Tadarruj (Bertahap-tahap): Sifat Wasatiyah Dalam Cetus Perubahan | Wasat No. 45 / September 2022

wasat

Wasat 45-1

Tadarruj (Bertahap-tahap): Sifat Wasatiyah Dalam Cetus Perubahan

01 September 2022 12:01 am // Written by Muhammad Husin bin Masnin

Perubahan merupakan sebahagian dari kehidupan. Namun, perubahan yang dikehendaki Islam ialah perubahan ke arah kebaikan, samada dari buruk kepada yang baik, atau dari yang sedia baik ke arah yang lebih baik.

Persoalannya ialah, bagaimana perubahan itu dirangka atau dirancang? Adakah secara melulu atau radikal agar hasil dan natijahnya segera tercapai? Atau secara bertahap, berperingkat dan tersusun yang akan membawa kepada matlamat yang kehendaki walaupun perlahan?

Perkataan tadarruj berasal kata da-ra-ja yang bermaksud berjalan secara perlahan seperti “daraja al-syaikh wa al-sobiy” yang bererti orang tua dan bayi itu berjalan lemah dan merangkak.[1] Manakala perkataan darajah seperti yang terdapat dalam firman Allah taala, “Dan bagi kaum lelaki ke atas kaum perempuan satu darajah. (Al-Baqarah: 228) yang bermaksud tingkat atau kedudukan (yang lebih tinggi).[2]

Seterusnya perkataan istidraj seperti dalam frasa “Allah taala mengistidraj hambaNya” bererti Allah akan menambah nikmat kepada hambaNnya sehingga dia menjadi lupa dan lalai untuk memohon keampunan apabila dia terus menambah perbuatan dosa[3] sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah taala,Sanastadrijuhum (Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit ke jurang kebinasaan) tanpa mereka mengetahui” (Al-A`raf: 182).[4]

Maka boleh disimpulkan di sini bahawa tadarruj bererti bertahap-tahap, perlahan-lahan, beransur-ansur dan berperingkat-peringkat.

Suatu ketika anak kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz yang bernama Abdul Malik bertanya ayahnya mengapa terdapat perkara-perkara yang tidak dilaksanakan dengan segera oleh beliau. Umar bin Abdul Aziz pun menjawab,

“Jangan terburu-buru wahai anakku. Sesungguhnya Allah taala mencela arak di dalam Al-Quran sebanyak dua kali, lalu diharamkannya pada kali ketiga. Aku bimbang jika aku membawa kebenaran kepada manusia secara sekaligus, mereka akan menolaknya pula secara sekaligus, dan itu mendatangkan fitnah.”[5]

Hal ini adalah kerana sikap terburu-buru dan inginkan hasilnya dengan segera berisiko untuk menghasilkan natijah yang sebaliknya. Ibarat memetik buah yang belum sedia masak atau ranum, rasanya tidak enak dan memuaskan walaupun tanaman itu sudah dibaja, dipelihara dan disirami dengan air yang cukup.

Terdapat beberapa contoh di mana tadarruj itu merupakan aturan Allah  bagi perubahan kehidupan dan sekaligus memberi pengajaran kepada manusia agar perubahan itu tidak seharusnya dilaksanakan secara melulu dan terburu-buru. Antaranya ialah,

1. Tadarruj dalam penciptaan alam

Terdapat banyak ayat yang menyebut tentang penciptaan alam secara bertahap-tahap. Antaranya firman Allah taala,

“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy…” (Al-A’raf: 54)

“Sesunggguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan…” (Yunus: 3)

Terdapat hikmah di sebalik penciptaan alam ini secara berperingkat-peringkat. Menurut Imam Al-Qurtubi, walaupun Allah taala mampu mencipta alam ini dengan sekelip mata, namun Allah menetapkan tempoh jangka masa ini untuk mengajar hamba-Nya agar menghalusi setiap perkara yang hendak dilaksanakan.[6]

Dr. Zaghloul Al-Najjar pula berkata terdapat tujuh ayat yang menyebut secara ringkas penciptaan alam dalam enam masa (sittah ayyam), namun ianya diterangkan secara jelas oleh Allah taala melalui empat ayat (ayat 9-12) di dalam surah Fussilat (Yang dijelaskan). Penamaan surah ini adalah untuk menjelaskan proses penciptaan langit dan bumi dan menjadi bukti akan kekuasaan Allah taala.[7]

2. Tadarruj dalam penciptaan manusia

Proses penciptaan manusia diterangkan di dalam Al-Qur’an juga bertahap-tahap sebagaimana dalam firman Allah taala,

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku, lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta” (Al-Mukminun: 12-14)

Imam Ibn Kathir menghuraikan ayat 14 di atas, “Ketika Dia menyebutkan kekuasaan dan kelembutanNya dalam penciptaan nutfah ini dari satu keadaan menjadi keadaan yang lain, dari satu bentuk ke bentuk yang lain, sehingga menjadi satu bentuk iaitu manusia yang mempunyai ciptaan yang normal lagi sempurna.”[8]

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a yang melaporkan, “Rasulullah s.a.w. telah menceritakan kepada kami dan dia adalah orang yang benar lagi dibenarkan: Sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian dia menjadi segumpal darah seperti tempoh tersebut juga (empat puluh hari), kemudian dia menjadi seketul daging seperti tempoh tersebut juga (empat puluh hari). Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan roh padanya. Lalu dia (malaikat) disuruh oleh Allah supaya menulis empat perkara: rezekinya, ajalnya, amalnya, dan celaka atau bahagianya…” (Riwayat Muslim)[9]

Hikmah di sebalik penciptaan manusia bertahap-tahap adalah untuk menyusun kejadian manusia serta kejadian alam agar menepati rukun sebab dan musabab. Selain untuk memperlihatkan kekuasaan Allah taala, ia tidak langsung mengajar hambaNya agar berhati-hati di dalam setiap urusan dan menjauhi sikap tergesa-gesa.[10]

3. Tadarruj dalam syariat Islam

Penurunan Al-Qur’an juga berlaku secara bertahap-tahap sebagaimana yang difirmankan oleh Allah taala,“Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang, dan Kami menurunkannya beransur-ansur.” (Al-Isra’: 106).

Yakni dipisahkan penurunan Al-Qur’an itu dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia, kemudian diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku selama dua puluh tiga tahun.[11]

Antara hikmah diturunkan Al-Qur’an secara beransur-ansur adalah demi kesesuaian peristiwa yang berlaku dan untuk menetapkan hukum syariat secara bertahap-tahap kerana syariat Islam tidak akan mudah diterima masyarakat jika ianya diterapkan secara sekaligus.

Justeru itu juga, terdapat surah-surah makkiyyah dan madaniyyah yang menunjukkan perbezaan dari sudut fokusnya. Di mana surah-surah makkiyyah lebih tertumpu kepada tauhid dan keimanan agar masyarakat didahului dengan pengukuhan akidah Islam dari sebarang kesyirikan. Manakala madaniyyah pula lebih tertumpu selanjutnya kepada isu jenayah, kekeluargaan, muamalat dan sebagainya.[12]

Kewajipan solat, puasa dan zakat juga tidak diwajibkan serta merta. Demikian  juga dengan pengharaman arak dan riba yang berlaku secara bertahap-tahap. Kesemuanya ialah untuk menjaga  masyarakat agar tidak menjadi kucar-kacir dan huru-hara dengan perubahan jika dilakukan secara mendadak.

Menurut Syeikh Yusuf Al-Qardawi, tadarruj bukanlah bererti penundaan dan penangguhan dalam perlaksanaannya, tetapi ianya bermaksud menyusun langkah secara teratur agar matlamat dan tujuannya dapat dicapai kelak.[13]

Saiyidatina Aisyah r.a. berkata,

“Sesungguhnya yang awal diturunkan ialah surah al-mufassal yang di dalamnya disebutkan tentang syurga dan neraka. Apabila manusia sudah menerima Islam, turunlah ayat berkaitan halal dan haram. Seandainya yang awal diturunkan ialah jangan kalian minum arak, nescaya mereka akan berkata: Kami tidak akan meninggalkan arak selamanya. Seandainya yang turun ialah jangan berzina, nescaya mereka akan berkata: Kami tidak akan meninggalkan zina…”[14]

4. Tadarruj dalam berdakwah

Dakwah yang terbaik untuk dijadikan contoh tauladan adalah dakwah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. Dari sirah perjalanan dakwah baginda, terdapat perbezaan cara dalam fasa-fasa yang berbeza selama tempoh 23 tahun untuk menyebatikan ajaran  Islam kepada masyarakat di Mekah dan Madinah.

Rasulullah s.a.w memulakan dakwah secara rahsia kepada orang-orang terdekat sebelum dakwah secara terbuka kepada orang ramai, dan mengukuhkan aspek akidah dahulu sebelum aspek-aspek yang lain. Selain mempunyai manhaj holistik dari aspek ilmu, amal, pemikiran, perilaku, akidah dan syariah, manhaj Rasulullah s.a.w. juga mengajarkan kepada kita bagaimana berinteraksi dengan pemahaman yang mendalam terhadap realiti semasa agar dapat menerapkan hukum syariat secara tepat dan betul.[15]

Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Mu’az Bin Jabal ketika mengutusnya ke Yaman,

“Sesungguhnya kamu akan mendatangi suatu kaum dari Ahli Kitab. Pertama sekali kamu ajarkan kepada mereka adalah tentang mengesakan Allah taala. Jika mereka telah mengerti tentang itu, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka telah melaksanakan solat, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat dari harta mereka yang diambil dari orang-orang kaya antara mereka dan dikembalikan kepada orang-orang miskin. Jika mereka mengakuinya, ambillah zakat mereka. Namun, hati-hatilah dari harta berharga yang mereka miliki.”[16]

Ini turut berlaku dalam sejarah dakwah di Nusantara di mana penyebaran Islam dijalankan secara perlahan-lahan melalui perdagangan dan bukanlah dengan kekerasan atau peperangan sepertimana kata Buya Hamka,

“Demikianlah perjalanan Islam dalam masa 14 abad; tumbuh sejak abadnya yang pertama dengan lambat, tetapi tetap. Jarang sekali ada kekerasan, kecuali apabila ada pertentangan politik atau perebutan kekuasaan dengan kerajaan lain, sehingga kekerasan yang patut dicatat barulah terjadi di dalam abad keenam belas, seketika Demak memberikan pukulannya yang terakhir terhadap Majapahit yang memang telah lemah juga.”[17]

Tadarruj dan perubahan semasa

Kita pasti ingin kehidupan yang aman dan selesa. Namun, setiap langkah ke arah kebaikan haruslah disusun dengan rapi dari sekarang. Sebuah buku yang ditulis oleh Dr. Majid Irsan Al-Kaylani mengenai rahsia kejayaan Salahuddin Al-Ayyubi yang berjudul Hakaza Zahara Jayl Salah Al-Din Wa Hakaza `Adat Al-Quds (Beginilah Muncul Generasi Salahuddin dan Begini Juga Al-Quds Kembali Ke Umat Islam), membicarakan secara kronologi bagaimana terlahirnya seorang panglima yang berjaya menawan kembali Al-Quds dari tentera Salib. Ia  bukan usaha individu. Sebaliknya, ia usaha bersama yang dimulai dari zaman Imam Al-Ghazali dan dituruti oleh Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani dan seterusnya lahir Nuruddin Al-Zinki dan kemudian Salahuddin Al-Ayubi.

Kekuatan yang dikecapi masyarakat Islam ketika itu bukanlah dipupuk hanya melalui kekuatan ketenteraan atau fizikal, tapi dimulai dengan pengukuhan rohani dari zaman Imam Al-Ghazali, dan selanjutnya bertahap-tahap melahirkan generasi Islam yang teguh kekuatan rohani dan jasmaninya.[18] Prof. Syed Hussein Alatas berkata,

“Tiap-tiap perubahan yang besar dalam sejarah, tiap-tiap revolusi yang terjadi dalam sejarah, selamanya didahului oleh satu perubahan rohani yang besar. Tidak terjadi satu perubahan masyarakat dengan tidak didahului oleh suatu perubahan dalam pandangan hidup anggota-anggotanya.”[19]

Justeru jerih payah yang dilakukan oleh sesuatu generasi itu tidak semestinya akan dilihat hasilnya pada masa terdekat, tapi mungkin akan dikecapi oleh generasi selanjutnya setelah generasi terdahulu memulakan langkah pemula.

Apa yang perlu diperhatikan di sini ialah setiap individu memainkan peranan yang penting dalam mengorak langkah perubahan. Setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam merangka perubahan masyarakat ke arah kebaikan. Bak kata pepatah Melayu: Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Selain melihat kepada isu masyarakat sosial, isu alam sekitar turut perlu diambil perhatian. Perubahan iklim yang melanda di dunia ini telah menggusarkan penduduk bumi. Ia akan mengakibat pelbagai bencana seperti kenaikan paras air laut, kebakaran hutan, cuaca ribut serta menjejas kehidupan haiwan dan tumbuh-tumbuhan.[20]

Kesan dari perubahan iklim ini mungkin tidak terkesan atau ketara dirasai oleh generasi kini, tetapi bagaimana dengan generasi akan datang? Justeru, usaha bersama untuk menangani isu ini perlu dimulai dari sekarang walaupun kelihatan kecil, tetapi secara bertahap-tahap ianya akan membuahkan hasil yang berjaya.

Akhir kalam, disertakan di sini sebuah puisi oleh sasterawan Malaysia, A. Samad Said yang berjudul Bangun Bersama buat tatapan bersama:

Kami anak tanah merdeka

bumi tersubur yang bertuah;

kami suara warisan gagah

pencinta ilmu sesasanya.

 

Kami idam dunia indah

ingin bahagia bersama,

sedia pertahan maruah

demi sejahteranya dunia.

 

Dunia sejagat damai raya

ingin benar dipelihara;

tanpa tindas dan tanpa dera

hak setara bagi manusia.

 

Kami ingin bangun bersama

hidup syahdu bahagia semua;

kami yakin insan dan buana

wajar kasihi sesamanya.[21]

Wallahu a’lam.

 


 

Rujukan:

[1] Muhammad Murtada Al-Zubaidi (1969), Taj Al-`Arus, Kuwait: Al-Turath Al-`Arabi, jld. 5, ms. 553.

[2] Al-Raghib Al-Asfahani (2009), Mufradat Alfaz Al-Qur’an, Dimasyq: Dar Al-Qalam, ms. 310.

[3] Muhammad Murtada Al-Zubaidi (1969), Taj Al-‘Arus, jld. 5, ms. 560.

[4] Al-Raghib Al-Asfahani (2009), Mufradaat Alfaazh Al-Quran, ms. 311.

[5] Abu Ishaq Ibrahim Bin Musa Al-Syatibi (1997), Al-Muwafaqaat, Saudi Arabia: Dar Ibn `Affan, jld. 2, ms. 148.

[6] Abu Abdillah Muhammad Bin Ahmad Al-Qurtubi (2006), Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Beirut: Muassasah Ar-Risalah, jld. 9, ms. 238.

[7] Zaghloul Al-Najjar (2007), Tafsir Al-Ayat Al-Kawniyyah Fi Al-Qur’an Al-Karim, Qahirah: Maktabah Al-Syuruq Al-Dawliyyah, jld. 1, ms. 282.

[8] Abu Al-Fida’ Ismail Bin Kathir Al-Qurashiy (2007), Tafsir Al-Qur’an Al-Azim, Qahirah: Dar Al-Ghad Al-Jadid, jld. 3, ms. 223.

[9] Abu Al-Husain Muslim Bin Hajjaj An-Naisaburi (2000), Sahih Muslim, Kitab Al-Qadr, Bab Kaifiyyah Khalq Al-Adamiy, no. 2643, Saudi Arabia: Dar As-Salam, ms. 1151.

[10] Mustafa Al-Bugho dan Muhyiddin Misto (2007), Al-Waafii Fii Syarh Al-Arba’in An-Nawawiyyah, Dimasyq: Dar Al-Kalim At-Toyyib, ms. 26.

[11] Abu Al-Fida’ Ismail Bin Kathir Al-Qurashiy (2007), Tafsir Al-Quran Al-Azhim, jld. 3, ms. 61.

[12] Manna’ Al-Qattan (2006), Mabahith Fii Ulum Al-Quran, Beirut: Muassasah Ar-Risalah, ms. 100.

[13] Yusuf Al-Qardhawi (1991), Madkhal Li Dirasah Asy-Syariah Al-Islamiah, Qahirah: Maktabah Wahbah, ms. 130.

[14] Muhammad Bin Ismail Al-Bukhari (2015), Sahih Al-Bukhari, Kitab Fadail Al-Qur’an, Bab Ta’lif Al-Qur’an, no. 4993, Riyad: Dar Al-Hadarah, ms. 831.

[15] Muhammad Amahzun (2010), Manhaj Al-Nabiy s.a.w Fi Al-Da`wah Min Khilal Al-Sirah Al-Sahihah, Qahirah: Dar Al-Salam, ms. 11.

[16] Muhammad Bin Ismail Al-Bukhari (2015), Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Tawhid, Bab Ma Ja’ Fi Dua` Al-Nabiy s.a.w Ummatah Ila Tawhid Allah Tabarak Wa Ta`ala, no. 7372, ms. 1177.

[17] Haji Abdul Malik Karim Amrullah (2001), Sejarah Umat Islam, Singapura: Pustaka Nasional, ms. 693.

[18] Lihat Majid Irsan Al-Kaylani (2002), Hakaza Zahara Jayl Salah Al-Din Wa Hakaza `Adat Al-Quds, Dubai: Dar Al-Qalam. Juga mempunyai terjemahan bahasa melayu yang berjudul Rahsia Kejayaan Generasi Salahuddin, terbitan Islamic and Strategic Studies Institute (2012), Kuala Lumpur.

[19] Syed Hussein Alatas (1979), Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah, Singapura: Pustaka Nasional, ms. 35.

20] Bill Gates (2021), How to Avoid a Climate Disaster, Jakarta: PT Gramedia, ms. 8.

[21] A. Samad Said (2004), Rindu Ibu, Selangor: Wira Bukit, ms. 79.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles