Mengenal Pertimbangan dan Keutamaan Dalam Berjihad | Pergas Blog

newest article

mengenal-pertimbangan-dan-keutamaan-dalam-berijtihad-1

Mengenal Pertimbangan dan Keutamaan Dalam Berjihad

15 November 2018 4:21 am // Written by Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff;

Dalam kehangatan isu ISIS (IS), terkenang pula kisah pengalaman saya apabila berdepan dengan beberapa anggota kumpulan Jemaah Islamiah (JI) bagi sesi rehabilitasi keagamaan sedikit masa dulu. Kali pertama sesi saya bersama mereka, berdebar juga hati ini. Mana tidaknya, klien pertama yang saya diminta untuk bersemuka hadir dengan membawa kitab suci Al-Quran!

Tetapi selepas beberapa sesi kaunseling dengan mereka, saya dapati antara sebab golongan ini mudah terpengaruh dengan gejala sebegini ialah kerana kurangnya ilmu pengetahuan Islam yang sebenar-benarnya. Juga kerana keghairahan mereka bagi meraih ganjaran pahala syahid serta pengampunan dari Allah s.w.t., khususnya bagi mereka yang dahulunya leka dan lalai dalam melaksanakan perintah-Nya.

Dalam hal ini, mereka yang tertarik untuk menyertai sebarang perjuangan jihad bersenjata di luar negara dengan pihak-pihak tertentu (seperti IS) perlu sedar dan menimbangkan serta memberi keutamaan kepada perkara-perkara berikut:

Pertama – Mengenal pasti keabsahan jihad yang ingin disertai

Ini dapat diketahui melalui penelitian fatwa dan pandangan para ulama sama ada individu mahupun institusi fatwa sedunia.

Merujuk kepada senarai terkini terdapat seramai 126 ulama serta para akademik Islam seluruh dunia  yang telah menolak perjuangan senjata ISIS (IS). Antara mereka termasuk Mufti Besar Mesir, Sheikh Shawqi Abdel-Karim Allam dan juga Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam yang berpangkalan di Qatar yang diterajui oleh Sheikh Yusuf Al-Qaradawi.

Jika majoriti para ulama berpendapat aktiviti sesuatu kumpulan itu bertentangan dengan ajaran Islam dan patut ditentang, maka sewajarnya kita harus menjauhi kumpulan ini, apatah lagi menyertai perjuangan bersenjata mereka. Ini  kerana dikhuatiri bukan sahaja tidak mendapat pahala jihad, tetapi terjerumus ke dalam jurang yang bertentangan dengan agama Islam seperti membunuh tanpa hak dan sebagainya.

Kedua – Mengenal pasti keutamaan atau prioriti kita

Penting bagi mereka yang berura-ura untuk menyertai perjuangan bersenjata seperti ini untuk mengenal pasti keutamaan atau awlawiyyat mereka.

Ini jelas dalam hadis riwayat Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘As, di mana seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w. meminta izin untuk pergi berperang. Kemudian Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah kedua orang tuamu masih hidup?” Dia menjawab: “Masih.” Maka sabda Nabi s.a.w.: “Berjuanglah untuk kedua orang tuamu itu.” [Sahih Bukhari]

Dalam hal ini, para ulama menegaskan bahawa peperangan yang ingin disertai oleh para sahabat tersebut hanyalah sebatas fardu kifayah sahaja.  Ini berbeza dengan peperangan yang bertujuan untuk mempertahankan agama dan negara dari serangan musuh, maka keizinan ibu bapa tidak lagi diperlukan kerana ia merupakan kewajipan fardu ain.  

Pertimbangan yang sama juga berlaku bagi mereka yang sudah berkeluarga, tetapi bercita-cita untuk menyertai perjuangan di perantauan. Sedangkan dengan kepergian kita itu bakal mengakibatkan pengabaian nafkah kepada isteri dan anak-anak. Pada hal tanggungjawab kita terhadap mereka juga adalah satu kewajipan yang harus diutamakan berbanding dengan lain-lain kewajipan.

Tidakkah Nabi s.a.w. pernah bersabda:

“Satu dinar yang kamu keluarkan di jalan Allah, lalu satu dinar yang kamu keluarkan untuk memerdekakan seorang budak, lalu satu dinar yang kamu keluarkan untuk seorang miskin, dibandingkan dengan satu dinar yang kamu nafkahkan untuk keluargamu, maka pahalanya (Yakni nafkah untuk keluarga) lebih besar. [Bukhari]

Ketiga – Menguruskan kewajipan Allah yang lain

Dalam menguruskan keutamaan atau prioriti juga, perlu diingat bahawa dalam perkara yang wajib pun ada yang lebih utama dari yang lain, bergantung kepada individu Muslim tertentu.

Pertama sekali, pastinya sebagai seorang Muslim kita perlu terlebih dahulu menjaga ibadah solat lima waktu kemudian barulah diikuti dengan kewajipan-kewajipan yang lain. Sebagai contoh bagi seorang pemimpin rumahtangga, selain dari memberikan nafkah, beliau juga perlu memastikan keluarganya mendapat pendidikan yang sempurna, dan ini termasuklah pengetahuan agama.

Bagaimana seseorang bapa itu sampai hati untuk berjuang mempertahankan agama di luar negara, sedangkan kewajipan di depan mata belum dilaksanakan? Tidakkah Allah s.w.t. mengingatkan kita untuk menjaga diri kita dan ahli keluarga kita dari api neraka?    

Malah, menjaga keutamaan dalam melaksanakan kewajipan Allah ini juga tidak terhad kepada kaum lelaki sahaja.  

Dalam satu hadis riwayat Aisyah r.a. , beliau bertanya:

“Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita), jihad yang paling afdal ialah mendapatkan haji mabrur.” [Bukhari]

Keempat – Usah memandang rendah kebajikan yang lain

Dalam keghairahan kita untuk mengejar kehebatan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah seperti jihad bersenjata, usah sekali-kali kita memandang rendah atau meremehkan ibadah-ibadah yang lain. Bukan maknanya, saya cuba mengajak kita semua untuk bersikap mudah berpuas hati, tetapi sekadar untuk membakar semangat kita untuk lebih komited dan menghargai setiap kelebihan amalan yang dikerjakan, lebih-lebih lagi ibadah-ibadah yang fardu.

Lihat sahaja ganjaran solat fardu seperti yang diriwayatkan dalam sepotong hadis Qudsi yang bermaksud:

“Allah s.w.t. berfirman: ‘Aku telah mewajibkan atas umatmu lima waktu solat dan Aku telah membuat janji di sisi-Ku bahawa barangsiapa yang memelihara lima waktu ini, maka dia akan Aku masukkan ke dalam syurga, dan barangsiapa yang tidak menjaganya, maka tiada ada baginya janji-Ku. [Ibnu Majah]

Begitu jugalah janji-janji Allah pada ibadah-ibadah fardu seperti ibadah puasa, zakat, haji dan lain-lain juga mampu menebus dosa kita yang terdahulu. Malah banyak hadis-hadis yang menerangkan betapa ibadah-ibadah ini juga mampu menghapuskan dosa-dosa yang lampau, ini termasuklah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari r.a. yang bermaksud:

“Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada, dan ikutilah perbuatan yang buruk dengan perbuatan baik, maka ia akan menghapusnya, dan bergaullah dengan manusia dengan sebaik-baik pergaulan.” [Tirmidzi]

Pada masa yang sama, kita juga diseru supaya tidak lupa untuk menjaga hubungan sesama manusia yakni satu peluang mudah untuk meraih ganjaran pahala dari Allah s.w.t. dan juga menebus dosa kita, seperti ibadah sedekah. Malah Nabi s.a.w. mengajarkan kita langkah-langkah untuk bersedekah dari mereka yang mempunyai wang sehinggalah kepada mereka yang tidak berwang.

Dalam hadis Abu Musa Al-Asy’ari r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

“Tiap Muslim wajib bersedekah. Para sahabat bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?” Nabi s.a.w. menjawab: “Bekerja dengan kedua tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu bersedekah.” Mereka bertanya lagi: “Bagaimana kalau dia tidak mampu?” Nabi menjawab: “Menolong orang yang memerlukan yang sedang teraniaya”.  Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi menjawab: “Menyuruh berbuat ma’ruf.” Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi s.a.w. menjawab, “Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah.” [Bukhari dan Muslim]

Kelima – Menuntut ilmu Pengetahuan Agama

Bagi membolehkan seseorang Muslim itu tidak mudah terpengaruh dengan gejala-gejala yang kurang sihat atau sebarang diayah yang mengajak kita menyokong dan berjuang bersama kumpulan yang terpesong dari ajaran Islam, seseorang itu perlulah mempelajari ilmu agama.

Dengan pengetahuan agama yang kukuh, kita dapat membezakan antara yang hak dan yang batil atau yang wajib dan sunat. Malah bagi yang fardu pula dapat kita memilih keutamaan dalam kewajipan yang perlu di dahulukan dalam diri kita dan keluarga.

Kesedaran tentang pentingnya ilmu akan menguatkan keyakinan bahawa amalan kita tidak menjadi sia-sia dan diterima Allah s.w.t., kerana itulah yang membezakan antara mereka yang berpengetahuan ataupun tidak. Hayatilah firman Allah s.w.t.:

“Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” [Az-Zumar: 9]

Dengan bersenjatakan ilmu agama, seseorang itu akan lebih memahami ayat-ayat seruan dalam berjihad. Mengelakkan dari mereka yang mengambil kesempatan dalam memanipulasi ayat-ayat Al-Quran untuk kepentingan diri sendiri mahupun dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin merosakkan imej islam.  

Ingatlah, dalam usaha kita mencari keredaan Allah s.w.t., hindari pilihan kepada amalan yang sia-sia khususnya yang semakin menjauhkan diri kita dari Allah s.w.t.

Semoga Allah memelihara kita dan membantu kita dalam membuat pilihan yang terbaik bagi diri kita dan Islam.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

ISU SEMASA MASYARAKAT JIHAD PENGGANAS UMAT ISLAM


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles