Ketika saya diminta menyumbangkan satu artikel bagi mengenang jasa almarhum Ustaz Ali Haji Mohamed kepada Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), saya sedikit keberatan pada mulanya. Bukan apa, kerana interaksi saya bersama almarhum sangat terbatas. Tidaklah rasanya layak untuk saya menulis. Walaupun mengenali almarhum Ustaz sejak zaman persekolahan lagi, kerana anak sulung almarhum, Ustaz Muhammad Abdul Latiff merupakan rakan sedarjah saya semasa di Madrasah Aljunied dahulu. Tapi ia sebatas kenal begitu sahaja.
Namun pada tahun 2001, bersama dengan beberapa anggota perintis termasuk kelompok kecil asatizah, saya terlibat sebagai kaunselor secara sukarela bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), sebelum ia dirasmikan pada tahun 2003. Ketika bersama RRG, barulah interaksi saya lebih kerap bersama almarhum, tapi itupun sekadar dalam program-program rasmi RRG. Sehinggalah saya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif, Pergas pada tahun 2013 dan kemudian sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), barulah interaksi saya bersama almarhum menjadi lebih kerap sedikit, walaupun ia secara ad-hoc sahaja. Sebagai salah seorang masyayikh atau sesepuh Pergas, dari semasa ke semasa, kami perlu mendapatkan pandangan para masyayikh termasuk almarhum dalam isu-isu rumit yang melibatkan kepimpinan agama buat masyarakat Islam Singapura. Anggota masyayikh Pergas pada masa itu terdiri daripada bekas Mufti, Shaykh Syed Isa Semait dan kemudiannya Ustaz Dr Mohd Fatris Bakaram di samping asatizah mapan lain seperti Ustaz Pasuni Maulan dan juga Ustaz Sallim Jasman serta Ustaz Mohamad Bin Hj Rais.
Sesungguhnya saya dapat saksikan sendiri komitmen almarhum pada Pergas sehingga ke akhir-akhir usianya, terutamanya ketika kami memerlukan pandangan idea mahupun kehadiran beliau dalam mesyuarat dalaman sehinggalah kepada perjumpaan dengan pak menteri. Selain respon terbuka Pergas melalui kenyataan media dalam isu-isu kepimpinan agama. Dari semasa ke semasa, Pergas juga bertemu dengan wakil pemerintah yang biasanya dari kalangan menteri bagi menyuarakan keprihatinan atau bangkangan Pergas dalam isu-isu tertentu.
Sebenarnya sumbangan almarhum pada Pergas bukanlah baru, almarhum pernah terpilih menjadi Presiden Pergas pada tahun 1988-1992. Semasa beliau menjawat jawatan Presiden Pergas, almarhum memulakan inisiatif meningkatkan kebajikan asatizah melalui sumbangan dana khas kepada madrasah sepenuh masa pada ketika itu. Langkah tersebut bertujuan untuk memupuk semangat membantu di kalangan masyarakat Islam dan juga badan-badan Islam setempat. Di bawah kepimpinan beliau, Pergas juga mengorak langkah dengan membentuk satu lembaga penasihat yang terdiri dari kalangan asatizah dan juga karyawan dalam pelbagai bidang bagi membantu kemajuan umat Islam dalam bidang ekonomi, pelajaran, dakwah dan kemasyarakatan. Bukan itu sahaja, Pergas juga buat julung-julung kalinya pada tahun 1989, menganjurkan satu seminar Tasawuf peringkat serantau bagi mengikis salah faham terhadap tasawuf dan tarekat. Antara perkara yang dibincangkan ialah isu-isu utama pada ketika itu seperti amalan khurafat penyerapan ruh dan ‘menurun’ di kalangan sesetengah masyarakat Islam, juga peranan Tasawuf dalam masyarakat kosmopolitan hari ini. Antara penceramah yang diundang ketika itu termasuklah; almarhum Ustaz Syed Abdillah Aljufri, almarhum Ustaz Abu Bakar Hashim, almarhum Dr Mohd Uthman El-Muhammady dan juga almarhum Prof Dr Emeritus Mohd Kamal Hassan dari Malaysia. Sumbangan dan kepimpinan almarhum dalam membantu masyarakat Islam sudah amat terserlah sejak dulu lagi. Sangat jelas ketika ini, almarhum mempunyai pandangan yang jauh serta visi yang luar biasa dalam membantu masyarakat Islam setempat sejak era 80an dan berterusan hingga ke akhir hayat beliau.
Selain itu, beliau juga pernah terlibat sebagai ahli lembaga pengarah Pergas Investment Holdings (PIH), syarikat milik Pergas. Mungkin ramai yang tidak tahu, almarhum juga memainkan peranan penting dalam proses mendapatkan hartanah pertama Pergas; iaitu pembelian tujuh unit deretan rumah kedai di Joo Chiat Road bernilai $4.2 juta pada tahun 2003, sebelum ia dijual dengan harga $15 juta pada tahun 2019. Selain itu, sebagai masyayikh beliau sentiasa terlibat dari semasa ke semasa dalam isu-isu tertentu yang memerlukan nasihat dan panduan serta penglibatan beliau sebagai seorang asatizah mapan yang berpengalaman.
Berbalik kepada beberapa interaksi saya bersama almarhum berkaitan isu-isu genting yang memerlukan mutiara hikmah almarhum. Memadai saya kongsi dua isu getir untuk memaparkan bagaimana impak sumbangan almarhum dalam membantu Pergas menangani isu-isu genting bagi menyuarakan keprihatinan serta hajat masyarakat Islam Singapura. Berbeza dengan organisasi lain, Pergas sebagai persatuan yang mewakili Ulama dan Asatizah Singapura mempunyai peranan dalam menyampaikan aspirasi masyarakat Islam atau menegur sebahagian dasar-dasar pemerintah atau mana-mana isu yang tidak menepati ajaran Islam. Pemerintah sendiri akur dengan keprihatinan dan peranan Pergas ini.
Antara interaksi saya bersama almarhum yang masih segar dalam ingatan saya ialah ketika mengusahakan respon Pergas terhadap pengumuman pemerintah untuk meluluskan perjudian dalam talian pada tahun 2016. Bagi isu ini, selain membuat kenyataan media bagi menyuarakan keprihatinan Pergas kepada keputusan pemerintah ini, Majlis Tertinggi Pergas (MTP) pada masa itu membuat keputusan untuk menyampaikan secara peribadi pendirian Pergas kepada menteri yang bertanggungjawab bagi kelulusan akta perkara ini. MTP juga bersetuju untuk melibatkan beberapa masyayikh termasuk almarhum Ustaz Ali dan juga Ustaz Pasuni Maulan. Maka berlakulah beberapa pertemuan dan diskusi termasuk komunikasi melalui kumpulan chat whatsapp bersama para masyayikh yang terlibat, termasuk Presiden Pergas, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan juga beberapa MTP terpilih.
Di sinilah saya dapat melihat sendiri betapa komitednya almarhum dan sikap prihatin dan kasihnya beliau terhadap Pergas. Walaupun mungkin bagi sebilangan pihak, beliau dilihat sebagai akrab bersama pemerintah kerana bekerjasama dengan pemerintah dalam membasmi kegiatan terrorisme melalui RRG. Namun, kita lupa para masyayikh seperti almarhum mempunyai prinsip yang teguh dan utuh. Masih teringat lagi peringatan beliau dalam salah satu mesyuarat bagi isu yang sama sebelum berjumpa dengan pak menteri. Beliau sempat berpesan kepada kami antara maksudnya, “Pergas perlu punya pendirian dan bertegas jika perlu, serta tidak boleh menggadaikan prinsip yang telah dipersetujui.” Pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan diskusi itu nanti perlulah dijalankan dengan cara berhemah serta penuh hikmah. Bukan itu sahaja, komitmen dan kepimpinan almarhum juga terserlah dalam diskusi di ruang chat kumpulan whatsapp. Beliau mengingatkan saya bahawa slaid pembentangan di hadapan menteri nanti perlu padat dan ringkas, serta perlu mengutarakan segala keprihatinan Pergas. Tegasnya, ini bagi memberikan lebih ruang untuk berdiskusi bersama pak menteri. Jelas, almarhum amat prihatin tentang prioriti serta adab dalam syura. Dengan mendidik kami dalam interaksi yang sewajarnya dalam pertemuan dengan pak menteri dan para pegawai pemerintah, nyata menunjukkan pengalaman beliau dalam kepimpinan dan pendedahan yang luas dalam peringkat tertinggi.
Isu seterusnya merupakan agenda terakhir saya bersama almarhum sebelum saya meninggalkan Pergas. Ia tidak lain ialah mengenai agenda Pergas dalam memperjuangkan keizinan pemakaian tudung khususnya di kalangan industri penjagaan kesihatan. Interaksi bersama almarhum ini berlaku pada pertengahan tahun 2020 hingga 2021. Ia sangat ironi juga, kerana antara cabaran pertama saya ketika mula masuk pada tahun 2013, juga ketika isu tudung sedang hangat. Bagi pendekatan Pergas kali ini, MTP bersetuju untuk meminta wakil Pergas bersama para masyayikh untuk berjumpa menteri dalam negeri. Namun sebelum itu, saya perlu menghubungi almarhum. Tapi segala mesej saya tidak dibalas, panggilan telefon pun tidak diangkat. Saya gusar. Ketika saya sempat berjumpa dengan anak kedua beliau dalam satu pertemuan RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali yang ketika itu juga merupakan Naib Pengerusi RRG, saya mengadu kepadanya kesukaran yang saya alami ini. Beliau jelaskan, “Abah ana sekarang agak lemah. Beliau sebenarnya dah tak larat. Beliau terpaksa hadirkan diri untuk majlis-majlis penting. Dan biasanya jika beliau hadir, abah ana akan lepak sangat. Sebab tulah bila anta call dia sekarang, susah nak dapat. Kalau anta nak jumpa, cuba datang Masjid Khadijah masa solat Jumaat nanti”.
Terasa bersalah pula diri ini. Tapi apa nak buat, saya terpaksa juga jumpa dengan almarhum bagi mendapatkan khidmat beliau untuk membantu kami dalam pertemuan dengan pak menteri. Tiba masanya, pertemuan tertutup dengan menteri yang berlangsung pada 31 Ogos 2020 berjalan lancar di Masjid Khadijah. Selain almarhum, ia juga turut dihadiri oleh Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, sebagai Presiden Pergas dan juga Ustaz Pasuni selaku masyayikh Pergas. Dalam pertemuan tersebut, kami kongsikan data berkenaan dapatan Pergas tentang survey mengenai persepsi masyarakat terhadap tudung dalam industri penjagaan kesihatan di Singapura. Rentetan dari pertemuan tersebut, pak menteri berjanji untuk memberikan respon balas bagi usulan Pergas. Alhamdulillah, pada sesi dialog anjuran RRG di Masjid Khadijah pada 23 Mac 2021, menteri secara terbuka memberikan bayangan bakal berlaku perubahan pada undang-undang pemakaian tudung di sektor industri penjagaan kesihatan. Beliau juga turut berkongsi pertemuan tertutup pada 31 Ogos tersebut bersama almarhum dan pasukan dari Pergas kepada hadirin, dan ini dilaporkan media arus perdana. Maka hampir setahun selepas pertemuan di Masjid Khadijah pada Ogos 2020 yang lalu, sejarah menyaksikan pengumuman bersejarah oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos 2021 yang mengumumkan bahawa pekerja Islam di sektor penjagaan kesihatan akan dibenarkan memakai tudung bermula pada 1 November 2021.
Bukanlah untuk mendakwa pengizinan pemakaian tudung di hopsital ini merupakan jasa almarhum atau pasukan Pergas pada masa itu sahaja. Ingin saya tegaskan di sini, ia sebenarnya merupakan usaha bersama yang berterusan. Ia usaha seluruh Asatizah, Ulama dan masyarakat. Ia hasil perjuangan, aspirasi dan doa semua pihak. Bila disebutkan Asatizah dan Ulama. Ia bukan hanya Asatizah pada masa ini, tapi ia bermula sejak tahun 70an dahulu dan diteruskan oleh generasi Asatizah selepasnya.
Apa yang dikongsi di sini hanyalah sekelumit dari jasa dan sumbangan almarhum kepada masyarakat Islam dan negara umumnya. Jelas sekali, dengan pemergian almarhum, kita kehilangan seorang lagi agamawan yang membawa bersama legasi yang sangat sukar ditandingi. Pandangan almarhum sentiasa sarat dengan hikmah, keberanian dan karisma almarhum sangat terasa dan disegani oleh sesiapa yang bersama dengan beliau. Tidak hairanlah almarhum dihormati dan sumbangannya sentiasa diingati.
Semoga amal jariah dan segala ilmu yang dicurahkan almarhum Ustaz Ali Haji Mohamed menjadi saham berpanjangan buatnya. Moga Allah mengampuninya dan memberikan sebaik-baik ganjaran dan balasanNya, dan ditempatkan di kalangan para awliya’, syuhada’ dan solihin. Amin.
Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff,
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Pergas (2013-2021)
ASATIZAH