Laporan oleh Elle MacArthur Foundation bersama World Economic Forum menjangka, pada tahun 2050 nanti, akan ada lebih banyak plastik dari ikan di lautan.
Pernahkah kita terfikir akan nasib hidupan lain pada masa akan datang atau sekurang-kurangnya memikirkan kehidupan generasi selepas kita tanpa hidupan-hidupan lain?
Mahasuci Allah taala yang telah mencipta bumi ini penuh dengan keindahan flora dan fauna, serta manusia dan haiwan wujud dalam keadaan saling melengkapi dan memerlukan satu sama lain.
FirmanNya, “Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian dengan (air hujan) itu Dia telah menundukkan kapal bagimu agar berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan sungai-sungai bagimu. Dan Dia telah menundukkan matahari dan bulan bagimu yang terus-menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan malam dan siang bagimu.” (Ibrahim: 32-3)
Manusia diciptakan dengan akal yang sempurna. Lalu dianugerah pula dengan tanggungjawab sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan dan menjaga keharmonian bumi, sebagaimana yang dapat difahami dari firman-Nya, “Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Al-Anbiya’: 107)
Oleh itu, manusia bertanggungjawab untuk menyantuni semua makhluk, yang meliputi haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Ini dilakukan bukan hanya kerana ia satu tuntutan agama, tapi juga atas dasar bahawa kesedaran ini perlu disuburi kerana alam ini adalah satu anugerah yang tidak harus disia-siakan seperti berlebihan dalam penggunaan sumber alam tanpa memikirkan akibat di kemudian hari seperti perubahan iklim, spesis haiwan yang kian pupus, pemanasan bumi dan sebagainya. Eksploitasi sumber alam berleluasa, sifat mementingkan diri sendiri mendahagakan harta dan kuasa telah menyebabkan persekitaran kita kian terancam sejak dua dekad yang lalu.
Sebagai khalifah, makna harus cakna dengan apa yang digunakan dari sumber alam dan apa yang “ditinggalkan” setelah menggunakannya. Malangnya, ia menjadi perkara yang kurang dititikberatkan. Pelbagai fakta telah menunjukkan bahawa sikap berlebihan telah membawa kepada ketidakadilan kepada bumi sedangkan Islam menggesa umatnya bersikap adil dan seimbang.
Di Youtube, terdapat sebuah video yang menayangkan keadaan seekor kura-kura yang dalam kesakitan dan hidungnya berlumuran darah. Para aktivis pencinta alam cuba menarik keluar objek panjang yang tercucuk di dalam lubang hidungnya. Apabila objek itu berjaya dikeluar, mereka dapati bahawa ia adalah sebatang straw plastik yang tercucuk di hidungnya dan mengakibatkan kecederaan yang dialami.
Seekor bangkai ikan pula dijumpai di dalam ususnya serpihan plastik yang termakan. Ikan itu menyangka plastik-plastik yang mencemari lautan adalah makanan. Ia memakan plastik itu hingga menyebabkan maut padanya. Pencemaran itu berlaku kerana sikap manusia yang tidak bertanggungjawab kerana tidak membuang sampah plastik dengan betul hingga menyebabkan pencemaran alam dan kemudaratan hidupan lain.
Kini, semakin banyak haiwan dan tumbuhan terancam disebabkan pencemaran alam sekitar yang semakin teruk berlaku dan plastik adalah salah satu sumber ancaman itu. “Lautan plastik” setakat ini telah membunuh jutaan haiwan laut dan sekitar 700 spesis daripadanya terjejas.
Selain itu, budaya konsumerisme juga menyumbang kepada pencemaran alam oleh plastik. Plastik memang memberi banyak kemudahan, namun para aktivis alam sekitar telah lama akui bahawa plastik juga adalah bahan yang mencemar alam kerana sifatnya yang tahan lama dan tidak dapat dihapuskan sepenuhnya secara alami.
Plastik yang lebih mesra pengguna dengan hanya pakai buang menyebabkan semakin banyak industri produk mengeluarkan produk yang murah tetapi diperbuat dari plastik yang tidak tahan lama. Penggunaannya amat meluas di kedai-kedai serata tempat sebagai bahan bungkusan. Penggunaan plastik meningkat sebanyak 20% sejak 15 tahun yang lalu dan pada 2016 sahaja purata setiap individu membuang sekurang-kurangnya 13 beg plastik setiap hari.
Realiti yang ada, membenarkan firman Allah taala, “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Al-Rum: 41)
Ramai sarjana Muslim melihat pencemaran alam sebagai refleksi akan ayat ini. Tokoh sejarawan dan sosiologi Islam iaitu Ibn Khaldun (1332-1406M) seorang yang amat prihatin dengan perlindungan alam sekitar berpendapat bahawa jika umat manusia ingin memelihara bumi ini dan menyelesaikan isu alam sekitar, mereka harus menerima pakai sistem kelestarian yang mudah diamalkan.
Berhadapan dengan keadaan, umat Islam perlu bertanya apakah sikap mereka sebagai umat wasat yang perlu mengamalkan keadilan dan kesederhanaan di setiap aspek kehidupan kita? Apakah peranan yang perlu dimainkan bagi berlaku adil dan bertanggungjawab dengan alam kurniaan Allah taala ini?
Dalam banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk melindungi alam sekitar, satu langkah mudah dan praktikal, sebagai permulaan, ialah dengan memberi lebih perhatian kepada penggunaan plastik kerana ia merangkumi sisa terbesar yang memenuhi tapak pelupusan sampah di Singapura, iaitu Pulau Semakau dan secara amnya menyumbang kepada pencemaran yang besar di seluruh dunia.
Plastik merupakan bahan sintetik polimer yang menggunakan minyak mentah dan gas alam untuk menghasilkannya. Ia sudah menjadi bahan utama kegunaan harian manusia di seluruh dunia dari bungkusan makanan, kosmetik dan perkakas harian.
Benda yang dibuat dari plastik kelihatan di sekeliling manusia. Sifat plastik yang ringan, tahan, ringkas, kalis air dan murah ini membawa daya tarikan pada manusia sehingga membuat mereka menggunakannya secara berlebihan. Sayangnya bahan ciptaan ajaib ini telah menjadi ancaman bagi warga bumi. Meskipun ianya tahan lama, ia sukar dileraikan. Sebotol air plastik mengambil masa 450 tahun untuk melerai secara alami oleh bakteria dan organisme hidup.
Ada yang berpendapat, mengapa perlu risau menggunakan plastik kerana ia kan boleh dikitar semula. Namun, perlu diketahui bahawa sebanyak 949,300 tan sisa plastik dijana pada 2018 di Singapura dan hanya 4 peratus darinya dapat dikitar semula.
Plastik adalah antara jenis sisa yang tertinggi namun membawa peratusan yang terendah yang dapat dikitar semula. Meskipun Singapura mempunyai inisiatif yang baik dalam mengendalikan sisa sampah dengan adanya Pulau Semakau yang indah dan bersih, ia dijangka hanya dapat bertahan hingga tahun 2035 kerana pengunaan produk pakai buang dari plastik meningkat pantas.
Realiti bumi hari ini pula, menuntut sikap ambil peduli tentang perkara ini kerana hal ini melibatkan masa depan manusia juga.
Beberapa video di Youtube menayangkan para aktivis dan pejuang pencinta alam sekitar yang mengubah gaya hidup mereka yang tidak ambil perhatian terhadap penggunaan harian, kepada gaya hidup harian yang bebas pembaziran (zero-waste lifestyle). Mereka cukup tegas dan berdisiplin serta mengajak ahli keluarga yang lain untuk turut bersama. Meskipun mereka bukan penganut agama Islam, mereka mengamalkan apa yang diajarkan dalam Islam untuk tidak mengamalkan pembaziran sebagaimana firman Allah s.w.t., “Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan” (Al-A`raf: 31)
Juga apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sederhana dan menghindari berlebih-lebihan. Sebuah hadis meriwayatkan Rasulullah s.a.w pernah melintasi Saad yang sedang berwuduk, lalu beliau s.a.w. bertanya, “Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini, wahai Saad?” Saad bertanya: “Apakah di dalam wuduk juga ada istilah berlebih-lebihan?” Baginda menjawab, “Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir.” (Riwayat Ahmad)
Inisiatif yang baik telah dilakukan pihak kementerian persekitaran secara berperingkat sejak sedekad lalu bermula dengan kempen kitar semula dan diletakkan tong-tong kitar semula di setiap kawasan kejiranan. Kini, kempen secara besar-besaran giat dijalankan di mana hampir kebanyakan restoran tidak lagi menyediakan straw. Para pekedai juga semakin kerap bertanya sekiranya pembeli perlukan plastik beg. Selebihnya, menjadi pilihan kita untuk memain peranan bersama dalam inisiatif ini sekaligus mempertingkatkan diri dalam menjadi hamba yang bertakwa. Mereka yang mengamalkan zero-waste lifestyle pastinya mengubah gaya hidup mereka sedikit demi sedikit.
Jika masyarakat belum mampu mengubah semua tabiatnya, sekurang-kurangnya yang satu ini dapat diubah. Oleh itu, ubahlah sikap terhadap perkara yang digunakan seharian demi memelihara alam sekitar.
Antara tips yang boleh dipertimbangkan ialah:
Rancang hari membeli-belah di pasaraya dengan membawa beg guna semula.
Amalkan membawa bekal dari rumah bagi mengelakkan membeli makanan di luar.
Katakan tidak kepada plastik sekiranya barang yang dibeli boleh dimuatkan dalam beg yang anda bawa.
Melabur pada straw yang boleh diguna semula.
Buang sampah di tempat yang betul.
Sebagaimana pentingnya hubungan manusia dengan Tuhannya, Islam juga menitikberatkan hubungan dan dengan alam sekitar. Oleh itu, “perbaikilah” juga hubungan dengan alam di samping usaha “membaiki’ hubungan dengan Tuhan.
Muslim hendaklah menjadi individu yang meringankan beban yang lain dan penghurai masalah. Oleh itu, jangnlah jadi penyumbang kepada pencemaran alam dan jadilah agen penyelesai masalah alam sekitar hari ini.
Agama tidak menekankan hal kebendaan semata-mata. Ia menganjurkan keseimbangan demi merealisasikan misi manusia sebagai khalifah yang seharuskan mewariskan bumi ini dalam keadaan baik kepada genarasi yang akan datang. Allah taala telah mengurniakan alam yang cukup indah untuk manusia peroleh manfaat darinya. Nikmat alam sekitar tidak dapat dibeli dan setiap perkara yang dikurniakan darinya adalah amanah daripada Allah taala yang akan dipertanggungjawabkan. Oleh itu, bersederhanalah dalam penggunaan harian, khususnya plastik. Janganlah alam ini diwariskan dalam keadaan tenat kepada generasi seterusnya.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Sesungguhnya dunia itu manis dan menghijau, dan sesungguhnya Allah melantik kami sebagai khalifah di atasnya.” (Riwayat Muslim).