newest article

Atasi Kemurungan Dengan Doa Dan Zikir
21 January 2019 8:19 am // Written by Dr. Hj Mohamed Sharif Mustafa; Syed Othman Bin Ahmad Alkaff;
Dipandang dari sudut kesihatan jiwa, doa dan zikir mengandungi unsur psikoteraputik yang mendalam. Terapi psikokeagamaan tidak kurang penting dibandingkan dengan psikoterapi psikiatrik, kerana ia mengandungi kekuatan spiritual (kerohanian) yang membangkitkan rasa percaya diri (self-confidence) dan optimis terhadap penyembuhan. Dua hal ini amat perlu untuk daya tahan dan kekebalan tubuh bagi penyembuhan sesuatu penyakit di samping ubat-ubat dan tindakan medikal yang diberikan.
Umat Islam amat bertuah kerana dapat mengamalkan beberapa ayat al-Quran dan hadis sebagai doa bagi yang sedang menderita stress, bimbang, depresi atau penyakit fizikal yang lain.
“(Yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. (Q.S 13: 28)
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman”. (Q.S. 3: 139)
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”. (Q.S. 10:57)
“Setiap penyakit ada ubatnya, jika ubat itu tepat mengenai sasarannya maka dengan izin Allah S.W.T., penyakit itu akan sembuh.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad).
Selain doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., beberapa zikir harian juga dapat diamalkan termasuk, membaca tasbih (Subhanallah – Maha Suci Allah), tahmid (Alhamdulillah – Segala puji bagi Allah), tahlil (Laa ilaaha illallaahu – Tidak ada Tuhan kecuali Allah), takbir (Allahu Akbar – Allah maha besar), dan banyak lagi.
Bagi umat Islam, tekanan psikososial dan penyakit lain dapat dianggap sebagai musibah, cubaan, peringatan ataupun ujian kepada keimanan seseorang. Justeru kita harus bersabar dan tidak boleh putus asa serta melakukan pengawasan diri, berusaha berubat kepada doktor / psikiatris dan sentiasa tidak lupa berdoa dan berzikir.
Petikan dari buku ‘Kemurungan di Kalangan Warga Tua’ tulisan Dr Hj Mohamed Sharif Mustafa dan Syed Othman Ahmad Alkaff yang merupakan kajian disertasi pengajian Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dari Universiti Teknologi Malaysia.
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Rujukan:
Mohamed Sharif Mustafa dan Syed Othman Ahmad Alkaff. Kemurungan di kalangan warga tua. Johor: Fast Publication, 2010.

