newest article

Etika Kerja Tuntutan Islam
15 November 2018 1:30 am // Written by Sundusia Rosdi;
Menurut Laporan Berita Minggu, 19 Januari 2014, hasil tinjauan Syarikat Perundingcara Kerjaya, Robert Half merumuskan bahawa 69 peratus pekerja Singapura masih diselubungi ‘mood’ kerja walau semasa di luar pejabat atau ketika cuti. Perangkaan ini jauh lebih tinggi daripada kadar purata 66 peratus di peringkat serantau.
Tinjauan itu juga mengesan paras dedikasi melampau pekerja Singapura terhadap tugas mereka yang sering menjurus kepada sindrom kemaruk kerja (workaholic). Didapati 66 peratus pekerja akan berasa gusar jika tidak memikirkan hal pekerjaan seperti sekiranya mereka diperlukan di waktu genting. Sebanyak 60 peratus pula berasa perlu menyemak e-mail sebaik saja pulang dari cuti agar lebih bersedia dan tidak “tertekan” apabila kembali bertugas.
Adakah kita termasuk dalam golongan ini dan perlukah kita menghabiskan separuh masa harian untuk urusan pejabat sehingga mengabaikan tanggung jawab sebagai seorang mukmin?
Kita dituntut untuk melakukan kerja menurut etika dan lunas-lunas keislaman. Budaya kerja bermaksud cara kita menjalankan perkerjaan dengan berintegriti dan berhemah menepati visi organisasi dengan hasil kerja yang cemerlang bersandarkan ajaran al Quran dan Hadis. Justeru, ini akan menjurus kepada maksud hidup kita selaku khalifah di dunia ini.
Untuk mendapatkan rezeki dari sumber yang halal dan keseimbangan kehidupan dunia dan akhirat, pekerja Islam boleh mengamalkan prinsip 7 “I” (ikhlas, ihsan, ilmu, ikram, iltizam, imbang dan istiqamah) dalam melaksanakan pekerjaan seharian mereka.
Ikhlas
Berkerja untuk mendapat keredaan Allah swt di samping meraih rezki halal untuk keluarga. Keikhlasan dan kejujuran melakukan kerja adalah tuntutan Islam kerana ibadah bukan sahaja ritual dan sakral seperti solat, puasa, berzikir dan bertasbih sahaja tetapi juga mengamalkan budaya kerja yang terbaik. Bekerjalah dengan seronok dan bersungguh-sungguh dengan gambaran yang pekerjaan bukan satu bebanan.
Ihsan
Konsep ihsan akan terpamer apabila kita bekerja kerana Allah swt, merasai kewujudanNya serta meyakini yang kita sentiasa dalam pemantauanNya. Bayangkan jika majikan kita memasang kamera CCTV di setiap sudut pejabat, tentu kita lebih prihatin dibuatnya!
Bersifat amanah dan tidak memungkiri janji. Sebagai contoh, tidak menyebarkan rahsia kerja dan organisasi, tidak mengambil kesempatan dan tidak menyalahguna kuasa serta mematuhi peraturan masa kerja dan garismasa (deadline) tugasan yang diberi. Menggunakan kemudahan peralatan pejabat bukan untuk kepentingan peribadi seperti membaca Facebook, melungsuri internet, berbual di telefon atau bersembang-sembang di media sosial di waktu pejabat.
Kisah Khalifah zuhud Umar Abdul Aziz (pemerintah Dinasti Ummayyah (717 M – 720 M)) yang begitu berhati-hati menjaga harta negara boleh dijadikan iktibar. Amru bin Muhajir meriwayatkan, “Sesungguhnya Umar Abdul Aziz mempunyai lilin tertentu yang hanya dinyalakan ketika berurusan dengan rakyat jelata. Apabila selesai urusan tersebut beliau akan memadamkannya dan kemudian menyalakan lampu peribadinya untuk kegunaan sendiri”.
Budayakan diri untuk mula bekerja dan pulang ke rumah mengikut masa bekerja yang ditetapkan. Kita semua akan dipertanggungjawabkan setiap minit masa bekerja kita. Tentu kita sakit hati bila melihat teman pejabat yang datang kerja setengah jam lewat dan pulang awal.
Ilmu
Sewaktu saya memulakan kerjaya, majikan saya berpesan sebelum memulakan sesuatu pekerjaan setiap pekerja harus tahu mengapa ia melakukan tugasnya, apa tugasannya dan di mana harus dikerjakan, siapa harus melakukannya, bila jangkamasa harus diselesaikan (deadline) dan akhir sekali bagaimana harus melakukannya. Justeru, kita harus banyak bertanya kepada majikan atau teman sekerja atau dapatkan maklumat jika kita tidak tahu melakukan tugasan itu.
Perancangan pekerjaan amat perlu untuk mengelakkan ‘tekanan’ di saat-saat akhir. Elakkan sifat suka bertangguh (proscrastinate) umpamanya menurut Ibnu Umar Al Khattab (r.a.), Nabi Muhammad saw bersabda: “Jika kamu berada pada waktu pagi, maka janganlah tunggu waktu petang dan jika kamu berada di waktu petang maka janganlah tunggu waktu pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Ikram
Perlu menghormati majikan, penyelia, teman sepejabat (tidak kira pangkat) dan pelanggan-pelanggan (dalaman dan luaran). Dalam kerja berpasukan (teamwork), semua warga kerja memainkan peranan bagi menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu projek. Kerja berpasukan menuntut ukhuwah dan semangat setiakawan yang tinggi.
Penyelia atau majikan harus menganggap kakitangannya sebagai aset yang bernilai untuk memastikan matlamat jabatan atau organisasi tercapai. Tunaikan hak-hak kakitangan dengan memberi latihan yang bersesuaian, ganjaran pujian atau teguran yang membina. Jika hak pekerja dinafikan, mereka akan merasa dianiaya atau ditindas, sifat-sifat mazmumah seperti cemburu, hasad dengki dan syak wasangka akan menapak. Akhirnya ini akan menjadikan lemah daya saing.
Semua e-mail berkaitan pekerjaan perlu dijawab (bergantung kepada jangkamasa piawai SOP organisasi) sebagai tanda kita menghargai sesama insan. Nama panggilan dalam e-mail adalah tanda hormat penghantar e-mail yang dapat memberi sentuhan peribadi kepada si penerima.
Keghairahan dalam bekerja penting untuk mengujudkan suasana positif. Seronok bekerja bukan bermakna kerja berseronok-seronok ketika bekerja. Antara “55 Petua Seronok Bekerja” menurut Dr. Fadzilah Kamsah ialah dengan membantu rakan-rakan yang memerlukan. Tiada modal yang diperlukan tetapi pertolongan kita pasti sentiasa dikenang.
Jika kita malas membantu, rakan-rakan akan menjauhkan diri dan tiada pertolongan jika kita memerlukan. Akhirnya tempat kerja akan menjadi suatu tempat yang paling menyeksakan!
Allah swt berfirman (Surah al-Maidah : 2) yang bermaksud “Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan, dan janganlah kamu bertolong tolongan dalam dosa dan permusuhan“.
Iltizam
Berazam dan bertekad untuk berjaya dengan menjadikan kerjaya sebagai satu ibadah. Cuba tingkatkan produktiviti yang berkualiti agar menjadi pekerja mithali. Hargai masa dan sentiasa berusaha meningkatkan prestasi untuk memantapkan kerjaya cemerlang. Bersyukur atas nikmat pekerjaan dan peluang yang diberikan (kerana ramai orang yang masih menganggur).
Untuk berterusan seronok bekerja, kita boleh mengumpamakan kerja sebagai usahaniaga yang gagal rugi. Untuk mengaup keuntungan, kita harus melipatgandakan usaha kita. Rasulullah s.a.w. juga menekan sifat meningkatkan kualiti pekerjaan dalam sabdanya : “Sesungguhnya Allah suka kepada seseorang, apabila dia melaksanakan kerja, dia memperelokkan kerjanya (itqan).” (Hadis Riwayat Tabrani)
Imbang
Keseimbangan dalam pekerjaan, kehidupan berkeluarga dan amalan ibadat perlulah selari dalam hidup pekerja cemerlang. Sesibuk mana pun dalam urusan keduniaan, jangan dikesampingkan melabur dalam saham akhirat melalui amal ibadat atau amal jariah. Tunaikan hak-hak kekeluargaan seperti memberi pendidikan agama, perhatian dan kasih sayang kepada ahli keluarga. Rasululah s.a.w. pernah bersabda : “Sebaik-baik kalian, adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan Aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Istiqamah
Terus berusaha gigih dalam pekerjaan dan menunaikan maslahat-maslahat kerja dengan ketaatan dan berbincang dengan majikan dan rakan sekerja secara jujur untuk memajukan organisasi. Justeru, pastikan kita memahami visi peribadi sebagai pekerja Islam dan visi organisasi tempat kita bekerja. Sentiasa berminda terbuka apabila menerima kritikan ataupun teguran. Buktikan yang kita seorang pekerja yang produktif dan berfikiran matang.
Dalam usaha untuk menyuburkan budaya kerja cemerlang ini, berusahalah untuk menangkis anggapan negatif dan sinis masyarakat yang beranggapan banyak organisasi Melayu yang kurang mempunyai visi, kurang cekap, kurang berdisiplin dan tidak menunjukkan anutan budaya kerja yang baik.
Amalkan semangat kerja yang penuh komitment agar kita mendapat nikmat kejayaan serta kesejahteraan dunia dan akhirat dengan menuruti sunnah Rasulullah s.a.w dalam semua aspek kehidupan khususnya akhlak.
Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah (r.a.) tentang akhlak Rasulullah s.a.w. Aisyah menjawab, “Akhlak Nabi s.a.w. adalah al Quran.” (Hadis Riwayat Muslim).
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Rujukan :
- Al Quran & Hadis
- Danial Zainal Abidin. 7 Formula individu cemerlang. Edisi kedua. Batu Caves (Selangor) : PTS Millenia, 2012.
- Muhammad Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makky. Khalifah zuhud Umar Abdul Aziz. Selangor: Istiramai, 2002.
SUNNAH KEHIDUPAN MUSLIM MASYARAKAT PERSPEKTIF ISLAM ISLAM DAN ETIKA ETIKA KELUARGA PEKERJAAN

