Sejak tercetus wabak COVID-19 pada awal tahun 2020, berlaku perubahan besar di seluruh dunia. Banyak perkara yang berubah dan merosot.
Antara lain, ekonomi jagat merosot dari segi jumlah dagangan dan pekerjaan.
Laporan media pula menunjukkan juga kesan wabak ini pada akhlak atau moral iaitu kian menonjol amalan rasuah, silap tadbir, pengganasan sehinggalah kezaliman ke atas rakyat biasa dan suasana tertekan akibat langkah jarak selamat dan pengasingan.
Sebagai umat Islam, kita perlu pastikan bahawa ada satu ciri yang tidak boleh menurun dan merosot, iaitu iman. Malah kita perlu pelihara iman yang mesti dipertingkat tidak kira dalam apa jua keadaan.
Dengan teguhnya iman di hati, umat Islam yakin bahawa segala yang berlaku adalah atas izin Ilahi. Iaitu, setiap suatu hal mempunyai hikmah dan pengajaran buat setiap hamba-Nya. Hal ini menepati maksud sabda Rasulullah saw :
“Sungguh ajaib urusannya seorang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya akan mendapatkan kebaikan baginya dan perkara ini tidak berlaku melainkan bagi seorang Mukmin. Jika dia ditimpa kegembiraan, dia bersyukur, maka ini baik baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka ini baik baginya.”[1]
Iman ialah bekal setiap Muslim pada setiap keadaan hidupnya. Inilah juga teras pada tonggak keenam Rukun Iman iaitu percaya pada qadak dan qadar atau takdir Allah SWT.
Sentiasa Berubah
Ciptaan Allah amat luas dan rencam di alam semesta. Antara ciptaan-Nya ialah insan di bumi, satu daripada ribuan bilion cakerawala ciptaan-Nya.
Hakikatnya alam semesta sentiasa melalui perubahan. Ada bintang yang baru muncul, ada bintang yang hancur dan ada bintang berubah menjadi planet.
Bumi sebagai planet juga mengalami perubahan besar dari zaman berzaman.
Insan juga mengalami pelbagai perubahan dari sejak di alam ruh, alam dunia, alam barzakh sehingga dibangkitkan pula alam akhirat kelak.
Dalam menghadapi perubahan, ada umat manusia yang diuji tapi gagal sehingga dihapuskan oleh Allah seperti kaum Nabi Hud dan kaum terdahulu yang menjadi iktibar bagi kita. Persoalannya: bagaimana umat Islam dapat menakat, bahkan berjaya, dalam mengharungi setiap ujian atau perubahan?
Persoalan ini juga terkait dengan sunnatullah atau hukum alam yang dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tetang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (QS Al-Ankabut : 2-3)
Mari kita susuri isu-isu penakatan (survival) dari kaca mata Islam.
Wabak Di Seluruh Dunia
COVID-19 telah diisytiharkan pandemik atau wabak rentas dunia pada Mac 2020. Menjelang akhir tahun 2020, dijangka 70 juta manusia mengidapinya dengan jumlah kematian hampir 2 juta jiwa.
Menyusuri rekod sejarah, memang terdapat banyak wabak seperti Spanish Flu (berasal dari Sepanyol) yang meragut lebih 30 juta jiwa selepas tamat Perang Dunia II (1918-1920). Eropah pernah dilanda taun akibat kuman dibawa tikus dalam abad ke-14 dan meragut sehingga 100 juta jiwa di seluruh dunia.
Dalam menghadapi ujian besar seperti wabak, perang dan sebagainya, Islam telah mewariskan banyak prinsip atau petua.
Antara lain, Rasulullah saw telah mengajarkan kita peri penting menjaga kebersihan – bukan saja untuk berwuduk, malah dalam urusan yang lain termasuk menyediakan makanan dan sebagainya.
Prinsip-prinsip kesihatan tadi telah membantu pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab dalam membina urus tadbir pemerintahan yang teguh. Beliau telah mengarahkan ekspedisi ke Syam (Syria) dihentikan kerana terbetik berita tentang wabak di sana. Ini terpapar dalam kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah karangan Imam Ibn Kathir.
Saintis pelopor dalam bidang perubatan Islam, Ibn Sina (980-1037M) telah mengembangkan prinsip-prinsip mengenai kesihatan dan pengubatan di peringkat pemerintah sehingga rakyat biasa.
Jelas sekali dalam menghadapi wabak atau apa jua ujian, akan terpapar hubungan pemerintah dengan rakyat, pemimpin dengan rakyat dan sebagainya. Di sebalik beberapa masalah peringkat awal, kita perlu bersyukur kerana Singapura dianggap antara negara yang cekap menangani COVID-19.
Ujian Keburukan dan Kebaikan sebagai Pengukuh Diri
Untuk menentukan seseorang murid faham akan pelajaran, guru mengadakan ujian untuk menilai muridnya.
Begitu juga dengan ujian Allah. Ia merupakan penilaian ke atas insan, ciptaan-Nya – dari segi keimanan, keupayaan, nilai luhurnya dan sebagainya. Dan ujian ini merangkumi ujian keburukan dan kebaikan.
“Setiap diri akan merasai mati. Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan” (QS Al-Anbiya : 35)
Untuk menghadapi ujian, sekurang-kurangnya ada tiga perkara ini perlu diberi perhatian:
Iman
Terus berusaha meningkatkan iman. Antara lain, ini dicapai dengan mengenali Allah SWT melalui Sifat dan Nama-Nya yang indah lagi agung.
Renungkanlah: bagaimana kuman yang terlalu kecil sehingga tidak terlihat oleh mata, boleh mengubah keadaan sedunia dengan sekejapan. Maka tidakkah kita mengambil iktibar?
Iman tentulah berteraskan ilmu. Maka itu, umat Islam perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran untuk sentiasa dapat menakat dalam menghadapi apa jua ujian. Pastikan anak kita mendapat pendidikan secukupnya dari segi ilmu ukhrawi. Sekalipun sudah tua, teruskan menimba ilmu dari sumur ilmu yang dikurniai Allah yang tidak pernah kering.
Hayatilah maksud firman-Nya:
“Dan Dia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan, dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya” (QS Al-Nahl : 12)
Segala sesuatu yang terjadi kepada kita merupakan peringatan daripada Allah supaya kita kembali semula kepada-Nya.
Amal
Mencari ilmu difardukan ke atas setiap Muslim. Ini adalah amalan teras selain mengerjakan solat, berzakat, puasa dan menunaikan haji (jika mampu). Bekerja juga ibadah.
Konsep ibadah bagi seseorang Muslim bukanlah sekadar melakukannya, tetapi menghayatinya sehingga berlaku rasa khusyuk dalam mensyukuri ni’mat Allah SWT dan tercapai takat cemerlang.
Untuk itu, kita perlu sentiasa bermuhasabah agar ibadah kita (fardu ain seperti solat sehingga fardu kifayah) terus meningkat nilainya atau tidak merosot mutunya.
Misalnya, kita bukan saja tahu baca Quran dengan tajwidnya, tetapi perlu faham makna sekitar 2,000 kekata dasar Arab dalam Quran. Dengan ini, bacaan Quran yang kita dengar atau kita sebutkan akan membaca makna yang menyerlah dalam jiwa kita.
Tingkat Akhlak
Islam adalah agama akhlak.
Rasulullah menyatakan misi utamanya ialah untuk memperelok akhlak.
Biar betapa getir sesuatu ujian, kita perlu berakhlak indah seperti sabar dan gigih dalam bertugas yang diamanahkan, berlaku ihsan serta santun dengan sesiapa saja.
Sabar dan kegigihan diperlukan dalam menjalani resam hidup baru ketika wabak dengan memelihara kebersihan diri dan sekitaran.
Kita perlu ihsan dan santuni para pegawai barisan hadapan seperti jururawat, doktor sehingga duta kesihatan yang mengawal lalu-lalang manusia demi mengelakkan jangkitan.
Dalam suasana ekonomi yang tertekan, ramai dibuang kerja. Bayangkan kesusahan yang lebih berat dialami oleh keluarga ibu tunggal, orang tua melarat atau golongan berpenyakit. Mereka semua menuntut bantuan ihsan daripada kalangan kita yang mampu.
Terlebih dulu, kita perlu utamakan kaum keluarga sendiri yang mengalami kesukaran. Maka itu, perlu kita berbaik sangka, murah hati, redha, rendah hati lagi ikhlas untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.
Yang terpenting adalah perkara-perkara yang dilarang oleh Allah ta’ala, setiap insan perlu sedaya upaya menghindarkan diri darinya, lebih-lebih lagi ketika wabak melanda.
Ingatlah pesanan Sayyiduna Umar dalam suratnya kepada Sayyiduna Abu Musa Al-Asy’ari:
“Hendaklah kamu bersabar. Ketahuilah bahawa sabar itu ada dua. Salah satu dari padanya lebih afdhal dari yang lain. Sabar dalam musibah adalah baik. Dan yang lebih afdhal daripada itu adalah sabar dari perkara-perkara yang diharamkan Allah Ta’ala.”[2]
Cara Hidup Baharu
Menurut ramai ilmiawan, cara hidup sebelum wabak COVID-19 tidak akan kembali.
Oleh itu, hidup hari muka yang kian berteraskan teknologi maklumat akan meluas termasuk dalam cara kita bekerja, belajar sehingga bergaul (rujuk Ar-Risalah terbitan 32 dan 33)
Perubahan sedemikian menuntut kita mempelajari teknologi baru – misalnya cara membayar tanpa tunai tetapi menggunakan telefon sahaja sehingga menggunakan kenderaan kuasa elektrik (bukan minyak petrol).
Terkadang, belajar agama terpaksa diadakan secara talian, walaupun kita sedia maklum bahawa belajar dengan cara bersemuka dengan guru (talaqqi) adalah yang terbaik.
Misalnya bagi murid dan guru, timbul soalan – bagaimana mengelakkan penipuan ketika ambil ujian di rumah dan bukan dalam bilik darjah?
Bagi pekerja, timbul soalan – bagaimana meningkat daya penghasilan atau produktiviti tanpa mengelat kerana tidak dipantau oleh penyelia?
Seorang alim di tanah Melayu, Syeikh Abdul Qadir Al-Mandili berpendapat bahawa seorang Muslim bukanlah hidup pasrah semata, sebaliknya bertindak dengan terbaik dan selamat walaupun dalam suasana amat mencabar:
“Bukan makna redha menghadapi qadak Allah Ta’ala dengan membiarkan mudarat datang kepada dirimu sedangkan engkau berkuasa menolaknya.”[3]
JIWA ISLAH
Umat Islam memerlukan jiwa islah dan kembali kepada Allah ta’ala pada setiap waktu dalam menghadapi cabaran dan ujian. Ini ditujukan kepada pelbagai peringkat manusia, tidak kira muda atau tua, berpangkat tinggi atau rendah.
Dengan keadaan dunia yang berubah dengan pesat, jiwa islah dan ketahanan spiritual kian utama dalam menghadapi apa jua cabaran yang membawa kemerosotan nilai.
Ingatlah pesan Allah SWT dalam Surah Adh-Dhariyat ayat 50:
“Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata” (Adh-Dhariyat : 50)
Oleh itu, bagi setiap Muslim, yang diperlukan selain meraih ilmu dan mempunyai akhlak mulia, ialah sentiasa memaparkan sifat kehambaan kepada Allah SWT agar diberi pedoman ke arah hidup yang diredhai-Nya.
Imam Ibn ‘Atoillah As-Sakandari berkata di dalam hikamnya:
“Buktikan dengan benar sifat-sifatmu, nescaya Allah membantumu dengan sifatNya. Buktikan dengan benar sifat kehinaanmu, nescaya Allah membantumu dengan sifat kemuliaanNya. Buktikan dengan benar sifat kekuranganmu, nescaya Allah membantumu dengan sifat kekuasaanNya. Buktikan dengan benar sifat kelemahanmu, nescaya Allah membantumu dengan sifat kekuatanNya.”[4]
Akhir kata, ingatilah pesan pujangga Melayu Raja Ali Haji (1808-1873) lewat karyanya Gurindam 12 [5]:
Ingatkan dirinya mati,
Itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
Kepada hati yang tidak buta
Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita semua. Wallahua’lam.
Rujukan :
[1] Hadis riwayat Imam Muslim, no. 2999.
[2] Al-Imam Al-Ghazali, tanpa tarikh, Ihya ‘Ulumiddin, jilid 4, ms 62.
[3] Al-Syeikh ‘Abd Qadir Al-Mandili, 1964, Penawar Bagi Hati, ms 94.
[4] Al-Syeikh ‘Abd Al-Majid Al-Syurnubi, 2006, Syarh Hikam Al-Imam Ibn ‘Atoillah Al-Sakandari, ms 188-189, hikmah no.178.
[5] Abu Hassan Sham, 1993, Puisi-Puisi Raja Ali Haji, ms 282, gurindam fasal ke 12.
Abu Hassan Sham, 1993, Puisi-Puisi Raja Ali Haji, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Al-Ghazali, Al-Imam Abu Hamid, tanpa tarikh, Ihya ‘Ulumiddin, Beirut, Dar Al-Ma’rifah.
Al-Mandili, Al-Syeikh ‘Abd Al-Qadir bin ‘Abd Al-Muttalib, 1964, Penawar Bagi Hati, Thailand, Sahabat Press.
Al-Nawawi, Al-Imam Muhyiddin Yahya bin Syaraf, 1997, Al-Minhaj Syarh Al-Jami’ Al-Sohih (Syarh Sohih Muslim), Damsyiq, Dar Al-‘Ulum Al-Insaniyyah.
Al-Syurnubi, Al-Syeikh ‘Abd Al-Majid, 2006, Syarh Hikam Al-Imam Ibn ‘Atoillah Al-Sakandari, Damsyiq, Dar Ibn Kathir.
Pergas, Jan-Apr 2020, Ar-Risalah terbitan ke-32.
Pergas, Mei-Ogos 2020, Ar-Risalah terbitan ke-33.
Sheikh Abdullah Basmeih, 2010, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran, Malaysia, Darulfikir.