Sejak Nabi Adam a.s. sehingga kini, jumlah penduduk di bumi terus bertambah. Kini angkanya, 7.8 bilion jiwa (campur angka kematian sejak awal lagi, tentulah lebih besar lagi jumlahnya). Pada tahun 1999 sahaja, jumlah manusia di bumi sekitar 6 bilion. Pertambahan penduduk dan pesatnya gerakan manusia mencerminkan betapa rencamnya interaksi bangsa, suku kaum, budaya dan agama sejagat.
Bagaimanapun, terdapat trend atau corak hidup sebahagian insan yang lebih suka hidup menyendiri di hutan atau pergunungan yang dipanggil ‘hermitage’ (pertapaan) atau di dalam ruang lingkup kediaman. Walaupun dengan adanya internet yang seharusnya mendorong interaksi, kian terdapat golongan manusia yang enggan bersosial atau menjauhi masyarakat, hujah Dr Sherry Turkle, 71 tahun, mahaguru di Massachussets Institute of Technology dalam bukunya, ‘Alone Together’ (2017).
Mengapa?
Golongan ini berpendapat mesej yang disampaikan menerusi alam maya atau laman sosial lebih efektif dan terkawal berbanding interaksi secara berdepan yang dianggap terlalu mendedahkan. Namun, ada juga yang “menyisihkan diri” (withdrawn) daripada masyarakat akibat trauma seperti perceraian, kesempitan wang, kematian pasangan atau ahli keluarga dan mempunyai masalah pergaulan. Trend hidup berseorangan juga semakin meningkat, termasuk di rantau Asia yang mengutamakan amalan tradisi hidup berkeluarga besar. Ada juga faktornya bersifat mudah iaitu seseorang berasa hidup bersosial bukan suatu keperluan.
Terdapat banyak kajian yang membuktikan kesan negatif pada kesihatan mental pada mereka yang menyisihkan diri. Menurut Dr Turkle, pakar jiwa, mereka yang menghabiskan banyak masa secara online lebih terasing daripada kehidupan nyata. Ini juga menjurus ke arah terputusnya ikatan emosi (emotional disconnection), kelelahan mental dan kebimbangan (anxiety).
Kepedulian Masyarakat
Dr. Adam Ka-Lok Cheung pula mendapati, penyisih lazimnya mengalami pengasingan sosial, masalah kewangan dan rendahnya kesejahteraan psikologinya. Insan begini boleh mengalami kesan jangka panjang seperti fenomena kodokushi (mati sendirian) yang terjadi di Jepun. Menurut penyiar NHK pada 2009, terdapat 32,000 penyisih yang dijumpai mati sendirian di rumah – hal ini diketahui setelah beberapa bulan kematian mereka. Lazimnya ia berlaku ke atas kaum lelaki berusia 50 tahun ke atas dan golongan berusia 65 tahun. Kes mati sendirian sering terjadi di apartment kawasan pinggir bandar besar. Pakar jiwa Jepun yang aktif di media sosial, Encik Shion Kabasawa, 54 tahun, mendapati mereka yang hidup menyendiri sering dikaitkan dengan kecenderungan bunuh diri. Hujahnya, risiko seseorang membunuh diri boleh berkurangan andai ada insan lain yang ambil peduli tentang diri penyisih.
Sikap ambil peduli merupakan amalan hidup kejiranan dalam mana-mana masyarakat.. Bayangkan keadaan jiran yang tidak mengenal antara satu sama lain dan tidak bertegur sapa, dan hanya mengambil berat akan hal diri sendiri masing-masing. Kesannya akan mengakibatkan perkara yang lebih serius seperti kematian yang tidak diketahui dan bunuh diri.
Hakikatnya, insan tidak boleh hidup seperti Robinson Crusoe (novel tahun 1719 karya Daniel Defoe) atau Hayy ibn Yaqzan (cereka oleh Ibn Tufail dalam abad ke-12 M). Interaksi merupakan amalan sosial yang penting dari peringkat rakyat biasa sehingga pucuk pimpinan. Menerusi interaksi, bahagian otak yang berfungsi sebagai penghubung atau neurotransmitter akan berfungsi dalam memupuk kepercayaan, mengurangkan tekanan, menghapus kesakitan dan merasakan keseronokan. Keadaan otak seseorang manusia yang peramah didapati lebih pintar daripada yang biasa. Selain faktor berubat, pemakanan seimbang dan bersenam, didapati golongan pesakit kronik seperti barah akan pulih cepat jika mengamalkan hidup bermasyarakat atau menjalin hubungan baik dengan orang sekeliling.
Maksud jalinan baik ialah suasana pergaulan berteraskan saling memerlukan dan menghargai kehadiran masing-masing. Ia memberi nafas baharu dan menguatkan ketahanan diri untuk meneruskan kehidupan.
Ajaran Islam
Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13, Allah s.w.t menyeru manusia agar saling kenal-mengenali dan berlumba dari segi bertakwa demi mencapai kemuliaan di sisi-Nya.
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Rasulullah s.a.w amat mengutamakan hidup bermasyarakat menerusi Piagam Madinah, persahabatan dengan negara tetangga, berjiran sehinggalah menjalin silaturrahim dalam ikatan keluarga atau sanak-saudara. Antara lain, baginda bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah ia menyambung silaturahim. (HR. Al-Bukhari) Islam menolak amalan ‘bertapa’ iaitu menjauhi masyarakat. Seorang Muslim diamanahkan untuk mengajak masyarakat kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.
“Seorang mukmin yang bergaul di tengah masyarakat dan bersabar terhadap gangguan mereka, itu lebih baik dari pada seorang mukmin yang tidak bergaul di tengah masyarakat dan tidak bersabar terhadap gangguan mereka” (HR. At-Tirmidhi)
Ada para ulama berbeza pendapat – apakah lebih baik beruzlah (menyendiri) atau bergaul di tengah masyarakat. Jawapannya: ia bergantung pada keadaan. Sebelum dilantik menjadi nabi, baginda sering beruzlah di Gua Hira demi memikirkan keadaan masyarakat Makkah. Namun, baginda ditugaskan untuk menyampaikan risalah kepada masyarakat Makkah dan sekelilingnya. Oleh itu, seseorang Muslim boleh beruzlah tetapi harus terus menyantuni masyarakat demi membawa manfaat. Di Singapura, amat penting bagi orang Islam berinteraksi dengan jiran, rakan sekerja sehingga pelancong demi memancarkan imej Islam yang damai.
Berkenal-kenalan yang dianjurkan Islam bukan setakat asal tahu saja, tetapi lebih luas lagi. Kita perlu mempelajari bahasa sehingga budaya seseorang untuk menilai kepekaan, kelebihan dan kekurangannya. Peluang ini adalah ni’mat Allah yang besar kepada hamba-Nya. Kita akan dapati kepelbagaian adalah suatu keindahan yang menjadikan kehidupan ini lebih menarik. Islam menitikberatkan adab dan hak sesama manusia dengan menjalankan tanggungjawab kita sebagai jiran, rakan dan ahli keluarga. Bergaullah dengan akhlak mulia dalam membina keharmonian yang diredhai Allah s.w.t.