Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.
Selamat bertemu kembali di Wasat, no. 28/Ogos 2019.
Diucapkan juga kepada sekalian pembaca, “Salam Eid Al-Adha”, bersempena dengan Hari Raya Haji yang akan menjelang pada 11 Ogos nanti.
Didoakan kepada pembaca yang sedang menunaikan haji agar dipermudahkan segala urusan dan diterima segala ibadah dan doa.
Kepada yang melakukan ibadah korban pula didoakan agar ibadah yang dilakukan menjadi pembersih segala dosa dan pembawa keberkatan bagi kehidupan mendatang.
Wasat kali ini menyampaikan tiga artikel buat tatapan para pembaca dengan harapan ia akan terus menambah ilmu dan mendorong minda untuk berfikir dan merenung kehidupan agama diri, keluarga dan masyarakat.
Artikel pertama bertajuk Wasatiyah Terhadap Alam Sekitar: Fahami Ancaman Plastik dan Kurangkan Penggunaannya, sumbangan Ustazah Hafizhah Masnin. Artikel ini membawa pesanan wasatiyah terhadap alam sekitar yang bermaksud Muslim hendaklah menjauhi apa jua amalan yang menyumbang pada kerosakan alam sekitar kerana ia menyalahi peranan dirinya sebagai khalifah di muka bumi ini, seperti berlebih-lebihan dalam meneroka sumber alam atau dengan cara yang boleh memudaratkan alam sekitar. Dalam hal ini, artikel ini memberi tumpuan kepada bahaya penggunaan plastik terhadap alam sekitar dan kepentingan untuk Muslim memainkan peranan di pelbagai peringkat untuk mengurangkan penggunaannya kerana sifatnya yang boleh mencemar alam sekitar.
Artikel kedua pula dalam bahasa Inggeris ialah sumbangan Ustaz Mohd. Kamal Mokhtar yang bertajuk, Are Interest or Coupons in Singapore Government Savings Bond (SGSS) Considered Riba? Artikel ini berhujah bahawa faedah yang diberi kepada pemegang Bon Simpanan Pemerintah Singapura adalah halal kerana ia bukan dari riba yang dilarang. Sifat artikel ini yang bersedia membuat penilaian semula pada fahaman yang sudah terbiasa dan berusaha untuk meneroka perspektif baru berdasarkan metodologi yang muktabar sesuai dengan ciri wasatiyah yang ingin dikembangkan iaitu bersifat tajdid dan islah. Namun perlu dijelaskan, pendapat penulis ini khusus bagi faedah yang diberikan kepada pemilik bon pemerintah Singapura dan penulis secara jelas menegaskan bahawa faedah yang diberikan kepada pendeposit di bank komersial konvensional tidak termasuk dalam pembahasan artikel ini.
Akhir sekali ialah artikel berbahasa Inggeris juga yang bertajuk Dealing with Non-Practising/Sinful Close Family Members: Argument for “Hate the Sin, Not the Sinner”, oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan. Dalam artikel ini, beliau memberi hujah-hujah agama bagi sikap membenci dosa, tanpa perlu membenci pelaku dosa, khususnya terhadap ahli keluarga terdekat seperti anak, ibu bapa dan suami/isteri, berdasarkan contoh-contoh dari kisah para anbiya’ yang disebut dalam Al-Quran. Melalui artikel ini, penulis menganjurkan Muslim agar tidak cepat untuk menyisih dan memulaukan ahli keluarga yang tidak soleh. Beliau juga cuba membetulkan fahaman bahawa berlaku baik dan terus menjalin hubungan silaturahmi dengan mereka tidak bermakna bersyubahat dan reda akan cara hidup mereka yang menyalahi agama.
Selamat membaca.. Bacalah dengan nama Tuhanmu.