Mengorak langkah Dalam Menangani Pandemik COVID-19. Apakah Resolusi & Semangat Baru yang Harus Dibangkitkan? | Pergas Blog

newest article

Mengorak langkah Dalam Menangani Pandemik COVID-19. Apakah Resolusi & Semangat Baru yang Harus Dibangkitkan?

12 December 2023 10:34 am // Written by Hafizhah Binte Masnin;

Dengan izin Allah SWT, tahun 2020 mencatat satu sejarah manusia dengan kemunculan wabak yang merebak di seluruh pelusuk dunia dan meragut jutaan nyawa manusia. Wabak yang dikhabarkan mula merebak dari Wuhan ini telah meragut lebih dari 2 juta nyawa, dan angkanya masih meningkat dari hari ke hari. Perjuangan menentang wabak ini masih belum berakhir selang setahun berlalu.

Kehadiran wabak ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan manusia sejagat, namun ia turut menjejaskan keseluruhan aspek kehidupan manusia dari segi sosial, ekonomi dan emosi. Di sesetengah negara, hampir kesemua perniagaan, sekolah-sekolah serta rumah ibadat terpaksa ditutup dan majlis keramaian pula terpaksa dibatalkan. Warga pula terpaksa berada di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan. Ada yang kehilangan sumber pencarian. Keadaan hidup seperti tidak menentu yang menyebabkan sebahagian masyarakat dalam keresahan dan depresi.

Begitulah antara cabaran yang dihadapi rakyat Singapura dan penduduk dunia sejak kemunculan wabak COVID-19 tahun lalu. Dunia berubah dengan sekelip mata menunjukkan tanda kekuasaan Allah SWT yang tiada tandingannya. Ia ibarat teguran dari Allah SWT kepada kita yang masih lena mengejar dunia. 

اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُعْرِضُون

Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya) . [Al-Anbiyaa’, 21: 1]

Semestinya setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri. Sebagai seorang Muslim yang beriman, kita perlu tidak terlalu fokus kepada apa yang berlaku. Tetapi apakah respon terhadapnya dan pengajaran yang dapat kita pelajari untuk menambah kualiti kehidupan serta tahap keimanan kita. Setahun sudah berlalu, kita ingin bangkit dan menyuntik semangat baru dalam diri agar cekal menghadapi hari-hari yang mendatang. Antara perkara yang boleh menjadi muhasabah kita dalam menangani pandemik ini ialah:

1.Fokus kepada Penyucian Jiwa

Kehadiran wabak ini memperlihatkan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Sebaliknya manusia makhluk yang kerdil dan lemah tidak mempunyai sebarang kuasa mutlak, meski sehebat mana pun mereka mencipta peralatan canggih dan memiliki takhta. Dengan sekelip mata, seluruh keadaan dunia berubah, yang kaya dan miskin semuanya tidak terlepas dari risiko wabak ini. Ini mengingatkan kita sebagai insan agar tidak sombong dan takabbur memiliki segala kuasa dan kemampuan. Pada hakikatnya, Allah lah yang Maha Berkuasa atas setiap makhluknya. Setiap usaha kita merupakan amal soleh yang hanya Allah mengizinkan ia dapat terlaksana, manakala hasil sesuatu usaha itu merupakan rezeki yang dikurniakan Allah kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki.

Justeru, tiada sebab untuk kita berlaku sombong dengan sesama manusia apatah lagi dengan Allah SWT bak kata Buya Hamka, “Manusia itu asalnya dari tanah, makan hasil tanah, berdiri atas tanah, akan kembali ke tanah, kenapa masih bersifat langit?” Odit diri kita setiap hari dengan melazimi istighfar dan taubat, melihat semua orang dengan perasaan rendah hati, sedar bahawa segala yang kita miliki hatta kekuatan kita dapat berjalan dan melakukan kerja seharian semuanya atas izin Allah SWT.

2.Menambah ilmu agama

Pernahkah kita terfikir bahawa suatu hari masjid akan ditutup, majlis-majlis ilmu terpaksa dibatalkan. Adakala kita rasa, “nanti bila senang, aku hadir”. Aktiviti kerohanian dan keilmuwan terhambat dari melangsungkan secara fizikal. Namun lihatlah, satu demi satu bangkit menggunakan alternatif wadah online agar orang ramai tetap terus menimba ilmu agama. COVID-19 membawa hikmah yang cukup luar biasa kepada sektor agama. Kini tiada lagi alasan untuk tidak mendalami ilmu agama. Semuanya telah tersedia di hujung jari hanya tinggal kita untuk memilih sama ada ingin beralasan atas kata nanti atau belajar sekarang. Sekarang bererti dari detik ini. Kini hampir semua bidang ilmu dapat kita pelajari secara virtual. Tiada lagi alasan tidak ada masa. Inilah masanya.

3.Memanfaatkan setiap situasi

Allah SWT tidak sesekali menimpakan sesuatu kepada hambaNya lebih daripada yang ia mampu menanggungnya. Begitulah seharusnya kita sedari bahawa ujian yang kita alami bukan untuk membebankan kita, malah untuk mengajar kita dan menguatkan lagi diri kita. Orang yang bijak tidak merungut mahupun meratap jika musibah atau ujian melanda. Bahkan ia akan memanfaatkan setiap keadaan tersebut. Seperti Buya Hamka yang mampu menulis kitab Tafsir ketika di penjara, apa yang kita dapat sekarang ialah segelintir manusia bangkit dan menggunakan kreativiti mereka untuk mencari alternatif lain dalam kesempitan. Sebagai contoh pemilik kedai yang tidak dapat meneruskan bisnesnya secara fizikal, mereka mewar-warkan produk mereka secara online. Ada yang menukar produk bisnes mereka dan ada juga menukar kerjaya dari seorang peniaga kepada seorang penghantar makanan. Kuliah-kuliah di masjid pula mengambil inisiatif untuk tetap meneruskan pengajian secara online. Ahli keluarga yang terpaksa bekerja dan belajar dari rumah mengambil kesempatan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan seperti solat berjemaah dan aktiviti harian bersama.

وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. [Al-Baqarah, 2:216]

Setiap yang berlaku atas qadar Allah dan Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Dengan keimanan, ia membolehkan seseorang melihat dengan kaca mata hikmah dan rahmat. Menjadikan musibah ini suatu peluang dan merasakan rahmat Allah Taala adalah respon yang bijak terhadap sesuatu yang dipandang negatif.

4.Bersedia dengan segala kemungkinan

Tahun 2020 mengajar kita bahawa keadaan boleh berubah dengan serta merta. Norma hidup yang kita lalui sepanjang hidup kita boleh berubah esok. Apa yang kita perlu persiapkan adalah keyakinan dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah Taala. Tahun lalu memberikan kita kesedaran akan waktu yang sangat pendek, hari yang tak pasti, dan maut yang sentiasa menanti. Justeru, manfaatkan setiap waktu yang ada dengan perkara yang berfaedah, usahlah membazir waktu dan tenaga untuk perkara yang remeh dan siap untuk menghadapi hari esok dengan ketenangan dan ketakwaan.

“Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” (Muslim)

CONTEMPORARY ISSUES ISU SEMASA


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles