Iktibar di Sebalik Wabak: Pendedahan Seorang Ustazah | Pergas Blog

newest article

32-4

Iktibar di Sebalik Wabak: Pendedahan Seorang Ustazah

18 November 2020 12:33 pm // Written by Nadia Hanim Binte Abdul Rahman;

 

Pada hari lahir anak saya, Nafisah, pada 11 Mac lalu, saya terkena simptom pertama COVID-19.

Pada mulanya, saya sangka ia sekadar demam biasa. Suhu badan saya 37.8°C. Seluruh badan saya terasa sakit. Kepala berdenyut macam terkena migrain. Ah, mungkin demam biasa-biasa saja, kata hati kecil saya.

Pun kesemua empat temu janji dan mesyuarat pada hari itu dan esoknya terpaksa saya batalkan. Sebabnya, saya rasa tidak elok untuk keluar rumah ketika kurang sihat. Saya putuskan duduk rumah saja.

Hakikatnya, ketika bujang saya pernah dijangkiti virus H1N1 pada 2009. Pengalaman itu telah mematangkan saya untuk sentiasa waspada dan mengelakkan diri saya daripada orang ramai. Saya juga sedar peri perlu menemui doktor dengan segera.

Saya tidak alami batuk atau sebarang simptom flu yang lain. Suhu badan antara 37.5°C hingga 37.9 °C, namun sakit badan dan sakit kepala kian mencengkam.

Pada malam 12 Mac lalu, saya tidak dapat lelap. Sakit badan kian menjerut, terutama pada bahagian dada. Suhu badan saya melonjak ke paras 39 °C!

Saya ceritakan keadaan diri saya kepada keluarga saya melalui Whatsapp. Mereka gesa agar saya segera berubat. Pun pada ketika itu, saya masih tidak mengesyaki apa-apa. Sebabnya, saya tidak berhubungan dengan sesiapa yang dijangkiti virus ini. Saya masih sangka ia sekadar flu biasa.

Larut malam pada 12 Mac lalu, barulah saya hadapi sesak nafas dan batuk yang teruk. Saya fikir, pasti penyakit lelah (semput) saya menyerang. Saya beritahu suami bahawa saya perlu pergi ke hospital. Suami saya bertanya, “Patutkah saya ikut?”

Saya kata, tidak perlu kerana beliau perlu menjaga anak-anak di rumah. Mungkin lelah saya dan tiada yang perlu dibimbangkan, ujar saya. Saya tidak membuat sebarang persiapan untuk ke hospital kerana memikirkan cukup rawatan nebulizer kelak.

Saya berpelitup dan naiki kereta sewa Grab. Dalam perjalanan ke hospital, pemandu Grab mendengar saya batuk. Beliau segera menurunkan jendela kereta untuk mendapatkan pengudaraan. Beliau tampak cemas.

(Rupa-rupanya selepas peristiwa itu, saya diberitahu pemandu itu juga dikuarantin. Saya dirundung rasa bersalah tapi bersyukur lagi berterima kasih kerana beliau sanggup menghantarkan saya ke hospital. Semoga Tuhan melindunginya).

Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA, ihsan USTAZAH NADIA HANIM ABDUL RAHMAN

Saya berbekal ubat lelah ketika tiba di hospital. Para pekerja barisan hadapan sangat tangkas mengendalikan kes saya. Mereka ambil bacaan tekanan darah, nadi, x-ray dan juga darah. Tetapi saya perlu tunggu lima jam untuk mendapat keputusan ujian tadi. Ketika itu, saya belum lagi disahkan dijangkiti COVID-19. Mereka cuba mengenal pasti apakah saya mengalami jangkitan bakteria atau demam denggi.

Keputusan x-ray menunjukkan terdapat tompok-tompok pada peparu saya. Hal ini bukan baru bagi saya. Hakikatnya, saya memang mempunyai peparu yang lemah dan mudah terdedah kepada pneumonia (radang peparu) dan bronchitis (radang saluran pernafasan). Hampir setiap tahun jika saya terkena flu, peparu saya pasti dijangkiti.

Pada dinihari itu, saya diarahkan doktor untuk berada di wad pengasingan kerana saya mempunyai tanda-tanda pneumonia. Saya belum terfikir tentang COVID-19. Kemudian tenggorok dan lubang hidung saya diperiksa (nose and throat swab). Ujian ini perit kerana saya bak tercekik sehingga mengalirkan air mata.

Saya sempat menelefon suami saya. Saya yakin keputusannya negatif dan akan pulang ke rumah sebentar lagi. Saya masih memakai abaya dan belum lagi berpakaian hospital. Saya diberikan ubat untuk meredakan sesak nafas. Alhamdulillah, pernafasan saya mula tenang dan sempat berehat.

Jumaat, 13 Mac, doktor memberitahu saya melalui interkom: “Cik Nadia, maaf kami harus memberitahu anda bahawa keputusan ujian itu positif. Kementerian Kesihatan akan menghubungi anda untuk pengesanan kontak.” Saya tergamam dan terlafaz “…inna lillahi wa inna ilaihi roji’un”. Doktor lantas bertanya, “Apakah yang cik cakapkan tu?” Saya terus bertanya kepada doktor, “Adakah anda yakin yang saya sudah dijangkiti?” Sukar bagi saya menerima berita itu.

Saya tidak panik. Minda saya segera mengesan orang-orang yang saya temui. Saya terfikirkan anak-anak, suami sehingga ayah saya yang menghidapi barah tahap empat dan sedang mendapatkan rawatan chemo. Ayahlah yang membawa saya ke banyak majlis ceramah, mesyuarat dan kelas. Fikiran saya kusut. Bagaimanakah hendak saya beritahu berita ini kepada suami saya? Adakah anak-anak saya dijangkiti? Ya Allah, mereka masih kecil, tidak Ya Allah!

Alhamdulillah, suami saya tenang ketika diberitahu. Ketabahannya membuat saya turut tenang. Saya mohon maaf kepadanya. Saya tidak menangis tetapi hati ini merintih. Katanya: “Tidak mengapa, kita akan dapat mengatasinya. Anak-anak sihat, jangan bimbang. Saya juga sihat. Beritahu saya semua perkembangan. Kami akan berada di rumah sehingga Kementerian Kesihatan hubungi kami. Fokus pada proses pemulihan.”

Saya kehilangan kata. Namun hati saya cekal menerima hal ini sebagai ujian Allah untuk menilai keimanan hamba-Nya. Allah akan menyediakan segalanya. Dia akan mengutus insan-insan luhur untuk membantu. Saya sangat yakin bahawa Allah sentiasa bersama.

Tiga hari yang pertama saya di hospital ternyata amat jerih. Setiap detik terasa lama berlalu. Penyakit lelah saya terkawal. Saya tidak merasa sakit walau sukar bernafas. Saya resah terkurung di satu tempat. Saya hanya dapat bergerak dalam ruang 10 meter persegi yang berisi katil, tingkap dan televisyen.

Menurut doktor, saya perlu diasingkan selagi masih positif COVID-19. Saya bertanya kepada doktor, “Untuk berapa lama?” Jawab doktor itu: “Setiap kes berbeza. Tapi anda boleh menjangkakan sekurang-kurangnya dua minggu atau lebih, bergantung pada sistem ketahanan tubuh anda.”

Jadual saya memang padat untuk dua minggu menjelang. Namun ia perlu dibatalkan. Patutkah saya membuat jadual yang baharu? Saya perlu berfikir panjang. Saya yakinkan hati dengan menganggap pengasingan ini baik untuk saya. Saya perlu berehat. Saya perlu berfikir dengan mendalam dan mengatur kembali kehidupan saya. Ya, saya boleh!

Saya diuji dengan Kaletra, ubat yang lazim diberikan kepada pesakit HIV. Saya tanya doktor: apakah ubat ini mujarab? Doktor berkata, belum ada ubat bagi mengatasi virus baharu ini. “Kami masih membuat kajian mengenai virus ini dan para saintis masih mencari penawarnya,” ujarnya. Saya diberitahu bahawa ada kesan sampingan memakan ubat ini. Saya bertawakkal. Semoga Allah SWT memberi ilham untuk membimbing para doktor dan semuanya akan berjalan dengan baik. Setiap hari, saya bersolat istikharah mengenai semua ubat yang perlu saya ambil.

Selepas perbualan terakhir saya dengan doktor, saya jangka hanya dua minggu saja di hospital. Saya santuni semua kakitangan wad dengan baik. Saya berusaha menjadi pesakit yang baik demi memudahkan tugas mereka. Saya sedar akan tanggungjawab berat dan mencabar yang mereka perlu laksanakan. Saya amalkan pesan Rasulullah s.a.w.: “Jika kamu memudahkan urusan saudara kamu, Allah akan memudahkan urusan kamu dunia dan akhirat.”

Dalam keadaan perih dan tidak selesa, emosi sering berkuasa. Terkadang saya boleh menjadi insan yang menjengkelkan. Namun sedaya upaya saya kekang emosi negatif. Oleh itu, saya cuba berhenti sejenak untuk berfikir waras dan berkelakuan baik.

Setiap kali jururawat dan doktor menemui saya, saya cuba berikan kerjasama terbaik. Saya pernah bertanya seorang jururawat jika saya menyusahkannya. Jawabnya: “Kamu tidak langsung menyusahkan.

Tolong jangan rasa begitu, kami di sini untuk membantu kamu dan ini adalah tugas kami. Jangan bimbang tentang kami. Kamu akan pulih. Dan Nadia, kamu adalah pesakit yang terbaik.” Ayat akhirnya menceriakan saya.

Pada hari ketujuh di hospital, virus ini mula menyerang saya. Kian lemah dan sakit tubuh saya. Amat sukar untuk saya menelan makanan. Suhu tubuh saya meningkat. Saya menggigil. Para jururawat tampak bimbang tapi membisu. Mereka sentiasa memeriksa suhu badan saya.

Saya sedar bahawa badan saya sedang berjuang melawan virus ini. Saya terdengar ekor percakapan mereka bahawa saya menanggung beberapa penyakit lain. Ertinya, saya bak sudah jatuh ditimpa tangga dalam menghadapi virus ini. Saya tiada daya, tetapi tidak berputus asa. Saya mula meracau. Mungkin kerana ubat yang diberikan atau amuk kuman dalam badan saya. Amat perih. Hati saya terus berselawat dan berdoa dengan ayat-ayat suci Al-Quran yang sempat saya ingat. Entah bagaimana, seorang teman yang lama tidak ditemui tetiba muncul.

Episod jangkitan ini bak suatu iktibar yang merendahkan hati saya. Tidak benar sama sekali tanggapan bahawa virus ini hanya memilih mangsa – berdasarkan agama dan bangsa dan tidak akan menyerang insan beriman atau bertaqwa (solihin) yang selalu suci berwuduk. Ini kenyataan sombong yang mengelirukan dan tidak peka langsung.

Syukur pada-Mu, Ya Allah yang mengutusnya! Beliau bekerja di dalam bidang perubatan dan memberikan saya segala maklumat yang saya perlukan. Kami bersahabat semasa zaman kanak-kanak. Namun, haluan kami berbeza dan kemudian terputus jalinan. Segala puji bagi-Mu yang menemukan kami semula. Allah Maha Mengasihani lagi Maha Pelembut.

Esoknya selepas episod serangan virus yang dahsyat, saya hanya menghabiskan masa di atas katil bersama wayar yang bersambung ke badan. Ubat hanya disuntik melalui pembuluh darah. Kededua belah tangan saya sering dicucuk untuk mengambil contoh darah sehingga sukar untuk mencari urat untuk disuntik dek dipenuhi lebam.

Para doktor dan jururawat sangat baik. Mereka sering berikan kata-kata perangsang. Dalam detik-detik mencabar maut ini, mereka tampak akrab dalam bertugas. Terharu saya melihat akhlak mereka. Ingin saya mendakap mereka sebagai tanda penghargaan dan kekaguman saya. Mereka tabah lagi berani berkorban walaupun punya anak atau tanggungan masing-masing. Mereka mengisi erti ‘wira’ khususnya dalam medan kesihatan yang amat mencabar. Saya selalu mendoakan agar mereka mengecapi kehidupan yang diberkati.

Virus ini boleh menular kepada sesiapa sahaja. Para saintis belum dapat memahami sebab ia terjadi. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui hal ini. Jika anda pembaca tidak dijangkiti, alhamdulillah. Tetapi, saya mohon anda untuk JANGAN memandai-mandai menyatakan siapa yang mungkin dijangkiti dan yang tidak. Sikap begini tidak membantu sama sekali.

Cara terbaik untuk membantu dalam memerangi COVID-19 ialah menyebarkan pesan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan sekitaran, melaksanakan tanggungjawab sosial, menyantuni semua insan, berkata dengan niat mendidik bukan mengata. Dunia ini penuh dengan kepelbagaian. Setiap insan perlu belajar untuk menjadi lebih memahami dan prihatin. Amalkan sikap tenang dan mengambil langkah waspada. Pastikan anda melakukan jarak sosial, tetapi tetap menjaga antara satu sama lain. Kita boleh mengharunginya bersama sebagai sebuah negara, sebuah bangsa. Tugas kita untuk membentengi nusa daripada bahaya. Namun, hendaklah kita bersangka yang baik dalam setiap takdir-Nya.

Alhamdulillah, keadaan saya semakin membaik dan pada hari ke-18 iaitu 29 Mac 2020, di wad pengasingan. Doktor telah melakukan ujian swab dan mendapati saya negatif daripada COVID-19. Bagi meyakinkan lagi ujian itu, doktor telah melakukannya untuk kali kedua dan sememangnya saya sah bebas daripada COVID-19 akhirnya. Sebelum saya keluar dari hospital, doktor telah memberikan Care Plan untuk saya ikuti bagi pemeriksaan lanjut. Tujuan Care Plan adalah untuk memantau fungsi vital organ saya yang lain.

Ketika saya melangkah keluar daripada hospital, saya tidak terfikir untuk menoleh ke belakang ke arah hospital. Pengalaman 18 hari di hospital benar-benar membuatkan saya rindukan kehadiran keluarga di samping saya. Alhamdulillah, Ya Allah, terima kasih atas segala nikmat ini!

MEDICAL MEDICINE WOMEN ASATIZAH ISLAM DAN WANITA WANITA ISLAMIC PERSPECTIVE MUSLIM LIFE ISLAM AND WOMEN HEALTH


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles