Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2010, ms 1396) mendefinasikan ‘sastera’ sebagai bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab (bukan bahasa basahan), manakala karya kesusasteraan pula merujuk pada hasil seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan tertentu; ahli sastera pula orang yang pakar dalam hal kesusasteraan; seni karang mengarang (prosa, puisi dan lain-lain).
Almarhum Pendeta Dr Ariff Ahmad (1924-2016) boleh disifatkan sebagai orang pertama pada tahun 50an, yang menggunakan perkataan sastera daripada persuratan, Bagi beliau, sastera berbeza dengan persuratan, merangkumi cerpen, sajak, puisi, gurindam, kritikan dan pandangan. Kemudian terdapat juga polemik Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad, tentang definasi sastera Islam, samada pada bentuk atau isi. Umumnya walaupun penulis sastera menggunakan kreativiti dan membawa rasa indah dalam imaginatif penulisannya, namun isi kandungannya perlu bersandar pada sumber dan mesej mengenai ketaqwaan, nilai dan syariat Islam.
Persepsi Pandangan Umum
Pada persepsi pandangan umum tugas sastera sering terfokus kepada mereka dalam lingkungan guru-guru atau pensyarah universiti yang mengajar subjek bahasa Melayu atau yang sama aliran pengkhususannya. Walaupun bilangannya kecil, namun tidak kurang di kalangan graduan madrasah dan asatizah yang menulis karya kreatif sasteranya, selain penulisan bersifat ilmiah dan serius. Dr Ustaz Muhammad Haniff Hassan dalam rencananya “Sumbangan Asatizah Singapura Dalam Penulisan Agama (2002 – 2016)” di Majalah Ar Risalah (Jan – Apr 2017) terbitan Pergas menyimpulkan bahawa terdapat seramai 34 asatizah yang menghasilkan karyanya berbentuk buku dan sekitar 55 pelajar madrasah dan asatizah yang menyumbang samada rencana pendek, penulisan cerpen maupun sajak atau puisi. Setentunya ia adalah satu perkembangan yang amat menarik dari aspek mencorak gagasan nilai keIslaman dan kemanusiaan melalui dalam penulisan kreatif sastera.
Karya Dakwah versus Pemasaran
Walaupun bidang dakwah amat sinonim dengan dunia asatizah, namun realitinya tumpuan fokus wahana dakwah bagi asatizah di Singapura, masih lagi terhad pada jenis dakwah retorik (syarahan, kuliah dan ceramah umum). Ini amat jauh jika dibandingkan melalui wahana dakwah bersifat karya kreatif, puisi dan cerpen. Indikator ‘asatizah popular’ juga sering dikaitkan dengan bilangan populariti berapa ramai tarikan pengikutnya (followership) dalam ceramah-ceramahnya. Daripada pengalaman saya sebahagiannya bersebab daripada sikap pemimpin masjid itu sendiri dan media yang sering teruja dengan bilangan ramainya pengikut asatizah berkenaan. Ia terkait dengan berapa banyak dana yang masuk tabung masjid bagi sesuatu majlis syarahan, berbanding asatizah yang punya bahan karya penulisan dan kekuatan kajian ilmiahnya. Kemajuan dakwah diukur bukan setakat kuantiti bilangan, namun lebih penting sudut kualitatif isi dan kajian dalam penulisannya. Penulisan juga menggambarkan sudut disiplin dan cara berfikir seseorang asatizah.
Elemen komersial dan ‘budaya popular’ amat ketara. Bahkan rancangan TV dan acara Majlis Bahasa Melayu juga sering teruja mengetengahkan asatizah popular, yang mantap tarikan retoriknya, daripada asatizah yang punya karya penulisan kreatif dan puisi melalui suratkhabar atau dalam bentuk buku. Walaupun ada sebuah buku yang memuatkan kata-kata hikmah asatizah tempatan, namun ia merupakan susunan yang dikumpul semula oleh orang lain. Kadangkala asatizah juga boleh terperangkap dalam kesamaran jenamanya yang diguna pakai lebih untuk aspek pemasaran dan melaris jualan, dan bukan kerana hasil karya penulisan asatizah itu sendiri yang sebenar.
Peranan karya sastera asatizah
Karya sastera adalah hasil seni yang lahir daripada indera fikiran, ilham dan rasa yang amat halus. Seperti kata Dato’ Dr Mohd Daud Bakar dalam FBnya; “dunia tanpa penulis akan sepi dan sunyi kerana tiada bahan untuk dibaca, dunia akan menjadi beku, kaku dan berada dalam kegelapan minda dan keperibadian. Dalam Islam karya sastera bukan setakat meluah rasa imaginasi keindahan daripada jiwa yang halus, tetapi berperanan mendorong manusia kearah keimanan, rasa taqwa dan amal soleh. Dengan itu Islam menolak gagasan sastera untuk seni, kerana ia bersangkutan dengan pengukuhan akidah dan keindahan akhlak dan rohani.
Dari sudut menepati objektif utama syariat (maqasid), pengapungan idea penulisan bercorak nilai kemanusiaan dan taqwa, sejajar memenuhi keperluan utama menjaga kesihatan berfikir (hifzhul ‘aqal), maruah kemanusiaan (hifzhul ‘iridh), ketenangan jiwa (hifzhul nafs) dan penjagaan keadilan sosial (hifzhul al-‘adl ijtima’ii).
Dalam berbicara tentang tradisi kalam asatizah dan ulama sumbangan mereka dapat terlihat melalui bentuk madah puisi mereka, teks khutbah jumaat, doa munajat dan zikir, penulisan rencana, skrip drama radio dan penerbitan buku. Kini lebih ramai asatizah Gen Y dan Milenial yang menggunakan wahana media sosial baru. Persoalan nilai dan etika penulisan dan penyampaian maklumat dalam media sosial yang terbuka menjadi semakin meruncing dan menjadikan asatizah untuk lebih sensitif dan tidak terperangkap dalam maklumat yang tidak ada kepastian.
Contoh karya sastera graduan madrasah dan asatizah
Dalam makalah saya terdahulu berjudul “Sumbangan Asatizah Dalam Persuratan Melayu” terbit dalam sebuah buku khas Majlis Bahasa Melayu – Sempena 50 Tahun Kemerdekaan Singapura, saya telah menyentuh tentang beberapa contoh tulisan puisi asatizah tempatan seperti oleh Sohibu Samaha Mufti Dr Fatris Bakaram, Ustaz Abd Manaf Rahmat, Ustaz Salim Mohd Yusof, Almarhum Ustaz Osman Jantan, Almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji Mohammed, Ustaz Sulaiman Jeem dan beberapa yang lain. Mungkin kerana terbitan karya mereka amat terbatas termuat hanya dalam majalah-majalah dalaman terbitan madrasah sendiri dan di majalah bulanan Ar Risalah Pergas, ia memberi tanggapan seolah golongan asatizah kurang menyumbang dalam persuratan dan sastera Melayu di Singapura. Perkara kedua adalah sudut persepsi condong (bias) masyarakat yang hanya terfokus kepada guru-guru bahasa Melayu ketika bicara tentang sastera. Namun tidak dinafikan, banyak lagi perlu dilakukan oleh asatizah sudut pemasaran diri (personal marketing) dalam memperbaiki persepsi umum.
Penulisan sastera Melayu di kalangan asatizah dipelopori oleh sasterawan, Puan Saleha Abdul Rashid (lahir tahun 1937) atau dikenali sebagai Salmi Manja. Graduan dan mantan guru di Darul Ma’arif (Madrasah A-Ma’arif Al-Islamiah pada tahun 1950an) ini aktif menulis sajak dan novel. Selain menulis 7 tajuk novel termasuk “Hari Mana Bulan Mana” (1960), novel beliau “Sayang Ustazah Sayang” yang berlatarkan sebuah madrasah, mempaparkan kisah menarik para asatizah di sebuah madrasah. Bermula dari masalah politik di madrasah, isu anak murid, polemik jiwa dan percintaan termasuklah pergolakan rumah tangga, semuanya digambarkan dengan menarik.
Baru-baru ini saya terjumpa tulisan cerpen Ustaz Zainal Ariffin Sarbini (lahir tahun 1949), seorang asatizah mapan kelahiran Singapura, lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau bukan sahaja menulis untuk Berita Harian/Minggu di Singapura, bahkan di Malaysia. Cerpen beliau berjudul “Bukan Orang Kita” terbit di Berita Minggu, Malaysia pada 4 Ogos 2005, manakala cerpen “Mihrab Menanti” tersiar di Berita Harian Singapura pada 31 Julai 2017. Meneliti plot cerpen “Mihrab Menanti” ini, ia menggambarkan tentang keprihatinan beliau berkaitan sikap ego ilmu dalam masalah fikah dalam hingga menimbulkan masalah komunikasi kehidupan suami isteri.
Sesuatu yang menarik tentang Ustaz Zainal Arifin, ialah beliau juga menulis skrip rancangan radio Singapura sejak tahun 70an lagi seperti; ‘Kembang Mewangi Di Taman Indah’ di rancangan Isadra (irama, sajak dan drama terbitan Yusaini Amir), ‘Pahit-Pahit Manis’ dalam rancangan Citra Irama (penerbit Muhammad Ashiq), ‘Perahu Tak Berkemudi’ dalam rancangan Pentas Radio, (penerbit Hayati Yusuf) dan ‘Yang Pergi Biar Pergi’ dalam rancangan Pentas Radio (Terbitan Hashim Yusuf). Bagi saya ia satu prestasi amat baik hingga dapat terjual skrip drama radionya.
Karya Asatizah Milenial
Akhir-akhir ini terdapat sebilangan asatizah dan graduan lepasan madrasah Generasi Y dan Milenial (lahir awal tahun 80an – 2000) yang konsisten menyumbang karya sastera berupa cerpen dan puisi mereka di akhbar Berita Harian setempat. Nama-nama seperti Ustaz Muhammad Husin Masnin dan adik perempuannya Ustazah Hafizhah Masnin juga Munirah Jaafar (graduan Madrasah Al-Ma’arif Al Islamiah dan kemudian ke National Institute of Education) atau nama penanya Nirrosette dan beberapa penulis muda lain.
Ustaz Muhammad Husin yang lahir pada tahun 1990, merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh dan telah menulis sejak menuntut d universiti lagi. Bakat beliau dalam seni karya kreatif telah bermula ketika beliau aktif dalam nasyid dan penulisan lirik lagu semasa menuntut di Madrasah Aljunied Al Islamiah. Di madrasah ini, seni nasyid merupakan aktiviti seni vokal yang popular di kalangan majoriti pelajar yang berperanan mengasah minda seni estetika kreatif dalam jiwa beliau. Penggunaan bahasa Melayu Ustaz Husin dalam karya sajaknya berjudul “Hakikat Marcapada” menunjukkan kemampuannya menggunakan bahasa Melayu kreatif yang tinggi. Sajak beliau berjudul “Aku dan Karya” menggambarkan cintanya yang mendalam dalam karya penulisan. Beliau mencatatkan, “Aku tetap akan menulis, mencurahkan fikiran menitiskan dakwah di atas lembar”, yang baginya adalah satu bentuk amal soleh berterusan walaupun mungkin karyanya kini belum lagi dikenali.
Cerpen beliau di Berita Harian berjudul “Perpustakaan Negara” menggambarkan keresahan hatinya tentang nasib buku-buku bahasa Melayu. Pada perenggan terakhir beliau meluahkan perasaan terhadap buku Melayu, “Aku harap kau tidak bersedih. Kalau tidak ada yang menjenguk kau, kau jangan lari merajuk meninggalkan perpustakaan ini. Jangan kau lari meninggalkan tanah ini. Tanah yang dahulunya mencari-cari kau. Aku harap kau akan terus tabah..”
Adik beliau, Ustazah Hafizah Masnin yang lahir pada 1993 juga merupakan graduan UIAM dalam bidang perbandingan agama dan pernah menulis di Berita Harian, Singapura dengan menyumbang beberapa buah sajak seperti “Asing”, “Hilangnya Si Pari”, “Untuk Siapa” dan lain-lain. Elemen nilai kemanusian, nilai perjuangan, nilai persahabatan dan nilai diri amat ketara dalam kebanyakan sajak-sajaknya.
Bagi novelis, Nirrosette (Munirah Jaafar), keunikan karyanya terletak kepada perkongsian pengalaman hidupnya bagi melahirkan kesegaran plot cerita yang rencam dan mengocak emosi pembaca. Penulisan kreatif novelnya yang pertama berjudul “Ikhlas A.K!” ditulis ketika beliau berusia 17 tahun lagi. Beliau dikatakan mendapat inspirasi menulis setelah kematian ayahnya. Dalam blog Aquila-style.com, seorang pengulas novel remaja, Afia R. Fitriati menulis tentang kejayaan Munirah Jaafar dan mendedahkan bahawa novel pertama Nirrosette berjaya menarik selera pembaca dengan penjualan sekitar 10,000 naskhah novelnya di Malaysia dan Singapura. Manakala novel keduanya, berjudul “Nah! Untuk Awak” berjaya terjual sekitar 7,000 naskhah.
Setentunya, ini adalah satu pencapaian bagi penulis muda (bawah 20 tahun) ini. Munirah yang kini merupakan seorang guru bertauliah, dipetik dalam satu wawancara, “As a madrasah graduate, through my writings I try to inculcate moral values in the fictional character and convey religious knowledge… “(blog Aquilla-Style.com, 3 Sep 2016)
Kesimpulan
Semenjak daripada zaman bahari, bahasa Melayu samada dalam tulisan Jawi atau Rumi memainkan peranan dalam pengukuhan estetika nilai kerohanian dan ketuhanan dalam masyarakat Melayu. Jika suatu ketika pada zaman sebelum Islam, karya sastera banyak mempunyai unsur animisme, sinkretisme, dewa langit-dewa bumi dan Hindu-Buddha, namun begitu para mubaligh Islam dan asatizah berupaya secara perlahan membersihkan paradigma (worldview) syirik dan khurafat kepada paradigm tauhid yang bersandarkan sumber syariat.
Walaupun genre penulisan karya asatizah banyak mewakili kategori genre penulisan serius dan ilmiah, namun genre bersifat sastera kreatif mula menampakkan satu penambahan terutama oleh asatizah Generasi Y & Milenial. Pergas sebagai badan asatizah mungkin boleh bekerjasama lebih giat dengan badan seperti Majlis Bahasa Melayu dan NIE-NTU dalam memanfaatkan dana daripada Biasiswa Paska Sarjana dan Geran Kajian Dr Muhammad Ariff Ahmad untuk menggalakkan asatizah membuat kajian kesusasteraan Islam di Singapura dalam bahasa Melayu.
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Rujukan:
(1994). Mustafa Hj Daud. Kesusasteraan Dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors.
(2005). Mohd. Affandi Hassan. Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
(2007). Mohd Jakfar Hj Embek. Menunggak Nilai, Melurus Faham – Koleksi Rencana di Berita Harian & Berita Minggu dari 1997 – 2007. Singapura: Pustaka Nasional & Pergas.
(2010). Kamus Dewan. Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
(2015). Yang Terukir – Bahasa dan Persuratan Melayu, Sempena 50 Tahun Kemerdekaan Singapura terbitan Majlis Bahasa Melayu Singapura
(Jan – Apr 2017). Asatizah & Penulisan Dakwah dalam Majalah Ar-Risalah Isu 23. Singapura: Persatuan Ulama & Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).