian utama.
7. Kesimpulan dan penutup
Setiap permulaan perlu ada penghujungnya, bagi penutup terdapat beberapa cara; anda boleh sama ada merumuskan artikel anda, membuat beberapa saranan dan rekomendasi mahupun harapan anda bagi perkara yang ditulis.
Bergantung kepada jenis penulisan panjang atau pendek, lebih pendek penulisan anda, lebih ringkas seharusnya penutup artikel tersebut.
8. Semakan
Setelah selesai draf awal penulisan, tibalah masa untuk memperkemaskan artikel anda. Bacalah sepintas lalu, perhatikan ejaan, susunan ayat mahupun perenggan atau fakta yang perlu diperkemaskan kembali atau ditambah.
Anda juga boleh meminta teman terdekat yang biasa menulis untuk komentar atau betulkan tulisan. Mintalah teman atau sesiapa yang anda kenali untuk menyemak atau perelokkan tulisan anda.
Memang kita sibuk, dan memerlukan masa. Namun usah jadikan ianya sebagai hambatan. Ambillah inspirasi dari ulama terdahulu.
Tuliskan sedikit demi sedikit, jika satu hari 50 perkataan, tidakkah 10 hari ia sudah 500 perkataan? Ini sudah cukup untuk menjadi satu artikel ringkas sebagai permulaan!
Jadi apa lagi? Selamat mencuba dan semoga berjaya!
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.